Categories
AGENDA NASIONAL

Selamatkan petani, jabatan edar 30 tan buah kepada barisan hadapan

SHAH ALAM, 16 JUN: Jabatan Pertanian Selangor mengambil langkah menyelamatkan petani daripada hasil tidak terjual sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarahnya Azahar Ibrahim berkata sebanyak 100 tan lambakan buah-buahan dibeli daripada petani sekitar Klang, Sabak Bernam dan Kuala Langat.

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 30 tan disumbangkan kepada petugas barisan hadapan termasuk organisasi media.

“Insya-Allah kita akan membantu lebih ramai petani terjejas pada masa akan datang. Kita harap inisiatif ini sedikit sebanyak meringankan beban mereka,” katanya menambah sejumlah RM100,000 dibelanjakan bagi tujuan tersebut.

Siang tadi, lebih 300kg pisang berangan dan tembikai wangi diagihkan kepada kakitangan Media Selangor melalui Ketua Pegawai Eksekutif Mohamed Fareed Ashaaree di Menara Bank Rakyat di sini.

Media Selangor antara petugas hadapan yang menerima sumbangan itu selain kakitangan hospital, balai polis, pusat vaksin dan penjara di seluruh negeri.

 

Categories
AGENDA EXCO SELANGOR

Loji milik PKPS hasil lapan tan baja kompos sehari

SABAK BERNAM, 21 OGOS: Loji pemprosesan baja kompos milik Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) yang terletak di daerah ini beroperasi sepenuhnya, kata EXCO asas tani.

Ir Izham Hashim berkata loji bernilai RM4.5 juta itu mampu mengeluarkan lapan tan baja berkenaan sehari bagi memenuhi keperluan sektor pertanian di negeri ini.

“Hasil kerjasama PKPS dengan Taiwan, kita berjaya hasilkan baja kompos menggunakan tinja ayam dalam tempoh hanya tujuh hari berbanding tempoh sehingga 21 hari sebelum ini.

“Penggunaan mikrob dalam baja kompos boleh memulihkan kualiti tanah dengan cepat menjadi lebih subur sekaligus meningkatkan hasil tanaman,” katanya pada Majlis Penyerahan Insentif Input Pertanian di Pusat Pertanian Jabatan Pertanian Sungai Besar hari ini.

Izham berkata pihaknya mempergiatkan kempen penggunaan baja berkenaan dalam kalangan petani di Selangor.

“Perancangan Kerajaan Negeri pada masa depan ialah memastikan sektor pertanian menggunakan baja kompos sepenuhnya yang tidak membawa kemudaratan kepada alam sekitar.

“Penggunaan baja kimia secara berlebihan dan berterusan terhadap tanaman menjadi antara penyumbang pencemaran alam sekitar kerana ia bukan saja merosakkan struktur tanah, malah turut mencemari sumber air berhampiran kawasan pertanian,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

MB : Konsep Keempunyaan Untuk Pembangunan Luar Bandar

padi_sabak_01

SHAH ALAM 22 JULAI : Strategi pembangunan luar bandar Kerajaan Selangor akan menekankan konsep ‘keempunyaan’ atau ?ownership? bagi menjayakan objektif meningkatkan pendapatan penduduk dan membangunkan luar bandar.

Konsep tersebut bermaksud setiap individu yang terlibat secara langsung atau tidak langsung di dalam satu projek, program atau dasar harus mempunyai keinginan untuk lihat usaha itu berjaya kerana ia adalah ?kepunyaan? individu itu.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata suatu stategi menyeluruh sedang digubal bagi menterjemahkan konsep tersebut di dalam perancangan pembangunan desa.

Abdul Khalid berkata, kajian perancangan strategi sedang diljalankan meliputi sumber ekonomi, jumlah penduduk, keperluan infrastruktur dan pembiayaan kawasan-kawasan luar bandar.

Katanya, aspek berkenaan perlu diambil kira bagi memastikan kampung-kampung terpilih nanti akan dimajukan mengikut keunikan serta ciri-ciri kelainan kampung berkenaan.

“Bagi melaksanakan konsep pembangunan ini, sistem sokongan yang kukuh melibatkan jaringan keselamatan, pembaharuan khidmat pemproses tanah, khidmat sokongan jabatan berkaitan seperti Jabatan Pertanian dan sokongan pentadbiran dari segi kewangan amat diperlukan,” katanya.

Abdul Khalid berkata demikian ketika memberi ucapan di Majlis Berbuka Puasa Bersama JKK, Pengerak Belai Tempatan dan Penghulu-Penghulu Negeri Selangor di kediaman rasmi Menteri Besar di sini semalam.

Sementara itu, Abdul Khalid berkata, kewujudan pelbagai kementerian di bawah Kerajaan Persekutuan untuk membantu meningkatkan pendapatan masyarakat luar bandar ternyata masih gagal dilaksanakan.

“Beberapa kementerian diwujudkan khususnya untuk pembangunan luar bandar, namun nampaknya pembangunan luar bandar di sembilan daerah di Selangor ternyata masih jauh dari memuaskan,” katanya lagi.

Abdul Khalid turut melakukan kajian terhadap program pembangunan luar bandar yang gagal dilaksanakan Kerajaan Pusat supaya kesilapan itu tidak diulangi.

Categories
SELANGOR

Petani Berdemo Tuntut Noh Kaji Dasar Monopoli Penjualan Benih Padi

SUNGAI BESAR,9 JUN : Kerugian hampir RM300,000 semusim yang membabitkan kira-kira 300 petani di sekitar Sekinchan disebabkan dasar monopoli penjualan benih padi sehingga menyusahkan petani.

Ekoran tidak puas hati dengan dasar itu, hari ini hampir 50 orang petani mengadakan perhimpunan aman bagi menggesa Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar agar mengkaji semula dasar berkenaan atau dimansuhkan sahaja.

Kumpulan petani berharap pihak Kerajaan Pusat memberi peluang kepada syarikat-syarikat bukan Bumiputera dan yang berkelayakan agar diberikan hak urusniaga pembelian dan penjualan benih padi selaras dengan semangat 1Malaysia yang dilaungkan Perdana Menteri.

Adun Sekinchan, Ng Suee Lim yang turut sama menyertai himpunan aman di Kampung Site B Sekinchan di sini mendakwa, pembelian benih padi yang kini diswastakan menyebabkan petani berhadapan dengan masalah harga yang tidak stabil serta menjejaskan sumber pendapatan.

“Sekarang semua urusniaga penjualan benih padi setiap tahun adalah 80,000 tan, ada perbezaan benih padi yang digunakan ditanam khusus untuk benih padi, dan benih padi akan dijual serta diproses oleh pengilang kemudian akan dijual kembali kepada petani sebagai benih dan bukan beras.

“Kalau dahulu sekurang-kurangnya ada empat syarikat bukan Bumiputera dalam menceburi dalam aktiviti urusan pembelian dan penjualan benih padi tetapi sekarang tiada lagi syarikat bumiputera,” kata Suee Lim.

Jelas beliau lagi, petani berhadapan masalah tidak mempunyai kebebasan untuk menjual benih-benih padi ini dan terpaksa menjual kepada syarikat yang ditetapkan dengan harga yang tidak terjamin.

“Kadang-kadang berlakunya masalah birokrasi yang akan menyebabkan petani menjual benih padi ini dengan harga padi biasa, dan ini menjejaskan pendapatan hasil petani dan sukar untuk menyara keperluan keluarga disebabkan harga barangan yang sudah meningkat,” katanya.

Beliau menyarankan agar urusniaga benih padi itu dikembalikan kepada Jabatan Pertanian.

“Kerugian yang dihadapi petani untuk satu keping adalah dianggarkan kira-kira RM1,000 dan apabila terdapat 300 petak sawah maka jumlahnya keseluruhan dianggarkan mencecah RM300,000.

“Bagi petani jika mereka berkurangan pendapatan RM1,000 ia amat menjejaskan kepada perbelanjaan keluarga,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) Parit 7 Baroh, Rojikin Sarbini berkata, dasar yang diamalkan ini perlu ditukar kerana ada beberapa kes di mana benih padi yang dijual kembali kepada petani tidak memenuhi spesifikasi yang menyebabkan berlakunya masalah padi angin.

“Oleh kerana kuota tersebut tidak dapat menampung permintaan yang menyebabkan benih-benih ini kurang berkualiti.

“Kita berkumpul di sini pelbagai kaum adalah untuk menyatakan rasa tidak puas hati yang dizahirkan oleh para petani,” katanya.

Seorang petani, Loo Kum Yong,70, berkata, beliau menyokong usaha dan desakan petani di Sekinchan itu dengan harapan agar Kerajaan Pusat mengambil perhatian masalah mereka dan dasar yang membebankan itu dikaji semula demi masa hadapan petani di sini.