Categories
PBT SELANGOR

Semarak Seni Budaya cungkil bakat baharu

OLEH ALIFF HAIKAL

SUBANG, 12 SEPT: Program Semarak Seni Budaya berjaya mencungkil bakat baharu dalam kalangan masyarakat terutama dalam bidang seni budaya, sekali gus mempromosikan produk pelancongan di kawasan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

Timbalan Pengarah Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik MPSJ, Azfarizal Abdul Rashid berkata, tujuan program itu sebagai landasan bagi menggalakkan orang awam untuk membabitkan diri dalam aktiviti kebudayaan di Malaysia.

“Program kebudayaan ini dapat mencungkil bakat baharu dalam kalangan masyarakat terutama dalam bidang seni budaya, sekali gus mempromosikan produk pelancongan di kawasan MPSJ,” katanya.

Program itu dirasmikan EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari yang turut dihadiri EXCO Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin, V Ganabatirau serta Yang DiPertua MPSJ, Noraini Roslan, di The Square One City, di sini, pada 8 September lalu.

Antara acara dipertandingkan ialah teater muzikal aspirasi kemerdekaan, pertandingan kanak-kanak, pertandingan kebudayaan warisan dan pertandingan ‘beyblade burst’.

Pelbagai aktiviti menarik dianjurkan sepanjang program seperti persembahan tarian tradisional selain aktiviti komuniti seperti ‘busking’, jualan buku, pameran dan jualan oleh Jabatan Kebudayaan, Kesenian Negeri Selangor serta Tourism Selangor.

“Hadiah pertandingan adalah wang tunai RM3,000 bagi johan pertandingan teater muzikal aspirasi kemerdekaan, RM70 bagi johan pertandingan mewarna kanak-kanak dan RM500 untuk johan pertandingan kebudayaan warisan,” katanya.

Bagi pertandingan muzik kitar semula, johan menerima wang tunai RM2,000 serta piala pusingan dan RM100 bagi pertandingan ‘beyblade burst’ serta ‘beyblade takara tomy’.

Categories
PBT SELANGOR

Mimbar Madani: 210 warga MPSJ alun bacaan al-Quran

SUBANG JAYA, 31 OGOS: Seramai 210 kakitangan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menjayakan Majlis Mimbar Madani MPSJ yang diadakan semalam di Surau Ar-Raudhah MPSJ, Subang Jaya, di sini.

Program iyang dianjurkan minggu keempat setiap bulan itu bertujuan mengimarahkan surau berkenaan dengan bacaan ayat suci al-Quran dan sesi tazkirah.

Timbalan Yang Dipertua MPSJ, Mohd Zulkurnain Che Ali berkata, ia juga diadakan sekali dengan sambutan program Malaysia #QuranHour anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas sebagai tanda menyahut seruan dengan bertemakan “Bangsa Berbudi dan Penyayang”.

“Al-Quran adalah sumber rujukan terbaik dalam memandu kehidupan dan seharusnya kita menghayati serta mengamalkan apa yang termaktub di dalam Al-Quran ke arah usaha mewujudkan bangsa berbudi dan penyayang.

“Bangsa berbudi dan penyayang adalah bangsa yang mempunyai jati diri tersendiri yang berpegang teguh kepada ajaran agama, serta mampu menghidupkan budaya serta warisan bangsanya selain memberi kebaikan kepada negara,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, bagi menyemarakkan majlis sambutan itu turut diadakan sesi tazkirah yang disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Mohd Yazid Abu Hassan bertajuk Hijrah Hati.

Antara intipati tazkirah adalah menyeru semua muslimin dan muslimat untuk sentiasa berhijrah ke arah kebaikan serta memperbaiki diri agar bangsa berbudi juga penyayang yang mampu memberikan manfaat kepada semua dapat diwujudkan.

Categories
PBT SELANGOR

MPSJ anjur PKMB, santuni golongan kurang mampu

SUBANG JAYA, 30 OGOS: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) bakal menganjurkan Majlis Penyampaian Sumbangan Program Kesejahteraan Masyarakat Bandar (PKMB) 2019, di Dewan Serbaguna MPSJ USJ7, pada 14 September ini.

Yang Dipertuanya, Noraini Roslan berkata, penganjurannya bertujuan menyantuni dan memberikan sumbangan kepada anak yatim, ibu tunggal, golongan kurang berkemampuan serta orang kelainan upaya (OKU).

“Program itu selaras dengan konsep kemasyarakatan setempat dan mengeratkan hubungan baik yang sedia ada terjalin antara MPSJ, Jawatankuasa Penduduk (JKP) serta penduduk.

“Seramai 15 penerima bakal menerima sumbangan wang tunai sejumlah RM200 setiap seorang bagi setiap 24 JKP MPSJ,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Penuh MPSJ Bil 8/2019 di Ibu Pejabat MPSJ, di sini, semalam.

Selain itu, pada program sama, Booth Eco Free Market turut dibuka di perkarangan luar dewan berkenaan bagi membolehkan mereka kurang berkemampuan menerima bantuan berbentuk pakaian atau keperluan lain.

Categories
PBT SELANGOR

Tukang urut tawar khidmat seks terbongkar, 32 diberkas

PUCHONG, 22 OGOS: Memperagakan wanita warga asing dengan pakaian menjolok mata di pentas berlatarkan cermin, adalah antara taktik digunakan premis perkhidmatan urut bagi memancing pelanggan khasnya lelaki hidung belang.

Taktik sedemikian sering menjadi tumpuan di dua premis beroperasi tanpa permit sah di Bandar Puteri Puchong di sini, yang berselindung di sebalik pusat urut dan refleksologi itu dipercayai menyediakan perkhidmatan urutan batin dan seks sebagai pemuas nafsu pelanggan.

Bertindak atas aduan awam, kegiatan maksiat itu bagaimanapun berjaya dipatahkan Jabatan Penguatkuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) yang melakukan serbuan serentak di dua premis terbabit, pada jam 5 petang semalam.

Timbalan Yang Dipertua MPSJ, Mohd Zulkurnain Che Ali berkata, seramai 32 tukang urut wanita warga asing termasuk tiga lelaki warga tempatan, yang leka melayan pelanggan berjaya diberkas dalam operasi selama hampir tiga jam itu.

Katanya, 23 daripada tukang urut berkenaan adalah dari Vietnam, Indonesia (empat), Thailand (tiga) dan Laos (dua).

Tukang urut wanita warga asing ditahan untuk dibawa ke IPD Serdang ketika Operasi Jabatan Penguat kuasa MPSJ di Bandar Puteri, Puchong pada 21 Ogos 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Kita melakukan risikan terhadap kegiatan ini memandangkan mereka (pemilik) ada modus operandi seperti memasang kamera litar tertutup (CCTV) dan lapisan pintu yang ketat dengan keselamatan sehingga menyukarkan kita untuk membuat penguatkuasaan.

“Kebanyakan tukang urut ini melakukan urutan batin kerana kita menemui kondom di bilik tertentu, malahan tilam digunakan juga bukan untuk tujuan urutan tetapi sebaliknya.

“Tingkat pertama premis digunakan untuk mempamerkan gadis-gadis, namun urutan dilakukan di tingkat atas dan mereka menggunakan pintu rahsia seperti dinding untuk melarikan diri sekiranya diserbu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas operasi berkenaan.

Mengulas lanjut, Mohd Zulkurnain berkata, operasi disertai 25 anggota dan pegawai penguatkuasa MPSJ bertindak memecahkan sekatan di setiap bilik premis terbabit bagi menghalang kegiatan seumpama itu dijalankan pengusahanya.

Katanya, pihaknya juga menyita beberapa peralatan digunakan untuk mengurut seperti bantal dan tilam selain tindakan penutupan terhadap premis berkenaan.

“Kita mengambil tindakan di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Pusat Kecantikan dan Penjagaan Kesihatan MPSJ 2013 kerana mengendalikan pusat urut tanpa lesen sah serta denda RM1,000.

“Selain itu, tindakan penguatkuasaan dikenakan di bawah Seksyen 79 Akta 133 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 iaitu kesalahan membuat sekatan dinding di dalam premis dengan denda maksimum RM500,” katanya.

Kesemua wanita warga asing berkenaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang bagi siasatan lanjut.

Categories
SELANGOR

Lebih 2,000 meriahkan sambutan Aidilfitri J3P MPSJ

OLEH SHEEDA FATHIL

SRI KEMBANGAN, 3 JUL: Seramai lebih 2,000 tetamu memeriahkan sambutan Aidilfitri Jawatankuasa Penyelaras, Penggerak dan Peniaga (J3P) Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), hari ini.

Majlis yang bermula dari jam 4 petang itu diadakan di Jalan PP 25, Tapak Pasar Malam, Taman Pinggiran Putra, Seri Kembangan, di sini.

Turut hadir memeriahkan majlis, Yang Dipertua MPSJ, Noraini Roslan.

Difahamkan, sambutan itu yang kedua diadakan selepas pertama kali J3P anjurkan pada tahun lalu di Dewan Serbaguna MPSJ Taman Puchong Indah.

Majlis sambutan itu turut mendapat kerjasama daripada Jawatankuasa Penduduk (JKP) Zon 19 MPSJ.

Pelbagai juadah disediakan antaranya seperti lemang, kambing golek, bihun sup, minuman serta kuih-muih hasil sumbangan pihak J3P dan JKP Zon 19 MPSJ.

FOTO: FIKRI YUSOF (SELANGORKINI)

Categories
PBT SELANGOR

MPSJ perkenal permohonan permit Kerja-Kerja Kecil Bangunan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 1 JUL: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) memperkenalkan permit Kerja-Kerja Kecil Bangunan bagi kerja pengubahsuaian kecil di bangunan sekitar pentadbiran pihak berkuasa tempatan terbabit, bermula hari ini.

Yang Dipertuanya, Noraini Roslan berkata, permit berkenaan merangkumi semua kategori bangunan kediaman, komersial dan industri bertujuan mengawal pengurusan sisa binaan.

“Kerja-kerja kecil terbabit adalah penukaran kemasan lantai/dinding (tiling work), pemasangan in-situ ‘grill’ pintu/ tingkap, membina ‘table top’ dan kabinet dapur, memasang atau mengganti siling lepa serta mengubahsuai aksesori sanitari.

“Ia termasuk membina kolam ikan tidak melebihi kedalaman 0.5 meter, membina pergola/kolam ikan/rumah haiwan/rumah ibadat/pondok atau rumah hijau yang tidak melebihi satu meter persegi atau apa-apa kerja ubahsuai yang tidak membabitkan perubahan struktur,” katanya dalam kenyataan.

Pemilik bangunan boleh memohon permit terbabit yang boleh dimuat turun melalui laman sesawang MPSJ tanpa menggunakan khidmat konsultan arkitek atau jurutera.

Kadar fi permit adalah RM100 manakala cagaran sisa binaan sebanyak RM250.

 

Categories
SELANGOR

SSDU: Smart Selangor Parking di MPSJ mula digunakan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 22 MEI: Penduduk di seluruh kawasan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) sudah boleh mula menggunakan aplikasi Smart Selangor Parking (SSP) bermula Rabu lalu.

Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) dalam kenyataan memaklumkan, MPSJ adalah pihak berkuasa tempatan (PBT) ke tujuh menggunakan aplikasi berkenaan.

Katanya, aplikasi SSP dibangunkan Kerajaan Negeri menerusi SSDU itu adalah sebuah sistem pembayaran parkir dan kompaun berintegrasi secara atas talian yang seragam merentasi PBT negeri.

“Aplikasi ini turut disertakan dengan fungsi tambahan yang lain seperti peringatan tempoh tamat waktu meletak kenderaan, perkongsian kredit antara pengguna dan pendaftaran sehingga enam nombor kenderaan berbeza.

“Bagi transaksi pembelian kredit, beberapa saluran atas talian disediakan untuk memudahkan pengguna seperti perbankan atas talian, kad kredit dan juga e-dompet,” katanya.

Pada masa sama, SSDU berkata, aplikasi SSP itu turut membolehkan proses pemantauan dan penguatkuasaan oleh PBT khususnya kesalahan salah laku dan pembayaran parkir.

Terdahulu, aplikasi itu adalah satu inisiatif Smart Selangor yang dibangunkan di bawah domain “Smart Transport and Mobility”.

Ia sekali gus menyasarkan objektif untuk mendidik rakyat Selangor ke arah penggunaan teknologi pintar bagi kemudahan urusan yang membabitkan penyampaian perkhidmatan kerajaan.

“Ia juga mencerminkan bahawa Kerajaan Negeri kekal komited untuk terus menyediakan kemudahan terbaik seiring dengan agenda menuju ke arah Smart State menjelang 2025,” katanya.

Sehingga kini, aplikasi Smart Selangor Parking juga boleh digunakan di kawasan Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Perbandaran Sepang dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Turut digunakan di Majlis Perbandaran Kajang, Majlis Perbandaran Selayang dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya.

Categories
SELANGOR

Jelajah Kasih Ramadan MPSJ bantu 30 asnaf

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SUBANG JAYA, 20 MEI: Seramai 30 asnaf menerima sumbangan berupa juadah sahur dan barangan keperluan asas harian bernilai RM200 pada Program Jelajah Kasih Ramadan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), semalam.

Timbalan Pengarah Jabatan Korporat Dan Pengurusan Strategiknya, Azfarizal Abdul Rashid berkata, program berkenaan dilaksanakan melalui kerjasama Syarikat Aeon Big (M) Sdn Bhd dan Masjid Al-Falah USJ 9.

Katanya, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu bertujuan membantu golongan kurang berkemampuan menyambut Ramadan, selain memberi pengajaran dan menanam nilai positif seperti rasa bersyukur kepada peserta.

“Antara barangan keperluan yang disumbangkan adalah beras, minyak dan gula kepada asnaf yang dikenalpasti di tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu masing-masing 10 penerima di Subang, Kinrara dan Sri Serdang.

“Sumbangan ini diserahkan terus kepada penerima melalui kunjungan ke rumah mereka,” katanya dalam kenyataan.

Timbalan Yang Dipertua MPSJ, Mohamad Zulkurnain Che Ali turut serta menjayakan program terbabit dengan menyerahkan sumbangan kepada penerima ketika waktu sahur.

Dalam program sama, MPSJ turut menyampaikan juadah sahur kepada anggota keselamatan di IPD Subang Jaya dan IPD Serdang bagi menghargai jasa serta pengorbanan anggota agensi keselamatan.

 

 

Categories
SELANGOR

Subang Jaya peneraju bandar mesra wanita

OLEH IZRIN MOHAMAD SAID

SUBANG JAYA, 11 MEI: Bagi menjaga keharmonian kejiranan setempat, pembangunan bandar mesra wanita bakal dibangunkan di Subang Jaya yang mengambil kira faktor keselamatan dan keselesaan penghuninya.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Noraini Roslan berkata, langkah itu memberi keselesaan kepada semua, terutama membabitkan wanita yang sering dikaitkan dengan golongan sasaran penjenayah.

Katanya, ia dilaksanakan bagi memenuhi keperluan dan kehendak kira-kira 50 peratus wanita daripada 790,000 penduduk di kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit.

“Selain penambah baikan kemudahan sedia ada, usaha ini adalah untuk memperkasakan penglibatan wanita dalam penyediaan servis mesra wanita merangkumi aspek keselamatan, kesihatan, dan perniagaan khususnya kepada golongan B40.

“Jadi, MPSJ sedang mempergiatkan usaha untuk menjadi PBT pertama di Malaysia ke arah bandar mesra wanita selaras dengan aspirasi Pelan Tindakan Agenda Perbandaran Baru dan Matlamat Pembangunan Mampan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Media Majlis Sambutan Hari Ibu peringkat MPSJ dan Pelancaran Indahnya Raya Da Men di Ruang Legar Pusat Membeli-Belah Da Men, hari ini.

Turut hadir, Ahli Majlis Zon 4 Subang Jaya, Kamarul Hisham Yeop Hashim; Penasihat Da Men Mall, Dato’ Abdul Wahab Khalil dan Pengurus Kanan Sewaan Da Men Mall, Joanne Kuan.

Noraini berkata, bandar mesra wanita itu bakal dilengkapi prasarana fizikal seperti bilik penyusuan selesa, tandas dan surau lebih luas.

“MPSJ menyedari kehendak dalam kalangan masyarakat dan sudah tiba masanya kami mengungguli keperluan komuniti dalam segmen wanita agar golongan kanak-kanak, ibu tunggal dan warga emas berasa selamat.

“Saya berharap menerusi inisiatif yang dilaksanakan ini bakal memberdayakan wanita di pentadbiran MPSJ supaya sentiasa maju dan berdaya saing juga menjana ekonomi keluarga pada masa hadapan,” katanya.

Terdahulu, lebih 200 ibu terpilih dari seluruh kawasan pentadbiran MPSJ diraikan dalam majlis yang turut mendapat kerjasama Puspanita MPSJ, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, Pusat Wanita Berdaya (PWB) Selangor dan badan bukan kerajaan (NGO) SJ Care Warrior.

Sambutan itu bertujuan menghargai peranan dan sumbangan ibu sama ada wanita berkerjaya atau suri rumah yang sentiasa menggalas tanggungjawab membesarkan anak-anak.

 

Categories
SELANGOR

Tangkap tikus: Dulu 150 sehari, kini 15 sahaja

OLEH NADIAH ZAMLUS

PUCHONG, 11 MEI: Jumlah tangkapan tikus di kawasan Bandar Puteri 1 didapati semakin berkurangan berbanding sejak tiga bulan lalu, kata Ahli Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), George Yap.

Katanya, statistik menunjukkan pada Mac lalu jumlah tangkapan tikus mencecah 150 ekor sehari, namun kini ia berkurangan kepada 15 ekor sahaja.

“Ia adalah hasil program rejuvenasi MPSJ yang berusaha membasmi pembiakan tikus dari terus menjadi kritikal dan mendatangkan wabak penyakit.

“Program itu baru sahaja dilancarkan pada April lalu dan dalam tempoh sebulan ia sudah mendatangkan hasil,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian ketika lawatan tapak aliran trafik baru di Bandar Puteri 1, hari ini.

Hadir sama EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han.

George berkata, hasil dari kejayaan projek berkenaan akan diteruskan ke lokasi Bandar Puteri 2.

“Amat penting bagi semua pihak meningkatkan usaha membasmi tikus untuk mencegah penularan penyakit,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Peniaga bazar Ramadan abai kebersihan disenarai hitam – MPSJ

OLEH SHEEDA FATHIL

PUCHONG, 11 MEI: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) optimis peniaga di bazar Ramadan menjaga kebersihan dan mengikut syarat yang sudah ditetapkan pihak berkuasa tempatan terbabit.

Pengarah Jabatan Perlesenan MPSJ, Muhammad Azli Miswan berkata, bagaimanapun mereka yang tidak menjaga kebersihan tapak niaga berpotensi disenarai hitam.

“Mereka yang tidak menjaga kebersihan atau tidak mengikut syarat berpotensi disenarai hitamkan untuk permohonan bazar pada tahun akan datang.

“Kita sarankan peniaga supaya mematuhi syarat ditetapkan MPSJ dan apabila sudah selesai berniaga kumpulkan sampah di satu tempat, pastikan tidak berterabur bagi memudahkan kontraktor kutip.

“Malah, banyak keuntungan yang mereka perolehi sekiranya mengikut syarat ditetapkan MPSJ antaranya bakal menerima Anugerah Peniaga Contoh Bazar Ramadan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Media selepas Pelancaran Kempen Bebas Penyedut Minuman Plastik di Majlis Kunjungan Mesra Bazar Ramadan Mampan MPSJ 2019 di Bazar Ramadan Bandar Kinrara, Jalan BK 5 A/1, di sini.

Turut hadir, EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam Dan Pembangunan Kampung Baru merangkap Ahli Dewan Negeri Kinrara, Ng Sze Han.

Categories
SELANGOR

MPSJ teruskan Anugerah Peniaga Contoh Bazar Ramadan

OLEH SHEEDA FATHIL

PUCHONG, 10 MEI: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) akan meneruskan Anugerah Peniaga Contoh Bazar Ramadan pada tahun ini.

Pengarah Jabatan Perlesenan MPSJ, Muhammad Azli Miswan berkata, anugerah itu bertujuan menggalakkan peniaga menjayakan konsep Bazar Ramadan Mampan MPSJ.

Katanya, seramai 15 peniaga contoh bazar Ramadan akan dipilih dan mereka terplih akan menerima pelbagai inisiatif menarik.

“Mereka akan menerima antaranya hadiah insentif MPSJ RM300, pengecualian bayaran permit Bazar Ramadan untuk tahun depan, sijil penghargaan dan hamper barangan daripada penaja.

“Menariknya, peniaga terpilih itu nanti berpeluang memilih mana-mana petak berniaga di sebarang lokasi Bazar Ramadan Mampan MPSJ 2020,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Media selepas Pelancaran Kempen Bebas Penyedut Minuman Plastik di Majlis Kunjungan Mesra Bazar Ramadan Mampan MPSJ 2019 di Bazar Ramadan Bandar Kinrara, Jalan BK 5 A/1, di sini.

Turut hadir, EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam Dan Pembangunan Kampung Baru merangkap Ahli Dewan Negeri Kinrara, Ng Sze Han.

Sementara itu, Muhammad Azli berkata, pemilihan pemenang akan dinilai daripada segi pematuhan aspek pelesenan, kesihatan, kebersihan, keceriaan atau kreativiti gerai, bebas dari tindakan penguatkuasaan serta inisiatif hijau yang dilaksanakan peniaga.

Katanya, sehingga kini sambutan peniaga untuk merebut anugerah terbabit amat memberangsangkan apabila terdapat ramai antara mereka berusaha menghias gerai dan mematuhi peraturan ditetapkan MPSJ.

“Selain itu, kita berharap peniaga tetap menjaga kebersihan dan tidak membiarkan sampah dibuang merata-rata sekali gus mengekalkan keindahan bazar Ramadan,” katanya.

FOTO: HAFIZ OTHMAN (SELANGORKINI)