Categories
AGAMA AGENDA NASIONAL

Tarikh lihat anak bulan Ramadan pada 12 April

KUALA LUMPUR, 2 APRIL: Tarikh melihat anak bulan Ramadan bagi menentukan permulaan puasa umat Islam seluruh Malaysia adalah pada Isnin, 12 April ini bersamaan 29 Syaaban 1442 Hijrah.

Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dalam kenyataan hari ini menyatakan tempat melihat anak bulan Ramadan dilakukan di 29 lokasi seluruh negara.

Tempat tersebut ialah Pontian Kecil di Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara (Melaka); Kompleks Baitul Hilal Telok Kemang, Port Dickson (Negeri Sembilan); Bukit Melawati, Kuala Selangor; Bukit Jugra, Banting, Kuala Langat dan Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam di Selangor.

Selain itu, Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Baru, Daerah Manjong (Perak); Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh (Pulau Pinang); manakala di Kedah di Kampung Pulau Sayak di Kuala Muda, Pemandangan Indah di Pulau Langkawi serta Menara Alor Setar.

Bagi Terengganu pula ialah di Bukit Besar (Kuala Terengganu), Bukit Geliga (Kemaman), Pulau Perhentian (Besut) dan Balai Cerap KUSZA, Mukim Merang (Setiu), manakala di Kelantan melibatkan Bukit Peraksi (Pasir Puteh), Bukit Kampung Tembeling, Mukim Manjur, Daerah Olak Jeram (Kuala Krai) dan Menara Bangunan SEDC, Jalan Tengku Putra Semerak di Kota Bharu.

Tiga tempat di Sarawak ialah Esplanade Luak (Miri), Teluk Bandung (Kuching) dan Tanjung Batu (Bintulu); satu lokasi di Sabah iaitu Balai Cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil, Putatan; serta tiga di Pahang merangkumi Bukit Tanjung Batu (Nenasi), Gunung Berincang (Cameron Highlands) dan Bukit Pelindung, Kuantan.

Di Wilayah Persekutuan ialah tingkat 13 di Menara Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan; Menara Kuala Lumpur serta Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, manakala bagi Perlis pula ialah di Menara Pandang Masjid Al-Hussain, Kuala Perlis.

Menurut kenyataan itu, Majlis Raja-Raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh permulaan puasa adalah berdasarkan Rukyah dan Hisab.

“Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja akan mengisytiharkan pada malam itu juga tarikh Permulaan Puasa yang ditetapkan melalui Radio dan Televisyen,” menurut kenyataan itu.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Mesyuarat khas Majlis Raja-Raja diharap rungkai kemelut politik negara

KUALA LUMPUR, 28 FEB: Kemelut politik yang melanda negara nampaknya belum menemui noktah.

Episod demi episod yang berlaku saban hari sejak Ahad lepas, dilihat seperti akan berpanjangan.

Hari ini Majlis Raja-Raja dijadual mengadakan mesyuarat khas di Istana Negara, sebelum solat Jumaat.

Keputusan daripada mesyuarat ini pastinya penting, antaranya difahamkan berhubung situasi politik terkini negara, termasuk kemungkinan yang sedang dalam pertimbangan raja-raja Melayu dan Yang di-Pertuan Agong, antaranya meneruskan kerajaan baharu, serta pembubaran Dewan Rakyat.

Hasil mesyuarat ini pastinya ditunggu-tunggu dan merungkai kekusutan kemelut peralihan kerajaan yang sedang berlaku.

Perdana Menteri sementara Tun Dr Mahathir Mohamad semalam mengesahkan persidangan khas Dewan Rakyat akan diadakan pada 2 Mac bagi menentukan calon yang mendapat majoriti untuk menjadi perdana menteri baharu.

Dr Mahathir selepas mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 di Putrajaya memaklumkan Yang di-Pertuan Agong menitahkan forum yang tepat untuk memilih Perdana Menteri adalah di Parlimen selepas Seri Paduka mendapati tiada calon yang mempunyai majoriti ketara.

Beliau berkata sekiranya persidangan khas itu gagal mencapai keputusan, pilihan raya mengejut akan diadakan.

Sementara itu, Speaker Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof berkata semua proses berkaitan pemilihan perdana menteri baharu pada persidangan khas Dewan Rakyat pada 2 Mac depan akan ditentukan selepas menerima surat yang lengkap daripada Dr Mahathir.

Dalam pada itu, hari ini parti-parti politik dijangka mengadakan mesyuarat khas masing-masing bagi membincangkan situasi terkini dan langkah mereka dalam kemelut ketika ini.

Apa yang berlaku di peringkat Persekutuan dijangka memberi kesan kepada kerajaan negeri, dengan kemungkinan pertukaran kerajaan beberapa negeri.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pelantikan ketua hakim negara masih tunggu perkenan Majlis Raja-Raja

PUTRAJAYA, 30 APR: Kerajaan masih menunggu perkenan Majlis Raja-Raja berhubung pelantikan Ketua Hakim Negara yang baharu, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau bagaimanapun menjangkakan perkenan itu akan dibuat sebelum minggu ini berakhir.

“Kita sekarang sedang menunggu ‘approval’ (perkenan) dari Majlis Raja-Raja.

“Saya fikir ia akan dibuat sebelum hujung minggu ini,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Pegawai-Pegawai Kerajaan Bersama Perdana Menteri di sini, hari ini.

Jawatan Ketua Hakim Negara sebelum ini dipegang oleh Tan Sri Richard Malanjum yang telah bersara pada 12 April lalu.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Majlis Raja-Raja pilih Yang di-Pertuan Agong 24 Januari

KUALA LUMPUR, 7 JAN: Majlis Raja-Raja akan mengadakan mesyuarat khas di Istana Negara, pada 24 Januari ini untuk memilih Yang di-Pertuan Agong XVI dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Majlis Raja-Raja juga akan mengadakan mesyuarat khas bagi acara Mengangkat Sumpah Jawatan Yang di-Pertuan Agong XVI dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong pada 31 Januari ini.

Penetapan tarikh mesyuarat khas itu dicapai menerusi mesyuarat khas Majlis Raja-Raja yang diadakan di Istana Negara hari ini yang dihadiri enam daripada sembilan Sultan dan Raja.

Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad berkata, mesyuarat khas majlis hari ini itu dihadiri Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajudin Syed Putra Jamalullail; Sultan Terenganu, Sultan Mizan Zainal Abidin; Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan,Tuanku Muhriz Tuanku Munawir; Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar; Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah dan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Shah.

“Mesyuarat khas Majlis Raja-Raja hari ini diadakan susulan Sultan Muhammad V, meletakkan jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-15, berkuat kuasa serta merta, semalam.

“Sehubungan itu, Raja-Raja menetapkan 24 Januari ini untuk mengadakan mesyuarat khas bagi memilih Yang di-Pertuan Agong ke-16 dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

“Raja-raja juga menetapkan tarikh 31 Januari ini untuk membincangkan acara Mengangkat Sumpah Jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-16 dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Keputusan Sultan Muhammad V meletak jawatan itu selaras dengan Perkara 32 (3) Perlembagaan.

Beberapa prosedur ditetapkan dalam menentukan pemilihan Yang di-Pertuan Agong baharu antaranya, baginda mesti dipilih oleh Majlis Raja-raja mengikut kaedah dan cara ditetapkan dalam Jadual Ketiga Perlembagaan dan Peraturan-peraturan Majlis Raja-raja.

Jika berlaku kekosongan jawatan Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong, urusan pemilihan hendaklah dibuat tidak lewat daripada empat minggu dari tarikh berlaku kekosongan jawatan itu.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pula akan menyembah syarat kepada setiap Raja bagi memohon perkenan sama ada baginda berhasrat dicalonkan untuk dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Bagaimanapun, Raja-Raja yang tidak berhasrat dipilih hendaklah memaklumkan secara bertulis kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-raja dan negerinya akan diletakkan di tempat akhir sekali dalam senarai pencalonan pada masa itu.

Mengikut amalan, Yang di-Pertuan Agong dipilih berdasarkan sistem penggiliran setiap lima tahun mengikut negeri.

Menurut senarai, giliran seterusnya adalah Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah. Namun, takhta baginda kini dipangku anaknya Tengku Abdullah.

Jika Majlis Raja-Raja tidak boleh memilih Sultan Ahmad Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong baharu, giliran seterusnya adalah Johor yang diperintah Sultan Ibrahim Iskandar.

Syed Danial turut berkata, Raja-raja yang hadir dalam perjumpaan hari ini turut mengambil maklum dan menghormati hasrat Sultan Muhammad V untuk berundur diri, meletak jawatan Yang di-Pertuan Agong berkuat kuasa 6 Januari lalu.

“Raja-raja turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan atas khidmat Sultan Munammad memenuhi amanah dan tanggungjawab sebagai Yang di-Pertuan Agong mulai 13 Disember 2016 sehingga 6 Januari lalu,” katanya.

*Sumber: BHOnline