Categories
SELANGOR

MDKS yakin kecekapan KDEBWM urus sisa domestik

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA SELANGOR, 27 DIS: Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) yakin akan kecekapan KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) dalam menguruskan kutipan sisa domestik di kawasan pentadbirannya.

Yang DiPertuanya, Rahilah Rahmat berkata, pengambil alihan pengurusan itu mampu meningkatkan kualiti hidup selaras dengan visinya untuk menjadi entiti berorientasikan masyarakat dan mesra alam.

“Selaras dengan keputusan Kerajaan Negeri mengarahkan KDEBWM mengambil alih pengurusan sisa pepejal semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini, saya harap ia mampu menyelesaikan aduan dan masalah melalui perkhidmatan lebih sistematik dan terkini.

“MDKS menerima banyak maklum balas dan cadangan sering dibangkitkan dalam mesyuarat berkaitan aduan sampah serta isu berkaitan,” katanya pada Majlis Penyerahan Lori Kompaktor di Ibu Pejabat MDKS di sini, hari ini.

Rahilah berkata, MDKS menerima aduan berkaitan sampah sebanyak 229 tahun ini berbanding 148 bagi tahun lalu.

Katanya, walaupun aduan tidak tinggi berbanding PBT lain, namun akan berterusan sekiranya tidak ditangani sebaiknya.

“Statistik berkaitan aduan pengurusan sisa pepejal di negara ini menunjukkan peningkatan dari tahun ke tahun seiring dengan pembangunan pesat di kawasan tertentu.

“Pembangunan ini menjadikan kepadatan populasi kian meningkat sekali gus mendorong kepada peningkatan jumlah penjanaan sisa pepejal.

“MDKS juga tidak terlepas dari berdepan dengan pelbagai cabaran berkaitan isu ini, justeru kerjasama semua pihak diperlukan bagi membantu KDEBWM,” katanya.

Categories
SELANGOR

KDEBWM ambil alih kutipan sisa pepejal di MDKS, 1 Jan 2019

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA SELANGOR, 27 DIS: KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) akan mula mengambil alih pengurusan sisa domestik di kawasan pentadbiran Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), bermula 1 Januari ini.

Pengarah Urusannya, Ramli Mohd Tahir berkata, pengurusan kutipan sampah di kawasan berkenaan oleh pihaknya menjanjikan pembaharuan modus operandi dengan konsep ‘Smart Waste Solution’.

Katanya, sebanyak 12 lori kompaktor baharu dilengkapi sistem canggih akan digunakan oleh semua sub kontraktor di kawasan itu.

“Penggunaan lori baharu yang berteknologi terkini dijangka bakal menyelesaikan isu tipikal sering dihadapi kontraktor antaranya lori lama, uzur, rosak dan sebagainya.

“Semua lori ini akan dipantau pergerakanya melalui penggunaan ‘Vehicle Monitoring System’ (VMS) secara berpusat di ‘Centralized Command Center’ (CCC) di Ibu Pejabat KDEBWM di Shah Alam,” katanya ketika ditemui di Majlis Penyerahan Lori Kompaktor di Ibu Pejabat MDKS di sini, hari ini.

Pada masa sama, Ramli berkata, penyerahan lori berkenaan sejajar dengan komitmen KDEBWM membawa perubahan dan pembaharuan kepada perkhidmatan kutipan sampah domestik yang lebih efektif dan efisyen.

Katanya, penggunaan lori kompaktor yang seragam serta dilengkapi pelbagai peralatan dan teknologi canggih akan dapat meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan pengurusan sisa pepejal di negeri itu.

Untuk rekod, MDKS adalah pihak berkuasa tempatan (PBT) ke 10 diambil alih pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam oleh KDEBWM.

KDEBWM adalah syarikat milik penuh Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) yang diberikan tanggungjawab melakukan kerja pembersihan berkenaan secara berperingkat.

 

Categories
SELANGOR

MDKS pelawa sertai kursus kendali makanan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KUALA SELANGOR, 3 OKT: Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) menerusi Jabatan Perkhidmatan Kesihatan dan Persekitaran menganjurkan Kursus Pengendalian Makanan di Dewan Sri Siantan, di sini, pada 27 Oktober ini.

Memasuki siri ke-10 penganjuran, kursus itu antara inisiatif MDKS memastikan pemilik premis dan peniaga pasar malam mengutamakan aspek kebersihan semasa mengendalikan makanan.

Jurucakap MDKS dalam kenyataan berkata, kursus itu penting selaras dengan pemeriksaan dan penggredan premis di pihak berkuasa tempatan terbabit, yang menekankan bahawa setiap pengendali makanan diwajibkan menghadiri kursus berkenaan.

“Ia secara tidak langsung membentuk pengendali makanan berdedikasi dengan memantapkan kebersihan persekitaran premis makanan, selain membudayakan etika dan cara kerja baik serta kecekapan tadbir urus.

“Ia juga memberi peluang kepada peniaga dan orang awam untuk merujuk semula berkaitan tatacara betul semasa mengendali makanan,” katanya.

Yuran pendaftaran dikenakan bagi setiap penyertaan adalah RM50 dan turut menerima sijil selepas tamat kursus berkenaan.

Justeru, orang ramai berminat atau mempunyai sebarang pertanyaan lanjut berhubung program itu boleh menghubungi urusetia di talian 03-32812235.

Categories
SELANGOR

Air pasang besar – MDKS nasihat penduduk berjaga-jaga

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA SELANGOR, 7 SEPT : Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) menasihatkan penduduk di daerah itu untuk berjaga-jaga sepanjang fenomena air laut pasang besar, yang diramalkan berlaku tidak lama lagi.

Yang Dipertuanya, Rahilah Rahmat berkata, ia terutamanya bagi penduduk yang tinggal berhampiran persisiran pantai Kuala Selangor.

“Orang ramai dinasihatkan menghentikan serta menangguhkan sebarang aktiviti di pesisir pantai buat sementara waktu serta mematuhi arahan Pihak Berkuasa Keselamatan dari semasa ke semasa.

“Skuad Pantas MDKS sentiasa berkomunikasi bersama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kuala Selangor dalam memantau kawasan berisiko tinggi sepanjang fenomena air pasang besar,” katanya kepada SelangorKini.

Rahilah berkata, fenomena itu diramalkan berlaku dari 10 hingga 12 September ini dengan ketinggian paras air laut mencecah 5.5 meter.

“Sebarang kecemasan berhubung fenomena air laut pasang besar, sila hubungi Bilik Gerakan Pejabat Daerah Tanah Kuala Selangor di talian 03-3289 7632,” katanya.

Categories
SELANGOR

MDKS sedia perkhidmatan tempahan dewan secara atas talian

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 5 APR: Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) menyediakan perkhidmatan permohonan dan pembayaran tempahan dewan secara atas talian (e-tempahan) untuk memudahkan orang ramai.

MKDS dalam kenyataannya berkata, perkhidmatan itu dibuka sejak 6 Mac lalu bagi permohonan dewan untuk tujuan aktiviti sukan badminton.

Pengguna boleh membuat permohonan melalui sistem iservices MDKS di alamat http://iservices.mdks.gov.my.

Bagi keterangan lanjut, orang ramai boleh hubungi Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta MDKS di talian 03-3289 1439 sambungan ke 1549.

Categories
SELANGOR

MDKS: Pemilik anjing kena ada lesen sah

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 28 FEB: Pemilik anjing daerah Kuala Selangor digesa mendapat dan memperbaharui lesen yang tamat tempoh 31 Januari setiap tahun daripada Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS).

Setiausahanya, Azman Dahlan berkata, tindakan diambil bagi memastikan pemilik dapat memelihara haiwan itu dengan betul dan berhemah.

“Pemohon perlu mengemukakan sijil kesihatan dan status anjing yang disahkan Pegawai Jabatan Haiwan Negeri Selangor serta doktor veterinar berdaftar.

“Pemilik juga perlu memelihara anjing daripada baka yang elok mengikut piawaian ditetapkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, katanya, pemilik boleh memohon lesen di Jabatan Kesihatan dan persekitaran MDKS dengan bayaran RM 12.10 setahun.

Sementara itu, sebanyak lapan kawasan disediakan MDKS bagi membolehkan pemilik mendapat lesen berkenaan.

Antaranya Dewan Dato Hormat, Tanjong Karang, Dewan Telok Piai, Kuala Selangor dan Dewan Sungai Buloh.

Ia juga termasuk di Medan Selera Astana, Puncak Alam, Dewan Desa Coalfield, Dewan Saujana Utama, Dewan Harmoni Ijok dan Dewan Bestari Jaya.

Untuk sebarang pertanyaan boleh menghubungi Jabatan Kesihatan dan Persekitaran MDKS di talian 03-3281 2235.

Categories
SELANGOR

Kejohanan Bola Jaring: MDKS tawar hadiah lebih RM3,000

 

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 31 JAN: Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) mempelawa golongan wanita menyertai Kejohanan Bola Jaring Piala Yang Dipertua (YDP) MDKS 2018.

MDKS menerusi laman facebooknya memaklumkan kejohanan itu akan berlangsung di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Kuala Selangor, pada 24 Februari ini.

Hadiah lumayan menanti para peserta antaranya Johan bakal membawa pulang wang tunai RM2,018 diikuti Naib Johan (RM1,018) sementara tempat ketiga dan keempat masing-masing membawa pulang(RM518).

Penyertaan hanya terhad kepada 32 pasukan terawal dengan bayaran yuran dikenakan sejumlah RM150 setiap pasukan.

Kepada pasukan berminat boleh mentertainya dengan menghubungi Norziana di talian 0193636746, Faeezi (0122761152) atau Aslam (0176419987)

Orang ramai masih boleh mendaftar sehingga tarikh tutup penyertaan, pada 20 Februari.

Categories
SELANGOR

Insiden tong ikan: Hanya salah faham

OLEH SYAZWANI SUFIAN

KUALA SELANGOR, 16 JAN: Insiden diantara penguatkuasa Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) dengan peniaga ikan di Pasar Basah Pasir Penambang, pada 13 Januari lalu berpunca daripada salah faham.

Pengarah Jabatan Perancangan Pembangunan MDKS, Mohamad Yusli Askandar berkata, kejadian berlaku apabila anggota terlibat melakukan rondaan berjadual ke pasar itu membantu mengalihkan tong ikan yang diletakan dilaluan awam sebelum ia terjatuh dan menyebabkan berlaku salah faham.

“Hasil semakan mendapati peniaga terbabit sudah dikenakan dua amaran atas kesalahan sama.

“Walaubagaimana pun, MDKS kesal dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab menularkan video insiden itu,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, MDKS telah bertemu dengan peniaga terbabit dan beliau turut akur serta mengakui kesalahan yang dilakukan.

“Peniaga terbabit akur dengan kesalahan dan memberi jaminan untuk mematuhi arahan dari semasa ke semasa.

“Kita sentiasa mengadakan operasi pemantauan di Pasar Basah Pasir Penambang kerana kawasan itu menjadi tumpuan awam dan pelancong,” katanya.

Mengulas lanjut, Yusli berkata, pihaknya juga mengambil tindakan kepada tiga orang penguatkuasa terlibat dalam kejadian insiden tersebut.

“Mereka tidak dibenarkan bertugas di lapangan dan siasatan secara dalaman akan dilakukan dalam masa terdekat bagi mengelak sebarang perselisihan berulang,” katanya.

Masyarakat turut dinasihatkan untuk menyalurkan aduan secara atas talian berkaitan perkhidmatan MDKS di talian Sistem Talian Aduan Rakyat Selangor (STAR) atau di [email protected] jika berkaitan salah laku rasuah atau disiplin melibatkan kakitangannya.

Categories
SELANGOR

Kuala Selangor membangun, kekal indah dan sejarah

OLEH LIZAWATI MADFA

KUALA SELANGOR, 28 OGOS: Kuala Selangor mempunyai potensi besar menjadi bandar tumpuan pembangunan baru di Selangor.

Yang DiPertua Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Mohd Azhar Mohamed Ali berkata, daerah itu menawarkan pelbagai prospek kemajuan yang boleh dikembangkan dan membawa keuntungan kepada pihak berkepentingan.

“Namun biarlah ia seiring dengan persekitarannya yang indah, tarikan sejarah serta produk pelancongannya.

kuala selangor“Aspek tarikan ini mesti dijaga sekalipun Kuala Selangor melalui proses transformasi ke arah bandar maju sepertimana Petaling Jaya dan Shah Alam.

“Kita tidak mahu Kuala Selangor menjadi bandar batu,” katanya kepada Selangor Kini, baru-baru ini.

Mohd Azhar berkata, pembangunan bandar baru di Selangor juga seharusnya menekankan aspek ‘smart development’ dan tidak mengabaikan kepentingan alam sekitar.

“Kita mahu ia maju sebagai bandar tumpuan dengan pembangunan ekonomi rancak dan diisi dengan masyarakat bertamadun dan persekitaran lestari,” katanya.

Mula berkhidmat di MDKS pada 1 Februari 2017, Mohd Azhar sudahpun menamatkan perkhidmatannya sebagai YDP pada 25 Ogos lalu.

Ia bagi memberi laluan kepadanya melanjutkan pengajian di peringkat ijazah kedoktoran dalam bidang alam sekitar, bermula 4 September ini.

Sebelum ini, beliau bergelar YDP di Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) selama lima tahun.

Categories
SELANGOR

Promosi Kuala Selangor sampai ke negara matahari terbit

OLEH LIZAWATI MADFA

KUALA SELANGOR, 28 OGOS: Produk pelancongan Kuala Selangor bakal dipromosikan di Jepun menerusi ‘JATA Tourism Expo Japan 2017’ yang dijadual berlangsung pada 21 hingga 24 September ini.

Yang DiPertua Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Mohd Azhar Mohamed Ali berkata, pihaknya dengan Tourism Selangor antara lain akan mempromosikan destinasi menarik di daerah itu termasuk tempat bersejarah dan destinasi unik.

Azhar MDKSKatanya, ia termasuk Bukit Melawati, Kelip-kelip Kampung Kuantan dan tarikan terbaru, Permatang Angsa yang tular dengan fenomena ‘Salar De Uyuni’ (pantulan imej seakan cermin).

“Kita selalu terlibat mempromosi bersama Tourism Selangor dan inilah terbesar ke Jepun yang menghimpunkan pemain industri pelancongan seluruh dunia.

“Kita juga ada kerjasama dengan persatuan homestay di sana, mereka akan datang ke sini pada hujung bulan ini, dan kita akan melakukan lawatan balas pada bulan hadapan ketika expo berkenaan,” katanya kepada Selangor Kini.

Mohd Azhar berkata, Kuala Selangor menerima lebih sejuta pelancong dalam setahun dan merupakan antara penyumbang utama pelancongan Selangor.

“Secara puratanya Selangor menerima kira-kira lima ke enam juta pelancong setahun, dan Kuala Selangor sahaja tarik lebih 1 juta.

“Dengan sokongan Tourism Selangor, Kerajaan Negeri dan pihak berkepentingan lain, Kuala Selangor diyakini akan terus maju sebagai destinasi pilihan pelancong di negeri Darul Ehsan ini,” katanya.

Categories
SELANGOR

MDKS beri duit raya kepada anak yatim kakitangan

OLEH LIZAWATI MADFA

KUALA SELANGOR, 19 JUN: Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) meneruskan tradisi menyampaikan sumbangan duit raya kepada 13 anak yatim dalam kalangan anak kakitangannya, baru-baru ini.

Yang DiPertua MDKS, Mohd Azhar Mohamed Ali berkata, sumbangan itu diharap dapat membantu mereka membuat persiapan menjelang Syawal pada hujung minggu ini.

“Majlis ini adalah landasan MDKS berkongsi sedikit sinar kepada anak yatim berkenaan dan memberi senyuman keceriaan buat mereka di Hari Raya Aidilfitri.

DSC_0609“Ia juga tanda keprihatinan MDKS terhadap anak kakitangan kurang bernasib baik serta mengeratkan hubungan antara majikan dan pekerja,” katanya pada Majlis Penyampaian Sumbangan di Kuarters MDKS, di sini, baru-baru ini.

Selain menyampaikan sumbangan, MDKS turut mengadakan Majlis Berbuka Puasa bersama kakitangan, Majlis Khatam al-quran serta ceramah agama.

Terdahulu, Mohd Azhar turut berkesempatan mengetuai Program Ziarah Ramadan bagi melawat kakitangan yang sedang menghadapi masalah kesihatan.DSC_0596 DSC_0546 DSC_0499

Categories
SELANGOR

Operasi tanpa lesen, enam premis pusat siber disita

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 17 MAC: Enam premis pusat siber beroperasi tanpa lesen di sekitar Jeram dan Tanjung Karang dikenakan tindakan sitaan.

Yang Di Pertua Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Mohd Azhar Mohamed Ali berkata, tindakan penguatkuasaan diambil sejurus menerima aduan awam serta risikan awal terhadap premis terbabit sebelum operasi dijalankan.

Katanya, sebanyak 111 unit komputer disita di bawah peruntukan Undang-Undang Kecil Pusat Siber dan Kafe Siber MDKS 2007.

DSC_5146“Operasi dijalankan selama dua hari dan hasil pemeriksaan mendapati ke semua pemilik premis gagal mengemukakan lesen perniagaan.

“Hasil serbuan turut mendapati sebuah premis menawarkan hadiah berunsur perjudian dibayar melalui bonus sehingga RM100,000,” katanya.

Mohd Azhar berkata, MDKS sedang mengumpul maklumat bagi mendakwa pemilik premis yang membenarkan penyewa menyalahgunakan premis mereka.

Katanya, tindakan penguatkuasaan tetap diteruskan dari semasa ke semasa bagi membendung penyalahgunaan premis perniagaan.

“Kepada pengusaha pusat siber haram yang masih berdegil meneruskan operasi, hentikan segera atau berdepan tindakan daripada MDKS.

“MDKS juga akan membatalkan lesen premis perniagaan pusat siber kepada pengusaha yang berlesen jika didapati melanggar syarat termaktub di dalam peraturan lesen atau mendapat aduan pelanggaran syarat polis,” katanya.

Orang ramai yang ingin menyalurkan aduan mengenai pusat siber mencurigakan boleh berbuat demikian menerusi aplikasi SPARKS.

-nR-