Categories
KENYATAAN MEDIA

Maahad Integrasi Tahfiz Sains dilancar akhir tahun

Ibu bapa di Selangor dinasihatkan agar bersabar kerana penubuhan Maahad Integrasi Tahfiz Sains (MITS) telah dibentang di dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri dan juga Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES).

Ia hanya menunggu keputusan akhir Menteri Besar sebelum sebuah MITS dilancarkan pembinaannya akhir tahun ini.

Manifesto Pakatan Rakyat Negeri Selangor pada pilihan raya umum ke 13 menjanjikan 3 MITS baru dibina.

Tetapi sehingga hari ini belum lagi ada MITS yang telah dibina atau dilancar.

Walau bagaimanapun, satu perancangan terperinci untuk pelaksanaan telah disediakan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dengan kerjasama Pejabat Exco Pendidikan (YB Dr Hajjah Halimah Ali) dan Pejabat Exco Agama (YB Ustaz Sallehin Mukhyi).

Kerajaan Negeri Selangor memahami akan masalah yang dihadapi oleh para ibu bapa yang mahukan anak-anak mereka mendapat pendidikan peringkat menengah yang berteraskan Islam.

Ramai dari mereka terpaksa menghantar anak-anak mereka ke sekolah-sekolah swasta di negeri ini atau ke sekolah-sekolah di Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak malah Negeri Sembilan. InsyaAllah MITS akan dapat memenuhi keperluan mereka di masa akan datang.

Pembinaan MITS adalah di antara bukti-bukti bahawa Kerajaan Negeri Selangor di bawah Pakatan Rakyat (PR) tidak meminggirkan Islam sepertimana yang didakwa.

Selain dari itu elaun guru-guru KAFA (Kelas Al-Quran Dan Fardhu Ain) telah dinaikkan dari RM700 kepada RM1,300 sepanjang pentadbiran PR. Peruntukan tahunan sebanyak RM6 juta telah diwujudkan untuk sekolah-sekolah agama.

* Iskandar A Samad adalah Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor

Categories
SELANGOR

Lagi Maahad Tahfiz Dapat Biasiswa Lebih RM 100,000 Dari Yayasan Selangor

KLANG 19 JUL : Keprihatinan Kerajaan Negeri melalui Yayasan Selangor memberi biasiswa kepada maahad tahfiz membuka lembaran baru dalam arena pendidikan yang sebelum ini seolah-olah menganak-tirikan golongan pelajar tersebut.

Terbaru, Yayasan Selangor menyumbang biasiswa sebanyak RM 116,900 kepada 170 pelajar tingkatan tiga dan empat Maahad Integrasi Tahfiz Sains dan Teknologi (MITS) di sini malam tadi.

“Sumbangan sebegini bukan sahaja dapat meringankan beban ibu bapa kami tetapi juga memberi semangat kepada kami untuk terus belajar dan cemerlang dalam pelajaran.

“Pemberian biasiswa ini juga sama seperti amanah yang harus dijaga dengan baik dan tidak boleh dipersiakan,” jelas Shahrul Hanif Fadli16, yang memperolehi keputusan cemerlang 9A dalam Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) tahun lalu.

Sumbangan berupa cek itu disampaikan Exco Pendidikan, Dr. Halimah Ali pada satu majlis di Pusat Sumber Pendidikan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Yayasan Selangor turut menyumbang RM 2,000 tambahan kepada MITS bagi aktiviti pelajar.

Pengetua MITS, Syeihkul Maqari Othman Hamzah dalam ucapannya berkata sumbangan biasiswa tersebut menjadi penyuntik semangat kepada pelajar untuk lebih komited terhadap visi maahad dalam melahirkan golongan insan yang celik Quran.

“Semoga satu hari nanti kita ada golongan yang digelar ‘Proniq’ iaitu golongan professional yang bukan sahaja mampu menghafaz Al-Quran malah mengamalkannya.

“Ini akan menjadikan golongan generasi akan datang bukan sahaja mantap kariernya di dunia malah tinggi martabatnya di akhirat,” ujar Othman yang turut mengharapkan sumbangan biasiswa sebegini diperbanyakkan kepada maahad tahfiz.

Turut hadir pengurus kanan, Jabatan Pendidikan Yayasan Selangor, Zahura Zakry, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan JAIS, Mohd Amir Danuri serta Ketua Bank Simpanan Nasional (BSN) Damansara, Eddie Affendi Mokhtar.

Pada 25 Jun lalu, Yayasan Selangor turut memberikan biasiswa RM 172, 000 kepada 223 pelajar Maahad Integrasi Tahfiz Sains & Teknologi (MITIB), Banting.