Categories
AGENSI SELANGOR

Pembersihan Sungai Batang Nilai elak dua loji proses air terganggu

SHAH ALAM, 18 JUN: Kerja mitigasi dilaksanakan segera ekoran kejadian Toyota Hilux terbabas ke Sungai Batang Nilai, Nilai pagi tadi.

Lembaga Urus Air Selangor (Luas) dalam kenyataan media berkata kejadian itu menyebabkan minyak kenderaan mencemari sungai itu.

“Insiden tersebut berkemungkinan menyebabkan henti tugas LPA Sungai Labu dan LPA Salak Tinggi ekoran jarak tumpahan minyak ke LPA Sungai Labu 6.7 kilometer (km) manakala LPA Salak Tinggi 11.8 km,” katanya.

Katanya, pihaknya bersama Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd dan agensi berkaitan kini sedang menjalankan siasatan dan tindakan mengatasi isu itu.

Categories
SELANGOR

LUAS Sahkan Kapasiti Air Di Tujuh Empangan Memuaskan

 

SHAH ALAM, 9 DIS : Lembaga Urus Air Selangor (Luas) mengesahkan kapasiti air bagi ketujuh-tujuh empangan di Negeri Selangor berada dalam keadaan baik dan memuaskan.

Pengarahnya, Md Khairi Selamat berkata, kapasiti bagi lima empangan iaitu Empangan Tasik Subang, Empangan Semenyih, Empangan Langat, Empangan Klang Gates dan Empangan Batu berada pada tahap 100 peratus sehingga semalam.

Manakala kapasiti air bagi Empangan Sungai Tinggi pada tarikh sama berada pada tahap 90.03 peratus, sementara Empangan Sungai Selangor meningkat kepada 83.44 peratus, iaitu sebanyak 191.91 juta meter padu pada ketinggian 214.00 meter.

“Peningkatan ini adalah berbanding dengan kapasiti air empangan tersebut pada 11 Oktober 2012 iaitu sebanyak 52.02% dengan jumlah 119.65 juta meter padu pada ketinggian 199.3 meter.

“Limpahan air juga dilaporkan berlaku bagi Empangan Tasik Subang, Empangan Semenyih, Empangan Langat dan Empangan Klang Gates,” katanya dalam satu kenyataan media.

Selain itu, menurutnya, baki aliran (residual flow) di Baraj Bestari Jaya pada 8 Disember adalah sebanyak 14,737 juta liter sehari (JLH) dengan peningkatan sebanyak 5416 JLH berbanding bacaan sebelum ini.

Beliau berkata, jumlah aliran air sungai juga mampu membekalkan keperluan air mentah bagi lima loji pembersihan air (LPA) di Rasa, Rantau Panjang dan Bestari Jaya.

Katanya lagi, bacaan harian baki aliran ini adalah tinggi berbanding dengan jumlah minima keperluan aliran sebanyak 300 JLH.

Beliau turut menjangkakan kapasiti Empangan Sungai Selangor dan Sungai Tinggi akan terus meningkat hasil daripada kadar hujan yang banyak ketika Monsun Timur Laut daripada bulan November sehingga Mac.

“Berdasarkan kadar peningkatan takungan, kapasiti kedua-dua empangan ini dijangka akan kembali penuh sebelum bulan Februari 2013,” katanya lagi.

Categories
NASIONAL SELANGOR

LUAS : Baiki Ban Pecah, Jamin Bekalan Air Tidak Terjejas

SHAH ALAM,10 OKT : Penurunan paras air di Ibu Ampangan Sungai Bernam (BRH) yang menempatkan loji pembersihan Sungai Sireh disebabkan oleh ban sungai yang pecah berhampiran Jambatan Sungai Bernam SKC.

Ban sungai yang pecah ini menyebabkan aliran Sungai Bernam tidak sepenuhnya melalui Ibu Ampangan Sungai Bernam.

Ia menjadi antara punca penurunan paras air untuk loji pembersihan Sungai Sireh yang membekalkan air bersih dan kegunaan sawah padi di sekitar Tanjong Karang dan Sekinchan.

Pengarah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Md Khairi Selamat berkata, ekoran kejadian itu pihak Projek Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Barat Laut akan mempercepatkan pembaikan ban sungai tersebut.

Katanya, dalam masa yang sama, pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan menggunakan pam bagi diagihkan ke kawasan penanaman padi yang mengalami masalah kekurangan air.

Bagaimanapun beliau memberi jaminan bekalan air bersih ke kawasan di Sekinchan dan Tanjong Karang yang melibatkan kira-kira 30,000 pengguna tidak akan akan terjejas.

“Susunan pengagihan dari loji lain akan dilaksanakan untuk menampung kekurangan bekalan air di kawasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan media.

Beliau menjelaskan, rekod aliran air Sungai Bernam pada 10 Oktober melalui pemantauan aliran air di Jambatan Sungai Bernam SKC masih lagi tinggi pada jumlah 24.11 meter padu sesaat.

Malahan bacaan paras air di Ibu Ampangan Sungai Bernam juga masih tinggi iaitu pada paras 9.38 meter berbanding 9.6 meter paras bekalan penuh.

Katanya, Sungai Bernam yang menjadi garis sempadan di antara Negeri Selangor dan Perak merupakan sumber bekalan air bagi pengairan padi dan juga sebagai sumber bekalan air bersih melalui loji pembersihan air (LPA) Sungai Sireh.

“Operasi biasa Loji Pembersihan Air Sungai Sireh memproses 21 juta liter sehari (JLH) air bersih dan mampu untuk memproses sehingga 27 JLH.

“Ini adalah kali pertama kes sebegini berlaku. Kesemua enam pintu air di Ibu Ampangan Sungai Bernam dibuka untuk kemasukan air bagi meningkatkan paras air di terusan bekalan (feeder canal),” katanya.

 

LUAS Akan Guna Pam Agih Air Ke Kawasan Padi

SHAH ALAM 9 OKT : Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) akan menggunakan pam untuk membolehkan air diagihkan ke kawasan penanaman padi di sekitar Kuala Selangor.

Pengarah LUAS, Md Khairi Selamat berkata, pihaknya juga sedang menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca sebenar penurunan paras air di Loji Pembersihan Air (LPA) Sungai Sireh sejak seminggu lalu.

Katanya, paras kritikal muka sauk LPA Sungai Sireh adalah pada paras 0.20 meter. Buat masa ini, paras air di muka sauk berada pada paras 0.05 meter di bawah paras kritikal.

Beliau berkata, setakat ini, LPA Sungai Sireh terpaksa mengurangkan kapasiti pemprosesan air kepada tahap 40 peratus.

“Operasi biasa LPA Sungai Sireh memproses 21 juta liter sehari (JLH) air bersih dan mampu untuk memproses sehingga 27 JLH bagi membekalkan air bersih kepada penduduk di sekitar kawasan Tanjong Karang.

“Keperluan pengairan padi adalah di antara 4 hingga 9 meter padu sesaat bergantung kepada peringkat kawasan penanaman.

“Namun, rekod aliran air Sungai Bernam pada 8 Oktober(semalam) masih lagi tinggi iaitu pada jumlah 2083 JLH. Bacaan paras air di Bernam River Headworks (BRH) juga di atas paras kritikal iaitu 4.2 meter berbanding 3.5 meter.

“Akan tetapi, air tidak mencukupi di muka sauk loji dan kawasan penanaman padi.

“Justeru, kesemua enam pintu air di BRH telah dibuka untuk kemasukan air bagi meningkatkan paras air tersebut,” katanya kepada TV Selangor dalam satu kenyataan media.

Khairi bagaimanapun menjelaskan paras air di LPA lain setakat ini masih berada dalam keadaan normal dan di atas paras kritikal serta operasi bagi kesemua LPA berjalan seperti biasa.

Tambahnya, berdasarkan maklumat daripada Jabatan Meteorologi Malaysia, tinjauan cuaca bagi 1 hingga 10 Oktober 2012 menunjukkan peningkatan hujan terutamanya di kawasan pertengahan Semenanjung Malaysia di antara 10 mm hingga ke 70 mm daripada kadar biasa curahan air hujan.

Peralihan musim kering (Monson Barat Daya) ke musim hujan (Monson Timur Laut) bermula pada bulan Oktober juga menunjukkan peningkatan kadar hujan yang diterima.

Manakala, mengikut ramalan kaji cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meterologi mendapati, hujan akan berlaku di seluruh Selangor bermula 8 hingga 14 Oktober depan terutama di daerah Kuala Selangor dan Sabak Bernam.

Ahad lalu, Kerajaan Negeri Selangor mengumumkan kaedah pembenihan awan bagi mempertingkatkan penurunan hujan.

Ia akan dilaksanakan apabila kapasiti Empangan Sungai Selangor mencecah tahap 45 peratus yang mana dijangkakan di dalam tempoh 21 hari bermula daripada 2 Oktober 2012.