Categories
NASIONAL SELANGOR

Keluarga Mendiang Dharmendren Terharu Dikunjungi Abdul Khalid

MB ziarah balu dramendren

BANDAR TUN RAZAK, 16 JUN: Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Tan Sri Abdul Khalid meluangkan masa meziarahi keluarga mendiang N Dharmendran yang meninggal dunia ketika di dalam tahanan polis bulan lalu.

Kehadiran Abdul Khalid disambut isteri mendiang, Marry Maria Susay serta ahli keluarga di kediaman mereka bertempat di PPR Taman Mulia.

Beliau yang ditemui sejurus lawatan berkenaan menyatakan kesedihan dengan apa yang berlaku dan berharap kes berkenaan mendapat pembelaan sewajarnya.

Apa yang penting menurut Abdul Khalid, pembelaan untuk masa depan anak dan keluarga perlu diberikan keutamaan.

“Satu perkara yang saya lihat dan penting adalah masa depan anak dan keluarga. Kedua penempatan mereka oleh kerana mereka duduk di sini atas ihsan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan menyewa disini.

“Mereka mesti dapat pendapatan supaya dapat meneruskan kehidupan di sini,” katanya yang juga Menteri Besar Selangor.

Sementara itu, Marry Maria yang ditemui melahirkan rasa terharu di atas kesudian Tan Sri Abdul Khalid mengunjungi keluarga beliau memandangkan mereka masih terkejut dengan apa yang berlaku.

Menurutnya, cara kehidupan beliau dan keluarga berubah selepas kematian Dharmendran yang selama ini memikul tanggungjawab keluarga terutama dalam urusan perbelanjaan.

“Dulu suami saya jaga kesemuanya. Sekarang dia tiada susah sikit.

“Dia (Dharmendran) tidak pernah susahkan saya. Sedikit demi sedikit kena tukar cara hidup,” katanya.

Tambah Marry, beliau sedang mempertimbangkan untuk mencari pekerjaan untuk menampung perbelanjaan bulanan selain terpaksa membayar sewa rumah berjumlah RM124.

Buat masa ini perbelanjaan beliau dibantu oleh pihak keluarga.

Dharmendran dilaporkan ditahan polis selepas membuat laporan polis susulan satu pergaduhan yang melibatkan dirinya pada 11 Mei.

Isteri dan ibu bapanya hanya mengetahui mengenai penahanan tersebut pada 19 Mei dan mengunjungi Dharmendran di lokap polis.

Beliau sepatutnya dibebaskan dengan jaminan pada 21 Mei namun Marry Mariay Susay (isteri) menerima panggilan yang menyatakan bahawa Dharmendran telahpun meninggal dunia.