Categories
PBT SELANGOR

300 kanak-kanak ceria terima ‘angpau’ Krismas

KLANG, 20 DIS: Seramai 300 kanak-kanak dan lima pertubuhan menerima sumbangan sempena sambutan Hari Krismas yang bakal diraikan pada Rabu depan.

Timbalan Yang DiPertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Elya Marini Darmin berkata, sumbangan disalurkan kepada penganut Kristian itu bagi membantu golongan kurang kemampuan.

“MPK memperuntukkan RM2,500 kepada pertubuhan kebajikan manakala ‘angpau’ berkenaan pula bertujuan untuk mengembirakan hati kanak-kanak berkenaan.

“Dengan sumbangan disalurkan diharapkan dapat membantu meringankan beban golongan berkaitan bagi meraikan sambutan Hari Natal pada 25 Disember ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Mesra Krismas bersama warga MPK 2019 di Mini Auditorium Sultan Abdul Samad di sini, hari ini.

Kanak-kanak turut memeriahkan pada Majlis mesra Krismas bersama warga MPK di Mini Auditorium Sultan Abdul Samad, Klang pada 20 Disember 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Sumbangan berkenaan disampaikan Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor, Dr Daroyah Alwi.

Lima pertubuhan itu ialah Pertubuhan Kebajikan Wanita dan Keluarga Abundant ARK, Waja Home, Rumah Anak Yatim Berkat Kasih, Suria Pagi dan Rakan Lutheran.

Mengulas penganjuran perayaan Krismas bersama warganya itu, Elya berkata, ia merupakan program julung kali diadakan.

“Saya berharap menerusi program ini, ia dapat memberi suntikan semangat untuk meneruskan tahun depan yang dijangka lebih mencabar,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

Dewan Konvensyen Bukit Raja bernilai RM13 juta dijangka siap 2021

OLEH ALIFF HAIKAL

KLANG, 11 NOVEMBER: Sebanyak RM13 juta hasil sumbangan pemaju sekitar Klang diperuntuk untuk pembinaan Dewan Konvensyen Bukit Raja.

Yang DiPertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, projek yang dijangka siap menjelang 2021 itu akan dibangunkan oleh Syarikat Tetuan Adatza Hutson.

“Dalam proses pemilihan, terdapat 25 firma dipilih untuk menghasilkan rekabentuk bangunan. Bagaimanapun, setelah tapisan dilakukan Syarikat Tetuan Adatza Hutson terpilih bagi menjalankan kerja pembinaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Penyerahan Tapak dan Doa Selamat bagi Kerja-kerja membina Dewan Konvensyen Bukit Raja di Bandar Bukit Raja, di sini semalam.

Hadir sama Orang Kaya Mihabihaya Daerah Klang, Dato’ Abdul Ghani Pateh dan wakil Syarikat Adatza Hutson, Dato’ Ahmad Daud Azzain.

Majlis Tandatangani Penyerahan Tapak Pembinaan Dewan Konvensyen Bukit Raja, Klang antara kontraktor Adaza Hutson Sdn Bhd dan MPK pada 11 November 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Berkeluasan 43,000 kaki persegi, Dewan Konvensyen Bukit Raja yang dibina dengan konsep ‘Konvensyen Dalam Taman’ itu menampilkan rekabentuk berteknologi hijau yang mengambil kira kecekapan penggunaan tenaga, air dah bahan mentah.

Mohamad Yasid berkata, dewan konvensyen berkenaan dilengkapi pelbagai kemudahan antara dewan bankuet berkeluasan anggaran lapan gelanggang badminton, auditorium, bilik seminar dan kafetaria.

“Kemudahan infrastruktur ini untuk kegunaan penduduk selari dengan misi MPK menjadikan Klang sebagai sebuah bandar bestari dan mampan,” katanya.

Berkeluasan 43,000 kaki persegi, Dewan Konvensyen Bukit Raja bakal dibina dengan konsep ‘Konvensyen Dalam Taman’ itu menampilkan rekabentuk berteknologi hijau. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

 

Categories
PBT SELANGOR

MPK siap sedia hadapi bencana banjir

KLANG, 31 OKT: Majlis Perbandaran Klang (MPK) melalui Pasukan Tindakan Segera (Skuad Pantas) berada dalam keadaan siap siaga menghadapi bencana banjir susulan Monsun Timur Laut yang diramalkan berlaku pada awal November hingga Mac 2020.

Yang Dipertua MPK, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, Skuad Pantas akan beroperasi 24 jam untuk bertindak sebagai pasukan bantuan awal dalam memberi bantuan kecemasan.

“Kita sudah menyediakan dewan untuk dijadikan sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS) jika banjir melanda daerah ini yang memerlukan mangsa dipindahkan.

“Selain itu, kita juga akan membuka bilik gerakan sementara, bagaimanapun buat masa ini masih belum terdapat keperluan untuk kita membuka bilik gerakan banjir berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MPK Bil.10/2019, di Dewan Mesyuarat Raja Mahadi, di sini hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Negeri Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri.

Categories
PBT SELANGOR

Rekod maklumat sampah dalam laporan CCI

PELABUHAN KLANG, 13 OKT: Majlis Perbandaran Klang (MPK) akan merekodkan maklumat sampah yang diperolehi di kawasan Pantai Tanjung Harapan, di sini, dalam laporan Indeks Pantai Bersih (CCI) sebagai langkah mengawal perairan pantai berkenaan daripada dicemari sisa buangan.

Yang Dipertuanya, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, laporan perekodan maklumat sampah berkenaan akan dihantar kepada Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) bagi tujuan penyelidikan, selain memastikan perkembangan sampah di pantai sepanjang kira-kira dua kilometer (km) itu dapat dipantau secara berterusan.

Katanya, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terbabit menetapkan sepanjang 300 meter atau 30 plot kawasan kutipan data secara rawak untuk CCI tahun ini, berbanding 150 meter atau 15 plot kawasan pada tahun sebelumnya.

“Setiap satu plot kawasan kutipan data diukur sepanjang 10 meter dan lebarnya adalah dari laluan pejalan kaki (bahagian atas) hingga ke air.

“Sampah dalam CCI akan dibahagikan mengikut kategori masing-masing misalnya beg plastik, penutup botol, botol plastik dan polisterin termasuk bahan buangan lain seperti getah, kasut, kain, serta kayu,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita ketika ditemui pada Program Pantai Lestari dan Karnival Jelajah Kepenggunaan Bebas Plastik MPK, di Esplanade Tanjung Harapan, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Yang Dipertua MPK, Elya Marini Darmin dan Ahli Majlis MPK Zon N44A, Kamaruzaman Adnan.

Mohamad Yasid berkata, pihaknya komited meneruskan program kutipan data yang dibangunkan Institut Maritim Malaysia (MIMA) itu pada masa hadapan membabitkan kerjasama pelbagai pihak sama ada agensi kerajaan, swasta mahupun badan bukan kerajaan (NGO).

Katanya, pelbagai kajian dapat dijalankan berdasarkan laporan rekod itu khususnya dalam mengenal pasti punca sampah-sampah tertentu yang terdapat di pantai berkenaan.

“Kita akan kumpul dan ukur berapa kilogram (kg) sampah bagi setiap kategori yang berjaya dikutip. Jika kita dapati nilainya berkurang sepanjang tahun, ia sudah tentu memberi petunjuk positif bahawa ada perubahan dalam aspek kebersihan.

“Malah, ia mampu meningkatkan kesedaran semua pihak, terutama komuniti setempat akan kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan perairan pantai,” katanya.

Terdahulu, program selama sehari itu mendapat kerjasama Pejabat Ahli Dewan Negeri Selat Klang, Jawatankuasa Penduduk (JKP) Ahli Majlis Zon N44A, Rotary Club Klang, M.A.Y.C Kuala Langat, Kelab Retromania dan River Rangers MPK.

Bermula seawal jam 7 pagi, program itu disertai penuntut Lincoln University, Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Sultan Suleiman dan Kolej Tingkatan Enam Sri Istana yang turut menjayakan aktiviti pembersihan di sepanjang pantai berkenaan.

Aktiviti menarik lain termasuk pameran agensi, kendera saji (food truck), pertandingan nyanyian jalanan (buskers), peragaan pakaian daripada barangan kitar semula, Santai Anak Klang Himpunan Motosikal@Tanjung Harapan dan pertandingan video pendek ‘Say No 2 Plastic’.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MPK siap siaga fenomena air pasang besar awal pagi esok

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 31 OGOS: Majlis Perbandaran Klang (MPK) sudah bersiap siaga menghadapi fenomena air pasang besar yang dijangka bermula awal pagi esok.

Yang DiPertuanya, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, pihaknya sudah mengarahkan semua jabatannya bersedia dari segi logistik dan tenaga kerja bagi menghadapi sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku sepanjang fenomena itu.

Katanya, ia termasuk pemantauan dan pembersihan saluran parit di seluruh kawasan terutama berisiko tinggi bagi memastikan kelancaran saliran air supaya tidak tersumbat.

“Skuad PANTAS akan sentiasa bersiap siaga dalam tempoh 24 jam dalam pemantauan di sekitar lokasi berisiko tinggi.

“Pemantauan ini turut dijalankan bersama agensi lain seperti Polis DiRaja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Angkatan Pertahanan Awam.

“Skuad ini juga akan bertindak selaku ‘first-responden’ dalam menyampaikan segala maklumat dan laporan berkaitan bencana yang berlaku,” katanya kepada SelangorKini.

Mohamad Yasid berkata, sebanyak 11 kawasan di daerah itu berisiko terkesan akan fenomena air pasang besar antaranya Jalan Pandamaran, Taman Selat Damai, Pulau Ketam, Telok Gong dan Kampung Perepat.

“Justeru, MPK menasihatkan agar semua warga Klang terutama mereka yang tinggal berhampiran kawasan berisiko tinggi dapat mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa keselamatan.

“Penduduk juga diminta mengambil langkah persediaan sewajarnya dalam menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya.

Pada masa sama, sebanyak 10 pusat pemindahan turut dibuka di sekitar daerah Klang seperti di Dewan Ahmad Razali, Batu 4 Kapar; Dewan Kompleks Sukan Pandamaran dan Dewan Bandar Sultan Sulaiman

Terdahulu, Kerajaan Negeri mahu semua Pihak Berkuasa Tempatan dan pihak berkuasa lain untuk menggerakkan operasi persediaan dalam menghadapi bencana.

Fenomena air pasang besar di daerah Klang diramalkan berketinggian sehingga 5.5 meter semasa air pasang di sebelah pagi, pada 1 September.

Categories
PBT SELANGOR

Retro Klang 2019 landasan terbaik promosi Klang Heritage Walk

KLANG, 3 OGOS: Program Retro Klang 2019 antara landasan terbaik mempromosikan Klang Heritage Walk, kata Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Dato’ Mohamad Yasid Bidin.

Beliau berkata, kebanyakan orang awam atau pelancong dialu-alukan mengambil pakej Klang Heritage Walk bagi menyelusuri pelbagai lagi tempat menarik dan bersejarah yang wujud di daerah ini.

“Sekiranya ada dalam kalangan pelancong luar atau tempatan ingin menerokai bandar Klang, mereka boleh mendapatkan pakej Klang Heritage Walk itu daripada kebanyakan pengusaha pelancongan di daerah ini.

“Pakej Klang Heritage Walk ini memang sentiasa ada bagi menarik lebih ramai pengunjung ke Klang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada SelangorKini ketika sidang media selepas Majlis Perasmian Retro Klang di Galeri DiRaja Sultan Abdul Aziz, di sini, hari ini.

Turut hadir, EXCO Pelancongan, Kebudayaan Dan Pelancongan, Peradaban Melayu Dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari; Pengerusi Galeri DiRaja Sultan Abdul Aziz, Tengku Dato’ Setia Putra Alhaj Ibni Tengku Azman Shah dan Ketua Pegawai Eksekutif Keretapi Tanah Melayu Berhad, Mohd Rani Hisham Samsudin.

Pada masa sama, Mohamad Yasid berkata, beliau turut menggalakkan orang awam untuk memuat naik aplikasi Loco Mole bagi mengetahui pelbagai lagi tempat menarik yang ada di sekitar Klang.

“Pelbagai tempat akan disenaraikan di aplikasi Loco Mole itu bagi memudahkan mereka yang mahu meneroka Klang tetapi pada masa sama ingin mengetahui sejarah disebalik pembagunan di sini,” katanya.

Abdul Rashid (berdiri tengah) bergambar bersama peserta Program Retro Klang di Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz, Klang. Foto HAFIZ OTHMAN/SelangorKini

Terdahulu, hampir 2,000 peserta memeriahkan acara ‘flashmob’ bertemakan Keretapi Sarong dengan masing-masing berpakaian tradisional Malaysia, pada program Retro Klang 2019 sempena sambutan Hari Kemerdekaan, tidak lama lagi.

Kumpulan ‘Flashmob’ terbabit berkumpul di Kuala Lumpur Sentral seawal 8.15 pagi sebelum memulakan perjalanan menaiki komuter ke stesen Klang.

Program itu bertujuan memperkenalkan kebudayaan di Selangor dan sebagai landasan untuk mempromosi keistimewaan yang ada di negeri ini terutama Bandar Diraja Klang.

Categories
PBT SELANGOR

Jom sertai Klang Heritage Merdeka Walk 2.0

SHAH ALAM, 28 JUL: Majlis Perbandaran Klang (MPK) mengalu-alukan orang ramai untuk menyertai larian Klang Heritage Merdeka Walk 2.0 pada 31 Ogos ini.

Pengarah Komunikasi Korporat MPK, Norfiza Mahfiz berkata, larian dengan jarak empat kilometer itu akan melalui beberapa kawasan bersejarah di daerah ini.

Katanya, antara kawasan dilalui adalah bermula dari Jambatan Kota, Balai Bomba Klang, Gedung Raja Abdullah, Stesen KTM Klang, Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz Shah, Istana Alam Shah, Gereja Our Lady of Lourdes Klang, Jalan Tengku Kelana, Kuil Sri Nagara Thendayuthapan dan Masjid India Klang.

“Program ini adalah kerjasama MPK bersama Kelab Warisan Sungai Klang bertemakan Klang Semarak Jiwa Merdeka bersempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.

“Kita menyasarkan seramai 4,000 orang dan pendaftaran masih dibuka sehingga 18 Ogos ini dengan bayaran RM30 dewasa dan RM20 bawah usia 18 tahun,” katanya menerusi kenyataan di Facebook Saluran Komunikasi MPKlang.

Peserta juga akan menerima t-shirt, medal, bendera Malaysia, ‘Love Lock’ dan ‘Heritage Passport’.

Menariknya, hadiah bernilai sehingga RM15,000 bakal dimenangi peserta dan antara barangan disediakan adalah basikal, televisyen, telefon pintar dan powerbank.

Orang ramai berminat boleh mendaftar di httpss://howei.com/event_details/klangheritagemerdekawalk2 atau hubungi Loo Sin di talian 016-3202468; Foong Leng (012-3803180) dan Hardi (016-3170979).

Categories
PBT SELANGOR

MPK kagum lukisan mural hiasi GM Klang

KLANG, 23 JUL: Majlis Perbandaran Klang (MPK) kagum melihat keindahan mural menghiasi Pusat Membeli Belah Borong GM Klang yang berkonsepkan bangunan bersejarah di daerah terbabit.

Mural yang mengambil masa lebih setahun untuk disiapkan sejak Februari tahun lalu itu adalah hasil cetusan mahasiswa Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam.

Yang Dipertua MPK, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, mural itu secara tidak langsung mampu menarik orang awam khususnya pelancong yang berkunjung ke pusat borong terbabit untuk menjelajah sendiri ke lokasi bersejarah di Klang.

“Mural dihasilkan mahasiswa UiTM ini sedikit sebanyak membantu memberikan informasi kepada pengunjung berkunjung ke GM Klang untuk melawat ke tempat menarik di daerah ini.

“Malah, mural ini juga salah satu daya penarik untuk kita menggamit pelancong melihat secara jelas gambaran dan keadaan sebenar pembangunan di Klang.

“Sebagai contoh, mural yang dihasilkan ini kesemuanya memberikan gambaran keseluruhan tempat menarik dan bersejarah di Klang antaranya Kuil Kwan Imm, Masjid India Muslim dan Kopitiam Chong Kok,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran ‘Heritage X-Plore’ GM Klang di sini, hari ini.

Pada masa sama, Mohamad Yasid berkata, insiaitif menghasilkan mural itu juga medium terbaik bagi memberi peluang kepada pengunjung untuk mengabadikan kenangan dengan bergambar sekali gus ia berupaya mempromosi Klang kepada umum.

“Pengunjung yang ke GM Klang pasti akan melalui kawasan mural ini mungkin akan bergambar dan memuat naik di media sosial, secara automatiknya orang itu sudah mempromosikan Klang,” katanya.

Katanya, beliau optimis akan ada usahasama dari mana-mana agensi atau institusi awam dan swasta dalam mengindahkan lagi kawasan di daerah terbabit.

“Terima kasih kepada UiTM dan GM Klang di atas usahasama ini, namun saya berharap lebih banyak lagi program kerjasama sebegini dilaksanakan pada masa akan datang sekali gus menjadikan Klang sebagai bandar yang masyhur seiring kemajuan budaya,” katanya.

FOTO: REMY ARIFIN (SELANGORKINI)

Categories
PBT SELANGOR

Mural bersejarah hiasi dinding GM Klang

KLANG, 23 JUL: Seramai 70 mahasiswa Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam berjaya menghasilkan mural memaparkan tempat bersejarah di daerah ini yang menghiasi dinding Blok C GM Klang di sini.

Dekannya, Prof Dr Ruslan Abdul Rahim berkata, projek yang mengambil masa lebih setahun itu bermula sejak Februari tahun lalu adalah kerjasama bersama UiTM, GM Klang dan Majlis Perbandaran Klang (MPK).

Katanya, mural sepanjang kira-kira 76.2 meter itu dihasilkan sendiri mahasiswa Jabatan Seni Reka Perindustrian dengan bimbingan lima pensyarah selaku penasihat projek berkenaan.

“Kita turut mengusulkan beberapa cadangan kepada GM Klang sebelum persetujuan dicapai untuk menghasilkan mural berkonsepkan tempat bersejarah di daerah ini dan mereka bersetuju menaja kos sebanyak RM40,000.

“Selain itu, ia juga salah satu pembelajaran luar kelas mahasiswa dengan komuniti dan sebagai persediaan awal untuk mereka memasuki pasaran kerja,” katanya ketika sidang media Majlis Pelancaran ‘Heritage X-Plore’ GM Klang di sini, hari ini.

Perasmian lukisan mural diberi nama Heritage X-Plore itu dirasmikan Yang Dipertua MPK, Dato’ Mohamad Yasid Bidin dan turut dihadiri Pengarah Urusan GM Klang, Datuk Lim Seng Kok.

Sementara itu, Lim berkata, projek terbabit sebahagian daripada projek tanggungjawab sosial korporat bersempena sambutan ulang tahun ke-10 GM Klang.

Katanya, pihaknya sudah lama berminat untuk memiliki lukisan mural di GM Klang kerana seni artistik itu sangat bernilai dan mampu menarik perhatian orang ramai untuk mengambil foto.

“Laluan di Blok C antara lokasi strategik untuk melakarkan seni mural disebabkan ia adalah laluan pengunjung terutama yang datang dari luar Klang menaiki bas sekali gus dapat melihat lukisan memaparkan tempat menarik di Klang.

“Terima kasih diucapkan dan kami berharap akan ada lagi pihak yang berminat untuk menjalin kerjasama dalam menghasilkan bakat kreatif mereka di GM Klang pada masa akan datang,” katanya.

FOTO: REMY ARIFIN (SELANGORKINI)

Categories
PBT SELANGOR

Isu air: MPK sedia bantu

KLANG, 22 JUL: Susulan gangguan air di daerah ini, Majlis Perbandaran Klang (MPK) sedia membantu membekalkan air kepada penduduk sekitar.

Yang DiPertuanya, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, pihaknya tidak mewujudkan bantuan untuk bencana itu namun bersedia membantu menghantar dua lori tangki air untuk digunakan penduduk.

“Kita juga bersedia untuk menjadikan MPK sebagai tapak gerombolan sekiranya air daripada Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memerlukan bantuan dan boleh juga menggunakan kemudahan terdapat di MPK.

“Di Dewan Pandamaran dan Dewan Andalas juga boleh dijadikan pusat edaran air dengan menyediakan lori tangki bagi menyalurkan air kepada penduduk,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Restoran Rahmat Tan (Laguna Park) di sini, hari ini.

Pada masa sama, katanya, lori tangki digunakan untuk bahagian taman menyiram pokok juga boleh ditukar untuk membekalkan air.

“Bagaimanapun, setakat ini belum ada permohonan dari mana-mana pihak namun kita sentiasa bersedia menghulurkan bantuan,” katanya.

Terdahulu, dilaporkan empat Loji Rawatan Air (LRA) terpaksa ditutup berikutan berlakunya pencemaran yang disyaki akibat perbuatan sabotaj.

Susulan kejadian itu sebanyak 1,133 kawasan membabit 1,166,842 akaun pelanggan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor sekali lagi terkesan dengan gangguan bekalan air tidak berjadual.

Categories
PBT SELANGOR

Ops besar-besaran kilang plastik haram, MPK beri amaran

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 16 JUN: Majlis Perbandaran Klang (MPK) akan melaksanakan operasi membanteras kilang plastik haram secara besar-besaran bermula minggu hadapan.

Yang DiPertuanya, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, operasi terbabit akan dilaksanakan dalam tempoh tiga bulan berturut-turut.

Beliau turut memberi amaran tegas kepada pemilik kilang yang beroperasi secara haram supaya menutup kilang sebelum operasi dilaksanakan.

“Bermula minggu hadapan, MPK bersama agensi berkaitan akan mengambil tindakan tegas terhadap kilang-kilang ini.

“Saya menasihatkan pemilik supaya menutup kilang sebelum kami membawa perkara ini ke mahkamah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program ‘Streetball 3ON3 Challenge’ 2019, di Galeri Jualan Gravit8, di sini.

Mohamad Yasid berkata, MPK merekodkan sebanyak 47 kilang plastik haram di daerah itu dan sembilan kilang sudah ditutup, manakala sebuah kilang didakwa ke mahkamah.

Katanya, satu ‘task force’ diwujudkan membabitkan pejabat tanah dan daerah, Tenaga Nasional Berhad, Air Selangor dan polis serta lain-lain jabatan berkaitan.

“MPK juga menubuhkan unit khas penguatkuasaan perlesenan kilang. Unit ini akan memeriksa dari kilang ke kilang dan mengeluarkan kompaun bagi setiap kesalahan.

“Pastinya kompaun yang dikenakan sangat tinggi, ini termasuk pekerja-pekerja haram yang membabitkan Jabatan Imigresen,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, Pulau Indah dan Telok Gong adalah kawasan tumpuan kilang plastik haram ini beroperasi.

“Ada kilang lama yang sebahagiannya berdaftar di bawah program pemutihan kilang haram.

“Ada yang diberikan kebenaran kerana tanah itu ditukar kepada industri, namun terdapat banyak masalah menyebabkan ia tidak boleh lagi beroperasi,” katanya.

Mohamad Yasid turut menasihatkan mana-mana pemilik kilang baharu perlu mengikut peraturan sedia ada, malah MPK sedia mendengar sebarang masalah atau pertanyaan.

“Mereka boleh berjumpa dengan saya dan pengarah jabatan jika terdapat kemusykilan, kami boleh memberi penerangan lebih lanjut pada setiap Jumaat,” katanya.

Categories
SELANGOR

MPK bawa ahli majlis lawat pusat kawalan CCTV

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

KLANG, 29 MEI: Ahli Majlis Majlis Perbandaran Klang (MPK) mengadakan lawatan ringkas di pusat kawalan Sistem Kamera Litar Tertutup (CCTV) MPK di Bangunan Sultan Alam Shah, hari ini.

Yang Dipertuanya, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, lawatan terbabit diadakan sebagai pendedahan kepada seluruh ahli majlis yang baharu di lantik sejak tahun lalu.

Katanya, secara keseluruhan MPK mempunyai 76 CCTV di sekitar daerah Klang, 60 unit adalah milik Kerajaan Negeri manakala 16 lagi dibekalkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Semua CCTV terbabit meliputi jalan raya terutama di kawasan persimpangan, kawasan sesak laluan dan pusat perniagaan serta pusat komersil.

“Ia juga digunakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi melihat kejadian tertentu seperti kemalangan dan ragut.

“Dahulu ketika banjir di Klang, kita pantau sekitar pantai di Pelabuhan Klang bagi melihat kawasan banjir dan air pasang besar mengunakan CCTV ini,”katanya ketika lawatan ringkas terbabit.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pusat kawalan yang sudah beroperasi dua tahun itu turut mengendalikan 54 CCTV yang dipasang di seluruh pejabat MPK.

“Pusat kawalan ini dikendalikan oleh pegawai khas memantau setiap hari dan jika ada perkara berlaku, mereka akan hubungi pihak berkuasa untuk mengambil tindakan serta merta,” katanya.

Lawatan ringkas selepas Mesyuarat Penuh MPK itu disertai lebih 20 anggota ahli majlis MPK.