Categories
NASIONAL

Menteri Perlu Perjelas Dakwaan Ijazah Palsu

ijazah palsu

KUALA LUMPUR 27JUN : Dua menteri kabinet Datuk Seri Najib Razak yang dikaitkan dengan ijazah palsu dari luar negara digesa memperjelaskan perincian berkenaan dakwaan tersebut.

Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming mendakwa beliau memperolehi maklumat mengenai kelulusan Menteri Sumber Manusia, Datuk Richard Riot Jaem daripada laman web Kementerian Luar Negeri.

“Kami menyeru menteri untuk menjelaskan mengapa Kementerian Luar Negeri menyenaraikan kelayakan beliau sebagai sedemikian dan bukannya apa yang menteri sebut bahawa beliau mendapat Ijazah Sarjana Muda dan Sarjana dari University of Hertfordshire seperti mana yang dilaporkan dalam pelbagai laman online semalam,” katanya.

Dr Ong berkata demikian dalam satu sidang media di lobi Parlimen di sini hari ini.

Richard didakwa memperolehi Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari Chartered Institute of Business Administration (Ireland), Teoranta pada tahun 1994 dan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Preston University, Amerika Syarikat.

Dalam pada itu, Richard dilaporkan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap tuduhan berkenaan.

Mengulas lanjut, Dr Kian Ming menyatakan kesediaan berdepan dengan tindakan undang-undang berhubung kenyataannya.

Menurut Dr Kian Ming, laman web Kementerian Sains dan Teknologi juga tidak lagi menampilkan butir peribadi menterinya, Datuk Dr Ewon Ibin pada hari ini.

Sebelum ini, Dr Kian Ming mendedahkan menteri (Ewon) berkenaan memperolehi Ijazah Sarjana dalam Pentadbiran Perniagaan (MBA) daripada Commonwealth Open University dan Doktor Falsafah dalam Pentadbiran Perniagaan (DBA) daripada Golden State University, Wyoming, Amerika Syarikat.

“Kami menyeru Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk meminta perletakan jawatan serta merta salah seorang atau kedua-dua menteri tersebut sekiranya mereka tidak ikhlas mengenai kelayakan pendidikan mereka atau telah memperolehi ijazah ragu daripada kilang ijazah,” ujarnya lagi.

Categories
NASIONAL

Anwar : Belanjawan Negara 2013 Banyak Gimik Politik

KUALA LUMPUR, 28 SEPT : Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Belanjawan Negara 2013 tidak menyentuh soal ekonomi negara tetapi lebih kepada usaha meraih undi dalam Pilihan raya Umum ke-13.

Beliau berkata dua faktor utama belanjawan, iaitu unjuran prestasi ekonomi berdasarkan senario antarabangsa dan keupayaan domestik, tidak disentuh oleh Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Razak pada pembentangan tahun ini.

“Belanjawan biasanya memberikan unjuran berdasarkan senario antarabangsa dan keupayaan domestik.

“Kedua-dua ini nampak tak disentuh sangat tapi nampak beberapa gimik politik yang agak keterlaluan,” katanya dalam reaksi ringkas beliau di pekarangan Parlimen selepas sesi pembentangan Belanjawan Negara 2013.

Menurutnya lagi, Pakatan Rakyat akan memberikan jawapan tentang isu perumahan seperti yang diulas di dalam belanjawan negara.

Belanjawan yang dibentangkan oleh Najib, berjumlah RM 251.6 bilion.

Defisit negara daripada perbelanjaan belanjawan itu dianggarkan pada paras empat peratus dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi 2013.

Manakala Belanjawan Alternatif Pakatan Rakyat yang diumumkan pada 26 September, memperuntukkan RM 234 bilion dengan defisit yang berjumlah 3.5 peratus dari KDNK.

Anwar juga mengkritik kenyataan Najib berhubung isu pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) di mana Najib mengutuk perancangan Pakatan untuk menghapuskan hutang itu.

Di dalam ucapannya, Najib memperlekeh perancangan Pakatan kerana hutang tersebut yang bernilai RM 30 bilion.

“PTPTN itu suatu kenyataan yang tidak bertanggungjawab oleh Perdana Menteri kerana dia menyentuh RM30 bilion yang disentuh dalam masa 15-16 tahun.

“Jadi kita masih pertahankan dasar kita dan beberapa dasar itu (Najib) tidak mengambil kira kedudukan ekonomi dan defisit yang membengkak,? kata Anwar.

Video Berkaitan: http://www.youtube.com/watch?v=g1ZX8fVGOf4