Categories
EXCO SELANGOR

Kes Covid-19 masih empat angka bukti darurat gagal

SHAH ALAM, 27 JUN: Pengisytiharan darurat sejak 11 Januari lalu perlu ditamatkan kerana terbukti gagal mengekang penularan Covid-19, kata wakil rakyat Bukit Lanjan.

Elizabeth Wong berkata kadar jangkitan harian dalam negara kekal mencatat empat angka meskipun langkah tersebut dilaksanakan sejak awal tahun.

“Memang ini adalah masa tepat untuk kita menyatakan (kerajaan) perlu habiskan tempoh (darurat) ditetapkan cepat-cepat dan tidak sepatutnya dipanjangkan lagi.

“Data harian jelas menunjukkan kes Covid-19 tidak dapat dikurangkan, jadi apa maksudnya dengan pengisytiharan darurat jika ia tidak memenuhi hasrat atau objektif diperkatakan ?,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program bual bicara melawan wabak, melangkau politik yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Media Selangor malam tadi.

Sebelum ini Perdana Menteri menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mengeluarkan proklamasi darurat berkuat kuasa 11 Januari hingga 1 Ogos depan.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata langkah itu wajar diambil berdasarkan peruntukan perlembagaan persekutuan menggariskan ancaman terhadap ekonomi merupakan asas proklamasi darurat dibuat.

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Media Selangor guna semua medium promosi Sidec TV

SHAH ALAM, 24 JUN: Media Selangor Sdn Bhd (Media Selangor) akan menggunakan semua aset dan produk sedia ada bagi mempromosikan Sidec TV kepada penduduk negeri ini.

Ketua pegawai eksekutifnya berkata hebahan boleh dibuat melalui portal, akhbar, media sosial dan televisyen web yang disiarkan di bangunan pusat pentadbiran Kerajaan Negeri.

“Langkah ini membantu hebahan berkaitan Sidec TV kepada rakyat dan berharap inisiatif tersebut dapat memberi kebaikan kepada semua,” kata Mohamed Fareed Ashaaree.

Beliau yang berucap pada majlis pelancaran Sidec TV secara maya semalam turut memuji inisiatif agensi terbabit untuk membantu individu menceburi perniagaan.

“Sebagai rakan strategik, pendekatan Sidec TV yang menyediakan modul lengkap berkaitan keusahawanan secara percuma adalah langkah terpuji bagi memastikan kelangsungan pendapatan rakyat Selangor.

“Saluran ini boleh diakses bila-bila masa secara maya dan peserta berpeluang menerima bimbingan dan bantuan berkonsepkan ‘zero to hero’ bagi meningkatkan produktiviti,” kata Mohamed Fareed.

Sidec TV diperkenal Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) bagi membantu usahawan menimba pelbagai pengetahuan dalam bidang e-dagang.

Pelbagai video termasuk teknik meningkatkan jualan dimuatkan secara percuma kepada peniaga yang tiada kelapangan menghadiri kelas fizikal untuk mereka belajar secara kendiri.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Tempoh dilanjut hingga Julai, orang ramai dipelawa derma tabung Palestin

SHAH ALAM, 23 JUN: Orang ramai termasuk individu dan syarikat korporat diseru menyumbang ke Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin bagi membantu penduduk Palestin.

Bendahari Negeri Dr Shahril Baharim berkata kempen sehingga akhir Julai diurus mengikut Seksyen 9, Akta Tatacara Kewangan 1957 tanpa melantik mana-mana ejen bagi mengutip derma.

“Saya menyeru individu dan syarikat yang nyatakan komitmen untuk memberi sumbangan melakukannya secepat mungkin kerana kita akan mengagihkan dana ini kepada badan tertentu.

“Semua derma perlu dibuat atas nama bendahari. Kita beri jaminan ia diurus ikut peraturan kewangan betul dan tidak akan disalah guna,” katanya selepas menerima serahan Tabung Cinta Palestin Media Selangor di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Media Selangor Mohamed Fareed Ashaaree berkata sumbangan RM5,000 bagi membantu meringankan beban rakyat Palestin yang ditimpa masalah kemanusiaan.

“Ini bukan melibatkan isu keagamaan sahaja tetapi kemanusiaan meliputi semua masyarakat.

“Harapan kami agar semua rakyat Malaysia terus pirhatin dan menyumbang untuk membantu meringankan beban penduduk Palestin yang menghadapi masalah kemanusiaan,” katanya.

Kerajaan Selangor menubuhkan Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin dengan sasaran kutipan RM1 juta bagi membantu rakyat Palestin yang menjadi mangsa kekejaman rejim Zionis.

Bantuan berkenaan dalam bentuk ambulans dan kenderaan pelbagai guna serta dilengkapi ubat-ubatan yang menjadi keperluan penduduk negara itu.

 

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Media Selangor sedia iklan percuma buat peniaga terjejas Covid-19

SHAH ALAM, 20 JUN: Media Selangor Sdn Bhd (Media Selangor) melancarkan kempen Bantu Niaga yang menyediakan iklan percuma buat usahawan terjejas akibat pandemik Covid-19.

Inisiatif sebulan bermula hari ini membantu peniaga memperluas capaian pelanggan selain menyokong agenda pendigitalan Kerajaan Negeri.

Hebahan ini diterbitkan dalam semua platform kendalian Media Selangor termasuk media sosial dan Selangorkini bagi meluaskan capaian audiens.

Penyertaan boleh dibuat dengan mengisi borang dalam talian melalui pautan selangorkini.my/bantuniaga. Mereka yang terpilih akan dihubungi.

Sebarang pertanyaan boleh diajukan melalui e-mel [email protected] atau WhatsApp 010-552 4856.

Kriteria penyertaan seperti berikut:
1. Usahawan dalam kategori industri kecil dan sederhana (IKS)
2. Menjalankan perniagaan di Selangor
3. Perniagaan terjejas berikutan pelaksanaan PKP/pandemik
4. Memiliki akaun media sosial: Facebook, Instagram & Twitter (jika ada)

Categories
AGENDA NASIONAL

Selamatkan petani, jabatan edar 30 tan buah kepada barisan hadapan

SHAH ALAM, 16 JUN: Jabatan Pertanian Selangor mengambil langkah menyelamatkan petani daripada hasil tidak terjual sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarahnya Azahar Ibrahim berkata sebanyak 100 tan lambakan buah-buahan dibeli daripada petani sekitar Klang, Sabak Bernam dan Kuala Langat.

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 30 tan disumbangkan kepada petugas barisan hadapan termasuk organisasi media.

“Insya-Allah kita akan membantu lebih ramai petani terjejas pada masa akan datang. Kita harap inisiatif ini sedikit sebanyak meringankan beban mereka,” katanya menambah sejumlah RM100,000 dibelanjakan bagi tujuan tersebut.

Siang tadi, lebih 300kg pisang berangan dan tembikai wangi diagihkan kepada kakitangan Media Selangor melalui Ketua Pegawai Eksekutif Mohamed Fareed Ashaaree di Menara Bank Rakyat di sini.

Media Selangor antara petugas hadapan yang menerima sumbangan itu selain kakitangan hospital, balai polis, pusat vaksin dan penjara di seluruh negeri.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Media Selangor kutip derma untuk tabung Palestin

SHAH ALAM, 23 MEI: Pengurusan Media Selangor mengambil langkah prihatin dengan mewujudkan Tabung Cinta Palestin Media Selangor bagi meringankan beban mangsa kekejaman perang.

Syarikat itu dalam kenyataan berkata hasil kutipan akan disumbangkan ke Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin yang dilancarkan Kerajaan Negeri pada 19 Mei lalu.

“Warga Media Selangor dialu-alukan untuk membuat sumbangan ke tabung ini secara dalam talian atau tunai ke tabung fizikal di Jabatan Kewangan dan Perolehan mulai hari ini hingga 30 Mei,” katanya.

Media Selangor dikenali sebagai Communication Corporation Sdn Bhd sejak ditubuhkan lebih 11 tahun lalu
sebagai sebahagian utama jentera penerangan Kerajaan Negeri.

Selain akhbar mingguan SelangorKini dan portal TV Selangor, Media Selangor juga menerbitkan
portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.

Minggu lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melancarkan Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin dengan kerjasama Global Peace Mission bagi membantu rakyat Palestin.

Kempen selama 10 hari bermula 19 Mei menyasarkan kutipan sebanyak RM1 juta. Sumbangan boleh dibuat melalui nombor akaun 8604747531 (Cimb Islamic Bank Berhad) atas nama Bendahari Negeri Selangor dan rujukan Palestin.

Bantuan akan diagihkan dalam bentuk ambulans dan kenderaan pelbagai guna serta dilengkapi ubat-ubatan yang menjadi keperluan penduduk Gaza.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Galak ambil vaksin, Media Selangor beri pelepasan khas

SHAH ALAM, 4 MEI: Media Selangor memberi pelepasan cuti tanpa rekod kepada kakitangan yang akan mengambil suntikan vaksin Covid-19.

Dalam kenyataan, pengurusan syarikat itu turut menggalakkan warga kerjanya mengambil vaksin bagi mencapai kelompok imuniti sekali gus menamatkan penularan wabak.

“Pihak pengurusan menyokong usaha kerajaan Malaysia bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

“Oleh yang demikian, pihak pengurusan bersetuju mengambil inisiatif bagi memberikan pelepasan cuti tanpa rekod dengan beberapa syarat,” menurut kenyataan itu.

Syarat tersebut meliputi:
1. Menyediakan bukti janji temu untuk menerima vaksin
2. Perlu memohon tiga hari sebelum tarikh menerima vaksin
3. Permohonan perlu dilakukan dengan mengisi borang cuti dan diserahkan kepada Jabatan Sumber Manusia

Pengurusan Media Selangor turut memaklumkan cuti berkenaan tidak ditolak daripada peruntukan cuti tahunan.

Mereka berharap inisiatif itu menggalakkan kakitangan Media Selangor mengambil suntikan vaksin bagi mengurangkan kadar kebolehjangkitan dan penularan Covid-19 di Malaysia.

Media Selangor dikenali sebagai Communication Corporation Sdn Bhd sejak ditubuhkan lebih 11 tahun lalu
sebagai sebahagian utama jentera penerangan Kerajaan Negeri.

Selain akhbar mingguan SelangorKini dan portal TV Selangor, Media Selangor juga menerbitkan
portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Media Selangor edar 300 pek bubur lambuk di Mydin Mall USJ

SUBANG JAYA, 1 MEI: Media Selangor Sdn Bhd (Media Selangor) mengedarkan sebanyak 300 pek bubur lambuk di pusat membeli-belah Mydin Mall USJ di sini semalam.

Pengurus kanan pengiklanan, pemasaran dan jualannya berkata program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu bertujuan merapatkan silaturahim antara pihak media dan masyarakat.

“Alhamdulillah kita berjaya menghabiskan edaran dalam tempoh sejam dan akan meneruskan lagi ke beberapa lokasi sehingga hujung Ramadan ini.

“Kita harap sumbangan ini menceriakan penerima sekali gus dapat dijadikan juadah berbuka puasa terutama kepada umat Islam,” kata Nursuziana Zulkifli kepada SelangorKini.

Progran CSR pertama kali Media Selangor turut mendapat kerjasama Kelab Sukan dan Rekreasi syarikat berkenaan iaitu Kerisemas.

Selain bubur lambuk, turut diedarkan akhbar SelangorKini kepada pengunjung pasar raya berkenaan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Penerbit SelangorKini, TV Selangor kini dikenali Media Selangor

SHAH ALAM, 21 JULAI: Penerbit SelangorKini dan TV Selangor sekarang dikenali Media Selangor Sdn Bhd setelah mendapat kelulusan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bulan ini.

Nama negeri pada syarikat pula mendapat kelulusan rasmi daripada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor pada Jun lepas sebelum dikemukakan kepada SSM.

Sebelumnya dikenali Communication Corporation Sdn Bhd, anak syarikat penuh Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor itu ditubuhkan lebih 11 tahun lalu sebagai media rasmi Kerajaan Negeri.

Selain akhbar mingguan SelangorKini dan portal TV Selangor, Media Selangor juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.

“Bersama perubahan nama syarikat ini, Media Selangor turut memperkenalkan logo baharu bagi menyeragamkan identiti syarikat. Usaha ini juga merupakan sebahagian penjenamaan semula syarikat untuk memberi nafas baharu kepada warga Media Selangor,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Mohamed Fareed Mohamed Ashaaree.

Selain perubahan nama syarikat, tambahnya, terbitan-terbitan Media Selangor akan menggunakan logo baharu masing-masing tidak lama lagi sebagai usaha mengukuhkan identiti syarikat.

Langkah ini sebahagian usaha syarikat memantapkan operasi penerbitan dan meningkatkan profesionalisme kerja lebih 80 kakitangannya.

SelangorKini boleh dibaca setiap hari di pautan selangorkini.my , TV Selangor (selangorTV.my), Selangor Journal (selangorjournal.my) serta edisi Mandarin (selangorkini.my/zh-hans/) dan Tamil (selangorkini.my/ta/).

Categories
AGENSI SELANGOR

Hargai Media Selangor, KDEBWM sumbang biskut raya

SHAH ALAM, 12 Mei: KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) hari ini menyerahkan sumbangan 83 beg biskut raya kepada Media Selangor sempena sambutan Aidilfitri yang bakal menjelang, kata ketua perhubungan awam dan medianya.

Mahfuzah Muhammad Tarmidi berkata pemberian dibuat kepada pihak media yang juga sebahagian petugas barisan hadapan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“KDEBWM amat berpuas hati dengan Media Selangor yang sentiasa membuat laporan mengenai aktiviti kita,” katanya.

Beliau berkata usahawan kecil di negeri ini secara tidak langsung menerima tempahan biskut raya termasuk  tart nanas dan almond London serta kerepek untuk diedar kepada pihak berkaitan termasuk Media Selangor.

Media Selangor yang menerbitkan akhbar mingguan SelangorKini secara mingguan dan paparan berita portal serta video termasuk siaran langsung program tertentu.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

93 peratus netizen tidak setuju naik had umur bersara

SHAH ALAM, 4 SEPT: Kira-kira 93 peratus daripada 6,200 responden pelayar maya tidak bersetuju dengan cadangan kerajan untuk melanjutkan had umur bersara mandatori daripada 60 kepada 65 tahun.

Keputusan itu diperoleh berdasarkan kaji selidik Media Selangor di Facebook, antara 12.34 tengah hari semalam hingga 9 pagi tadi.

Tinjauan SelangorKini mendapati, seramai 5,700 responden tidak bersetuju dengan cadangan itu, manakala 452 responden (tujuh peratus) bersetuju had umur bersara yang sesuai bagi rakyat Malaysia antara 60 hingga 65 tahun.

Kaji selidik itu dibuat susulan kenyataan Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran menyatakan bahawa kementerian berkenaan sedia memperhalusi cadangan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia untuk meningkatkan had usia persaraan seperti dilakukan beberapa negara maju termasuk Singapura.

Beliau berkata, pihaknya sudah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan untuk memperhalusi beberapa perkara, termasuk permintaan kenaikan pemberian elaun kos sara hidup (Cola).

Selain mengundi, netizen turut memberi pelbagai reaksi di ruangan komen, antaranya Latifah Ibrahim Latifah, yang berpendapat cadangan had umur persaraan itu sangat tidak wajar kerana menutup ruang dan peluang terhadap anak muda untuk berkhidmat dalam sektor kerajaan.

“55 tahun pencen. Bagi peluang orang muda atau belia nak bekerja. Orang muda banyak idea dan rancangan yang baik. Bagi veteran, masa yang ada tumpu dan lebihkan bersama keluarga serta bekalan akhirat pula,” tulisnya.

Komen ditinggalkan Zulkapri Zainuddin pula menganggap cadangan meningkatkan had umur itu sebagai membebankan kerajaan untuk tempoh jangka panjang.

“Kebanyakan selepas 55 tahun ramai yang sakit dan akan meninggikan kos rawatan kerajaan. Selalu MC (sijil cuti sakit). Selepas 55, baki usia boleh beramal ibadat dengan lebih tekun,” tulisnya.

Sementara itu, Hamba Dunia berkata, kerajaan boleh mempertimbangkan cadangan itu kepada kakitangan dalam sektor tertentu yang memerlukan kepakaran dan pengalaman.

“Bagi saya 55 sudah memadai dan kerja specialist (pengkhususan) mungkin memerlukan lanjutan atas faktor kepakaran serta pengalaman,” tulisnya.

Categories
SELANGOR

KDEBWM B juara paintball Piala Pengarah Urusan

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 4 MEI: Pasukan KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) B dinobatkan sebagai juara bagi Kejohanan Paintball Piala Pengarah Urusan KDEBWM, hari ini.

Kemenangan itu diperoleh ketika penentuan tembakan penalti satu lawan satu selepas pasukan berkenaan seri dengan Pasukan Media Selangor A.

Pasukan juara berjaya membawa pulang medal dan cenderamata tajaan KDEBWM.

Sementara itu, Ketua Media dan Perhubungan Awam KDEBWM, Mahfuzah Muhammad Tarmizi berkata, pertandingan kali pertama yang dianjurkan pihaknya itu mendapat kerjasama Media Selangor.

Katanya, selain merapatkan silaturahim, KDEBWM menghargai kerjasama Media Selangor yang sebelum ini menyokong pihaknya sejak beroperasi pada 2016.

“Sehingga kini, sokongan daripada Media Selangor kepada kami tidak pernah putus dan berharap ia terus berkekalan melalui acara sebegini.

“Permainan paintball dipilih memandangkan ini adalah program yang membabitkan semangat kerjasama berpasukan,” katanya ketika ditemui pada kejohanan yang berlangsung di Mudtrekker Cahaya SPK, di sini, pagi tadi.

Tempat kedua dimenangi Pasukan Media Selangor A, ketiga Pasukan KDEBWM A dan keempat Pasukan Media Selangor B.

Mengulas lanjut, Mahfuzah berkata, pihaknya akan terus bekerjasama dengan anak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Kerajaaan Selangor terutama dalam aktiviti kesukanan.

“Selepas ini kita mungkin akan adakan program berbasikal, mendaki dan sebagainya bagi membolehkan kakitangan media lebih mengenali pekerja KDEBWM.

“Kami turut berharap supaya usaha ini mendapat sokongan daripada GLC seluruh Selangor,” katanya.