Categories
NASIONAL

MB : Tiada Kekurangan Bekalan Air Di Selangor

MB Melawat Loji Air Kuala Selangor 03

SHAH ALAM 4 JULAI : Selangor tidak menghadapi masalah kekurangan bekalan air kerana jumlah penyediaan air terawat di semua 34 loji melebihi pada kadar keperluan harian rakyat Selangor.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menjelaskan jumlah pengeluaran adalah sebanyak 4,832 juta liter sehari (JLH) berbanding keperluan harian di antara 3,000 hingga 3,500 JLH bagi seluruh Selangor.

Menurutnya, mengikut Kajian Semula Sumber Air Negara dari 2000 hingga 2050, Selangor dengan keluasan Selangor sebanyak 8,396 kilometer persegi (kps) menerima taburan hujan tahunan kira-kira 2,190 milimeter (mm).

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan dari Adun Dengkil, Shahrum Mohd Sharif dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini hari ini

Taburan hujan itu menghasilkan jumlah air larian permukaan sebanyak 6.38 bilion meter padu setahun bersamaan dengan 17,000 JLH sehari setelah mengambilkira jumlah penyejatan dan susupan semula air bumi.

“Di Selangor terdapat tujuh empangan utama yang membekalkan air untuk tujuan bakan air.

“Sehingga hari ini, semua empangan itu mempunyai kapasiti air untuk dirawat dan masih berada pada tahap yang tidak membimbangkan.

“Terdapat 34 loji rawatan air di Selangor yang beroperasi merawat air terawat bagi dibekalkan kepada Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas). Keupayaan pengeluaran semua laji adalah 4,832 JLH,” katanya.

MB Melawat Loji Air Kuala Selangor 03

Categories
NASIONAL SELANGOR

LUAS : Baiki Ban Pecah, Jamin Bekalan Air Tidak Terjejas

SHAH ALAM,10 OKT : Penurunan paras air di Ibu Ampangan Sungai Bernam (BRH) yang menempatkan loji pembersihan Sungai Sireh disebabkan oleh ban sungai yang pecah berhampiran Jambatan Sungai Bernam SKC.

Ban sungai yang pecah ini menyebabkan aliran Sungai Bernam tidak sepenuhnya melalui Ibu Ampangan Sungai Bernam.

Ia menjadi antara punca penurunan paras air untuk loji pembersihan Sungai Sireh yang membekalkan air bersih dan kegunaan sawah padi di sekitar Tanjong Karang dan Sekinchan.

Pengarah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Md Khairi Selamat berkata, ekoran kejadian itu pihak Projek Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Barat Laut akan mempercepatkan pembaikan ban sungai tersebut.

Katanya, dalam masa yang sama, pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan menggunakan pam bagi diagihkan ke kawasan penanaman padi yang mengalami masalah kekurangan air.

Bagaimanapun beliau memberi jaminan bekalan air bersih ke kawasan di Sekinchan dan Tanjong Karang yang melibatkan kira-kira 30,000 pengguna tidak akan akan terjejas.

“Susunan pengagihan dari loji lain akan dilaksanakan untuk menampung kekurangan bekalan air di kawasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan media.

Beliau menjelaskan, rekod aliran air Sungai Bernam pada 10 Oktober melalui pemantauan aliran air di Jambatan Sungai Bernam SKC masih lagi tinggi pada jumlah 24.11 meter padu sesaat.

Malahan bacaan paras air di Ibu Ampangan Sungai Bernam juga masih tinggi iaitu pada paras 9.38 meter berbanding 9.6 meter paras bekalan penuh.

Katanya, Sungai Bernam yang menjadi garis sempadan di antara Negeri Selangor dan Perak merupakan sumber bekalan air bagi pengairan padi dan juga sebagai sumber bekalan air bersih melalui loji pembersihan air (LPA) Sungai Sireh.

“Operasi biasa Loji Pembersihan Air Sungai Sireh memproses 21 juta liter sehari (JLH) air bersih dan mampu untuk memproses sehingga 27 JLH.

“Ini adalah kali pertama kes sebegini berlaku. Kesemua enam pintu air di Ibu Ampangan Sungai Bernam dibuka untuk kemasukan air bagi meningkatkan paras air di terusan bekalan (feeder canal),” katanya.

 

LUAS Akan Guna Pam Agih Air Ke Kawasan Padi

SHAH ALAM 9 OKT : Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) akan menggunakan pam untuk membolehkan air diagihkan ke kawasan penanaman padi di sekitar Kuala Selangor.

Pengarah LUAS, Md Khairi Selamat berkata, pihaknya juga sedang menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca sebenar penurunan paras air di Loji Pembersihan Air (LPA) Sungai Sireh sejak seminggu lalu.

Katanya, paras kritikal muka sauk LPA Sungai Sireh adalah pada paras 0.20 meter. Buat masa ini, paras air di muka sauk berada pada paras 0.05 meter di bawah paras kritikal.

Beliau berkata, setakat ini, LPA Sungai Sireh terpaksa mengurangkan kapasiti pemprosesan air kepada tahap 40 peratus.

“Operasi biasa LPA Sungai Sireh memproses 21 juta liter sehari (JLH) air bersih dan mampu untuk memproses sehingga 27 JLH bagi membekalkan air bersih kepada penduduk di sekitar kawasan Tanjong Karang.

“Keperluan pengairan padi adalah di antara 4 hingga 9 meter padu sesaat bergantung kepada peringkat kawasan penanaman.

“Namun, rekod aliran air Sungai Bernam pada 8 Oktober(semalam) masih lagi tinggi iaitu pada jumlah 2083 JLH. Bacaan paras air di Bernam River Headworks (BRH) juga di atas paras kritikal iaitu 4.2 meter berbanding 3.5 meter.

“Akan tetapi, air tidak mencukupi di muka sauk loji dan kawasan penanaman padi.

“Justeru, kesemua enam pintu air di BRH telah dibuka untuk kemasukan air bagi meningkatkan paras air tersebut,” katanya kepada TV Selangor dalam satu kenyataan media.

Khairi bagaimanapun menjelaskan paras air di LPA lain setakat ini masih berada dalam keadaan normal dan di atas paras kritikal serta operasi bagi kesemua LPA berjalan seperti biasa.

Tambahnya, berdasarkan maklumat daripada Jabatan Meteorologi Malaysia, tinjauan cuaca bagi 1 hingga 10 Oktober 2012 menunjukkan peningkatan hujan terutamanya di kawasan pertengahan Semenanjung Malaysia di antara 10 mm hingga ke 70 mm daripada kadar biasa curahan air hujan.

Peralihan musim kering (Monson Barat Daya) ke musim hujan (Monson Timur Laut) bermula pada bulan Oktober juga menunjukkan peningkatan kadar hujan yang diterima.

Manakala, mengikut ramalan kaji cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meterologi mendapati, hujan akan berlaku di seluruh Selangor bermula 8 hingga 14 Oktober depan terutama di daerah Kuala Selangor dan Sabak Bernam.

Ahad lalu, Kerajaan Negeri Selangor mengumumkan kaedah pembenihan awan bagi mempertingkatkan penurunan hujan.

Ia akan dilaksanakan apabila kapasiti Empangan Sungai Selangor mencecah tahap 45 peratus yang mana dijangkakan di dalam tempoh 21 hari bermula daripada 2 Oktober 2012.

Categories
SELANGOR

Projek Mitigasi 1 Dan 2 Mampu Selesai Krisis Air Selangor

PETALING JAYA 14 OGOS : Kerajaan Negeri Selangor menyangkal dakwaan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) berhubung pembinaan loji Langat 2 yang dikatakan mampu menyelesaikan krisis air di Selangor.

Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar berkata krisis air di negeri itu mampu diselesaikan apabila projek mitigasi 1 dan projek mitigasi 2 yang melibatkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1) dan LRA Sungai Selangor Fasa Tiga (SSP3) disiapkan.

Katanya, kedua-dua projek mitigasi itu mampu mengeluarkan air terawat sebanyak lebih 600 juta liter sehari (JLH).

Jelasnya lagi, Kerajaan Negeri juga akan menggunakan semula Loji Air Bukit Jelutong sebagai langkah alternatif untuk meningkatkan kapasiti air sebanyak 50 JLD untuk kegunaan pengguna di Selangor.

Xavier turut menegaskan, krisis kekurangan air untuk Selangor sebenarnya tidak berlaku seperti didakwa Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dan Kerajaan Pusat.

“Projek mitigasi Fasa 1 sedang dijalankan dan daripada projek itu, air terawat dapat disalurkan kepada penduduk di bahagian Selatan Selangor.

“Manakala projek mitigasi 2 iaitu SSP 1 dan SSP 3, sedang dalam proses mendapatkan konsultan, tender sudah dikeluarkan. UPEN (Unit Perancangan Ekonomi Negeri) memaklumkan, projek mitigasi 2 akan disiapkan Mac 2013 atau selewat-lewatnya Jun 2013,” katanya selepas Dialog Air Selangor 2012 di Dewan Sivik Majlis Perbandaran Petaling Jaya di sini.

Xavier menambah satu pelan tindakan akan dibuat selepas 2015 bagi memastikan pengeluaran air terawat dapat dikeluarkan secara berterusan kepada pengguna.

“Jika Projek Mitigasi yang dirancang ini dilaksanakan maka tidak akan ada krisis air walaupun pada 2015,? katanya.

Dalam Dialog itu, Pengarah Eksekutif Jabatan Kawal Selia Air Span, Marzuki Mohammad memberitahu margin rizab simpanan air berkurangan sehingga kurang dua peratus pada masa kini.

Katanya, jumlah itu mengalami penurunan daripada tahun 2009 sebanyak 9.3 peratus, 2010 sebanyak 6.19 peratus, 2011 sebanyak 4.2 peratus dan sehingga kini kepada kurang dua peratus.

Justeru, katanya, pembinaan projek Langat 2 perlu dilaksanakan dengan segera.

Bagaimanapun, beliau mengakui simpanan air masa kini mencecah sebanyak 100 peratus dan masalah di beberapa kawasan yang mengalami gangguan air dapat diselesaikan.

Beliau berkata masalah gangguan bekalan air itu terganggu akibat corak penggunaan air pada musim panas serta hujan.

Categories
SELANGOR

Selangor Mengambil alih Loji Rawatan Bagi Menjamin Bekalan Air Terawat

SHAH ALAM, 5 OGOS: Kerajaan Selangor akan mengambil alih semula 33 loji rawatan air di Selangor daripada Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) dan Puncak Niaga kerana kedua-dua syarikat ini didapati tidak menguruskan infrastruktur itu dengan baik.

Usaha ini bagi memastikan tiada ganguan bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, kata Exco Kesihatan, Pekerja Ladang dan Kerajaan Prihatin Dr Xavier Jayakumar.

Tambah Dr Xavier, usaha ini juga bagi mendapatkan situasi sebenar permintaan, agihan dan penggunaan air di seluruh Selangor.

?Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air mengesahkan bahawa 33 daripada 34 loji rawatan air sedia ada merupakan aset milik Kerajaan Negeri,? beliau berkata di dalam satu kenyataan media.

Kerajaan Negeri mempertikaikan ‘kesahihan’ kedudukan bekalan air dan kapasiti pengedaran air berdasarkan juta liter sehari (JLH) yang dikeluarkan Syabas yang kononnya dari sumber maklumat Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

“Kita berpendapat bahawas SPAN hanya menerima pakai data-data yang dibekalkan oleh SYABAS dan harus diingat bahawa SYABAS adalah pihak berkepentingan dalam isu air ini.” Kata Jayakumar.

Katanya, Kerajaan Negeri dan beberapa NGO berkali-kali menyarankan supaya audit air dibuat oleh sebuah agensi bebas.

Sebelum ini, Exco Selangor, Ronnie Liu mendedahkan bahawa SYABAS gagal menyelenggara dengan baik pam-pam air, peralatan dan kelengkapan serta tahap kawalan keselamatan tangki air.

Ini menyebabkan infrastruktur bagi merawat dan mengagih air di seluruh Selangor tidak berjalan dengan baik dan mengakibatkan gangguan bekalan di beberapa tempat.

Sementara itu, Dr Xavier mengkritik Kerajaan Pusat kerana mahu meneruskan projek Langat 2 tanpa kelulusan dari Kerajaan Selangor.

Dr.Xavier berkata, pemimpin Kerajaan Pusat tidak memahami konsep dan moral sistem ‘Federalisme’ yang diperuntukkan Perlembagaan Persekutuan.

“Yang jelas adalah hak terhadap sumber air, hutan, batuan dan galian dan hal ehwal melibatkan tanah adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri,” katanya.

Kerajaan Selangor berpendirian projek pemindahan air dari Pahang Langat 2 akan membebankan rakyat Selangor kerana kosnya yang tinggi.

Oleh itu ia mahu mengambil alih pengurusan industri air dari Syabas sebelum projek itu diteruskan.