Categories
PBT SELANGOR

MPK sedia portal aduan, banteras peniaga haram warga asing

KLANG, 30 JUN: Orang awam kini boleh membuat aduan berhubung peniaga warga asing di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Klang menerusi laman web awas.mpklang.gov.my.

Yang Dipertua MPK, Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata pengadu juga boleh memuat naik gambar di lokasi sebagai bahan bukti.

“Bagi menjaga keselamatan pengadu, maklumat peribadi seperti nombor telefon akan dirahsiakan.

“Portal aduan ini diwujudkan kerana MPK komited membanteras peniaga warga asing dan berharap usaha ini dapat memberi keselesaan kepada penduduk tempatan,” katanya.

Dr Ahmad berkata bermula Januari hingga Jun, 475 premis warga asing disita kerana menjalankan perniagaan secara haram.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Premis dijaga warga asing, peniaga tempatan bakal disenarai hitam

KLANG, 30 JUN: Tindakan disenarai hitam akan dikenakan kepada peniaga tempatan yang menyerahkan premis perniagaan mereka kepada warga asing, kata yang dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK).

Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata menerusi tindakan itu pihaknya tidak akan membenarkan golongan berkaitan menjalankan perniagaan dalam tempoh dua hingga tiga tahun.

“Kita sedang meneliti tindakan berkenaan memandangkan hukuman membatalkan lesen dilakukan sebelum ini membolehkan peniaga tempatan melakukan kesalahan berulang kali kerana pemohonan lesen perniagaan boleh dibuat kembali selepas pembatalannya.

“Saya amat berharap supaya mereka bersemangat patriotik dan tidak sewenang-wenangnya menyerahkan kemudahan diberikan kepada warga asing, fikirkan demi masa depan anak bangsa,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Penuh MPK di sini hari ini.

Pada masa sama, Dr Ahmad berkata MPK akan turut meneliti pemberian lesen kepada warga tempatan yang berkahwin dengan warga asing susulan ramai daripada mereka mengambil kesempatan itu.

“Sepatutnya warga tempatan yang memiliki lesen perniagaan perlu berada di premis dan bukan sebaliknya iaitu pasangan (warga asing) yang menjaga kedai, ia adalah salah dari segi undang-undang.

“Oleh sebab itu, apabila penguat kuasa MPK mendapati warga asing yang berada di kedai maka tindakan membatalkan lesen boleh diambil,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

Kes denggi di Klang turun, rakyat manfaat perintah kawalan

KLANG, 17 JUN: Kes denggi di Klang menurun sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu, kata yang dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK).

Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata, ini kerana sepanjang tempoh tersebut, penduduk berada di rumah dan mempunyai banyak masa meninjau kawasan kediaman.

“Namun, masyarakat tidak boleh leka kerana kemungkinan wabak ini akan kembali meningkat selepas PKP kerana sudah ramai yang kembali bekerja, dan masa untuk menjaga kawasan sekitar rumah juga sudah kurang,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat MPK hari ini.

Sehingga kini, kes denggi di Klang mencatatkan 4,399 kes sementara Sentosa, Bandar Baru Klang dan Sungai Kandis menjadi lokasi tertinggi wabak.

Dr Ahmad Fadzli pihaknya turut mengenalpasti kediaman berstrata dan kawasan industri menjadi lokasi paling banyak berlaku kes denggi.

“Saya berharap supaya masyarakat sedar bahawa kes denggi ini juga satu ancaman kepada kita, terus kekalkan menjaga persekitaran rumah walaupun sibuk dengan aktiviti seharian,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

MPK lancar kod QR, pengunjung boleh nilai pematuhan SOP pasar

KLANG, 17 JUN: Majlis Perbandaran Klang (MPK) melancarkan kod QR bagi membolehkan pelanggan menilai pasar malam dan pasar pagi yang gagal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Yang dipertuanya, Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata aplikasi itu diwujudkan supaya pemantauan lebih rapi dapat dilakukan di setiap pasar yang sudah dibenarkan beroperasi mulai Isnin lalu.

Katanya, selain mengimbas kod QR SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat) oleh Kerajaan Selangor, pengunjung juga boleh mengimbas kod QR MPK di pintu masuk utama pasar sekiranya ingin membuat penilaian ke atas pasar yang dikunjungi.

“Menerusi aplikasi itu, pengunjung perlu menjawab soalan seperti pematuhan pemakaian pelitup muka, sama ada orang awam membawa kanak-kanak di bawah 13 tahun ke pasar, kebersihan pasar dan penjarakan sosial.

“Penilaian itu akan disemak dua minggu sekali, sekiranya ada pasar yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan, kita akan memberi nasihat atau teguran supaya mereka dapat menambahbaik SOP,” katanya dalam sidang media di ibu pejabatnya, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Dr Ahmad Fadzli berkata sehingga kini sebanyak 29 pasar termasuk dua pasar pagi dan 27 pasar malam sudah dibuka.

Pada 11 Jun lalu, Kerajaan Selangor membenarkan operasi pasar pagi, pasar terbuka, pasar malam dan bazaria secara berperingkat mulai 15 Jun.

Categories
PBT SELANGOR

Salon gunting rambut di Klang ingkar PKPB Diubahsuai disita

SHAH ALAM, 1 JUN: Sebuah salon kecantikan di Taman Sri Andalas, Klang diserbu semalam selepas dikesan menjalankan perniagaan gunting rambut walaupun tidak dibenarkan.

Majlis Perbandaran Klang (MPK) berkata premis berkenaan kemudian disita dan pemilik diarahkan patuh Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“MPK menerima aduan premis ini sudah beroperasi sejak seminggu lalu. Berikutan siasatan dan serbuan dilakukan.

“Ketika serbuan semalam, premis sedang beroperasi namun tiada pelanggan. Tindakan dibuat mengikut Undang-undang Kecil Pelesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian MPK 2007,” katanya dalam hantaran di Facebook.

MPK turut mengambil tindakan terhadap beberapa premis milik peniaga asing yang melakukan pelbagai kesalahan.

Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu hingga Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat Diubahsuai (PKPBD), kerajaan tidak membenarkan premis gunting rambut beroperasi bagi mengelak penularan Covid-19.

Categories
PBT SELANGOR

Kutipan hasil MPK capai RM123.8 juta setakat April

SHAH ALAM, 19 MEI: Majlis Perbandaran Klang (MPK) berjaya mengutip hasil berjumlah RM123.8 juta setakat 30 April tahun ini, kata Yang Dipertuanya.

Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata jumlah perbelanjaan bagi tempoh sama pula adalah RM127.7 sekali gus mencatatkan kerugian dalam kutipan hasil sebanyak RM3.9 juta.

“Bajet tahunan hasil adalah RM246.7 juta manakala bajet tahunan perbelanjaan pula ialah RM279.1 juta. Ini menunjukkan prestasi kutipan hasil sebanyak 50 peratus dan perbelanjaan adalah 46 peratus,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Penuh MPK Bil.3/2020 di Dewan Raja Mahadi, Klang hari ini.

Beliau berkata jumlah hasil berbanding belanja pada 30 April 2020 menurun sebanyak RM7.9 juta secara keseluruhan berdasarkan tempoh sama pada tahun 2019.

Sehingga kini MPK menerima kutipan cukai taksiran berjumlah RM84.15 juta, menurun sebanyak RM2.96 juta berbanding kutipan bagi tempoh sama tahun lalu yang berjumlah RM87.11 juta.

Categories
PBT SELANGOR

Petugas MPK buat saringan Covid-19 percuma, inisiatif Poliklinik Botanik

SHAH ALAM, 5 MEI: Kira-kira 300 petugas barisan hadapan Majlis Perbandaran Klang (MPK) mendapat perkhidmatan saringan kesihatan dan Covid-19 percuma yang disediakan oleh Poliklinik Botanik.

Poliklinik terletak di Bandar Botanik, Klang itu menyediakan saringan percuma tersebut bermula pada 16 April lalu.

Menerusi kenyataan di Facebooknya, MPK merakamkan penghargaan kepada poliklinik terbabit atas inisiatif tersebut.

Sementara itu, Pengarah Poliklinik Botanik, Dr Pratap Naidu berkata inisiatif itu dilaksanakan bagi menghargai petugas barisan hadapan yang berusaha menangani penularan Covid-19.

“Sedikit isyarat #Lightitblue (cahaya biru) dari Poliklinik Botanik untuk petugas barisan hadapan yang bekerja tanpa henti untuk mengatasi Covid-19. Anda membuatkan kami bangga menjadi rakyat Malaysia!,” katanya.

Poliklinik Botanik turut memasang cahaya biru pada bahagian hadapan premisnya, sebagai tanda menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan negara memerangi Covid-19.

Categories
PBT SELANGOR

Kerja kutip sampah terganggu, MPK tunda kereta halang lalu lintas

KLANG, 11 APRIL: Majlis Perbandaran Klang (MPK) menunda sebuah kenderaan gara-gara menghalang lalu lintas di Kawasan Perniagaan Jalan Kasawari 8, Taman Eng Ann di sini semalam.

MPK dalam kenyataan memaklumkan kenderaan tersebut ditunda semasa rondaan pemantauan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan penguatkuasaan pelesenan premis perniagaan sekitar daerah berkenaan.

“Kita mendapati ada sebuah lori milik KDEB Waste Management (KDEBWM) yang tidak dapat membuat kerja pembersihan di lorong belakang premis perniagaan kerana terdapat sebuah kereta menghalang jalan masuk lori itu.

“Tindakan menunda kenderan ini mengikut kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Taman MPK 2007,” menurut kenyataan di Facebook hari ini.

Rondaan bermula kira-kira jam 10.45 pagi diketuai Timbalan Yang Dipertua MPK Elya Marini Darmin bagi memastikan setiap premis di daerah itu mematuhi syarat ditetapkan selain membantu membasmi wabak Covid-19 di lokasi tersebut.

MPK turut memberi peringatan kepada warga Klang supaya tidak mementingkan diri sendiri dengan meletakkan kenderaan sesuka hati sehingga menghalang pekerja pembersihan melakukan tugas.

Categories
PBT SELANGOR

Lima bulan beroperasi secara haram, premis jual aksesori rokok elektronik disita

KLANG, 11 APRIL: Sebuah premis menjual peralatan dan aksesori rokok elektronik di Pusat Perniagaan Rantau Panjang di sini disita Majlis Perbandaran Klang (MPK) selepas dikesan beroperasi tanpa lesen sejak hampir lima bulan lalu.

MPK dalam kenyataan memaklumkan tindakan diambil semasa rondaan pemantauan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan penguatkuasaan pelesenan premis perniagaan di sekitar daerah terbabit semalam.

“Pemantauan dijalankan bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara yang diketuai Asisten Superintendan Zumairi Othman selepas menerima aduan orang ramai berhubung kegiatan di premis ini.

“Sebaik tiba di lokasi kita membuat pemeriksaan lanjut dan mendapati premis ini beroperasi tanpa lesen malah terdapat aktiviti jual beli berlaku ketika itu,” katanya di Facebook hari ini.

Kenyataan sama memberitahu premis berkenaan dikenakan tindakan atas kesalahan Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian kerana tidak mendapat lesen sah daripada pihak berkuasa tempatan itu.

Justeru, MPK mengingatkan semua pemilik premis mematuhi undang-undang dan arahan dikeluarkan kerajaan terutama sepanjang tempoh PKP.

“Pemilik premis jangan hanya mengejar untung sehingga membelakangkan undang-undang dan pihak yang membuat penguatkuasaan,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

Lebih 30 premis jalani proses nyahkuman di Klang

SHAH ALAM, 30 MAC: Majlis Perbandaran Klang (MPK) menjalankan proses nyahkuman di lebih 30 premis tumpuan awam bagi mencegah penularan wabak Covid-19, kata pengarah kesihatannya.

Azmi Muji berkata kawasan terbabit adalah Ibu Pejabat MPK, Pejabat Tanah & Daerah Klang, Plaza MPK, Hentian Bas Klang Utara, Pejabat POS Klang Utara, Pasar Besar Meru, Pasar Pelabuhan Klang, Pasar Besar Kapar, Stesen Komuter Klang dan Kompleks Sukan Pandamaran.

“Proses itu dilaksanakan 15 petugas bahagian kesihatan sejak 23 Mac lalu yang dibekalkan pam penyembur selain peralatan perlindungan diri (PPE) sebagai langkah keselamatan.

“Kami menggunakan campuran larutan air dan cecair peluntur. Kita akan meneruskan operasi ini sehingga keadaan kembali selamat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Klang mencatatkan 62 kes positif Covid-19 adalah antara 15 daerah di seluruh negara diklasifikasikan sebagai zon merah kerana merekodkan lebih 40 kes.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MPK hukum ‘peniaga terkotor’ ditentu pengguna

KLANG, 30 JAN: Majlis Perbandaran Klang (MPK) akan menyerahkan sijil ‘peniaga terkotor’ kepada peniaga pasar pagi dan malam tidak mematuhi tahap kebersihan, kata timbalan yang dipertuanya.

Elya Marini Darmin berkata pihaknya juga akan memaparkan gambar premis perniagaan terbabit di media sosialnya bagi menimbulkan kesedaran dan ini kerana pemilihan itu diputuskan penduduk menerusi pertandingan dijalankan.

“Ia (pertandingan) terbuka kepada semua. Mereka boleh mengambil gambar premis dan memuat naik di media sosial sendiri beserta lokasi dengan tandapagar (#peniagapasarkotor).

“Setiap bulan 10 penyertaan akan dipilih untuk menerima hadiah saguhati bermilai RM100,” katanya selepas Majlis Penyerahan Papan Tanda Kebersihan di sini hari ini.

Beliau berkata, untuk permulaan 10 tapak pasar dipilih antaranya pasar malam Jalan Sri Sarawak, Simpang Empat Sungai Udang, Pandamaran Jaya, Jalan Paip Meru dan Raja Mokhtar Kapar serta pasar pagi di Lorong Sungai Puloh 13, Jalan Papan dan Taman Chi Liung daripada keseluruhan 72 pasar dengan anggaran 1,200 peniaga.

Dalam perkembangan sama, Elya berkata denda sehingga RM2,000 juga dikenakan kepada peniaga pasar serta pengunjung yang membuang sampah di merata-rata kawasan ini berkuatkuasa serta merta.

Categories
PBT SELANGOR

Pencemaran bau, kilang plastik henti operasi

KLANG, 16 JAN: Majlis Perbandaran Klang (MPK) mengenal pasti pencemaran bau di sekitar Taman Perepat Timur, Kapar di sini berpunca daripada sebuah kilang memproses plastik, kata timbalan yang dipertuanya.

Elya Marini Darmin berkata hasil pemeriksaan dijalankan di premis berkaitan mendapati penapis scrubber dari mesin memproses plastik rosak dan kilang terbabit dihentikan operasi serta merta.

“Kita menerima aduan dari penduduk berkaitan bau yang kurang enak. Oleh itu, MPK bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) membuat pemeriksaan dan mengenal pasti perkara itu.

“JAS menyarankan pengusaha kilang supaya membuat penyelenggaraan setiap 17 hari bagi memastikan insiden kerosakan tidak berulang,” katanya ketika ditemui di kilang berkenaan di sini semalam.

Elya berkata MPK akan menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa dan tidak sama sekali bertolak ansur dengan mana-mana pengusaha yang melakukan kesalahan.

Beliau berkata, terdapat lebih 500 kilang haram di Telok Gong dan setakat ini MPK menutup 70 kilang sama di bawah pentadbirannya sejak November tahun lalu hingga 15 Januari lepas selain bancian berterusan dilakukan berhubung perkara itu.