Categories
AGAMA NASIONAL

Jumlah bayaran subsidi jemaah haji muassasah Malaysia kekal tahun depan

MAKKAH, 16 OGOS: Kerajaan hari ini memberi jaminan bahawa jumlah bayaran subsidi bagi jemaah haji muassasah Tabung Haji (TH) yang menunaikan haji akan dikekalkan seperti tahun ini untuk musim haji tahun depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata sesuai dengan asas penubuhan TH untuk memberi khidmat dan memudah cara umat Islam Malaysia menunaikan rukun Islam kelima itu, kerajaan akan memastikan para jemaah tidak akan terbeban oleh kos menunaikan haji.

“Kita subsidikan setiap jemaah haji kita sebenarnya lebih daripada jumlah yang dibayar oleh mereka. Mereka cuma bayar RM9,980 manakala yang kerajaan subsidikan lebih kurang RM12,000 bagi setiap jemaah.

“Kita juga ada membincangkan sama ada pelan-pelan baik pulih (bagi pengurusan haji) yang telah dijalankan akan membabitkan penambahan kos dan seterusnya membebankan kita. Namun saya diberitahu setiap penambahbaikan tidak akan melibatkan kos yang tinggi untuk para jemaah,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berharap sektor perniagaan TH dapat berkembang pada masa akan datang dan mendatangkan pulangan yang lebih tinggi kepada syarikat dalam usaha untuk terus menampung subsidi jemaah haji Malaysia.

“Bahagian perniagaan (TH) sedang melalui pemulihan. Kita sudah ada pengerusi baharu, Ketua Pegawai Eksekutif baharu dan mungkin dalam masa yang terdekat, ahli-ahli lembaga pengarah yang baharu akan diperkenalkan,” katanya.

Kerajaan juga katanya akan melihat kepada pelan subsidi ibadah haji yang telah dibuat oleh ppengurusan TH yang terdahulu untuk melihat sama ada pelan tersebut masih relevan untuk diteruskan atau sebaliknya.

Mujahid turut menyambut baik kebenaran yang diberikan oleh kerajaan Arab Saudi tahun ini hasil rundingan antara pihak TH dan Kementerian Haji Arab Saudi berkenaan waktu untuk melontar khas di jamrah pada hari-hari tasyrik bagi jemaah haji Malaysia.

“Sebelum ini kita memang minta daripada kerajaan Arab Saudi satu waktu khas kepada jemaah haji Malaysia untuk membuat lontaran di jamrah (pada hari-hari tasyrik). Sebelum ini, kita tiada satu waktu melontar yang dikhususkan oleh Arab Saudi.

“Kerajaan Arab Saudi memang sentiasa memantau dan mengehadkan bilangan jemaah haji yang memasuki bangunan jamrah bagi satu-satu masa untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini daripada berulang,” katanya.

Bagi tahun-tahun sebelumnya, beliau berkata waktu-waktu melontar bagi jemaah haji Malaysia akan ditetapkan sendiri oleh pihak TH, berdasarkan kepada kepadatan di kawasan jamrah dan keadaan cuaca pada waktu tersebut.

“Kita bersyukur kerana pada tahun ini secara rasmi kita mendapat izin untuk melakukan lontaran pada waktu yang terbaik dengan keadaan cuaca yang kurang panas, memandangkan jemaah kita perlu berjalan agak jauh dari khemah ke tempat melontar,” katanya.

Setakat ini, beliau berkata terdapat seramai 10 orang jemaah haji Malaysia yang ditempatkan di hospital di Makkah manakala 94 orang jemaah haji Malaysia sedang dirawat di pusat-pusat kesihatan TH di Makkah.

“Kalau mengikut statistik yang ditunjuk secara komparatif dengan pada tahun-tahun yang lalu, boleh kita anggap bahawa kita telah berjaya dari segi mengurangkan kematian jemaah haji di tanah suci, berdasarkan inisiatif-inisiatif yang telah dijalankan.

“Daripada keseluruhan bilangan jemaah haji Malaysia, setakat ini kita hanya mencatatkan tujuh kematian, enam di Makkah dan satu di Madinah,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
AGAMA

Petugas TH diseru kekalkan momentum menjelang Masyair

MAKKAH, 12 OGOS: Petugas Tabung Haji (TH) bagi operasi haji 1439H diseru untuk mengekalkan momentum di tahap tertinggi dan mengekalkan kerjasama berpasukan menjelang operasi masyair yang dijadual bermula 20 Ogos ini.

Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Seri Syed Saleh Abdul Rahman berkata petugas TH diminta untuk terus memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada jemaah haji, terutamanya semasa di Arafah, Muzdalifah dan Mina.

“Pada hari ini, kita telah mengadakan perhimpunan petugas-petugas haji di ibu pejabat TH Makkah kerana kebanyakan petugas haji telah berada di sini menjelang operasi masyair yang semakin hampir.

“Kebanyakan petugas-petugas kita sudah berada di tanah suci untuk tempoh masa 50 hari atau tujuh minggu dan perhimpunan ini diharapkan dapat meniup kembali semangat mereka untuk menjalankan tugas sepanjang baki hari mereka di sini,” beliau memberitahu media selepas Majlis Perhimpunan Petugas Haji Idaman di sini, hari ini.

Sementara itu, Syed Saleh turut menyeru jemaah haji Malaysia untuk mendapatkan rehat yang secukupnya dan mula menyimpan tenaga menjelang hari-hari masyair yang pada kebiasaannya paling mencabar sepanjang musim haji.

“Kita tahu hanya tinggal lebih kurang sembilan hari sebelum bergerak ke Arafah. Arafah merupakan kemuncak kepada ibadat haji, sudah tentunya pergerakan dan keberadaan di Arafah, Muzdalifah dan Mina, menuntut kepada satu tumpuan kepada ibadah yang cukup tinggi,” katanya.

Justeru, Syed Saleh berkata perjalanan dan ibadah masyair tersebut perlu kepada pengorbanan yang besar daripada jemaah haji dan memerlukan persiapan dari segi fizikal dan mental yang begitu tinggi.

Jemaah juga dinasihatkan untuk membawa barang-barang secukupnya seperti yang telah disarankan oleh pihak TH dan mengelakkan membawa barangan berlebihan berikutan ruang khemah yang agak terhad di Arafah dan Mina.

“Keluasan khemah di Arafah dan Mina akan menyulitkan para jemaah sekiranya mereka membawa barang yang berlebihan,” katanya.

Jemaah juga diingatkan supaya tidak terlalu terdedah dengan cuaca panas dan mematuhi jadual-jadual yang telah ditetapkan oleh pihak TH dan muassasah terutamanya berkaitan dengan waktu-waktu melontar jamrah pada hari-hari tasyrik.

“Untuk ibadah melontar di jamrah, pihak muassasah telah menyediakan jadual-jadual untuk melontar bagi setiap negara termasuk Malaysia. Kita harus mematuhi jadual itu supaya tidak terjadi kepadatan yang melampau ketika melontar yang boleh membawa kepada rempuhan dan sebagainya,” katanya.

Setakat ini, Syed Saleh berkata hampir 82 peratus jemaah haji Malaysia sudah berada di Makkah, dan tiada lagi jemaah yang berada di Madinah dan baki beberapa penerbangan jemaah haji akan terus memasuki Makkah melalui Jeddah sehingga 15 Ogos ini.

SUMBER: BERNAMA

 

Categories
GLOBAL

Larangan bawa masuk unta ke Makkah untuk lindungi jemaah haji – Arab Saudi

RIYADH, 4 OGOS: Arab Saudi pada Khamis berkata ia telah melarang lima kenderaan yang membawa muatan unta memasuki Makkah bertujuan melindungi jemaah haji daripada penyakit berjangkit, lapor agensi berita China Xinhua.

Omar Al Faqih, Pengarah Kementerian Alam Sekitar, Air dan Pertanian di Makkah, berkata pihaknya berbuat demikian kerana melaksanakan keputusan Kementerian Kesihatan, lapor Agensi Akhbar Arab Saudi (SPA).

Kementerian Kesihatan turut mengharamkan penyembelihan unta di kota suci Makkah sebagai langkah berjaga-jaga bagi melindungi kesihatan jemaah dari seluruh dunia yang tiba untuk mengerjakan ibadat tahunan haji.

Unta telah dibuktikan sebagai sumber koronavirus Sindrom Pernafasan Timur Tengah (MERS), atau selesema unta, yang telah meragut nyawa beratus-ratus penduduk Arab Saudi sejak kes pertama didiagnos pada 2012.

Kerajaan negara itu telah menyaksikan penurunan besar dalam kes baharu MERS akibat virus tersebut berikutan langkah-langkah drastik yang diambil oleh pihak berkuasa Arab Saudi dengan kerjasama organisasi pertubuhan kesihatan antarabangsa.

SUMBER: BERNAMA

Categories
AGAMA NASIONAL

Jemaah haji jangan leka dengan gajet semasa di Tanah Suci

MADINAH 14 JUL: Jemaah haji diingatkan supaya tidak terlalu leka dengan telefon bimbit mereka atau gajet-gajet seumpamanya semasa berada di Tanah Suci kerana dikhuatiri akan ‘mencacatkan’ kualiti ibadah haji mereka.

Pembimbing Ibadat Haji bagi 1439H, Ramli Ibrahim menegaskan ibadat haji adalah ibadat yang penghujung dan penggenap kepada Rukun Islam itu dan ia sepatutnya dilakukan dengan sebaik mungkin dan penuh khusyuk.

“Sifat yang digambarkan oleh Allah bagi mereka yang berjaya seperti mana yang dinukilkan di dalam al-Quran, Allah berfirman sesungguhnya orang beriman yang beroleh kejayaan itu adalah orang yang khusyuk pada solatnya, boleh kita kaitkan dengan ibadat (yang akan dilakukan nanti).

“Dalam masa yang sama, Allah mengingatkan supaya tidak terjebak di dalam perkara-perkara yang melalaikan,” katanya kepada media selepas majlis bacaan Yasin, doa selamat dan solat hajat oleh kakitangan Tabung Haji Madinah sebagai persiapan untuk menjalankan tugas di sini hari ini.

Justeru, beliau mengingatkan para jemaah untuk tidak mencampur-adukkan ibadat haji dengan perkara-perkara yang boleh mengurangkan tumpuan mereka kepada ibadat itu sendiri.

SUMBER: BERNAMA

Categories
GLOBAL

Waspada cuaca panas, jemaah dinasihat kurangkan aktiviti luar

MADINAH, 12 JUL: Jemaah haji dinasihatkan supaya mengurangkan aktiviti luar seperti membeli-belah dan ziarah terutama pada waktu siang, selain yang diaturkan oleh Tabung Haji (TH) semasa di tanah suci berikutan keadaan cuaca yang agak panas.

Pengarah Operasi Tabung Haji Madinah Affandi Abdullah turut mengingatkan jemaah haji Malaysia musim 1439H ini untuk menjaga kesihatan dan memperbanyakkan meminum air kosong bagi mengelakkan dihidrasi.

“Pada tahun ini, musim haji masih lagi berlangsung dalam musim panas. Justeru jemaah diminta bersedia dalam menghadapi cuaca panas yang melebihi 40 darjah celsius,” katanya pada sesi bertemu media di sini, hari ini.

Mengikut statistik TH, suhu yang paling panas dicatatkan adalah pada tiga tahun lepas, iaitu waktu wukuf semasa itu berlaku pada bulan September yang merupakan kemuncak musim panas.

Kawasan yang paling panas adalah di Madinah. Bagaimanapun, musim haji berganjak ke depan sedikit setiap tahun dan pada tahun ini jemaah haji berkemungkinan akan wukuf di Padang Arafah pada 20 Ogos dan akan pulang ke Malaysia sebelum bulan September.

SUMBER: BERNAMA

Categories
GLOBAL

Tragedi tren tumbang: Peguam Negara rayu kes Binladin Group

JEDDAH 3 OKT: Mahkamah Jenayah Makkah membebaskan Binladin Group daripada tuduhan cuai selepas 750 hari berlaku tragedi kren tumbang di Masjidil Haram Makkah.

Portal SAUDI GAZETTE melaporkan mahkamah memutuskan kesemua 13 tertuduh tidak bertanggungjawab terhadap kemalangan menyebabkan seramai 108 terkorban manakala 238 lagi cedera.

Dalam kejadian pada 11 September 2015, kren digunakan untuk projek perluasan Masjidil Haram tumbang dan menimpa jemaah haji di kawasan terbabit.

Bagaimanapun keputusan tersebut dibantah oleh Peguam Negara yang turut mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Rayuan tersebut dibenarkan oleh Mahkamah Rayuan yang kemudian membatalkan keputusan Mahkamah Jenayah itu bagi meneliti semula kes berkenaan kerana ia tidak termaktub dalam bidang kuasa mahkamah terbabit.

Crane MakkahMahkamah itu mengambil kira bahawa kes itu berada di bawah undang-undang sivil tetapi Mahkamah Rayuan telah meminta Mahkamah Jenayah untuk meneliti kes berkenaan.

=EZY=

Categories
AGAMA GLOBAL

Arab Saudi: Pelaksanaan ibadah haji lancar

RIYADH 3 SEPT: Arab Saudi mengumumkan kelmarin bahawa musim haji kali ini berjaya dan mendapat penyertaan lebih 2.3 juta jemaah haji, agensi berita Xinhua memetik laporan SPA.

Menurut Riyadh, ibadah haji pada tahun ini juga bebas daripada sebarang wabak penyakit berjangkit.

Kejayaan itu diumumkan oleh Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi.

Kementerian berkenaan menekankan bahawa pihaknya yang dibantu seramai 300,000 petugas dan 21,000 kenderaan akan terus memberikan perkhidmatan terbaik sehingga semua jemaah haji meninggalkan Arab Saudi.

Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan Arab Saudi berkata, pihaknya bersedia berdepan dengan sebarang kecemasan walaupun ibadah haji setakat ini bebas daripada penyakit berjangkit.

SUMBER: BERNAMA

Categories
GLOBAL

Hujan lebat 30 minit sejukkan Makkah

MAKKAH 22 OGOS: Hujan lebat lebih 30 minit yang melanda Tanah Suci Makkah ternyata menggembirakan penduduk setempat dan jutaan jemaah haji termasuk dari Malaysia yang berada di sini, untuk menunaikan ibadah haji.

Hujan kira-kira jam 4.45 petang itu, mulai membasahi Kota Suci ini selepas umat Islam selesai menunaikan solat Asar, lapor BERNAMA.

Jemaah haji Malaysia yang menginap di Hotel Abraj Al-Janadriyah di sini, turut tidak melepaskan peluang untuk berada di luar bangunan penginapan itu, sambil menadah tangan kesyukuran setelah terpaksa berdepan cuaca panas terik sejak mula tiba di Kota Suci ini.

Beberapa jemaah Malaysia keluar ke kawasan lapang sambil berdoa: “Alhamdulillah… Alhamdulillah, hujan rahmat.”

Rain MakkahSuhu di Tanah Suci ini, lazimnya mencecah antara 40 dan 43 darjah celsius.

Menurut seorang penduduk tempatan, Majid, 25, kali terakhir hujan lebat melanda kota suci itu adalah pada Ramadan lalu.

Sementara itu, Ketua Rombongan Haji Malaysia 1438 Hijrah, Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman, ketika ditemui pemberita melahirkan rasa syukur, dan menyifatkannya sebagai hujan rahmat.

“Alhamdulillah, ia satu hujan rahmat kerana setiap tahun walaupun kita dalam musim panas, masih lagi hujan yang dapat menyejukkan suasana dan membersihkan kawasan di Arafah dan Mina yang digunakan setahun sekali,” katanya.

Tidak sampai 10 hari lagi, jemaah haji akan bergerak ke Arafah, Muzdalifah dan Mina dalam operasi Masyair.

=EZY=

Categories
GLOBAL

Pengebom bunuh diri sasar Makkah, 11 cedera

SHAH ALAM, 24 JUN: Sekurang-kurangnya 11 termasuk enam jemaah umrah cedera selepas seorang pengebom nekad menjadikan Makkah sebagai sasaran meletupkan dirinya, kata kementerian dalam negeri.

Memetik MalaysiaKini, kejadian dilaporkan berlaku di sekitar Masjidil Haram ketika ribuan jemaah berkumpul untuk menunaikan solat Jumaat terakhir Ramadan, tahun ini.

AFP memetik jurucakap kementerian, Jeneral Mansour al-Turki yang memberitahu televisyen Saudi, polis menggagalkan rancangan lelaki itu yang cuba menjadikan Masjidil Haram, jemaah umrah dan mereka yang beribadat sebagai sasaran.

mekahDalam serbuan waktu subuh di Makkah dan bandar Laut Merah, pegawai Jeddah menahan lima suspek termasuk seorang wanita sebelum mengepung pengebom, di sekitar Masjidil Haram.

“Dia mula menembak ke arah anggota keselamatan sebaik menyedari kehadiran mereka di kawasan itu. Tembakan berlaku sebelum dia meletupkan diri,” kata Turki.

Turki berkata, letupan itu menyebabkan sebahagian bangunan tempat suspek berlindung runtuh serta mencederakan enam jemaah.

Sejak akhir 2014, Arab Saudi sering berdepan pengeboman berkala dan tembakan yang didakwa dilakukan kumpulan militan Daesh.

Akhir Ramadan lalu, empat pegawai keselamatan mati dalam insiden letupan dekat Masjid Nabawi, di Madinah.

Ia antara satu dari tiga letupan nekad di seluruh kerajaan itu pada hari sama dengan tujuh dipercayai terbunuh. Insiden lain berlaku di Jeddah dan Qatif.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL RENCANA

Kepakaran 14 ‘Spiderman’ Malaysia ditagih dunia

OLEH NURUL FARINA NAZLAN

Pembinaan Menara Jam Gergasi Abraj Al Bait bertentangan Masjidil Haram Makkah Al-Mukarramah menjadi bualan masyarakat seantero dunia, bahkan ia memperlihatkan keunikan dan kemegahan seni bina Islam apabila projek mega pertama yang dibina di tanah suci itu siap, pada 2012. Namun, mungkin tidak ramai yang tahu di sebalik gahnya projek berkenaan, ia didukung khidmat dan kepakaran 14 anak muda Malaysia bermula dengan pembinaan serta pemasangan bahan komposit pada Menara Jam Gergasi Abraj Al Bait berketinggian 601 meter termasuk pemasangan juga pembukaan semula struktur binaan mataf sementara Masjidil Haram.

Makkah (7)Mereka bukan sahaja bertanggungjawab melaksanakan gerak kerja Menara Jam Gergasi Abraj Al Bait tetapi turut terbabit dalam penstrukturan juga pembinaan sepanjang proses pembesaran Masjidil Haram, bahkan 14 anak muda bertuah itu mempunyai pelbagai bidang kepakaran selaku tenaga profesional di bawah pengurusan syarikat Premier Composite Technologies (PCT) LLC, Dubai iaitu sub kontraktor bagi syarikat yang memonopoli majoriti projek di Arab Saudi iaitu Saudi BinLaden Group serta berperanan penting dalam proses pemasangan komponen bagi projek menara jam terbabit.

Sejak tahun 2010, mereka berpangkalan di Makkah Al-Mukarramah hingga hari ini ekoran pembesaran Masjidil Haram yang dilakukan dengan begitu pesat dan pantas oleh Kerajaan Arab Saudi bagi menampung jumlah jemaah umrah dan haji yang kian meningkat setiap tahun. Benarlah kata orang, ‘tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu’ dan begitulah tuah 14 anak muda itu apabila terpilih mencurah keringat dan bakti di bumi penuh keberkatan yang menjadi impian setiap umat Islam untuk menetap di bumi Haramain.

Kepakaran dan pengalaman luas yang ada menjadi faktor utama menyebabkan mereka mendapat kepercayaan PCT dalam melancarkan gerak kerja pembesaran Masjidil Haram. Tiada siapa mampu menduga, Malaysia memiliki warga berkeupayaan tinggi dan mampu mencipta nama di pentas antarabangsa selain melakar sejarah tersendiri menjadi antara yang terpenting dalam proses pembesaran itu.

Malah, bertugas menghadap Kaabah setiap hari adalah satu rahmat Allah SWT yang tiada tandingan selain menunaikan umrah juga haji setiap tahun disebabkan kelebihan beragama Islam yang turut menjadi faktor penyumbang keberadaan mereka di tanah suci Makkah Al-Mukarramah. Namun, kekangan masa dan tuntutan kerja antara pengorbanan mereka apabila ada dalam kalangan 14 anak muda itu terpaksa meninggalkan isteri, anak serta ahli keluarga di Malaysia yang masuk tahun ketujuh.

Terpilih dalam projek kedua terbesar Masjidil Haram

Makkah (2)Kepakaran dan khidmat 14 anak muda itu terus diiktiraf apabila sekali lagi terpilih dalam projek kedua terbesar bagi Masjidil Haram iaitu pemasangan serta pembukaan semula komponen mataf sementara yang memerlukan profesionalisme termasuk ketelitian dalam aspek keselamatan diri, pekerja juga jutaan jemaah yang berada di kawasan dataran Kaabah. Mataf sementara yang dipasang pada tahun 2013 dibuka seluruh struktur binaannya dan dibawa keluar dari kawasan Sahn di dataran Kaabah membabitkan tempoh 24 hari juga 24 jam waktu bekerja siang hingga malam dengan seluruh tenaga kerja bertungkus-lumus dalam operasi pembukaan itu, pada 2016.

Di sini, komitmen 14 anak muda yang berpengalaman luas dalam pelbagai bidang kejuruteraan dan profesional ‘climber’ itu ditagih bagi membantu menyempurnakan proses pembukaan mataf sementara. Hal itu kerana seorang ‘climber’ diperingkat antarabangsa memerlukan sijil khas yang dikeluarkan Industrial Rope Access Trade Association (IRATA) iaitu kursus terperinci yang diberikan sebelum diiktiraf selaku profesional ‘climber’.

Sentuhan Jurutera dan Pengurus Tapak Projek PCT, Hairul Nizam Baharuddin bersama barisan 13 anak muda Malaysia itu adalah kemegahan sebenarnya bagi Malaysia kerana beliau adalah tunjang dan kekuatan bagi mengemudi tiga projek di Masjidil Haram iaitu Menara Jam Gergasi Abraj Al Bait, mataf sementara dan Shamia Extensions dengan dibantu rakan senegara lain.

Makkah (1)Hairul Nizam, 40, berkata, beliau dan rakan yang lain berbangga dengan kepercayaan juga peluang diberikan syarikat hingga membolehkan mereka mencurah keringat, idea dan bakti dalam rangkaian projek mega di tanah suci Makkah Al-Mukarramah yang menjadi tumpuan serta bualan bukan sahaja dunia Islam tetapi negara lain. Kesempatan bekerjasama dan berpadu tenaga dengan rakan senegara dan negara Islam lain menjadi pengalaman peribadi yang sangat berharga dalam kamus kehidupan beliau.

“Cabaran utama ketika mula menjejak kaki di sini adalah masalah komunikasi kerana pekerja di bawah seliaan saya datang daripada pelbagai negara antaranya Arab Saudi, India, Iran, Syria dan Pakistan. Jadi untuk memudahkan situasi kami, bahasa Inggeris digunakan sebagai bahasa pengantara.

“Namun, tak dapat dinafikan adakala timbul salah faham yang membuatkan saya rasa kurang efisien dalam memberi arahan juga panduan kepada pekerja ekoran berlainan bahasa dan budaya.

“Kini, ia bukan lagi masalah besar walaupun kekangan daripada sudut komunikasi dan budaya adakala masih berlaku tetapi tidak seperti awal ketibaan ke sini kerana saya berusaha menggunakan pelbagai kaedah bagi memudahkan proses arahan juga keberkesanan mesej untuk disampaikan kepada pekerja,” katanya kepada SelangorKini.

Pengalaman jadi bekalan di rantauan

Hairul Nizam berkata, beliau bersyukur kerana turut disokong 13 rakan senegara dan kumpulan jurutera dari PCT serta kontraktor terbabit selain pengalaman dalam bidang kejuruteraan selama lebih 15 tahun daripada peringkat awal pembabitan dalam projek pembesaran itu hingga kini. Beliau juga mengakui, belum berhadapan dengan sebarang konflik dan masalah ekoran komitmen, disiplin serta sikap profesional yang dipraktikkan setiap pekerja apabila gigih menyiapkan projek berkenaan dengan penuh konsisten dan komitmen padu.

Makkah (3)“Lebih utama, saya perlu efektif dalam pengurusan beberapa projek dalam satu masa dan ia tidak hanya berkaitan pengurusan tetapi turut merangkumi keseluruhan aspek kejuruteraan, reka bentuk struktur serta seni bina.

“Tidak ramai yang mahir dan arif dalam pengendalian juga pengetahuan berkenaan bidang komposit berteknologi tinggi yang sedikit sebanyak memberi ruang untuk saya berkongsi ilmu pengetahuan juga kemahiran dengan kontraktor yang terbabit dalam projek ini. Selain itu, kami perlu memastikan tenaga, masa, keupayaan dan kesabaran diluangkan sepenuhnya supaya setiap tugas mencapai sasaran ditetapkan,” katanya.

Bapa kepada seorang cahaya mata itu mengakui, masih banyak yang perlu diterokainya supaya kemahiran dan kepakaran diperoleh dapat memberi manfaat serta faedah bukan sahaja untuk diri-sendiri tetapi dapat dikongsi bersama seluruh warga kerja serta pengetahuan umum kepada kontraktor termasuk rakyat Malaysia walaupun beliau berpengalaman luas dalam bidang berkenaan.

“Tanpa kesungguhan, kegigihan, semangat, doa dan sokongan padu daripada isteri, keluarga serta rakan seperjuangan bukan mudah untuk saya mencapai kebolehan yang ada pada tahap ini terutama cabaran bekerja di perantauan,” katanya.

Peranan penting ‘Spiderman Malaysia’ 

Hairul Nizam berkata, kemampuan 13 rakan senegaranya yang lain tidak boleh dipandang enteng kerana turut memainkan peranan penting dalam setiap projek yang dilaksanakan. Dengan jolokan ‘Spiderman Malaysia’ di Makkah, sudah tentu tidak tercapai dek akal fikiran bahawa mereka mempunyai keberanian dengan hanya bergantung kepada tali keselamatan (safety rope) dalam usaha memasang komponen pada struktur menara jam yang mempunyai ketinggian 601 meter dari paras laut itu. Mungkin tidak ramai antara kita mengetahui 14 pakar dari Malaysia itu berisiko tinggi apabila mempertaruhkan nyawa demi menjalankan tanggungjawab yang dipikul.

Makkah (9)Hairul Nizam menjelaskan, pengendalian operasi pemasangan dan pemantauan dari PCT yang diketuai Armiazizul Ariffin bukan sahaja dijalankan ketika siang, bahkan syarikat itu turut memantau jadual kendalian pada waktu malam di bawah seliaan Hashim Ripin dan Zulkefli Sulaiman.

Sementara itu, Armiazizul, 39, berkata, berada di tempat tinggi adalah suatu kepuasan dan beliau teruja dengan profesion sebagai ‘climbers’. Beliau yang berpengalaman dalam bidang itu sejak tahun 1998 bermula sebagai pekerja biasa sebelum meniti kerjaya sebagai profesional ‘climbers’ pada tahun 2000 hingga kini yang melakukan kerja pendakian di bangunan tinggi dengan kepakaran sebagai ‘industrial climber’.

“Kepakaran ‘climbers’ terbahagi kepada dua iaitu ‘industrial climbers’ dan ‘sports climbers’. Ada syarikat memerlukan ‘climbers’ yang mempunyai kelayakan akedemik antaranya dalam bidang kejuruteraan awam atau mekanikal.

“Bekerja di negara orang adalah cabaran paling besar dengan pengendalian pekerja membabitkan 120 orang daripada pelbagai negara bagi projek Menara Jam Gergasi Abraj Al Bait dan mataf sementara. Saya perlu bertanggungjawab atas setiap kendalian dan ‘climbers’ di bawah seliaan saya selain pemantauan berterusan selain harus teliti bagi menjaga aspek keselamatan pekerja ketika pengendalian juga pemasangan struktur binaan ekoran kekangan masa dalam usaha mencapai ‘dateline’.

Makkah (4)“Ini kerana ketepatan penyelarasan amat penting kerana saya mengetuai kumpulan pekerja waktu siang dan perlu menyerahkan tugasan selanjutnya kepada kumpulan kerja waktu malam. Pengalaman yang tidak dapat dilupakan ketika projek Menara Jam Abraj Al Bait iaitu di saat proses pemasangan ‘clock hand’ apabila saya diangkat oleh kren bersama struktur binaan seberat sembilan tan itu pada ketinggian 480 meter.

“Ketika pemasangan struktur hilal yang diangkat kren bersama komponen seberat 17 tan dengan paras ketinggian 590 meter, angin kuat dan ribut. Saya yang bergantung pada tali keselamatan terhuyung-hayang dan ketika itu komponen tidak dapat dinaik juga diturunkan ekoran ribut pasir. Saya begitu cemas selain hanya mampu bertawakal pada Allah SWT supaya selamat dan itulah pengalaman yang paling menakutkan,” katanya.

Penutup 

Ketika ini, Hairul Nizam bersama warga kerja PCT sedang gigih menyempurnakan tugas yang diberikan pemaju dan kontraktor dalam projek pembesaran Masjidil Haram. Beliau dan kumpulannya turut melahirkan rasa terima kasih atas sokongan padu juga semangat diberikan jemaah Malaysia apabila berselisih ketika berada di kawasan Masjidil Haram yang turut berkongsi kebanggaan apabila projek mega itu mempunyai sentuhan anak Malaysia.

Makkah (5)Tidak terjangkau di benak fikiran, bagaimana 14 anak muda itu mampu menjalani kehidupan di rantau orang dengan penuh kesabaran terutama jika difikir daripada sudut komunikasi juga budaya kehidupan masyarakat timur tengah. Namun, komitmen dan semangat juang yang tinggi membolehkan mereka terus positif dalam memastikan segala gerak kerja serta ‘dateline’ sasaran mengikut masa ditetapkan walaupun terpaksa meninggalkan keluarga nun jauh beribu batu.

Di sebalik semua itu, Hairul Nizam dan 13 rakan lain berharap diberi peluang mencurah keringat dan jasa bagi pembangunan di tanah air sendiri jika mempunyai tawaran kompetatif. Namun, bilakah semua itu akan menjadi kenyataan kerana usaha mereka seakan dipandang sepi oleh Kerajaan Malaysia yang lebih sanggup mengeluarkan perbelanjaan tinggi untuk mendapatkan kepakaran warga asing sedangkan kita mempunyai pakar yang khidmat mereka ditagih dunia.

Jangan jadi seperti kata pepatah ‘kera di hutan disusukan, anak di rumah dibiar kelaparan’ dan sampai bila kita ingin menidakkan kemampuan anak tempatan di saat dunia luar mengiktiraf kemampuan serta kepakaran mereka. Siapa yang rugi akhirnya?

14 ‘Spiderman’ Malaysia 

Pengurus Tapak
Hairul Nizam Baharuddin

Penyelia/’Climber’
Armiazizul Arifin
Zulkefli Sulaiman
Mohamed Norhisam Hashim
Muliana Ahmad
Mohd Anuar Abu
Hashim Ripin
Mohd Najib Ahmad
Ramli Sehad
Muhamad Armi Azizuddin
Mohd Zaidi Abu Shah
Sabri Jaka
Mohd Hamka Alipyan
Airhan Mohd Rasullan

# Nurul Farina Nazlan adalah Pengarang SelangorKini dan maklumat berkenaan rencana dikongsi Amera Sabrena Dato’ Ahmad Sobri (isteri Hairul Nizam Baharuddin) yang kini di Makkah Al-Mukarramah

 

Categories
NASIONAL

Tiada jemaah haji Malaysia terlibat dalam tragedi rempuhan Mina

MAKKAH 25 SEP: Semua jemaah Malaysia disahkan selamat dan tidak terbabit dalam insiden rempuhan di Mina yang mengorbankan lebih 700 nyawa setakat ini, kata Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau berkata berdasarkan pemeriksaan di semua tujuh maktab Muassasah dan 15 syarikat pengelola jemaah haji dan TH Travel & Services Sdn. Bhd., (pakej swasta), semua jemaah haji Malaysia disahkan selamat dan mereka hanya akan mula melontar di Jamrah Kubra di Mina itu mulai jam 5.30 petang ini (10.30 malam waktu Malaysia).

“Tiada jemaah Malaysia terbabit, semua pasukan unit peronda Tabung Haji juga sebenarnya telah membuat pemantauan sejak awal lagi (sebelum kejadian itu berlaku) bagi memastikan keadaan dan masa yang sesuai untuk jemaah haji memasuki kawasan untuk melakukan ibadat melontar itu,” katanya kepada pemberita di Makkah.

MINADalam kejadian 11.30 pagi itu (waktu tempatan), lebih 700 jemaah haji dilaporkan terkorban manakala beratus lagi cedera dalam kejadian rempuhan berkenaan di kawasan perkhemahan jemaah dari negara-negara Arab.

Asyraf Wajdi turut kesal dengan laporan di media sosial berkenaan kononnya seorang jemaah wanita Malaysia turut maut dalam kejadian itu.

“Kematian Siti Haryati Shaikh Ali, 43, seorang pensyarah di Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu disebabkan dia mengalami masalah sesak nafas, Allahyarham meninggal dunia di sisi suaminya di hospital di Makkah, dan bukannya terkorban dalam kejadian rempuhan itu,” katanya.

Katanya bagi musim haji 1436H setakat ini, sebanyak 16 jemaah Malaysia meninggal dunia, termasuk tujuh yang terkorban dalam tragedi kren tumbang di Masjidil Haram pada 11 September lepas.

Sembilan jemaah lain meninggal dunia akibat serangan jantung dan mengalami sesak nafas.

Berkenaan ibadat melontar, Asyraf Wajdi berkata jemaah Malaysia akan mula ke Jamrah Kubra mulai jam 5.30 petang ini.
“Jemaah Malaysia tidak akan melalui kawasan perkhemahan atau tempat berlakunya insiden rempuhan itu. Laluan jemaah Malaysia adalah bersama jemaah-jemaah dari Indonesia dan Turki.

“Berdasarkan maklumat unit peronda Tabung Haji, jemaah dari Turki telah pun selesai melakukan ibadat melontar di Jamrah Kubra hari ini,” katanya.

Lebih tiga juta jemaah haji dari seluruh dunia termasuk lebih 22,000 jemaah haji Malaysia kini berada di Tanah Suci bagi melaksanakan ibadat haji.

Jemaah haji termasuk jemaah Malaysia kini berada di Mina untuk mengerjakan ibadat melontar selepas bermabit (berada seketika atau bermalam) di Muzdalifah malam tadi.

Jemaah haji akan terus berada di Mina sehingga 11, 12 dan 13 Zulhijjah atau dikenali sebagai Hari Tasyriq untuk melakukan lontaran di ketiga-tiga jamrah – Kubra, Wusta dan Sughra.

Sementara itu, tiada staf Malaysia yang berkhidmat dengan operasi Al Mashaaer Al Mugaddassah Makkah Metro Southern Line (MMMSL) terlibat dalam insiden rempuhan di Mina.

Pengarah Projek MMMSL, Khairani Mohamed berkata terdapat 440 rakyat Malaysia yang kebanyakannya staf Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) yang bertugas dalam operasi MMMSL.

“Semua staf kami selamat. Bagaimanapun, kami akan memantau dan meningkatkan kawalan di stesen-stesen untuk menjamin keselamatan para jemaah yang menggunakan

perkhidmatan kami,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. .

– BERNAMA

Categories
KENYATAAN MEDIA

Perutusan takziah Presiden PKR kejadian kren runtuh Makkah

Innalillahi wa inna ilaihi raji’un. Allahummaghfirlahum warhamhum wa’afihim wa’fu ‘anhum.

Saya amat berdukacita menerima berita kemalangan kren yang tumbang di Masjidil Haram pada 11 September 2015 yang telah meragut lebih 100 nyawa, termasuk 5 orang warga Malaysia:

– Siti Nuroshlizan Zolkifli, 37, dari Tanah Merah, Kelantan
– Rohana Ismail, 54, dari Kuala Krai, Kelantan
– Munah Jusoh, 73, dari Cherang Ruku, Kelantan
– Rusiah Suar, 56, dari Felda Besout 2, Perak
– Zainun Taha, 69, dari Ampang, Selangor

Kren MakkahBagi pihak KEADILAN, saya ingin merakamkan ucapan takziah kepada ahli-ahli keluarga mangsa tragedi ini. Semoga mereka tabah menghadapi dugaan Ilahi.

Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada kesemua petugas Tabung Haji dan Kerajaan Malaysia yang telah bekerja bertungkus-lumus untuk mengenalpasti jenazah serta memastikan semua warga Malaysia yang sedang mengerjakan haji selamat.

Marilah kita sedekahkan al-Fatihah buat mangsa-mangsa kejadian ini.

Semoga Allah SWT menempatkan roh mereka di kalangan orang-orang yang beriman.

DATUK SERI DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL
Presiden KEADILAN
14 September 2015