Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pengusaha pusat cuci kereta simpan bekalan air, operasi seperti biasa

SHAH ALAM, 9 OKT: Seorang pengusaha pusat cucian kenderaan di Kampung Jalan Kebun, Seksyen 30 di sini, menyimpan air dalam kolah susulan penyelenggaraan loji rawatan air Sungai Selangor Fasa 1.

Ahmad Humini Alias, 42, menyimpan air dalam kolah seluas 9×4 kaki sejak dua hari lalu selepas dimaklumkan rakannya bahawa aset loji akan dinaik taraf pada minggu depan.

Ahmad Humini Alias, 42.

Turut menyediakan sebiji tong besar untuk menyimpan bekalan tambahan, bapa empat anak yang tinggal di Seksyen 25 berkata langkah itu bagi memastikan perniagaan berjalan seperti biasa sepanjang tempoh berkenaan.

“Mujurlah kolah memang tersedia dari awal sejak saya mula mengambil alih tempat ini kira-kira setahun lalu. Alhamdulillah, lagipun dapat jimatkan kos sebab hanya pakai air hujan tanpa perlu guna air paip.

“Saya berharap air dalam kolah ini dapat bertahan sehingga kerja selenggara selesai memandangkan pusat cuci kereta memerlukan air untuk beroperasi, kalau tiada (air) memang masalah kepada saya dan pengusaha lain,” katanya.

Pekerja pusat cucian kenderaan air membersihkan kereta di Jalan Kebun, Shah Alam ketika tinjauan SelangorKini pada 8 Oktober 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Dia yang turut mengusahakan perniagaan air kisar di kawasan berhampiran menganggap penyelenggaran dilakukan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) penting untuk keselesaan jangka panjang.

“Walaupun pada awalnya agak panik, tetapi saya percaya kerja baik pulih ini penting, mungkin tiada lagi gangguan sebab sudah menggantikan peralatan baru,” katanya.

Pada 1 Oktober, Pengurusan Air Selangor meminta orang ramai di 998 kawasan di wilayah Petaling, Kuala Lumpur, Klang, Shah Alam, Gombak, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor menyimpan bekalan secukupnya mulai 13 Oktober.

Sebanyak 105 lori tangki turut digerakkan Air Selangor selain penyediaan 18 pili awam ke kawasan terlibat bagi memudahkan orang ramai memperoleh bekalan demi kemudahan pengguna.

Bekalan air mula disalur berperingkat mulai jam 5 petang 14 Oktober dan dijangka pulih sepenuhnya jam 9 malam pada 16 Oktober bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna serta tekanan pada sistem agihan.

Senarai lengkap kawasan terlibat, pili air awam dan stesen pengisian air setempat boleh didapati di laman pautan http://hentitugas.airselangor.com.

 

 

Categories
SELANGOR

Loji rawatan air perlu dihubungkan elak gangguan

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 28 JUN: Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) mencadangkan loji rawatan air di seluruh negeri dihubungkan antara satu sama lain bagi mengelakkan terputus bekalan jika loji ditutup.

Timbalan Presidennya, Mohd Yusof Abdul Rahman berkata kekerapan pencemaran sesetengah loji rawatan menyebabkan penduduk terputus bekalan.

loji semenyih 02Katanya, setakat ini, jika loji terbabit tercemar, loji lain tidak dapat membantu ekoran tidak mempunyai hubungan antara satu sama lain.

“Isu kekurangan bekalan air terawat mungkin dapat dibantu melalui kaedah ini.

“Ada di antara loji rawatan lain tidak mempunyai kepadatan penduduk sebab itu mereka tidak mengalami masalah kekurangan bekalan.

“Manakala sesetengah kawasan loji rawatan tidak dapat menampung kepadatan penduduk,” katanya kepada SelangorKini.

Yusof berkata penambahan loji rawatan juga perlu dilakukan bagi menampung rizab air terawat.

“Kita juga mahu sungai-sungai tidak tercemar serta bersih.

“Sebagai contoh ladang ternakan atau tempat perlupusan sampah berhampiran dengan sungai, perlu dipindahkan bagi mengelakkan berlakunya pencemaran sungai sehingga loji tidak dapat memproses air terawat,” katanya.

Baru-baru ini, Semenyih dan Beranang kekurangan bekalan air ekoran keupayaan loji terawat tidak dapat menampung kepadatan penduduk.

EZY

Categories
NASIONAL

Dahulukan rakyat dalam projek WtE

SHAH ALAM: Ahli Parlimen Serdang Dr. Ong Kian Ming menggesa Putrajaya mendedahkan dokumen tender pembinaan loji Sisa-ke-Tenaga (WtE) Taman Beringin, Kepong supaya rakyat diyakinkan manfaat projek itu setimpal dengan nilainya dan tidak menguntungkan konsesi semata-mata.

Kian Ming berkata dokumen tender untuk Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) ini harus dibuka kepada umum dengan segera supaya pembayar cukai dapat menilai potensi kos projek itu, serta impaknya keatas kewangan dan alam sekitar.

Ong Kian Ming 01“Amat penting dokumen-dokumen itu dibuka kerana kita tidak mahu mengulangi perjanjian-perjanjian konsesi berat-sebelah seperti yang kita lihat dalam kontrak Penjana Tenaga Bebas (IPP) generasi pertama dan beberapa konsesi tol yang memberi keuntungan berlipat-ganda kepada pemegang konsesi tetapi tidak untuk rakyat biasa,” tegas Kian Ming.

Berbeza dengan sistem pelupusan sisa pepejal sedia-ada, teknologi WtE mengubah bahan buangan daripada bentuk bentuk asal kepada tenaga elektrik atau bahan api.

Kin Ming berkata rakyat pasti berminat untuk tahu apakah ada bentuk jaminan 1000 tan sisa sehari serta pampasan kepada konsesi sekiranya jumlah sisa tidak mencecah paras itu, kos pelupusan debu terbang batubara (fly ash) yang berbahaya dan debu batubara dasar (bottom ash), dan bagaimana sisa pepejal perbandaran kepada loji WtE diuruskan.

Sementara itu, badan pemikir Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) berkata teknologi WtE harus diteroka dengan lebih giat kerana ia lebih selamat daripada tenaga nuklear, serta pertambahan sisa pepejal setiap tahun.

“Menurut kenyataan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan pada April lalu, jumlah sisa pepejal dalam negara ini bertambah pada kadar 3.7% secara purata setiap tahun. Situasi sebegini sekali gus memberi kesempatan kementerian terbabit untuk merasionalisasikan pembinaan insinerator bagi tujuan pelupusan sisa pepejal yang semakin membukit,” katanya.

Menurut KPRU, selain dari Taman Beringin, lokasi lain yang dicadang untuk pembinaan loji WtE ialah Bukit Payung di Johor dan Sungai Udang di Melaka.

HM