Categories
SELANGOR

MDKS tutup kilang ais kotor

OLEH LIZAWATI MADFA

KUALA SELANGOR, 17 MAC: Sebuah kilang ais diarah menghentikan operasi serta merta kerana beroperasi di dalam keadaan kotor dan tanpa lesen.

Yang Di Pertua Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Mohd Azhar Mohamed Ali berkata, tindakan dilakukan berikutan penarikan semula lesen dikeluarkan kepada kilang terbabit pada Januari lalu.

Katanya, penarikan lesen dibuat susulan kegagalan mematuhi Peraturan 394A(Standard bagi Ais Yang Selamat Digunakan) Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dari segi infrastruktur.

“Pengusaha kilang juga didapati gagal mematuhi Program Jaminan Keselamatan Makanan (PJKM) yang boleh memberi risiko kemudaratan kepada pengguna.

“Selain itu, pengusaha kilang turut mengingkari arahan dan meneruskan aktiviti tanpa kebenaran/lesen dibawah peruntukan UUK Pelesenan Tred, Perniagaan Dan Perindustrian (MDKS) 2007,” katanya.

DSC_4790Mohd Azhar berkata, tindakan kompaun juga dikeluarkan selepas hasil siasatan MDKS mendapati pemilik premis menggajikan pekerja tanpa suntikan vaksin Tifoid dibawah peruntukan Undang-Undang Kecil Pengendali Makanan (MDKS) 2007.

Katanya, kompaun juga dikeluarkan akibat kegagalan kilang menjaga persekitaran dalam keadaan bersih dibawah peruntukan Undang-Undang Kecil Pelesenan Establisymen Makanan (MDKS) 2007.

“Peniaga dinasihatkan untuk menyelidik terlebih dahulu latar belakang syarikat yang membekalkan ais kepada mereka.

“Jika terdapat keraguan, peniaga disaran segera melaporkan kepada MDKS melalui aplikasi SPARKs,” katanya.

Operasi dijalankan dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Selangor, Air Selangor dan Tenaga Nasional Berhad.

-nR-

Categories
SELANGOR

MDKS roboh iklan haram tanpa permit

OLEH SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 10 OGOS: Sekurang-kurangnya lima papan iklan haram diroboh Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) selepas notis amaran tidak diendahkan agensi papan iklan berkaitan.

Setiausaha MDKS, Azahari Sairin, berkata tindakan tegas itu diambil berikutan lambakan papan tanda dipasang tanpa kebenaran dan permit pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Tindakan diambil sebagai langkah pencegahan kerana papan tanda tersebut tidak kukuh dan menepati syarat ditetapkan MDKS serta membahayakan orang awam.

“MDKS telah mengeluarkan notis kepada syarikat bertangungjawab, namun hanya tiga pemilik sahaja memberi maklum balas merobohkan sendiri papan iklan visual mereka,” katanya dalam kenyataan.

Azahari berkata, tindakan penguatkuasaan dan perobohan akan dilaksanakan dari masa ke masa bagi membanteras pemasangan papan iklan haram yang semakin berleluasa di daerah ini.

“Papan iklan ini dipasang di kawasan tanah rizab milik MDKS dan di bawah kesalahan Undang-Undang Kecil Iklan (7) Undang-Undang Kecil Iklan MDKS 2007.

“Operasi dilaksanakan secara bersepadu bersama Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor serta kontraktor dilantik,” katanya.

Katanya, MDKS turut menitikberatkan mengenai gambar papan iklan dan mana-mana pengusaha perlu memastikan ia dalam keadaan sopan dan tidak menjolok mata.

-nR-

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MDKS sedia premis baru, prihatin status OKU

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 27 JULAI: Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) sedia menawarkan premis perniagaan baru kepada peniaga tempatan, R Jayesury yang diarahkan berpindah bagi memberi laluan kepada projek pelebaran jalan di atas tapak perniagaannya.

Yang Dipertuanya, Noraini Roslan, berkata keputusan itu dibuat selaras keprihatinan MDKS berhubung status Orang Kelainan Upaya (OKU) yang dimiliki suami beliau.

“MDKS pernah memberikan permit bangunan sementara berukuran 10×10 kaki dan lesen perniagaan kepada R Jayesury untuk menjalankan perniagaan, pada tahun 2010 sahaja.

MDKS Noraini“Apabila kawasan itu diperlukan bagi kepentingan awam, maka pendudukan tanah kerajaan itu perlu dihentikan,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, R Jayesury hadir menyerahkan memorandum kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri bagi membantah keputusan perpindahan itu.

R Jayesury memulakan perniagaannya di atas tapak bangunan laluan persekutuan B 54, Jalan Kuala Selangor sejak 2010 menerusi permit lesen yang dikeluarkan MDKS.

Bagaimanapun, kata Noraini, permit itu dibatalkan selepas Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Selangor menghantar notis perpindahan.

“Pembatalan permit bangunan sementara tertakluk di dalam syarat permohonan iaitu MDKS berhak menarik balik permit peniaga.

“Malah, MDKS juga berhak untuk membatalkan kelulusan permit bangunan sementara pada bila-bila masa tanpa sebarang pembayaran ganti rugi,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

PNSB selamatkan projek terbengkalai, pembeli dapat CF

OLYMPUS DIGITAL CAMERAKUALA SELANGOR 11 OKT: Pembeli projek perumahan Taman Alam Perdana, Kuala Selangor yang terbengkalai sejak 2004 dan dipulihkan kini memperoleh Sijil layak Menduduki (CF).

Projek yang diselamatkan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) itu melibatkan 1,116 unit rumah.

Justeru, PNSB memohon pembeli rumah Taman Alam Perdana untuk berhubung terus dengan PNSB bagi urusan selanjutnya di pejabat PNSB di Tingkat 25, Wisma MBSA, Shah Alam.

Pembeli juga boleh menghubungi PNSB melalui talian 03-5510 7105/ 7233/ 7234.

Pada November 2011, PNSB selaku anak syarikat Kerajaan Selangor melalui Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) dipertanggungjawab untuk memulihkan projek perumahan itu.

Projek berkenaan terbengkalai sejak 2004 dan gagal dipulihkan ketika Selangor masih ditadbir Umno BN.

Kerja pemulihan disiapkan pada April 2012 dan Sijil Layak Menduduki Sementara (TCF) dikeluarkan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) pada 28 April 2012.

Ia hasil inisiatif kerajaan Selangor untuk menjaga kepentingan dan kebajikan rakyat.

Categories
SELANGOR

PBT Bakal Siarkan Mesyuarat Bulanan Secara Langsung

teng lawat MBSA 14 jun 01

SHAH ALAM, 14 JUN : Sebagai usaha mendemokrasikan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Kerajaan Negeri memutuskan supaya setiap PBT menyiarkan mesyuarat bulanan mereka secara langsung di laman web masing-masing.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Datuk Teng Chang Khim berkata, tindakan ini adalah selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri yang mementingkan ketelusan dan akauntabiliti dalam pentadbiran negeri.

Menurutnya, langkah ini akan dilaksanakan oleh lapan buah PBT, antaranya Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

Juga terlibat Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Majlis Perbandaran Sepang (MPSp).

“Tindakan ini diambil memandangkan kita banyak menerima aduan daripada orang ramai yang mengatakan pihak PBT tidak melaksanakan tugas, mereka tidak tahu apa yang pihak Majlis buat.

“Jadi dengan terlaksananya projek ini, pihak Majlis akan menjadi lebih terbuka dan telus dan ia merupakan cara terbaik untuk orang ramai faham tentang pentadbiran PBT,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan sesi pertemuan bersama MBSA, di di sini hari ini.

Beliau berkata, minit mesyuarat PBT juga akan dipaparkan di laman web, sejajar dengan semangat Kerajaan Negeri yang telah meluluskan enakmen kebebasan maklumat dua tahun lalu.

Tambahnya, pihak Majlis diberi masa selama tiga bulan untuk membuat persiapan lengkap bagi memastikan projek ini berjalan lancar apabila sampai waktunya.

“Selangor akan menjadi negeri pertama yang melaksanakan projek ini apabila ia dilancarkan kelak. Kita harap prosesnya akan berjalan lancar.

Empat PBT lagi Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB), Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) dan Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), tidak dapat melaksanakan usaha itu pada waktu ini kerana kekurangan wang.

Projek ini adalah antara yang terkandung dalam Pelan Tindakan Lima Tahun Jawatankuasa Tetap PBT Negeri Selangor (Rangka Pertama) yang telah diperakukan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada Rabu lalu.

Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri Komited Selesaikan Status Hak Milik Tanah Di Tiga Kampung Di Ijok

MB ponggal kg keretapi ijok 01

KUALA SELANGOR 3 FEB: Masalah tanah di dua kawasan di Ijok, Kampung Sungai Darah dan Kampung Pecah Batu, yang antaranya berlarutan lebih 30 tahun, bakal diselesaikan oleh Kerajaan Negeri dalam masa tiga minggu.

Manakala masalah tanah di Kampung Keretapi akan diselesaikan setelah Kerajaan Negeri ambil tindakan terhadap Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Bagi Kampung Sungai Darah, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) serta Pejabat Daerah Kuala Selangor akan dipanggil untuk berbincang mengenai status hak milik tanah penduduk kampung.

MB ponggal sg darah ijok 01Katanya, masalah tersebut akan dapat diselesaikan dalam jangka masa dua minggu memandangkan semua nama pemohon sudah dikenalpasti.

“Saya akan duduk bersama Yang Dipertua MDKS pada minggu hadapan dan selepas itu kita akan berjumpa masyarakat selepas itu untuk memberikan hak milik kepada mereka.

“Pemilik tanah akan menerima nama yang baru dan juga tanah tersebut mesti mempunyai rezab jalan dan rezab parit supaya tidak berlaku masalah di masa akan datang,” katanya.

Abdul Khalid berkata demikian ketika menghadiri pesta Ponggal yang disambut masyarakat India di beberapa kawasan di sekitar Ijok petang tadi.

Turut hadir, Yang Dipertua MDKS, Noraini Roslan, Setiausaha MDKS, Azahari Saidin serta Pegawai Daerah Kuala Selangor, Yazid Bidin.

Bagi kes Kampung Pecah Batu pula, penduduk juga akan menikmati status hak milik tanah dalam tempoh dua hingga ke tiga minggu lagi.

Azahari berkata, sebelum ini tanah yang diduduki penduduk di kawasan itu adalah tanah rezab Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Menteri Besar berhak membatalkannya dan menjadikan tanah tersebut menjadi tanah kerajaan.

“Selepas jadi tanah kerajaan, barulah boleh proses untuk memberikan hak milik kepada penduduk di kawasan ini dan semua pelan sudah disediakan termasuk senarai nama penduduk.

“Kita akan pamerkan nama pemohon yang memohon lot tanah tersebut supaya semua yang memohon dapat mengenalpasti status hak milik tanah mereka,” kata Azahari ketika berucap di majlis tersebut.

Manakala bagi kes di Kampung Keretapi pula, status hak milik tanah di kawasan itu dibawah KTMB dan Kerajaan Negeri akan berbincang dengan penasihat Undang-Undang negeri.

Ini bagi mengambil tindakan mahkamah jika KTMB tidak menyerahkan hak milik tanah tersebut kepada Kerajaan Negeri.

Abdul Khalid berkata, undang-undang menyatakan bahawa jika tanah tersebut tidak digunakan untuk pembinaan landasan keretapi, Kerajaan Negeri berhak mengambil balik tanah tersebut.

“Saya menjangkakan dalam tempoh 50 tahun pun belum tentu KTMB nak buat landasan keretapi di kawasan ini, dan Kerajaan Negeri akan mengambil semula tanah ini.

“Saya ingin meminta supaya penduduk di Kampung Keretapi ini bersabar sementara kes ini akan diselesaikan supaya setiap penduduk dapat memiliki hak milik tanah sendiri,” kata Abdul Khalid yang juga merupakan Adun Ijok.

Rata-rata penduduk yang ditemui di tiga kampung terlibat menyatakan perasaan gembira kerana penantian yang ditunggu selama hampir 30 tahun akan dapat dirasai.

Bagi Razali Mohamad, 46, penduduk Kampung Pecah Batu, merasakan Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Abdul Khalid sentiasa berusaha mencari jalan bagi mengatasi masalah seperti pemberian hak milik kepada penduduk.

“Saya sudah tinggal selama hampir 30 tahun di sini dan telah lama menantikan hak milik kekal dan syukurlah impian ini bakal menjadi kenyataan,” katanya ketika ditemui.
Mb ponggal tuan mee ijok 01

Categories
SELANGOR

Lebih RM 600 Juta Sudah Dibelanja Untuk Kebajikan Rakyat Selangor

SMUE warga emas MB ijok 01

KUALA SELANGOR, 15 DIS : Kerajaan Selangor sudah membelanjakan lebih RM 600 juta untuk program kebajikan rakyat di bawah agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

Program-program ini termasuk bantuan khairat kematian dan Jom Shopping Skim Mesra Usia Emas (SMUE) dan caruman Tabung Anak Warisan Selangor (TAWAS).

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, walaupun Kerajaan Selangor memperuntukkan sejumlah besar untuk program itu namun simpanan Rizab Tunai Kerajaan Selangor turut bertambah yang kini melebihi RM 2 bilion.

“Jadi maknanya walaupun Kerajaan Selangor berbelanja banyak tetapi tetap ada simpanan sebab kita tahu ke mana wang itu dibelanjakan.

“Apa duit yang Kerajaan Selangor belanjakan rakyat boleh melihat ketelusannya.SMUE Sahar Sadri 01

“Dengan cara itu rakyat akan bersama-sama dalam pembangunan itu, sekarang rakyat boleh kata itu ‘duit kita’,” kata Abdul Khalid.

Katanya, Kerajaan Selangor mempunyai sistem rekod warga emas yang efektif berbanding kerajaan terdahulu di mana sistem ini akan memudahkan penyaluran bantuan.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Penyampaian bantuan SMUE di Pekarangan Pejabat Khidmat DUN Ijok, Ijok di sini.

Abdul Khalid bersama isteri,Puan Sri Salbiah Tunut bersama-sama menyampaikan SMUE itu kepada 47 orang penerima bagi Fasa Kedua kawasan Ijok berjumlah RM 1,000.

Turut hadir, Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Noraini Roslan dan Pegawai Daerah Kuala Selangor yang baru Mohamad Yasid Bidin.

Yasid juga sebelum ini pernah berkhidmat di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sementara itu penerima SMUE, Mohd Sahar Sadri,43, berkata, usaha Kerajaan Selangor pimpinan Pakatan Rakyat (PR) itu wajar dicontohi negeri-negeri lain.

“Memang bagus program SMUE ini dan saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada Kerajaan Selangor di bawah Pakatan Rakyat  yang mengusahakan skim ini kerana ia juga dapat meringankan sedikit bebanan kepada pihak waris,” katanya.

Categories
SELANGOR

Tiga Projek Rumah Terbengkalai Bakal Siap 2014


SHAH ALAM, 21 NOV : Projek perumahan terbengkalai di Taman Sungai Yu Indah, Kampung Sungai Yu dan Tanjong Karang bakal siap sepenuhnya pada Mac 2014.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad berkata, pihak pemaju sudah mengemukan permohonan bagi meminda komponen pembangunan 272 unit rumah teres kos rendah fasa dua itu kepada rumah teres kos sederhana rendah.

Permohonan tersebut dibuat bersama Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) kepada Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS)

Beliau berkata, pihak pemaju dalam peringkat akhir menyediakan pelan muktamad serta dokumen berkaitan untuk dikemukakan kepada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) serta Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS).

“Oleh kerana pihak pemaju tidak mendapat kelulusan lebih awal daripada PTG dan LPHS, permohonan mereka telah dipulangkan dan diminta untuk dihantar semula bagi kelulusan pertukaran.

“Pihak pemaju sedang dalam peringkat akhir menyediakan pelan yang muktamad serta dokumen berkaitan untuk dikemukakan.

?Selepas mendapat kelulusan, barulah projek ini boleh diteruskan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan lisan daripada Adun Permatang Sulaiman Abdul Razak berhubung status projek perumahan berkenaan di Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Tambahnya, pemaju yang gagal menyiapkan projek perumahan itu akan disenarai hitamkan.

Categories
SELANGOR

Peniaga Sambut Baik Cadangan Bina Bangunan Lebih Selamat


KUALA SELANGOR, 19 SEPT: Peniaga di sekitar Pantai Remis, Jeram di sini boleh menarik nafas lega setelah Majlis Daerah Kuala Selangor bercadang membina premis perniagaan yang lebih selamat bagi mereka.

Mereka juga merasakan premis yang tetap dan teratur dapat menarik lebih ramai pelancong disamping menjamin keselamatan peniaga daripada cuacu buruk di kawasan itu.

Menurut Agus Abdullah, 22, yang sudah dua tahun berniaga di kawasan itu, bangunan kekal yang lebih selamat dan selesa adalah idea yang baik bagi mengatasi kejadian angin kencang yang boleh membahayakan orang ramai.

“Cadangan itu boleh diterima demi kebaikan untuk semua yang mana daripada para peniaga berterusan berhadapan dengan masalah seperti ini, saya menerima baik cadangan itu,” ujarnya apabila ditemui TVSelangor.

Pada 17 Sept, kira-kira 30 pengusaha gerai menjual aksesori dan makanan kerugian hampir RM30,000 akibat gerai mereka dipukul ribut selama 20 minit.

Bagi Noranifin Omar,37, yang merupakan peniaga dari kawasan Jeram berkata, kejadian ribut itu menyebabkan beliau kerugian kira-kira RM6,000 akibat khemah dan barang perniagaan yang rosak.

“Jika cadangan pembinaan itu dilaksanakan kelak, maka tahap keselamatan kami sebagai peniaga dan pelawat lebih terjamin.

“Saya berharap pembinaan ini dipercepatkan untuk semua pihak peniaga di sini yang mana ada kira-kira 70 peniaga di kawasan ini,” katanya.

Iskandar Imnor, 27, pula berharap bangunan itu dapat merancakkan aktiviti perniagaan di sini serta menarik lebih banyak pelancong ke kawasan ini.

“Saya harap promosi dipertingkatkan untuk menguar-uarkan kawasan ini agar lebih ramai pengunjung yang datang di masa hadapan,” katanya.

Sebelum ini,Ahli MDKS Zon 5B, Ahmad Alang berkata,cadangan pembinaan bangunan baru itu masih diperingkat awal perbincangan mesyuarat majlis daerah dan dijangka akan diluluskan sebelum Disember depan.

 

Semua Billboard Noh Omar, PM Akan di Roboh MDKS

SHAH ALAM, 10 JULAI : Timbalan Pengerusi BN Selangor, Datuk Seri Noh Omar didakwa melakukan promosi dengan memasang billboard secara haram di beberapa kawasan di daerah Kuala Selangor yang memaparkan wajahnya bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Husin berkata, hasil semakan dilakukan didapati terdapat tujuh billboard berkaitan yang dipasang secara haram di Tanjung Karang dan Kuala Selangor yang semuanya melanggar peraturan dan tanpa kebenaran Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS).

Beliau berkata, tindakan Noh yang juga Menteri Pertanian dan Asas Tani itu jelas membelakangkan peraturan dan undang-undang yang menjadikan Tanjong Karang umpama pekan koboi dengan boleh dilakukan apa saja tanpa perlu merujuk kepada pihak berkuasa.

“Mungkin Perdana Menteri tidak tahu perkara ini kerana Noh adalah orang kepercayaannya. Dengan pendedahan ini, kita pasti Najib akan merasa malu apabila gambarnya dipaparkan pada billboarad haram.

“Jika undang-undang kecil Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pun tidak boleh dipatuhi, adakah rakyat Selangor rela menerima Noh sebagai calon Menteri Besar jika Umno-BN menang pada pilihanraya akan datang? Perdana Menteri sepatutnya berfikir 10 kali tentang perkara ini,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

Faekah berkata, Kerajaan Negeri telah lama memberi peluang kepada Noh tetapi tidak mengambil inisiatif untuk berbincang dengan MDKS atau merujuk terlebih dahulu sebelum membina billboard tersebut.

Sehubungan itu, katanya, arahan merobohkan semua billboard telah dikeluarkan kepada MDKS.

Menurutnya, tindakan Noh itu amat dikesali kerana sebelum ini beliau mencerca Pakatan Rakyat (Pakatan) kononnya hanya tahu memacakkan billboard yang dikatakan tindakan tidak tahu diuntung.

Tambahnya, Kerajaan Negeri menggunakan billboard di seluruh negeri ini untuk menyebarluaskan program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) untuk memberi manfaat kepada rakyat yang tidak mungkin mendapat maklumat ini menerusi media cetak arus perdana dan televisyen.

“Kita meminta kebenaran untuk meminjam billboard milik PBT di seluruh negeri. Kita juga membina 56 billboard baru iaitu satu Dewan Undangan Negeri (DUN) satu billboard untuk mempromosikan MES selepas mendapat cadangan dalam Dewan Negeri Selangor (DNS) dan diluluskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

“Projek ini dibuat secara tender terbuka dan pemilihan tapak dibuat atas nasihat PBT. Kita memastikan pembinaan billboard ini mematuhi semua garis panduan yang ditetapkan oleh PBT dan mengingatkan PBT supaya mengambil tindakan sekiranya kontraktor terlibat gagal mematuhi garis panduan,” katanya.