Categories
KENYATAAN MEDIA

KEADILAN ucap takziah mangsa kren runtuh Makkah

Oleh: Syed Ibrahim Syed Noh

Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) merakam ucapan takziah kepada seluruh keluarga jemaah haji yang diuji dalam tragedi kren runtuh di Masjidil Haram, Mekah petang Jumaat 11 September 2015.

Orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu musibah , mereka berkata “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali” (Al-Baqarah: 156)

Menurut laporan rasmi facebook Lembaga Tabung Haji hari ini, seramai lima orang jenazah haji Malaysia telah dilaporkan terkorban manakala dua lagi jemaah dilaporkan masih hilang.

Kren MakkahSetakat kenyataan ini disediakan, seramai sekurang-kurangnya 107 orang jemaah terkorban manakala sekurang-kurangnya 238 orang tercedera akibat daripada tragedi berkenaan yang disebabkan angin kuat dan hujan.

KEADILAN mendoakan semoga roh mereka yang terkorban dicucuri rahmat dan dikurniakan pahala syahid serta roh mereka ditempatkan bersama para syuhada’ dan solihin.

Manakala yang cedera, didoakan mereka juga dikurniakan kesabaran, kesembuhan dan semoga reda dengan ujian daripada Allah s.w.t.

KEADILAN juga berdoa semoga ahli keluarga mangsa tabah, sabar dan reda menerima ujian ini.

KEADILAN percaya pihak Tabung Haji dan Kerajaan Malaysia akan berusaha sebaik-baiknya memastikan keselamatan dan keselesaan jemaah haji Malaysia menunaikan ibadah haji di samping terus mengemaskini keadaan jemaah haji yang terlibat dengan tragedi dari semasa ke semasa.

“Ya Allah, kurniakanlah aku ganjaran atas musibahku dan gantikanlah yang lebih baik daripadanya.” [Riwayat Muslim], Do’a daripada hadith Nabi Muhammad S.A.W.

* Syed Ibrahim Syed Noh adalah Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat

Categories
SELANGOR

Keluarga berharap jemaah haji hilang ditemui

Oleh: AFIX REDZUAN

BUKIT ANTARABANGSA, 13 SEP: Keluarga Zainun Taha, 69, salah seorang jemaah haji Malaysia yang masih hilang berharap beliau ditemui dalam keadaan selamat meskipun sudah masuk hari kedua pencarian.

Anak beliau, Kamarul Idzuan Abu Bakar, 46, mengakui bimbang mengenang nasib ibu tersayang yang baru sahaja tiba di Makkah, Khamis lalu bagi menunaikan ibadah haji tahun ini.

Menurut beliau, Zainun berada dalam keadaan sihat ketika berangkat dari Malaysia selepas lama menunggu giliran ke Tanah Suci.

Jemaah Haji“Emak saya memang dah lama menyimpan impian untuk mengerjakan haji.

“Pada 2012 dia harap dapat giliran ke sana tapi belum masanya. Beliau sekadar mengerjakan Umrah ketika bulan Ramadan.

“Alhamdulillah tahun ini beliau terpilih dan kami sekeluarga menghantarnya tempoh hari,” katanya ketika menceritakan detik-detik sebelum ibunya berangkat di Tanah Suci.

Menurutnya, Zainun ke Tanah Suci bersama adik ipar, Faridah Mansor, 63 yang turut cedera dan mengalami patah pergelangan kaki ketika insiden runtuhan Masjidil Haram.

Beliau cuba menghubungi telefon bimbit ibunya sejurus mendapat perkhabaran insiden yang mengorbankan lebih 100 orang jemaah serta dimaklumkan Tabung Haji namun panggilan tidak dijawab.

Beliau yang juga anak sulung daripada empat orang adik beradik percaya gambaran sebenar mengenai ibunya semasa kejadian dapat diperolehi menerusi Faridah yang sentiasa bersama sepanjang berada di sana.

Mereka turut menerima kunjungan Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali terharu dengan sokongan dan bantuan diberikan Kerajaan Negeri ketika berhadapan saat sukar sebegini.

“Kami sekeluarga berterima kasih di atas keperihatinan MB yang bersedia menaja pemergian waris ke Tanah Suci jika mendapat kebenaran kerajaan Arab Saudi.

“Kami berharap segala urusan dimudahkan Allah dan semua yang terlibat selamat,” katanya lagi.

EZY

Categories
SELANGOR

Empat jemaah haji Selangor cedera kren runtuh di Makkah

SHAH ALAM 12 SEP: Empat jemaah haji dari Selangor adalah antara 10 dilaporkan cedera dalam kejadian runtuhan kren di Masjidil Haram dalam kejadian semalam pada jam 5.00 petang waktu tempatan.

Lembaga Tabung Haji dalam kenyataan media hari ini menyatakan mereka adalah Zainul Arifin Zulkifli, 36, Ahmad Muzafar Mamat@Adam, 39, Mohd Sharif Meon, 64 dan Mohd Nor Azman Hassan, 44.

Enam mangsa lain masing-masing tiga jemaah dari Kelantan, dua dari Terengganu dan seorang jemaah dari Kuala Lumpur.

KrenDari Kelantan ialah Mat Deris Mohd Noor, 62; Faridah Mat Yacob, 46; dan Abdul razak Mahmood, 61; manakala dari Terengganu ialah Faridah Mansor, 63; Noordin Wahab, 59; dan dari Kuala Lumpur, Rusiah Baba, 60.

Sementara itu, Kementerian Luar mengesahkan 10 jemaah tersebut tercedera.

Menurut kenyataan itu, tiada kematian melibatkan warganegara Malaysia dilaporkan setakat ini.

“Semua jemaah haji Malaysia yang tercedera diberikan rawatan di beberapa hospital sekitar Makkah,” katanya.

EZY

Categories
NASIONAL

Kumpulan pertama 413 jemaah haji bergerak dari Madinah ke Makkah

MAKKAH, 4 SEPT: Kumpulan pertama jemaah haji Malaysia seramai 413 orang akan mula bergerak dari Madinah ke Makkah dengan menaiki bas petang Khamis.

Mereka yang tiba di Madinah pada 27 Ogos lepas untuk melakukan ziarah dijangka bertolak selepas sembahyang Zuhur dan dijangka tiba di Makkah kira pukul 7 malam waktu tempatan hari yang sama (12 malam waktu Malaysia) .

MakkahBernama melaporkan Kumpulan jemaah haji tersebut sebelum meninggalkan Madinah digalakkan membuat Ziarah Wada atau ziarah selamat tinggal di Masjid Nabawi, sebelum mandi sunat dan berpakain ihram bagi memasuki Makkah untuk melakukan umrah haji.

Mereka kemudian akan berhenti di Masjid Bir Ali kira-kira tujuh kilometer dari kota Madinah untuk bersembahyang sunat ihram dan memasang niat ihram.

Perjalanan dengan bas dari Madinah ke Makkah yang sejauh 447 kilometer dijangka mengambil masa antara lima hingga tujuh jam bergantung kepada keadaan jalanraya, dan akan diisi dengan bertalbiyah, iaitu kalimah kehadiran yang dilafazkan menandakan ikrar penerimaan mereka sebagai tetamu Allah.

Setibanya mereka di Makkah, mereka akan ditempatkan di Abraj Al Janadiriyyah di kawasan Shuib Amir, kira-kira 800 meter dari Masjidilharam, sebelum melakukan tawaf sebanyak tujuh pusingan di Baitullah dan diikuti dengan saie antara Bukit Safa dan Marwah sebanyak tujuh kali sebelum bertahallul, iaitu keluar dari ihram, dengan mengunting sekurang-kurangnya tiga helai rambut.

Ketibaan kumpulan pertama jemaah haji di Makkah akan diikuti oleh kumpulan kedua dan seterusnya secara berperingkat.

Tabung Haji telah menyediakan sebanyak sembilan maktab untuk menempatkan 22,320 jemaah haji tahun ini, termasuk di Qasr Al Janadiriyyah yang berhampiran dengan Abraj Al Janadiriyyah.

Selain Burj Al Haram 2 dan Hassan Khazindar di kawasan Al-Sud dan Bir Balilah serta lima bangunan di kawasan Misfalah dan Hafa’er iaitu Al Bisyarah Mawaddah, Rehab Al Janadiriyyah, Land Premium, Manar Al Shorouq dan Raudhat Al Shorouq.

Setakat ini sebanyak 18 kapalterbang membawa jemaah haji telah tiba di Madinah dengan yang terakhir tiba Selasa iaitu penerbangan KT18 dengan seramai 267 jemaah haji.

Sehingga kini seramai 6,250 jemaah haji telah berada di Madinah.

Categories
SELANGOR

Sultan Selangor Ingatkan Jemaah Haji Supaya Patuh Undang-undang Saudi Arabia


SHAH ALAM, 2 SEPT : Sultan Selangor, DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan rakyat negeri ini yang bakal menunaikan haji atau umrah supaya patuh pada undang-undang Saudi Arabia.

“Beta menasihatkan mereka yang akan ke Makkah dan Madinah menumpukan niat untuk beribadah kepada Allah S.W.T dan bukannya tujuan-tujuan yang lain,” titah baginda.

Ini kerana sebarang perbuatan yang tidak baik boleh menjejaskan nama baik rakyat Malaysia dan juga hubungan baik antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Arab Saudi.

Baginda bertitah di dalam ucapannya di Majlis Penyempurnaan Kursus Perdana Haji 2012 Negeri Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Baginda turut menasihatkan para jemaah haji supaya menjaga nama baik Selangor dan Malaysia amnya yang telah dikenali di kalangan pemimpin negara Arab itu sebagai jemaah yang paling berdisiplin dan terbaik.

“Beta juga ingin mengambil kesempatan ini menasihatkan supaya bakal-bakal haji sekelian supaya mengambil berat mengenai aspek penjagaan kesihatan mulai dari tanah air sehinggalah sepanjang masa berada di tanah suci.

“Segeralah berjumpa pegawai perubatan di klinik-klinik yang disediakan pihak tabung haji sekiranya mengalami masalah kesihatan sewaktu berada di tanah suci nanti,” titah baginda.

Dalam majlis sama, Sultan Selangor turut berkenan mengurniakan cenderamata kepada wakil bakal-bakal haji.

Baginda diiringi Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamed Khusrin Munawi.

Kursus Perdana Haji yang diadakan itu menghimpunkan semua bakal haji dari seluruh Negeri Selangor di mana seramai hampir 4,500 peserta dijemput menyertai kursus tersebut.