Categories
NASIONAL

Kerajaan teruskan inisiatif ambil alih konsesi lebuh raya lain

BUTTERWORTH, 23 JUN: Kerajaan akan meneruskan inisiatif mengambil alih syarikat konsesi lebuh raya yang lain, sekiranya pengambilalihan empat lebuh raya bertol dan formula kutipan tol di lebuh raya itu berjaya, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Katanya pengambilalihan empat syarikat konsesi lebuhraya bertol itu akan menjadi projek perintis, kepada usaha kerajaan meringankan bebanan rakyat, dengan mengurangkan kadar tol pada waktu-waktu tertentu.

“Pengambilalihan ini sebagai satu projek perintis di mana kita akan kurangkan (kadar tol) untuk waktu bukan puncak, ia akan diberikan secara percuma tanpa tol. Tapi untuk waktu-waktu lain akan lihat pengurangan daripada lima, 10, 15 hingga 30 peratus. Tapi untuk waktu puncak akan dikekalkan kadar tol sekarang.

“Jadi, itu sesuatu penambahbaikan yang amat ketara berbanding dulu. Kerajaan juga tidak perlu biayai kosnya, kerana apabila kita gunakan bon untuk biayai pembelian, pembelian balik akan dibiayai oleh kadar tol yang dikutip sungguhpun (kadar) dikurangkan (kerajaan) masih mampu untuk biayai kos ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Jabatan Kastam Diraja Malaysia Pulau Pinang, di sini hari ini.

Semalam, Guan Eng dalam kenyataan mengumumkan Kementerian Kewangan telah memberikan surat tawaran rasmi kepada empat syarikat konsesi lebuh raya dengan harga ‘’enterprise value’’ atau nilai wajar perusahaan berjumlah RM6.2 bilion.

Empat konsesi lebuhraya bertol itu yang Gamuda Bhd mempunyai kepentingan ialah Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint), Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dan Terowong SMART (SMART).

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, kerajaan juga memberi jaminan bahawa tiada kenaikan tol untuk tahun-tahun yang akan datang, dan pelaksanaan inisiatif itu di lebuh raya yang lain akan dibincangkan kemudian serta dilakukan secara berperingkat.

Sementara itu, Guan Eng berkata Kementerian Kewangan akan menambah 80 alat pengimbas di semua laluan pintu masuk seluruh negara.

Menurutnya, dengan penambahan alat pengimbas itu dapat membantu pihak Kastam, mengenal pasti dan memproses barangan yang tidak dibenarkan seperti plastik yang dibawa dari negara luar, masuk ke negara ini.

Beliau berkata, pihaknya turut menerima aduan daripada pihak Kastam, yang mengalami kesukaran dalam menjalankan penguatkuasaan berikutan jumlah kontena yang masuk ke negara ini terlalu banyak.

“Kita harus berhati-hati kerana ini ada kesan yang besar ke atas alam sekitar dan kesihatan rakyat. Bila ia dibuka gas-gas dan toksik, haba-haba, yang bahaya akan keluar. Ini amat membahayakan.

“Bagaimana nak jalankan penguatkuasaan, itu satu masalah (ketiadaan pengimbas) oleh pihak Kastam yang saya rasa perlu dikaji dengan lebih teliti dengan kerajaan tempatan, kementerian alam sekitar dan pelbagai pihak,” katanya.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kenaikan harga simen, Guan Eng akan jumpa Saifuddin

GEORGE TOWN, 16 JUN: Menteri Kewangan, Lim Guan Eng akan berjumpa dengan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail minggu depan untuk membincangkan punca kenaikan harga simen, baru-baru ini.

Beliau menerima aduan daripada beberapa syarikat pemaju mengenai kenaikan mendadak harga simen itu yang bimbang akan memberi kesan buruk khususnya kepada sektor pembinaan.

Katanya, kerajaan mengambil berat mengenai aduan ini kerana kenaikan harga simen akan memberi kesan sampingan dan rantaian serta menjejaskan sektor pembinaan melibatkan perumahan, jalan raya, kilang dan sebagainya.

“Saya sedang mengumpul maklumat daripada aduan yang diterima daripada pemain industri dan akan berbincang dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna minggu depan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau mengulas aduan mengenai kenaikan harga simen oleh syarikat pemaju hartanah antara 40 dan 50 peratus seperti disahkan melalui surat daripada pembekal bermula semalam dan 1 Julai ini.

Terdahulu, Guan Eng mengadakan perjumpaan dengan Penasihat Persatuan Pembina dan Pembekal Bahan Binaan Pulau Pinang Datuk Lim Kai Seng, Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Datuk Toh Chin Leong dan Pengerusi Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia cawangan Pulau Pinang, Datuk Ooi Eng Hock untuk membincangkan mengenai kenaikan harga simen.

Beliau turut mempersoalkan sama ada wujud impak daripada kuasa monopoli syarikat pembekal simen yang telah menyebabkan harga simen melonjak begitu ketara.

“Sekiranya ini untuk membolehkan syarikat untung besar dan memudaratkan industri serta ekonomi, ini satu perkara yang dipandang berat dan kerajaan mengambil serius mengenainya,” katanya.

Sementara itu, Toh berkata impak daripada kenaikan harga simen itu akan menyebabkan pemaju tiada pilihan daripada menaikkan harga rumah pada masa akan datang.

Katanya baru-baru ini, pihak pembekal simen telah memaklumkan kepada pelanggannya bahawa kenaikan harga simen akan berkuat kuasa pada 15 Jun dan 1 Julai ini.

“Saya tidak faham kenapa harga simen perlu dinaikkan begitu ketara dan ini akan menjejaskan harga rumah kerana sektor pembinaan banyak menggunakan simen untuk membina rumah dan infrastruktur lain,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Perang dagangan tidak untungkan sesiapa dalam jangka panjang

BATU KAWAN, 15 JUN: Walaupun Malaysia sedang menikmati manfaat akibat perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China, namun impak itu bersifat sementara kerana pertikaian sedemikian tidak menguntungkan mana-mana pihak dalam jangka panjang.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, pertikaian antara dua kuasa besar ekonomi itu memberi manfaat kepada Malaysia dari segi penempatan semula perniagaan serta lencongan dagangan dan pelaburan tetapi negara ini akan turut merasai tempias kelembapan ekonomi jika pertikaian itu terus berlanjutan.

“Walaupun Malaysia antara negara yang mendapat manfaat, namun perang perdagangan tersebut tidak menguntungkan sesiapa. Tiada (pihak) yang menang, sebaliknya hanya rugi.

“Oleh itu, kita berharap China dan AS dapat mencapai penyelesaian. Kita juga berharap Presiden Donald Trump yang akan ke Jepun bagi menghadiri Sidang Kemuncak Kumpulan 20 Negara atau G20, dapat melihat kepentingan global yang lebih luas,” katanya merujuk persidangan yang akan diadakan di Osaka pada 28 hingga 29 Jun ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan kilang Hotayi Electronic (M) Sdn Bhd, di sini, hari ini.

Mengulas selanjutnya, Lim berkata AS menyumbang 20 peratus kepada ekonomi global manakala China sebanyak 16 peratus dan sebarang pertikaian berpanjangan akan menjejaskan perdagangan global.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau memuji langkah Hotayi Electronic untuk membuat pelaburan RM1 bilion di Pulau Pinang dalam usaha mengembangkan kapasiti pengeluaran serta menjadi rakan strategik bagi pembuatan pintar di ASEAN.

Menurutnya, syarikat itu kini mempunyai seramai 850 pekerja di negeri dan pelaburan tersebut akan meningkatkan jumlah pekerja kepada lebih 1,000 orang.

Malah, keperluan pekerja mahir itu adalah seiring dengan aspirasi kerajaan bagi membolehkan sektor swasta mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkualiti dengan gaji menarik untuk rakyat negara ini, katanya.

“Pihak pengurusan Hotayi Electronic telah memaklumkan saya bahawa mereka juga aktif melahirkan tenaga kerja kejuruteraan baharu dan pekerja mahir sejajar dengan dasar kebangsaan ‘Industry4WRD’. Malah, kilang baharu Hotayi melaksanakan konsep (Revolusi Perindustrian) Industri 4.0 dan menggabungkan ciri pemuliharaan tenaga bagi mengurangkan jejak karbon,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Pengagihan hasil kutipan cukai pelancongan akan diteruskan

BUKIT MERTAJAM, 15 JUN: Pengagihan hasil cukai pelancongan kepada negeri akan diteruskan setiap tahun apabila 50 peratus akan diberikan balik ke negeri seperti yang dijanjikan kerajaan, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Lim berkata pengagihan untuk kutipan cukai pelancongan pada 2019 dijangka diberikan kepada setiap negeri pada suku pertama tahun 2020.

“Kita tepati janji, bukan seperti kerajaan dahulu janji tetapi tidak bagi…kutipan cukai pelancongan tahun 2018 telah dibayar awal tahun ini dan pembayaran akan diteruskan setiap tahun,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri DAP Pulau Pinang di sini hari ini.

Beliau berkata Pulau Pinang merupakan negeri yang kedua terbanyak menerima pengagihan cukai pelancongan iaitu sebanyak RM10 juta selepas Sabah yang mendapat RM12 juta.

“Bagi pembayaran cukai pelancongan kepada setiap negeri, kita akan mengikut proses yang sama iaitu kerajaan persekutuan akan membayar balik 50 peratus daripada jumlah cukai yang dikutip dari setiap negeri,” katanya.

Cukai pelancongan merupakan cukai yang dikutip daripada pelancong asing iaitu RM10 untuk satu malam bagi yang tinggal di hotel atau tempat penginapan berdaftar.

Dalam laporan Mac lalu, selain Sabah dan Pulau Pinang, pembayaran 50 peratus hasil cukai pelancongan juga diterima Selangor iaitu sebanyak RM10.3 juta, Johor (RM7.99 juta), Pahang (RM7.86 juta), Melaka (RM5.35 juta), Kedah (RM5.08 juta), Sarawak (RM2.58 juta), Negeri Sembilan (RM2.47 juta), Perak (RM1.25 juta), Terengganu (RM1.03 juta), Kelantan (RM150,000) dan Perlis (RM20,000).

Sementara itu, Lim yang juga Setiausaha Agung DAP turut mengingatkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang supaya meneruskan usaha mereka untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Walaupun pemerintahan di Pulau Pinang masuk penggal ketiga, kita tidak boleh terlalu leka dengan sokongan yang ada dan semua aduan rakyat harus diambil serius.

Terdahulu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim; Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman bersama-sama ribuan rakyat berbilang kaum hadir memeriahkan Majlis Rumah Terbuka DAP Pulau Pinang di sini.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Media jangan jadi alat kepentingan pihak swasta

BATU KAWAN, 15 JUN: Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menasihatkan pihak media supaya tidak menjadi alat untuk kepentingan syarikat swasta dengan menyiarkan laporan palsu dan tidak berasas.

Beliau berkata, pihak media perlu bersikap profesional dan bertanggungjawab terhadap laporan yang dikeluarkan.

“(Media) Jangan siarkan berita yang bukan-bukan dan tidak berasas kerana anda hanya menjadi alat untuk kepentingan pihak swasta.

“Mereka (syarikat swasta) mahu promosikan projek mereka dan untuk jual surat khabar, anda siarkan berita palsu itu…ia bukanlah satu tindakan yang bertanggungjawab,” katanya pada sidang media selepas merasmikan pembukaan Hotayi Electronic (M) Sdn Bhd, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris pada 10 Jun lalu yang melaporkan terdapat dua syarikat yang merancang untuk membina lapangan terbang baharu, masing-masing dinamakan sebagai Lapangan Terbang Antarabangsa Utara Malaysia (NMIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Wilayah Utara (NORIA), di dua lokasi berbeza di selatan Seberang Perai di bahagian tanah besar Pulau Pinang.

Laporan itu menyebut, dua lapangan terbang baharu yang dicadangkan itu akan menggantikan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) di Bayan Lepas selain menyebabkan cadangan membina Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim melalui Inisiaitf Pembiayaan Swasta (PFI) tidak lagi perlu.

Lim yang juga Anggota Parlimen Bagan berkata laporan itu adalah palsu dan kerajaan persekutuan mahupun kerajaan negeri Pulau Pinang dan Kedah masing-masing tidak tahu menahu mengenai cadangan pembinaan lapangan terbang baharu itu.

Beliau berkata kerajaan kini memberi keutamaan kepada projek pembesaran dan menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di Bayan Lepas yang mampu menampung sehingga 16 juta penumpang.

Ditanya sama ada kerajaan akan mempertimbangkan sekiranya ada syarikat swasta mengemukakan kertas cadangan, beliau berkata kerajaan tidak akan melayan sebarang berita palsu.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA EKONOMI

Kerajaan komited tangani hutang tanpa jejas pertumbuhan ekonomi

PUTRAJAYA, 2 JUN: Kerajaan komited untuk terus mengurangkan tanggungan hutang dan liabiliti negara secara keseluruhan dan bukan hanya memberi tumpuan untuk menurunkan hutang langsung kerajaan sahaja.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam kenyataannya hari ini berkata, Jawatankuasa Pengurusan Hutang (JPH) yang baharu ditubuhkan akan meneruskan usaha konsolidasi fiskal bagi mengawal peningkatan hutang langsung kerajaan tanpa menjejaskan pertumbuhan ekonomi.

“Usaha ini yang akan dijalankan seiring dengan tadbir urus yang lebih telus dan lebih baik mampu mengurangkan lagi hutang dan liabiliti kerajaan secara keseluruhan pada tahun 2019 dan seterusnya,” katanya.

Guan Eng berkata, antara kejayaan yang dicapai ialah pengawalan dan pengurangan hutang dan liabiliti kerajaan secara keseluruhan kepada 75.4 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2018 daripada 79.3 peratus pada 2017.

“Ini adalah hasil rasionalisasi ke atas kos projek-projek mega serta pembayaran Kerjasama Awam Swasta atau Public-Private Partnership (PPP).

“Walaupun terdapat peningkatan hutang langsung kerajaan, secara keseluruhan hutang dan liabiliti kerajaan telah turun 3.9 mata peratusan,” katanya.

Guan Eng berkata, komitmen kewangan lain yang dimulakan oleh pentadbiran terdahulu termasuklah pembayaran pajakan PPP dan lain-lain liabiliti seperti 1Malaysia Development Berhad.

Komponen berkenaan telah turun 6.8 mata peratusan kepada 15 peratus berbanding KDNK pada 2018 daripada 21.8 peratus pada 2017, katanya.

“Penurunan 6.8 mata inilah yang membenarkan kerajaan untuk mengurangkan tanggungan hutang dan liabiliti kerajaan secara keseluruhan dalam tempoh setahun,” kata beliau.

Kenyataan Kementerian Kewangan semalam menyebut JPH dalam mesyuarat pertamanya pada Jumaat yang dipengerusikan oleh Lim meneliti kedudukan hutang dan liabiliti kerajaan berjumlah RM1.1 trilion atau 75.4 peratus daripada KDNK setakat akhir 2018.

– BERNAMA

 

 

Categories
NASIONAL

Status Pengerusi dan CEO TM diputuskan PM – Guan Eng

GEORGE TOWN, 1 JUN: Kedudukan jawatan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Telekom Malaysia Bhd (TM) adalah kekal pada masa ini sehingga ia diputuskan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kelak.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, sehingga kini pihaknya tidak mendapat sebarang arahan daripada Perdana Menteri untuk menggantikan penyandang jawatan tersebut.

“Jawatan Pengerusi dan CEO yang dilantik oleh Kementerian Kewangan adalah selepas mendapat surat dan catitan daripada Perdana Menteri sendiri dan sehingga kini arahan belum diterima daripada Perdana Menteri bagi pertukaran maka jawatan Pengerusi dan CEO TM masih orang sama, ” katanya semasa sidang media di Perpustakaan Digital Pulau Pinang di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai artikel bertajuk ‘Stand-Off CEO Telekom’ yang disiarkan media kewangan, The Edge Financial Daily, semalam.

Laporan itu antara lainnya memetik sumber yang mendakwa Pengerusi TM Rosli Man enggan meneruskan pelantikan pemangku CEO, Imri Mokhtar bagi menggalas tugas itu walaupun pelantikan beliau telah diluluskan oleh pemegang saham khas TM, Menteri Kewangan (Diperbadankan).

Dalam pada itu Guan Eng berharap agar isu berhubung lantikan kedua-dua jawatan itu kini jelas dan ia bukannya berdasarkan daripada pihak sumber kedua atau ketiga.

— BERNAMA

Categories
NASIONAL

MOF bayar balik RM17.1 bilion GST, cukai pendapatan

KUALA LUMPUR, 10 MEI: Kementerian Kewangan membuat pembayaran balik RM17.1 bilion cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan cukai pendapatan untuk tahun ini sehingga 30 April.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, ia meliputi pembayaran balik RM5.2 bilion cukai pendapatan kepada 70,205 kes syarikat, dan RM2.4 billion pemulangan cukai pendapatan kepada 1,186,288 kes bukan syarikat oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Manakala RM9.5 bilion pemulangan balik GST oleh Kastam Diraja Malaysia kepada 76,002 yang berdaftar sehingga 30 April 2019.

“Pembayaran balik bayaran cukai ini dijangka menjana impak positif kepada perniagaan di Malaysia dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, RM16 bilion daripada bayaran balik itu adalah daripada dividen istimewa sekali oleh Petronas berjumlah RM30 bilion untuk digunakan bagi membayar balik GST dan bayaran balik cukai pendapatan sebanyak RM37 bilion tahun ini seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2019 tahun lalu.

“Dividen istimewa sekali dari Petronas ini mula dibayar kepada kerajaan secara berperingkat, dan bayaran balik kepada pembayar cukai bermula sejak Januari,” katanya.

Beliau berkata, tunggakan RM37 bilion dalam pembayaran cukai pendapatan enam tahun dan pembayaran balik GST selama tiga tahun membabitkan 121,429 pendaftar GST dan 1,653,786 syarikat, individu, masyarakat dan yayasan pembayar cukai, pada 31 Mei 2018.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kerajaan tak main silap mata pulih ekonomi negara

SANDAKAN, 3 MEI: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak bermain silap mata untuk memulihkan ekonomi negara dalam masa singkat ekoran menanggung hutang tinggi yang diwarisi daripada Barisan Nasional (BN).

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan PH memerlukan sedikit masa untuk merancang bagi mengurangkan bebanan hutang selama puluhan tahun di bawah kerajaan terdahulu dan memulihkan ekonomi negara.

“Bebanan hutang oleh kerajaan BN tidak diselesaikan dalam tempoh setahun​,” katanya pada ceramah umum DAP pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan, di sini, malam tadi.

Hadir sama, calon DAP PRK Sandakan, Vivian Wong Shir Yee dan Penasihat DAP Pusat, Lim Kit Siang.

Guan Eng, yang juga setiausaha agung DAP berkata, negara dirompak oleh kerajaan lama sehingga menanggung hutang RM150 bilion termasuk hutang 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

“Akibat skandal dan kepentingan peribadi pemimpin kerajaan sebelum ini menyebabkan negara sakit.

“Kita usaha kurangkan hutang ini. Beri kami masa sekurang-kurangnya tiga tahun untuk memulihkan ekonomi negara ke landasan betul dan bangkit sebagai Harimau Asia,” katanya.

Namun, beliau berkata, beban hutang itu tidak menghalang kerajaan meneruskan projek pembangunan demi kesejahteraan rakyat.

Pada masa sama, Guan Eng turut membidas parti lawan iaitu Parti Bersatu Sabah (PBS) yang menggunakan modal menghentam peribadinya untuk berkempen di PRK Sandakan.

“Mereka tiada modal lain. Apa yang saya tidak cakap pun hentam saya, justeru kita kena tolak parti lawan (PBS) yang merupakan saki baki kerajaan lama yang gagal menentang rasuah di Sabah dan Persekutuan,” tegasnya.

Beliau berkata, Kerajaan Persekutuan di bawah PH memastikan sistem penyampaian projek pembangunan yang dilaksanakan bukan cakap kosong sahaja.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tiada sebab halang bina lapangan terbang Kulim

GEORGE TOWN, 29 APR: Tidak ada sebab untuk menghalang cadangan pembinaan Lapangan Terbang Kulim (KXP) di Kedah apabila pembiayaannya akan ditanggung oleh pihak swasta menerusi Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI), kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Beliau berkata, kerajaan mahupun Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) tidak perlu mengeluarkan apa-apa perbelanjaan kerana projek berkenaan dibiayai sepenuhnya oleh pihak swasta.

“Kerajaan tak perlu keluarkan wang. Itu yang kita dapat jimat. Itulah pendekatan kerajaan selama ini. Sekiranya pihak swasta keluarkan wang dan kerajaan tak keluarkan wang jadi kenapa kita harus menghalangnya sekiranya wang ini datang daripada pihak swasta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Lee Khai Loon (PH-Machang Bubok) yang mencelah ketika Lim membahaskan ucapan terima kasih Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini hari ini.

Lee ingin tahu sama ada pembinaan KXP akan memberi impak negatif kepada Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) khususnya dan negeri Pulau Pinang amnya.

Terdahulu, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, dua laporan hasil kajian kebolehlaksanaan cadangan pembinaan lapangan terbang tersebut yang dilaksanakan oleh perunding mendapati projek berkenaan akan memberi impak negatif kepada negeri itu.

Lim yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih berkata, pembesaran LTAPP dan pembinaan KXP kelak akan melonjakkan industri pelancongan ke tahap yang lebih tinggi.

Sementara itu, mengulas mengenai projek pembesaran dan menaik taraf LTAPP, beliau berkata, pihaknya bercadang untuk memperbesarkan lapangan terbang itu sehingga mampu menampung kapasiti 16 juta penumpang berbanding 12 juta penumpang yang dirancang sebelum ini.

“Sekarang penumpang di Pulau Pinang ialah lapan juta orang. Kalau bina untuk kapasiti 12 juta penumpang nanti di masa depan sukar untuk dapat peruntukan, jadi lebih baik kita teruskan dengan kapasiti 16 juta penumpang.

“Kalau kita mahu (kapasiti) 16 juta penumpang, saya rasa kita kena lihat jangka masa yang lebih panjang, satu perancangan yang lebih mendalam kerana akan melibatkan penggunaan tanah yang luas yang berkemungkinan akan meningkatkan jumlah perbelanjaan,” katanya.

Persidangan DUN bersambung esok.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

PAKATAN buktikan tadbir urus bersih – Guan Eng

SANDAKAN, 28 APR: Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) adalah sebuah kerajaan bersih yang memastikan setiap ringgit dibelanjakan dapat dilihat hasilnya oleh rakyat tanpa berlaku ketirisan, penyelewengan, salah laku dan amalan rasuah, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Beliau berkata rakyat akan dapat melihat perbezaan pembangunan yang dibuat dengan bersih untuk kesejahteraan rakyat.

“Kita harap rakyat akan menikmati perubahan yang ketara ini iaitu pembangunan yang ‘bersih’,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan program tinjauan mesra bersama calon DAP bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan, Vivian Wong Shir Yee di Pasar Umum, di sini hari ini.

Menyentuh mengenai pembangunan di Sandakan, beliau berkata hanya selepas peralihan kerajaan, pembangunan di bandar itu dapat dilaksanakan berbanding kerajaan sebelum ini.

 

Beliau yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, kerajaan Pusat telah meluluskan projek bagi membesarkan Lapangan Terbang Sandakan, membaiki lif Hospital Duchess of Kent yang rosak serta menaik taraf blok hospital itu.

Sementara itu, Guan Eng menafikan pemilihan Wong sebagai calon parti itu kerana populariti penyandang kerusi itu iaitu mendiang Datuk Stephen Wong Tien Fatt.

Beliau berkata pemilihan Wong merupakan kesinambungan dan warisan perjuangan daripada mendiang bapanya yang perlu diteruskan malah beliau juga tidak asing bagi pengundi di kawasan Parlimen itu.

“Apa salahnya kita pilih seorang aktivitis yang dekat dengan rakyat dan secara kebetulan adalah anak perempuan mendiang, oleh itu sekiranya kita nak meneruskan kesinambungan perkhidmatan yang baik, saya rasa itu adalah pilihan yang baik,” katanya.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Dana RM500 juta, Geran RM100 juta buat pekebun kecil sawit

PUTRAJAYA, 27 APR: Kerajaan hari ini mengumumkan dana pinjaman mudah sebanyak RM500 juta bagi penanaman semula sawit oleh pekebun kecil persendirian dengan kadar faedah rendah dua peratus setahun.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam kenyataannya hari ini berkata, program pinjaman mudah ini diharap dapat membantu meringankan beban kewangan para pekebun kecil dalam melaksanakan penanaman semula sawit.

“Di samping itu, dana pinjaman mudah sebanyak RM50 juta juga disediakan pada kadar faedah dua peratus setahun bagi membiayai input dan bahan penanaman sawit dengan penggunaan benih yang disahkan serta baka yang berkualiti dan terkini,” katanya.

Jelas Guan Eng, bantuan untuk pekebun sawit itu diperkenalkan atas keprihatinan kerajaan terhadap keadaan semasa yang dihadapi oleh pengusaha sawit berikutan harga komoditi minyak sawit yang rendah.

“Penyediaan dana pinjaman mudah dan bantuan terutamanya kepada pekebun kecil untuk penanaman semula adalah selaras dengan komitmen kerajaan Pakatan Harapan untuk menjamin kebajikan pengusaha sawit dan pada masa yang sama mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pengeluar sawit mampan utama di dunia,” katanya.

Dalam kenyataan yang sama, Guan Eng turut mengumumkan geran RM100 juta untuk pengusaha sawit yang mendapatkan Pensijilan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO).

“Di bawah dasar ini, kerajaan akan menanggung 100 peratus kos pensijilan MSPO daripada 70 peratus sedia ada bagi pengusaha sawit yang mempunyai saiz penanaman sederhana (40 – 1000 hektar).

“Kerajaan juga akan menambahkan bantuan untuk kos pengauditan daripada 30 peratus kepada 50 peratus. Insentif ini akan dibayar setelah pengusaha berjaya mendapat pensijilan,” katanya.

Tambah Guan Eng, Kementerian Kewangan mengalu-alukan pengiktirafan sawit Malaysia di peringkat antarabangsa termasuk pemeteraian memorandum persefahaman di antara Malaysia dan China pada Khamis yang melibatkan pembelian tambahan 1.9 juta tan minyak sawit Malaysia dengan anggaran nilai RM4.56 bilion bagi tempoh lima tahun (2019 – 2023).

Justeru, katanya, penambahbaikan bantuan kepada pengusaha sawit terutamanya golongan pekebun kecil persendirian bertujuan memastikan pertumbuhan permintaan minyak sawit Malaysia tidak hanya dinikmati syarikat besar.

– BERNAMA