Categories
NASIONAL

ECRL: Tanah berhampiran stesen tidak diberi percuma

PUTRAJAYA, 23 APR: Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menolak dakwaan bahawa 4,500 ekar tanah di sepanjang Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan diberikan secara percuma kepada China Communications Construction Company Ltd (CCCC).

Guan Eng mengulas dakwaan blogger Raja Petra Kamarudin bahawa untuk ‘diskaun’ sebanyak RM21.5 bilion, CCCC diberikan kira-kira 4,500 ekar tanah di tujuh taman perindustrian yang berbeza berhampiran stesen ECRL.

ECRL diteruskan dengan perjanjian yang lebih baik dengan CCCC, dengan kos ECRL dikurangkan kepada RM44 bilion daripada RM65.5 bilion sebelum ini, penjimatan sebanyak RM21.5 bilion.

“Saya tidak dimaklumkan mengenai 4,500 ekar diberikan secara percuma. Saya tidak fikir itu betul. Melihat kepada kontrak, jika terdapat apa-apa tambahan, ia perlu melalui Kabinet.

“Setakat ini, kami tidak dimaklumkan mengenai apa-apa tambahan 4,500 ekar diberikan secara percuma. Saya tidak fikir begitu,” katanya.

Guan Eng berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian bagi Program Kerjasama Industri antara kerajaan Malaysia dan Bombardier Hartasuma Consortium di Kementerian Kewangan di sini, hari ini.

Katanya, butiran kontrak rasmi akan didedahkan.

“Setakat yang saya tahu, ia tidak diberikan secara percuma. Jika anda melihat TOD (pembangunan berorientasikan transit), justeru, ia bukan percuma. TOD merupakan kaedah standard untuk semua projek infrastruktur,” katanya.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Prestasi ringgit terus dipantau – Guan Eng

KUALA LUMPUR, 23 APR: Kerajaan akan terus memantau prestasi ringgit dalam pasaran mata wang asing berikutan penyusutan nilai unit tempatan itu baru-baru ini, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Malah, jelas beliau, prestasi ringgit juga sewajarnya dinilai berasaskan unjuran tahunan berbanding harian berikutan turun naik ringgit dalam pasaran harian yang merupakan sesuatu yang biasa berlaku.

“Turun naik ringgit itu adalah perkara biasa. Oleh itu, kita perlu melihat prestasi ringgit bagi tempoh melebihi setahun.

“Jika kita buat (penilaian) berasaskan unjuran harian, ini sebenarnya kurang tepat. Biarlah kita melihat unjuran itu pada akhir tahun,” katanya dalam temu bual dengan beberapa media tempatan, termasuk Bernama, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kejatuhan nilai ringgit baru-baru ini dan sama ada kerajaan berhasrat melaksanakan campur tangan dari segi polisi bagi mengekang penyusutan nilai mata wang tersebut.

Perkembangan ringgit itu dikaitkan dengan tindakan penyedia indeks global FTSE Russell pada minggu lepas untuk menilai semula Malaysia dari segi akses pasaran dalam Indeks Bon Kerajaan Dunia FTSE (WGBI) berikutan kebimbangan membabitkan kecairan pasaran.

Susulan itu, ringgit terjejas apabila pelabur bimbang mengenai kemungkinan Malaysia tidak lagi layak disenaraikan dalam indeks tersebut.

Malaysia yang dimasukkan ke dalam senarai WGBI sejak 2004, kini diletakkan pada kedudukan ‘2’ dan dipertimbang untuk diturunkan ke tahap ‘1’ yang akan menjadikan negara ini tidak lagi layak untuk disenaraikan dalam indeks tersebut.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

3 juta individu bakal terima Bantuan Sara Hidup minggu ini

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

PUTRAJAYA, 29 MAC: Seramai 3 juta individu bakal menerima Bantuan Sara Hidup (BSH) 2019 untuk golongan bujang yang akan disalurkan bermula minggu ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam kenyataan hari ini berkata, bantuan itu membabitkan peruntukan kewangan sebanyak RM300 juta.

“Atas keprihatinan terhadap tekanan kos sara hidup, kerajaan menunaikan janjinya dengan membuat bayaran BSH kepada 3 juta individu pada minggu ini,” katanya.

Pada 28 Januari lalu, kerajaan sudah membuat bayaran BSH fasa pertama sebanyak RM300 kepada 4.1 juta isi rumah membabitkan peruntukan RM1.2 bilion.

Pada masa sama, Guan Eng berkata, Kementerian Kewangan memperuntukkan RM120 juta bagi Bantuan Pelajar Pendidikan Tinggi melalui Kad Diskaun Siswa Bank Rakyat yang melayakkan setiap pelajar menerima RM100.

Katanya, kerajaan juga akan terus memberi perhatian kepada isu kos sara hidup, terutama golongan berpendapatan rendah.

Categories
NASIONAL

Lebih 3.2 juta permohonan Bantuan Sara Hidup direkodkan

KUALA LUMPUR, 28 MAC: Lebih 3.2 juta permohonan Bantuan Sara Hidup (BSH) direkodkan sehingga semalam, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Beliau berkata, ia merangkumi 530,000 permohonan baharu serta 2.67 juta permohonan pengemaskinian data.

“Jumlah ini akan terus meningkat berdasarkan proses kemasukan data kini masih sedang dilaksanakan Lembaga Hasil Dalam Negeri dan dijangka mencecah empat juta permohonan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) yang meminta kementerian menyatakan jumlah pendaftaran baharu dan pengemaskinian BSH.

Lim berkata, bagi mengurangkan ketirisan dalam mengendalikan BSH, maklumat yang diterima daripada pemohon akan dipadankan dengan data agensi kerajaan bagi menentukan kelayakan setiap permohonan.

Beliau berkata, tiga agensi iaitu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) turut dilibatkan menjadikan keseluruhan 16 agensi terlibat dalam memastikan mereka yang benar-benar layak, menerima bantuan.

“Ini juga bagi menangani kesilapan kemasukan dan pengecualian,” katanya. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pelabur kembali yakin terhadap projek TRX dan Malaysia

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 27 MAC: Proses penjernihan dilakukan Kerajaan Persekutuan berjaya memulihkan keyakinan pelabur dari dalam dan luar negara terhadap projek Tun Razak Exchange (TRX) serta Malaysia.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, TRX dan Bandar Malaysia kini adalah projek bebas rasuah yang berjaya diselamatkan dengan bantuan kewangan masing-masing, RM2.799 bilion serta RM744 juta.

“Empat institusi bank iaitu HSBC, Maybank, Standard Chartered dan Sumitomo Mitsui Banking Corp begitu yakin terhadap Kerajaan dan menyediakan jumlah pembiayaan RM2.15bBilion kepada syarikat usaha sama TRX City Sdn Bhd – Lendlease, syarikat pemaju dari Australia, atas kemantapan projek berkenaan.

“Saya percaya lebih banyak pelabur akan tertarik dengan projek ini, yang boleh menjadi satu projek global bertaraf antarabangsa selepas dibersihkan daripada isu berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB),” katanya ketika sesi penggulungan titah diraja di Dewan Rakyat.

TRX City Sdn Bhd (TRXC), anak syarikat 1MDB menghadapi masalah kewangan untuk menyiapkan pembangunan infrastruktur projek TRX berkeluasan 70 ekar kerana sebahagian besar dana yang diperoleh melalui pinjaman dan terbitan sukuk untuk projek terbabit diselewengkan.

Sebelum ini, TRXC mengesahkan 1MDB menerima RM3.69 bilion melalui pinjaman dana daripada kerajaan secara langsung dan tidak langsung bagi membangunkan TRX dan Bandar Malaysia.

Bagaimanapun, RM1.611 juta dan RM1.456 juta yang sepatutnya digunakan untuk pembangunan TRX dan Bandar Malaysia digunakan 1MDB untuk tujuan lain.

Categories
NASIONAL

Lim nafi khabar angin wang kertas RM50 akan diganti

KUALA LUMPUR, 26 MAC: Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menafikan khabar angin yang tular di media sosial bahawa wang kertas RM50 sedia ada akan digantikan dengan wang kertas peringatan RM60.

Wang kertas RM60 dikeluarkan pada 2017 oleh Bank Negara Malaysia untuk meraikan ulang tahun ke-60 pembentukan Persekutuan Tanah Melayu pada 1948.

Lim memberi jaminan kepada orang ramai bahawa khabar angin itu adalah tidak berasas dan wang kertas RM50 boleh terus digunakan dengan yakin.

“Jadi, sila gunakannya dengan yakin. Sementara wang kertas RM60 adalah tender sah, saya nasihatkan anda untuk tidak gunakannya. Sebaliknya, simpan ia baik-baik kerana hanya terdapat 60,000 keping di luar sana,” katanya semasa merasmikan pelancaran WeChat Pay di sini, hari ini.

Beliau berkata, tiada wang kertas RM60 tambahan akan dikeluarkan dan secara perbandingan, terdapat lebih 900 juta keping wang kertas RM50 beredar dalam ekonomi pada tahun lepas.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Penstrukturan sistem percukaian beri impak positif

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 12 MAC: Penyusunan semula sistem percukaian negara berdasarkan konsep ‘shared properity’ menerusi pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) bagi menggantikan cukai barang dan perkhidmatan (GST) memberikan impak positif dengan penurunan kadar inflasi untuk rakyat.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, inflasi negara dalam tempoh Jun sehingga Disember tahun lalu berada pada kadar 0.6 peratus berbanding 1.7 peratus ketika GST dikuatkuasakan daro Januari hingga Mei tahun lalu.

“Menerusi dasar kerajaan ini, ia telah menyumbang kepada penurunan Indeks Harga Pengguna yang jatuh 0.7 peratus pada Januari lalu.

“Ini adalah penurunan harga yang pertama dalam masa 10 tahun. Kerajaan sedang berusaha memastikan supaya penurunan harga ini dapat dinikmati golongan B40 dan M40,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan yang dikemukakan Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Dr Noraini Ahmad pada sesi pertanyaan lisan Dewan Rakyat hari ini.

Katanya, kerajaan juga telah merendahkan cukai korporat bagi perusahaan kecil dan sederhana (SME) dengan modal berbayar sebanyak RM2.5 juta ke bawah dari 18 peratus kepada 17 peratus bagi merancakkan lagi pertumbuhan sektor berkenaan.

“Pada 2017, sebanyak kira-kira 66 peratus daripada jumlah pekerjaan di Malaysia disediakan sektor SME berdasarkan statistik daripada Jabatan Perangkaan Malaysia.

“Kerajaan bercadang untuk mengurangkan lagi kadar cukai korporat apabila keadaan fiskal kembali pulih dalam masa tiga tahun,” katanya.

Categories
EKONOMI

Kerajaan tetap sasaran baharu cukai langsung RM150 bilion

CYBERJAYA,1 MAC: Kerajaan menetapkan sasaran baharu kutipan cukai langsung Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada tahun ini sebanyak RM150 bilion berbanding sasaran awal sebanyak RM147 bilion.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, sasaran itu mampu dicapai berdasarkan sasaran pertumbuhan ekonomi negara tahun ini pada kadar 4.9 peratus yang perlu disusuli dengan pertambahan kutipan cukai sewajarnya.

“Dengan kemampuan LHDN mendapatkan kutipan lebih tinggi dan rakyat lebih sudi membayar cukai kerana yakin kerajaan yang bersih tidak akan merompak duit mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Hari Hasil 2019, di sini, hari ini.

Guan Eng berkata, sebelum ini kerajaan meletakkan sasaran kutipan cukai langsung sebanyak RM147 bilion bagi tahun ini, peningkatan sebanyak 7.27 peratus berbanding 2018.

Katanya, LHDN mencipta sejarah pada tahun lepas apabila mencatatkan kutipan cukai langsung berjumlah RM137.035 bilion iaitu meningkat RM13.723 bilion atau 11.13 peratus lebih tinggi berbanding 2017.

“Pencapaian kutipan ini mencerminkan ekonomi negara berada di landasan kukuh seiring dengan pengenalan tadbir urus Kerajaan Persekutuan memperkasakan prinsip cekap, akauntabiliti dan telus (CAT),” katanya.

Mengenai bayaran balik cukai pendapatan, Guan Eng berkata setakat Januari lepas, RM1.64 bilion telah dibayar melmbabitkan lebih 32,000 kes merangkumi kes syarikat (18,215), bukan syarikat (14,082 ) dan duti setem (162).

Katanya pembayaran balik tunggakan cukai RM37 bilion merangkumi Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan cukai pendapatan pada tahun ini dijangka selesai dalam tempoh 10 bulan atau dalam tempoh lebih singkat.

“RM19.4 bilion (GST) dan kira-kira RM18 bilion bagi cukai pendapatan. Perbezaan pada tahun ini ialah anda akan mendapat bayaran balik awal,” katanya.

Dalam pada itu, Guan Eng berkata, lebih 203,000 pengakuan sukarela direkodkan LHDN daripada pemilik akaun bank di dalam dan luar negara di bawah Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS), membabitkan cukai tambahan dan penalti ditaksir sekitar RM1.306 bilion.

“Ini merupakan petunjuk positif ke arah mencapai sasaran kutipan keseluruhan hasil bagi tahun 2019,” katanya.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Harga siling petrol RON95 kini RM2.08

PUTRAJAYA, 27 FEB: Kementerian Kewangan hari ini mengumumkan harga siling bagi petrol RON95 ditetapkan pada paras RM2.08 seliter.

Menterinya, Lim Guan Eng berkata, mesyuarat kabinet bersetuju dengan keputusan itu di mana had pengekalan harga runcit petrol RON95 sebelumnya, RM2.20 sekiter dikurangkan 12 sen.

“Ini bermakna harga runcit RON95 akan dihadkan pada RM2.08 seliter sungguhpun harga minyak dunia naik lebih daripada itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, dipetik MalaysiaKini.

Ketika ini, harga runcit petrol RON95 berada pada RM2.08 seliter manakala RON97 (RM2.38 seliter) dan diesel (RM2.18 seliter).

Harga siling diesel kekal sama pada RM2.18 seliter manakala bagi petrol RON97 tidak dihadkan harga maksimum.

Beliau berkata, mekanisme itu bertujuan untuk melindungi kepentingan golongan B40.

“Harga minyak akan terus dikaji setiap minggu sehingga sistem subsidi bersasar dilaksanakan pada pertengahan tahun ini,” katanya.

Categories
NASIONAL

Guan Eng: Kerajaan akan biaya projek LRT3

KUALA LUMPUR, 22 FEB: Projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) yang dijadual siap menjelang 28 Februari 2024, akan menerima sokongan kerajaan dalam bentuk pembiayaan, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Beliau berkata, sebahagian besar pembiayaan projek dengan kosnya telah dikurangkan kepada RM16.63 bilion berbanding RM31.65 bilion sebelum ini, akan disalurkan Kementerian Kewangan berikutan kedudukan Prasarana Malaysia Bhd sebagai entiti milik kerajaan.

“Kita akan membiayai projek itu menerusi pinjaman serta jaminan kerajaan. Oleh itu, kontraktor terbabit boleh mendapat jaminan kerajaan dari segi pembayaran apabila mereka menyertai projek berkenaan,” katanya, lapor BERNAMA.

Lim berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis pemeteraian perjanjian novasi antara Prasarana, MRCB George Kent Sdn Bhd (MRCBGK) dan sembilan Kontraktor Pakej Kerja (WPC).

Beliau bagaimanapun enggan mengulas kerangka kewangan berkaitan yang boleh memberi kesan terhadap harga akhir projek tersebut.

Sementara itu, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana, Datuk Mohamed Hazlan Mohamed Hussain berkata, pihaknya akan mendapatkan bantuan kerajaan jika wujud keperluan untuk mendapatkan dana itu.

Malah, katanya, kerajaan juga akan memberi nasihat mengenai instrumen kewangan yang bersesuaian.

Dalam pada itu, kontrak novasi yang ditandatangani hari ini menyaksikan sembilan WPC beralih kepada model Kontrak Harga Tetap daripada skim Rakan Pelaksana Projek yang mana risiko berkaitan projek itu akan ditanggung oleh syarikat terbabit.

“Susulan pemeteraian kontrak itu hari ini, kita boleh menjangkakan bahawa projek itu akan berjalan dengan lancar. Projek itu memang sedang dijalankan sekarang namun pada kadar lebih perlahan,” katanya.

Projek LRT3 yang menghubungkan Petaling Jaya and Klang merangkumi pembinaan 20 stesen manakala lima stesen lain akan dibangunkan pada masa depan.

Selain itu, Lim turut diminta mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang membayangkan pengumuman mengenai tol lebuh raya.

Lim bagaimanapun enggan mengulas perkara itu sehingga tiba masa yang sesuai.

“Ini adalah sebahagian daripada manifesto. Kita mahu kotakan janji, namun biarlah tunggu pengumuman mengenainya,” katanya.

Categories
NASIONAL

SJPP lancar jaminan khas RM2 bilion untuk PKS

KUALA LUMPUR, 18 FEB: Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd (SJPP) hari ini melancarkan skim jaminan khas kerajaan RM2 bilion untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memasuki Industri 4.0.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, jumlah itu adalah sebahagian daripada jaminan berjumlah RM6.5 bilion diperuntukkan dalam Bajet 2019 khusus untuk meningkatkan akses kepada pembiayaan PKS tempatan bagi Industri 4.0.

Beliau berkata, tanpa PKS yang berpengetahuan dalam teknologi Industri 4.0, Malaysia tidak akan dapat berkembang maju dan tidak akan menjadi destinasi pelaburan utama bagi pembuatan berteknologi tinggi serta perkhidmatan tambah nilai tinggi.

“Skim jaminan RM2 bilion disediakan SJPP dengan mengambil kira PKS menyumbang 37 peratus kepada Keluaran Nalam Negara Kasar Malaysia tahun lalu.

“Sumbangan itu dijangka meningkat kepada 41 peratus pada 2020,” katanya ketika berucap pada pelancaran skim itu hari ini.

Di bawah skim itu, 70 peratus pinjaman dibuat PKS akan dijamin oleh SJPP.

Sejak ditubuhkan pada 2009, SJPP sudah menawarkan jaminan RM35 bilion dengan RM18 bilion daripadanya dimanfaatkan 14,000 PKS, di seluruh negara.

*Sumber: BERNAMA

Categories
NASIONAL

PKPS: Usah resah jika tiada akaun bank di luar negara

PUTRAJAYA, 10 FEB: Pembayar cukai yang menerima surat atau e-mel Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) tidak perlu resah sekiranya tidak memiliki sebarang akaun bank di luar negara.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, ini berikutan PKPS adalah proses pemutihan cukai untuk membantu mereka yang membuka akaun di luar negara dengan wang pendapatan daripada Malaysia yang masih belum dilapor atau dicukai.

“Jika pendapatan ini telah dilaporkan kepada LHDN atau dikenakan cukai dan kemudiannya disalurkan ke luar negara, maka segalanya adalah teratur di sisi undang-undang cukai pendapatan.

“Prosedur pembukaan akaun bank di luar negara adalah seragam di peringkat antarabangsa yang mana butiran lanjut pendaftaran dan maklumat percukaian perlu dikemukakan kepada pihak berkuasa negara terbabit,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Kenyataan itu dibuat selepas pihaknya menerima banyak pertanyaan individu yang telah menerima surat serta e-mel PKPS daripada LHDN.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Seri Sabin Samitah dilaporkan berkata, pihaknya memperkenalkan inisiatif PKPS sebagai salah satu kaedah penyelesaian cukai untuk mereka yang mempunyai pendapatan dijana daripada hasil sumber pendapatan Malaysia yang boleh dicukai dan disimpan di akaun bank di luar negara tetapi pendapatan terbabit masih belum dilaporkan kepada LHDN.

Di bawah program terbabit, kerajaan bersetuju memberi kelonggaran pengurangan bayaran penalti daripada 300 peratus kepada 10 peratus sekiranya pelaporan dibuat pada atau sebelum 31 Mac dan 15 peratus sekiranya pelaporan dibuat pada atau sebelum 30 Jun ini.

Mengulas lanjut, Lim berkata, di bawah inisiatif Pertukaran Maklumat Secara Automatik (AEOI) oleh Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) yang ditandatangani oleh lebih 100 negara, LHDN telah mula menerima maklumat kewangan khususnya membabitkan pemilikan akaun bank dari luar negara mulai September tahun lalu.

“Dalam erti kata lain, PKPS menawarkan satu penyelesaian cukai bagi mereka yang ada akaun bank di luar negara tetapi pendapatannya tidak dilaporkan kepada LHDN.

“Pembayar cukai dalam kategori inilah yang diminta menerusi e-mel atau surat LHDN untuk menghubungi dan melaporkan pendapatan terbabit kepada LHDN,” katanya.

Justeru, beliau berkata, pembayar cukai yang mempunyai akaun bank di luar negara boleh membuat pelaporan secara sukarela melalui PKPS jika terdapat pendapatan dari Malaysia yang disimpan di dalam akaun bank luar negara tetapi belum dilapor atau dikenakan cukai.

“Saya juga telah meminta LHDN mengambil tindakan tegas terhadap aduan yang diterima berhubung segelintir pegawainya yang cuba mengambil kesempatan di atas pelaksanaan PKPS dengan menjalankan tugas secara tidak profesional, mengugut pembayar cukai dan tidak mengikut prosedur kerja yang ditetapkan,” katanya.

Lim turut menegaskan bahawa tiada perubahan dalam sistem dan kuantum penalti cukai yang berkuat kuasa untuk pembayar cukai dalam Malaysia dan masih menggunakan struktur penalti sama.

“Perubahan tindakan yang dibuat adalah menghentikan serbuan ke rumah pembayar cukai pada tengah malam oleh pegawai bersenjata dan mengenakan topeng muka sebelum ini (iaitu) operasi Pasukan Penguatkuasa Pemulihan Negara (NRRET),” katanya.

Susulan itu, katanya, satu e-mel atau surat baharu akan dihantar semula oleh LHDN untuk menggantikan surat edaran PKPS sebelum ini bagi mengelak sebarang salah faham.

SUMBER: BERNAMA