Categories
AGENDA NASIONAL

Polis terima 305 laporan mangsa ribut, puting beliung di Ipoh

IPOH, 2 FEB: Polis menasihatkan mangsa kejadian ribut dan puting beliung sekitar sini Ahad lepas yang masih belum membuat laporan polis supaya segera berbuat demikian di balai polis berhampiran bagi memudahkan mereka membuat tuntutan dan mendapatkan bantuan kerajaan.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan berkata setakat ini pihaknya telah menerima 305 laporan daripada mangsa kejadian itu.

Katanya setakat ini tiada kecurian harta benda dilaporkan dan pasukan keselamatan berjaya mengawal keadaan dengan rondaan termasuk oleh kereta peronda polis (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal di lokasi-lokasi terjejas, malah anggota di balai juga ditugaskan di lokasi berkenaan dari semasa ke semasa.

Beliau berkata polis turut membuat kawalan bagi mengelak kejadian curi besi dan zink rumah yang dialihkan angin ribut dan puting beliung itu oleh pihak yang cuba mengambil kesempatan mencuri barang-barang yang mempunyai nilai di kawasan berkenaan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Program Penyampaian Sumbangan Skuad Musa’adah Keluarga Malaysia Agensi di Bawah Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) kepada mangsa ribut dan puting beliung di Pusat Pemindahan Sementara Dewan Tawas di sini hari ini.

Ratusan rumah di beberapa kawasan iaitu Taman Desa Seri Chepor, Kampung Tawas, Taman Tasek Damai dan Kampung Seri Klebang Tambahan Jaya di sini didapati terkesan dengan kejadian ribut dan puting beliung pada kira-kira pukul 6 petang itu.

-BERNAMA

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

MBI agih tunai bantu 49 mangsa ribut di Meru

KLANG, 13 DIS: Seramai 49 mangsa ribut sekitar pekan Meru pada Jun lalu menerima bantuan tunai RM300 daripada Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI hari ini.

Wakil rakyat Meru Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata sumbangan mencecah RM15,000 mampu mengurangkan beban mangsa selepas mengeluarkan kos membaik pulih rumah.

“Kebanyakan mangsa merupakan golongan berpendapatan rendah (B40). Jadi mereka perlu dibantu supaya tidak merasa terbeban dengan kejadian yang menimpa,” katanya selepas menyerahkan bantuan berkenaan.

Turut hadir pemangku Eksekutif Kanan Tanggungjawab Sosial Korporat MBI Nurul Hani Nadira.

Mohd Fakhrulrazi berkata pihaknya sebelum ini membelanjakan RM20,000 bagi membaiki segera kerosakan rumah berikutan mangsa memerlukan tempat berteduh.

“Pada masa sama kita turut bantu menerusi tabung bencana daerah. Semua mangsa menerima bantuan berbeza mengikut kerosakan dialami,” katanya lagi.

Kejadian pada 17 Jun lalu merosakkan hampir 80 kediaman sekitar Jalan Jambu, Taman Meru 3, Taman Desa Permai, Jalan Hamzah Alang, Kampung Budiman, Jalan Nanas dan Jalan Limau pada Jun.

Bagaimanapun, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

Categories
BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

MB: RM470,000 diperuntuk baik pulih rumah dilanda ribut di Sepang

SHAH ALAM, 15 APRIL: Sebanyak RM470,000 diperuntuk untuk baik pulih 46 rumah yang rosak dilanda ribut di Bandar Baru Salak Tinggi (BBST) pada 6 Mac lalu.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kos itu dibiayai Kerajaan Negeri melalui Menteri Besar Pemerbadanan (MBI).

“Kerja pemulihan rumah yang mengalami kerosakan akibat bencana ribut di Bandar Baru Salak Tinggi.

“Sebanyak 46 rumah akan dibaiki dengan kos menelan belanja RM 470,000 dibiayai oleh Kerajaan Negeri melalui MBI,” katanya menerusi Facebook.

Pada 6 Mac lalu, lebih 100 rumah sekitar BBST dan Pekan Salak rosak selepas dilanda ribut akibat hujan lebat yang berlaku kira-kira jam 5 petang.

Difahamkan, kejadian itu pertama kali berlaku melibatkan taman perumahan di BBST selain disifatkan sebagai terburuk.

Sebelum ini, Kerajaan Selangor turut menyalurkan bantuan awal sebanyak RM500 kepada setiap 120 keluarga mangsa ribut tersebut.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

120 mangsa ribut di Sepang terima bantuan awal RM500

SEPANG, 8 MAC: Kerajaan Negeri menyalurkan bantuan awal sebanyak RM500 kepada setiap 120 keluarga mangsa ribut di sekitar Bandar Baru Salak Tinggi (BBST).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bantuan segera itu bertujuan meringankan beban mangsa selain memastikan kebajikan mereka terjaga.

“Setakat ini kita berikan bantuan segera terlebih dahulu kepada mangsa bencana, semoga sumbangan ini sedikit sebanyak membantu mereka.

“Bagaimanapun, kita akan adakan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) esok atau Rabu ini untuk membincangkan bantuan keseluruhan yang bersesuaian,” katanya.

Beliau berkata demikian di Pangsapuri Dahlia selepas mengadakan lawatan kira-kira lebih satu jam ke beberapa kawasan bencana sekitar Sepang.

Mengulas mengenai beberapa sekolah terjejas, Amirudin berkata pihaknya akan berbincang dan bantuan dihulur mengikut kesesuaian.

Sabtu lalu, lebih 100 rumah sekitar BBST dan Pekan Salak rosak selepas dilanda ribut akibat hujan lebat yang berlaku kira-kira jam 5 petang.

Kawasan perumahan terjejas adalah Taman Seroja melibatkan 17 rumah, Taman Dahlia (19), Aparment Casa Dahlia (28), Taman Mawar Perdana, Kampung Salak Tengah (7) dan Kampung Baru Pekan Salak (20).

Turut mengalami kerosakan ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Seroja, SK Salak, SK KLIA dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Salak Tinggi.

Difahamkan, kejadian itu pertama kali berlaku melibatkan taman perumahan di BBST selain disifatkan sebagai terburuk.

Categories
ADN SELANGOR

Bantuan awal RM500 kepada mangsa ribut di Mukim Panchang Bedena, Sabak

SHAH ALAM, 27 MAC: Bantuan awal RM500 akan disalurkan kepada setiap penduduk terjejas akibat ribut di Mukim Panchng Bedena dan Sabak semalam, kata Ahli Dewan Negeri Sabak.

Ahmad Mustain Othman berkata unit bencana daerah memastikan bantuan secukupnya disalurkan kepada lebih 30 rumah terjejas bagi memastikan nasib mangsa terbela.

“Unit tersebut turut menilai kerosakan setiap rumah dan apabila laporan penuh diterima baharu bantuan selanjutnya akan disalurkan.

“Segala bantuan akan diberi secepat mungkin dan saya harap penduduk bersabar sebelum semua kembali pulih seperti sedia kala,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang semalam, hujan lebat dan angin kencang menyebabkan lebih 30 rumah di dua mukim itu rosak.

Categories
SELANGOR

Mangsa ribut Sabak Bernam reda sambut Aidiladha di pusat pemindahan

SABAK BERNAM, 10 OGOS: Harapan untuk menyambut Hari Raya Aidiladha bersama keluarga musnah apabila rumah mereka rosak teruk ekoran kejadian ribut yang berlaku di sini malam semalam.

Mangsa ribut, Zailah Rahmat, 52, menyifatkan kejadian itu sebagai luar biasa dan kali pertama berlaku sejak 22 tahun beliau menetap di kampung Desa Kasih, di sini.

Katanya, ketika kejadian itu berlaku dia bersama 14 lagi ahli keluarga yang terdiri daripada suami, anak dan cucu sedang nyenyak tidur.

“Saya terkejut selepas bunyi bumbung rumah tercabut dan hujan turun sangat lebat. Lebih merisaukan, anak saya yang sedang berpantang 10 hari.

“Tanpa berlengah, saya mengejutkan semua anak dan cucu untuk terus keluar ke bahagian belakang rumah.

“Disebabkan itu, cucu saya luka pada bahagian muka ekoran terkena kayu ketika kami tarik dia,” katanya kepada SelangorKini ketika ditemui di pusat pemindahan mangsa ribut Desa Kasih, di sini petang tadi.

Zailah berkata, ekoran rasa takut yang mendalam, suaminya sempat melaungkan azan ketika keluarganya berlindung menyelamatkan diri.

“Memang takut sangat ketika itu, pelbagai benda bermain dalam fikiran ketika itu. Walaupun berlaku sebelum menyambut Hari Raya Aidiladha, namun saya bersyukur kerana tiada sebarang kemalangan jiwa dan saya reda dengan nasib yang menimpa kami ,” katanya.

Pusat pemindahan itu menempatkan Zailah bersama 14 ahli keluarganya sahaja, manakala mangsa lain difahamkan menumpang di rumah saudara mara.

Dalam kejadian ribut kira-kira jam 1 pagi tadi, 508 buah rumah di Bagan Nakhoda Omar, Sabak, Pancang Bedena, Sungai Panjang dan Pasir Panjang rosak teruk.

Kejadian ribut yang melanda beberapa kawasan di Sabak Bernam dan Kuala Selangor tengah malam hingga awal pagi tadi berkemungkinan ada kaitan dengan taufan Lekima yang melanda Taiwan.

Categories
SELANGOR

Mangsa ribut senyum, syukur terima rumah baharu

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

GOMBAK, 13 APR: Senyum lebar tidak lekang daripada raut wajah 13 keluarga penerima kunci kediaman baharu sebagai tanda terharu dan bersyukur atas komitmen Kerajaan Negeri membina semula kehidupan mereka.

Seorang mangsa, Salimah Dahari, 52, berkata, beliau bersyukur kerana Kerajaan Negeri tampil membantu menempatkannya sekeluarga di tempat baharu, sekali gus membuktikan keprihatinan terhadap mangsa bencana.

Katanya, bersama tiga anak lelakinya, kini mereka dapat menetap di kediaman lebih selesa dan sempurna biarpun sukar meninggalkan rumah lama milik arwah bapanya yang menyimpan banyak kenangan bersama.

“Saya menetap di rumah lama sejak dari lahir lagi. Kalau diikutkan memang sukar untuk terima kenyataan kehilangan rumah pusaka milik arwah bapa, namun kami terima seadanya.

“Alhamdulillah..kami sekeluarga amat berterima kasih kepada wakil rakyat di sini yang berusaha memastikan kami dapat rumah baharu,” katanya ketika ditemui selepas menerima kunci rumah berkenaan.

 

Penyerahan kunci rumah kediaman itu yang masing-masing bernilai RM42,000 seunit disempurnakan Ahli Dewan Negeri (ADN) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham, di Masjid Zakaria, Gombak Utara, di sini, malam tadi.

Seorang lagi penerima, Amirah Ariffin, 53, berkata, dia menghargai inisiatif Kerajaan Negeri kerana memahami masalah kebajikan mangsa ribut petir yang terpaksa berdepan kesempitan hidup selepas dilanda musibah berkenaan.

“Keadaan rumah selepas dihimpap pokok sangat teruk sehingga saya tidak sanggup mengingatkan kembali kejadian pokok tumbang yag berlaku secara tiba-tiba.

“Apabila dapat berpindah ke rumah baharu ini, tiada apa yang dapat saya katakan melainkan syukur kerana dapat tinggal di rumah lebih selesa bersama anak,” katanya.

FOTO: HAFIZ OTHMAN (SELANGORKINI)

Categories
SELANGOR

Mangsa ribut Pandamaran lega terima bantuan Kerajaan Negeri

Oleh: AFIX REDZUAN

PANDAMARAN, 3 NOV: Mangsa bencana ribut di Pandamaran, Pelabuhan Klang merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Selangor yang menghulurkan sumbangan bantuan kepada mereka sekaligus meringankan beban kos kerugian ditanggung mereka.

Beberapa penerima sumbangan yang ditemui Selangor Kini memaklumkan, selain kerosakan bumbung rumah akibat pukulan ribut pada 21 Oktober lalu, beberapa barangan rumah termasuk pendawaian elektrik kediaman mereka musnah kesan daripada bencana itu.

interview3Parvathy a/p Kandesamy, 34, yang tinggal di Flat PKNS Blok E menceritakan pengalaman bagaimana beliau melihat sendiri pusaran angin berada dalam rumah beliau sehingga mengakibatkan barangan rumah dan cermin tingkap pecah dipukul ribut.

Ketika kejadian beliau berada di rumah bersama ibunya dan beliau kini menunggu giliran untuk rumahnya dibaiki semula

“Saya memang ada di rumah bersama emak. Kita ingatkan hujan sahaja. Saya lihat angin kuat sehingga mengakibatkan daun-daun masuk ke dalam bilik.

“Dalam rumah ada pusaran angin, atap dan siling bocor. Sekarang (siling) hampir nak jatuh, kita tunggu untuk dibaiki. Tingkap juga pecah,” katanya yang bekerja sebagai kerani syarikat insuran.

interview2Bagi Noni Mohd Yassin, 36, beliau mengakui panik ketika kejadian sehingga terpaksa menenangkan empat orang anaknya yang berada dalam ketakutan.

Beliau sekeluarga masih dalam keadaan berjaga-jaga sekiranya hujan lebat turun kerana khuatir kejadian sama bakal berulang kembali.

Selain keroskan bumbung, kejadian ribut berkenaan menyaksikan mereka sekeluarga terpaksa tidur di atas lantai dengan beralaskan tikar kerana tilam dan barangan rumah rosak.

“Semasa kejadian saya di rumah bersama anak-anak. Rasa memang takut sebab tidak pernah jadi macma ini. Hanya berdoa kepada Allah dan nekad duduk bersama anak-anak.

“Kalau keluar rumah pun tak guna takut kita menjadi mangsa sekali. Masa itu memang cemas sebab suami tiada dan saya cuba tenangkan anak-anak,” katanya yang tinggal di tingkat lima Flat MPK Blok D.

interview1Sementara itu, sambutan Deepavali bagi Kaliappan a/l Raju, 34 berlangsung suram akibat kejadian ribut pada 21 Okober lalu.

“Ketika kejadian saya bekerja. Isteri dan emak yang berada di rumah menghubungi saya dalam keadaan menangis apabila rumah dilanda ribut.

“Bila selesai kerja saya pulang ke rumah dan tengok semua barangan sudah rosak,” katanya.

EZY

Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri bantu lebih RM1 juta mangsa ribut Pandamaran

Oleh: AFIX REDZUAN

PANDAMARAN, 2 NOV: Kerajaan Selangor menyalurkan peruntukan dan sumbangan bencana kepada empat kawasan penempatan yang menjadi mangsa kejadian angin ribut yang berlaku pada 21 Oktoboer lalu.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali menyerahkan sumbangan bantuan dan mengumumkan kos baik pulih kediaman kepada penduduk Kampung Pandamaran, Kampung Pandamaran Jaya, Flat Pandamaran Permai Indah dan Flat PKNS Pandamaran Jaya.

Mangsa ributDalam kejadian ribut kencang itu menyaksikan 40 unit rumah di Kampung Pandamaran dan Kampung Pandamaran Jaya mengalami kerosakan manakala tiga daripada empat blok Flat Pandamaran Permai Indah (7 unit), dan Flat PKNS Pandamaran Jaya (42 unit) mengalami kerosakan bumbung.

Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Selangor melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) telah bersetuju untuk menaggung kos baik pulih kerosakan Flat Pandamaran Permai Indah dengan peruntukan hampir RM1.149 juta.

Kos ini termasuk kerja-kerja membaik pulih empat tangki air di blok flat berkenaan yang telah rosak dan tidak berfungsi.

“Kerajaan Selangor bersetuju untuk membaik pulih bumbung di tiga blok Flat Pandamaran Permai Indah. Walaupun mereka ada JMB, namun mereka memaklumkan tiada peruntukan kewangan untuk membaiki ketiga-tiga blok.

“Selepas dinilai LPHS, kos membaiki bumbung berkenaan RM800,000. Oleh kerana simpati kepada pemilik dan penduduk yang rata-rata berpendapatan rendah, Kerajaan Negeri bersetuju untuk menanggung kos baik pulih.

“Kos untuk baik pulih tangki air yang rosak dan tidak berfungsi pula berjumlah RM349,000. Kerajaan Negeri melalui LPHS untuk menanggung tangki air tersebut,” katanya pada Majlis Penyerahan Sumbangan Bencana Ribut di Pandamaran Jaya.

RibutPerbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) pula telah menanggung kerja-kerja membaik pulih yang telah dimulakan di Flat PKNS Pandamaran Jaya dengan kos RM80,000.

Selain itu, menerusi program Kerajaan Prohatin dibawah kendalian Exco Selangor, V Ganabatirau Kerajaan Selangor turut memberikan sumbangan saguhati melibatkan kerja membaik pulih kerangka kayu dan mengganti bumbung bagi 40 rumah Kampung Baru Pandamaran dan Kampung Pandamaran Jaya mengikut tahap kerosakan.

Penduduk Flat PKNS Pandamaran Jaya dan Flat Pandamaran Permai Indah turut menerima sumbangan bencana sebanyak RM500 seorang.

“Pejabat Daerah dan Tanah Klang telah membuat penilaian dan dibahagikan kepada tiga kategori.

“Sekiranya rumh mengalami rosak teruk dimana kesemua rangka bumbung rumah tercabut dan hilang, keluarga akan menerima RM2,000.

“Kerosakan sebahagian RM1,000 dan kerosakan kecil menerima RM500,” katanya lagi.

Sementara itu, Kerajaan Selangor juga telah mengarahkan Pejabat Daerah dan Tanah Klang bersama Lembaga Urus Air Selangor (Luas) untuk membina semula Jeti Nelayan Pandamaran, Sungai Aur yang baru dengan kos lebih RM30,000.

Majlis Perbandaran Klang juga diberikan peruntukan khas sebanyak RM73,000 untuk kerja-kerja pembersihan sisa runtuhan, sampah, pemotongan dan pemotongan pohon-pohan yang tumbang dalam kejadian ribut.

EZY