Categories
PBT SELANGOR

MDKS tawar diskaun 50 peratus kompaun letak kereta

SHAH ALAM, 31 JAN: Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) menawarkan diskaun 50 peratus bagi kompaun tempat letak kereta bermula 1 hingga 29 Februari ini.

Yang Dipertuanya, Rahilah Rahmat berkata, orang ramai digesa merebut peluang berkenaan ekoran MDKS akan memulakan proses pendakwaan terhadap individu yang gagal melunaskannya selepas tawaran berakhir.

“Setiap kompaun melebihi tempoh 24 jam dari tarikh kenderaan dikenakan tindakan, layak mendapat tawaran ini.

“Bagaimanapun ia tidak termasuk untuk kompaun berharga RM10 (iaitu bayaran serta merta di dalam tempoh 24 jam),” katanya dalam kenyataan.

Untuk sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi Unit Perundangan MDKS di talian 09-32897385 sambungan 30, 31 atau 32.

Categories
AGENSI SELANGOR

UNISEL-MDKS meterai MoU kerjasama sektor pelancongan

KUALA SELANGOR, 4 DIS: Universiti Selangor (UNISEL) dan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi membuka ruang kerjasama antara kedua-dua pihak terbabit.

Presiden dan Naib Canselornya, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, perjanjian persefahaman itu meliputi dua aspek penting daripada segi projek penghijauan dan inisiatif pelancongan.

Katanya, intipati kerjasama itu dapat memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak apabila ia dapat membuka ruang kepada UNISEL sebagai hab teknologi hijau atau ‘bank tree’.

“UNISEL giat melaksanakan usaha menjadikan kampus Bestari Jaya sebagai kampus hijau. Demi merealisasikan hasrat ini, kita berjaya menanam lebih 4,000 pokok sejak tahun lalu dan sedang berusaha mewujudkan Taman Bestari.

“Manakala, inisiatif pelancongan pula dapat menjadikan sekitar UNISEL Bestari Jaya sebagai salah satu jejak warisan di daerah Kuala Selangor terutama berkenaan sejarah tapak perlombongan yang wujud di sini sekitar tahun 50-an,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian Kafe Muzium@Food Valet UNISEL dan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara UNISEL dengan Majlis Daerah Kuala Selangor, di Kampus Bestari Jaya, di sini, hari ini.

Turut hadir, EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari serta Ahli Dewan Negeri Permatang, Rozana Zainal Abidin.

Acara menandatangani MoU itu disempurnakan Dr Mohammad Redzuan disaksikan Pendaftar UNISEL, Rokma Mat manakala bagi pihak MDKS pula ditandatangani Yang Dipertuanya, Rahilah Rahmat disaksikan Pengarah Landskapnya, Norazean Abdul Rahman.

Categories
PBT SELANGOR

MDKS jalan operasi perobohan struktur binaan haram

OLEH ALIFF HAIKAL

KUALA SELANGOR, 12 OKT: Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) menjalankan operasi meroboh struktur binaan gerai di atas rizab jalan di Bestari Jaya pada 26 September lalu, di sini.

Pengarah Jabatan Kawalan Bangunan MDKS, Faezah Aziz berkata, berdasarkan keputusan mesyuarat, notis roboh dan arahan mengosongkan bangunan telah dikeluarkan kepada pemilik bangunan tersebut pada 24 Julai lalu.

“Sebanyak empat buah struktur bangunan telah dirobohkan dan tindakan tegas diambil terhadap pemilik strukur bangunan yang menggunakan rizab jalan sebagai tempat perniagaan makanan.

“Operasi ini dijalankan di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 iaitu membina, menegakkan, mendirikan dan menyenggara atau membenarkan dibina, ditegakkan, didirikan atau diselenggara sesuatu tembok, pagar, susur, tiang atau apa-apa himpunan sesuatu benda atau lain-lain halangan di mana-mana tempat awam,” katanya.

Operasi perobohan itu berjalan lancar dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor, Pejabat Tanah Daerah Kuala Selangor dan Tenaga Nasional Berhad.

Faezah berkata, MDKS sentiasa memantau kawasan yang mempunyai kesalahan sama dari masa ke semasa dan memerlukan kerjasama orang ramai agar melaporkan segera kepada MDKS jika melihat perkara ini berulang.

“Orang ramai digesa dapat mematuhi arahan agar tidak membina sebarang struktur di kawasan yang tidak dibenarkan dan tindakan tegas bakal dikenakan kepada mereka yang ingkar,” katanya.

Sebarang aduan berkaitan perkhidmatan MDKS boleh disalurkan secara dalam talian di selangor.spab.gov.my atau hubungi 03-32891439.

Categories
PBT SELANGOR

MDKS anjur kem cungkil kepimpinan belia wanita

SHAH ALAM, 22 OGOS: Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) menganjurkan program Kem Motivasi Remaja MDKS 2019 di Teluk Nipah, Pulau Pangkor, baru-baru ini.

Yang Dipertua MDKS, Rahilah Rahmat berkata, program membabitkan 40 belia wanita lingkungan 19 hingga 21 tahun sekitar Kuala Selangor itu bertujuan mencungkil bakat kepemimpinan.

“Belia terutamanya wanita perlu diberikan motivasi serta disuntik dengan semangat agar emosi, rohani dan jasmani mereka berkembang dengan seimbang.

“Justeru itu, MDKS turut sama mengambil peranan supaya golongan belia dapat bergerak seiring dengan pembangunan di daerah ini.

“Selain memberikan perkhidmatan perbandaran kepada warga Kuala Selangor, penekanan pengukuhan jati diri, iman dan akhlak yang menjadi benteng terbaik bagi golongan belia,” katanya dalam kenyataan.

Rahilah berkata, program motivasi amat relevan dengan situasi belia ketika ini yang terdedah dengan pelbagai anasir negatif.

“Usaha murni membangunkan remaja tidak akan berjaya tanpa sokongan dan pembabitan berterusan daripada semua pihak terutamanya keluarga serta masyarakat,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

Warga Kuala Selangor dijemput meriahkan Karnival 3W

SHAH ALAM, 23 JUL: Masyarakat setempat khususnya warga Kuala Selangor dipelawa memeriahkan Karnival 3W (Women, Welfare & Wellness) yang bakal berlangsung di Kompleks Sukan Kuala Selangor di sini, Sabtu ini.

Karnival anjuran Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) dijadual berlangsung seawal 6.30 pagi hingga 11 malam dengan mengangkat tema Hari Sukarelawan Selangor.

Yang Dipertuanya, Rahilah Rahmat berkata, karnival itu diadakan untuk memberi kesedaran awam mengenai kepentingan menjaga kesihatan dan kebajikan serta pemberdayaan wanita selain mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan bagi mewujudkan komuniti sihat juga ceria.

Katanya, pelbagai aktiviti menarik disediakan untuk pengunjung seperti larian 10,000 langkah, pertandingan gasing moden ‘Beyblade Burst’ dan PS4 FIFA 2019.

“Kita turut mengadakan pameran daripada pelbagai agensi kerajaan dan Hari Bertemu Pelanggan MDKS untuk memberi ruang kepada pelanggan menyalurkan aduan serta cadangan secara dua mata.

“Kemuncak program di sebelah malam pula menampilkan bual bicara bersama selebriti terkenal dan hadiah cabutan bertuah yang menawarkan hadiah utama set televisyen serta telefon bimbit,” katanya kepada SelangorKini.

Pelakon dan pengacara, Irma Hasmie serta Naib Juara program Gema Gegar Vaganza 2018, Adeep Nahar akan tampil selaku panelis dalam segmen bual bicara, Papaku Adiwira Mamaku Kejora untuk mengupas topik ‘Aku Sukarelawan’, manakala Amin Idris bertindak sebagai moderator.

Karnival berkenaan akan disempurnakan EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita Dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud.

Terdahulu, Karnival 3W julung kali diadakan di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Pandan Indah, pada 10 Februari lalu sebagai penambahbaikan daripada Karnival Sihat Selangor yang pernah diwujudkan sebelum ini.

Objektif pelaksanaan adalah untuk mempromosi pelbagai bantuan dan khidmat ditawarkan Kerajaan Negeri kepada rakyat.

Karnival itu juga akan menjelajah ke seluruh PBT pada setiap bulan dengan tema berbeza berdasarkan sambutan hari penting, pada bulan berkenaan.

Categories
SELANGOR

LUAS wujud landskap kehidupan, inovasi unik

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA SELANGOR, 1 JUL: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mewujudkan Landskap Kehidupan (LUAS Rotary Peace Park Malaysia) di Kolam 1 Off River Storage (ORS), Bestari Jaya, di sini.

Ahli Dewan Negeri Permatang, Rozana Zainal Abidin berkata, ORS Bestari Jaya antara lokasi terpilih bagi melaksanakan landskap kehidupan kerana konsep ‘off river storage’ yang dilihat mampu untuk direplikasikan di tempat lain.

Katanya, inovasi pembangunan landskap kehidupan dalam sumber air alternatif di ORS Bestari Jaya berjaya mengurangkan kos pembangunan landskap dengan menggunakan konsep gotong-royong membabitkan komuniti setempat dan pelbagai agensi serta pertubuhan bukan kerajaan seperti Kelab Rotary.

“Dengan adanya inovasi sebegini ia berjaya membuktikan bahawa pengurusan sumber air secara holistik, mampan dan memberi pelbagai faedah kepada komuniti setempat dan alam sekitar serta berpotensi dikembangkan ke seluruh negara.

“Tahniah saya ucapkan kepada LUAS dan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) kerana berjaya menghasilkan ciptaan inovasi yang unik ini.

“Hal ini sejajar dengan matlamat LUAS dan MDKS sebagai agensi rujukan dalam pengurusan sumber air serta pembandaran lestari di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Landskap Kehidupan LUAS Rotary Peace Park Malaysia) di Kolam 1 ORS Bestari Jaya, di sini, baru-baru ini.

Sementara itu, Pemangku Pengarah LUAS, Haslina Amer berkata, inovasi itu juga berpotensi menjadi peneraju era baharu pengurusan dalam menyelaras kawasan sumber air dengan membenarkan aktiviti rekreasi yang terkawal.

“Ini mampu memberikan manfaat sosial kepada masyarakat dan pada masa sama sumber air dapat digunakan apabila diperlukan.

“Malah, selain mengangkat konsep ORS untuk bekalan air, ia juga dipelbagaikan fungsinya dengan pembangunan sebagai tempat sukan air, pendidikan, latihan dan rekreasi sumber air negeri,” katanya.

Categories
SELANGOR

ADN – Tangguh caj parkir hingga status dinaik taraf

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 5 JUN: Penguatkuasaan caj parkir kenderaan berbayar di daerah Kuala Selangor wajar ditangguhkan sehingga Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) dinaik taraf sebagai Majlis Perbandaran Kuala Selangor.

Ahli Dewan Negeri Jeram, Mohd Shaid Rosli berkata, beliau tidak bersetuju dengan tindakan pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit yang melaksanakan caj parkir kenderaan berkenaan.

“Saya tidak bersetuju buat masa ini kerana kawasan yang dicadangkan oleh MDKS adalah bukan kawasan komersial.

“Di bandar Puncak Alam setakat ini tidak mempunyai kemudahan yang lengkap seperti balas polis, balai bomba, institusi perbankan (Maybank/CIMB/RHB) dan pejabat kerajaan,” katanya dalam kenyataan.

Pada 3 Jun lalu, SelangorKini melaporkan pelaksanaan caj bayaran parkir kereta membabitkan jumlah keseluruhan 6,090 tapak di Kuala Selangor, Tanjong Karang, Bestari Jaya, Puncak Alam dan Saujana Utama.

Difahamkan, kadar bayaran dikenakan adalah 50 sen sejam bermula 8 pagi hingga 6.30 petang (Isnin hingga Jumaat), kecuali pada Sabtu, Ahad dan cuti umum.

Mengulas lanjut, beliau berkata, perkhidmatan penguatkuasaan MDKS belum mampu melaksanakannya berikutan merujuk prestasi penguatkuasaan PBT itu yang lemah.

“Pendapatan penduduk masyarakat di daerah Kuala Selangor masih sederhana dan masih dalam proses pembangunan sosio ekonomi,” katanya.

Semalam, Pengerusi Pakatan Harapan (PAKATAN) Tanjong Karang, Mohd Yahya Mat Sahri turut menyuarakan bantahan terhadap tindakan MDKS yang mengeluarkan notis makluman mengenakan caj bayaran tempat letak kereta di daerah itu bermula 1 Julai ini.

Tindakan itu dilihat tidak bertepatan dengan waktu memandangkan ia berlaku ketika masyarakat setempat sedang dihimpit dengan tekanan kos sara hidup yang tinggi.

 

Categories
BERITA UTAMA PBT PELANCONGAN SELANGOR

Sky Mirror: Pengunjung disaran semak lesen pengendali bot

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA SELANGOR, 15 APR: Orang ramai yang ingin mengunjungi Sky Mirror dinasihatkan supaya membuat rujukan terlebih dahulu dengan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) dan juga Tourism Selangor.

Yang Dipertua MDKS, Rahilah Rahmat berkata, ia berikutan timbulnya isu lambakan pengendali bot tanpa lesen ke lokasi pelancongan berkenaan.

Katanya, isu keselamatan pelancong yang dibawa ke Sky Mirror Kuala Selangor dipandang serius dan disebabkan itu beberapa tindakan sewajarnya telah diambil.

“MDKS ingin menegaskan supaya kesemua operator yang menjalankan aktiviti pelancongan agar mematuhi aspek keselamatan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

“Justeru MDKS mengambil tindakan keselamatan bersama jabatan dan agensi yang berkaitan bagi menangani kes ini,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu berhubung lokasi pelancongan Sky Mirror di Kuala Selangor tidak mempunyai aspek keselamatan seperti yang ditimbulkan Ahli Dewan Negeri Jeram, Mohd Shaid Rosli ketia sidang Dewan Negeri Selangor.

Dalam sidang berkenaan, beliau menyatakan kebimbangan Kerajaan Negeri dan Persekutuan akan menerima nama buruk sekiranya berlaku kemalangan yang mengakibatkan pelancong.

Ia berikutan lokasi pelancongan itu menerima pelancong paling ramai dari Negara China.

Mengulas lanjut, Rahilah berkata, oleh sebab itu, inisiatif MDKS bersama Kerajaan Negeri, Tourism Selangor dan agensi berkaitan ialah melaksanakan mesyuarat dan bengkel sejak tahun lalu.

Katanya, ia bagi mencari penyelesaian isu jeti dan operator yang tidak berlesen membawa penumpang ke Sky Mirror.

“Hasil daripada pelaksanaan bengkel terbabit, beberapa tindakan telah dilaksanakan seperti menjalankan pemantauan dan mengeluarkan notis kepada pengusaha bot yang tidak mematuhi syarat,” katanya.

Sky Mirror telahpun menjadi lokasi wajib pelancong ketika berkunjung ke Kuala Selangor sejak beberapa tahun yang lalu.

Lokasi itu turut menerima jolokan Salar De Uyani Malaysia kerana seakan sama dengan Salar De Uyani di Bolivia iaitu hamparan tebing pasir pantai seakan cermin.

Categories
SELANGOR

MDKS anjur Karnival Alam Sekitar dan Hari Tanah Lembab Sedunia 2019

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

KUALA SELANGOR, 21 FEB : Orang ramai dijemput menyertai Karnival Alam Sekitar dan Hari Tanah Lembab Sedunia 2019 anjuran Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), pada 23 Februari ini.

Program yang akan dirasmikan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin itu, dijadualkan berlangsung jam 7.30 pagi di Taman Alam, Kuala Selangor.

Karnival itu diadakan bersemperna Hari Tanah Lembab Sedunia yang disambut 2 Februari setiap tahun diseluruh dunia.

Antara aktiviti dijalankan dalam karnival itu adalah Eco Free Market, penanaman pokok, jualan pokok, demostrasi terrarium dan aktiviti rekreasi seperti senamrobik serta mencari harta karun.

Malah, aktiviti untuk kanak-kanak turut diadakan seperti pertandingan mewarna, pengembaraan ‘Kidzania’ dan pertandingan menghias kek.

Pada masa sama, pelbagai kaunter pameran turut dibuka pada karnival tersebut.

Karnival itu adalah program kerjasama MDKS, Kerajaan Negeri Selangor, Jabatan Perhutanan, Persatuan Pencinta Alam Malaysia dan LBS Foundation.

Categories
PBT SELANGOR

MDKS serbu lokasi panas cegah denggi

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA SELANGOR, 14 FEB: Enam lokasi dikenal pasti sebagai ‘kawasan panas’ oleh Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) kerana mencatatkan kes demam denggi tertinggi.

Enam lokasi itu termasuk Kampung Baru Sungai Buloh dan Kampung Cina Sungai Janggut di Jeram, Residensi Warnasari dan Lorong Naluri Sukma di Puncak Alam serta Kampung Tiram Setia di Tanjong Karang.

Yang Dipertua MDKS, Rahilah Rahmat berkata, sebanyak 697 kes demam denggi dicatatkan sepanjang tahun lalu sekali gus memperlihatkan peningkatan sebanyak 146 kes berbanding 2017 iaitu 551 kes.

“Melihat kepada situasi terbabit, MDKS akan meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan bersama Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Selangor di premis yang menjadi penyumbang peningkatan kes denggi.

“Penduduk setempat juga dinasihatkan supaya mengambil berat tentang kebersihan di kediaman masing-masing dengan menjalankan aktiviti gotong royong setiap minggu bagi menghapuskan tempat pembiakan Aedes,” katanya.

Sebelum ini, SelangorKini melaporkan Petaling mencatatkan kes denggi tertinggi di Selangor iaitu sebanyak 3,023 kes bermula Januari lalu sehingga kini.

Ia kemudiannya diikuti Klang dengan jumlah kes sebanyak 2,644 dan Hulu Langat iaitu 1,691 kes.

Sementara itu, Sabak Bernam dan Hulu Selangor mencatatkan jumlah kes denggi terendah iaitu 26 dan 65 kes sahaja.

Categories
SELANGOR

Biar lembu berkeliaran, dua penternak dikompaun

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA SELANGOR, 1 FEB: Dua penternak dikompaun Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) setelah didapati membiarkan haiwan ternakan milik mereka bebas berkeliaran.

Yang Dipertua MDKS, Rahilah Rahmat berkata, kompaun mengikut Seksyen 4(1) Enakmen Mengawal Lembu- Kerbau 1971 itu dikeluarkan terhadap penternak lembu di Taman Sri Pancaran, Bestari Jaya dan Jalan Raja Abdullah, Jeram.

Katanya, operasi bersepadu terpaksa dijalankan berikutan hasil aduan orang ramai berhubung haiwan ternakan yang kerap memasuki laluan awam dan perumahan.

“Operasi ini dijalankan di sekitar kawasan Bestari Jaya dan Jeram kerana ia antara lokasi yang sering terjadinya kemalangan antara pengguna jalan raya dan haiwan ternakan.

“Untuk makluman, pada tahun lalu sudah terdapat kes kematian melibatkan penunggang motosikal akibat haiwan ternakan yang dibiarkan bebas ini,” katanya.

Pada masa sama Rahilah berkata, pihaknya menyedari operasi terbabit seringkali menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penternak di sekitar kawasan Kuala Selangor.

Namun, tindakan terpaksa dilakukan untuk kebaikan semua pihak terutama pengguna jalan raya.

“Peringatan kepada pemilik ternakan, MDKS boleh mengurung lembu atau kerbau yang ditangkap serta disimpan di suatu tempat sehingga kos perbelanjaan bagi tangkapan, kurungan dan makanan haiwan itu dibayar pemiliknya.

“Perkara ini adalah mengikut Seksyen 4(4) Enakmen Mengawal Lembu-Kerbau 1971. Sementara bagi Seksyen 13 enakmen yang sama memberikan kuasa kepada pihak MDKS untuk menjalankan pendakwaan di mahkamah ke atas pemilik haiwan berkenaan,” katanya.

Orang ramai digalakkan untuk menyalurkan aduan berkaitan perkhidmatan MDKS secara dalam talian di selangor.spab.gov.my atau hubungi 0332891439.

Categories
SELANGOR

Berita pembinaan Lapangan Terbang Kuala Selangor palsu

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA SELANGOR, 8 JAN: Berita pembinaan Lapangan Terbang Kuala Selangor di laman Facebook ‘Hello Malaysia’ pada 1 Januari lalu adalah palsu.

Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) melalui kenyataan di laman Facebook rasmi memberitahu, pihaknya menerima pelbagai pertanyaan daripada orang awam mengenai hal terbabit.

“Untuk makluman, tiada permohonan secara rasmi daripada mana-mana pihak pemaju kepada MDKS untuk membangunkan projek mega tersebut.

“Sebarang pembangunan perlu merujuk terlebih dahulu kepada MDKS agar bertepatan dengan Rancangan Tempatan Majlis Daerah Kuala Selangor 2025 yang diwartakan sebagai panduan pembangunan daerah Kuala Selangor,” kata kenyataan itu.

Sebelum ini, melalui laman Facebook ‘Hello Malaysia’, admin kononnya memberitahu pihaknya menerima gambar peta perancangan pembangunan Lapangan Terbang Kuala Selangor yang bakal merubah landskap pembangunan di situ.

Tambah mengelirukan apabila pengendali laman sosial itu memaklumkan projek dijangka bermula dari 2019 dan bakal siap sepenuhnya pada 2028.

Gara-gara berita palsu terbabit, netizen membuat pelbagai spekulasi termasuk mengkritik tindakan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).