Categories
NASIONAL

Tabung Harapan Malaysia ditutup, kumpul RM202.72 juta

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 7 FEB: Tabung Harapan Malaysia (THM) yang mendapat maklum balas positif berjaya mengumpul RM202,716,775.10 selepas tempoh lanjutan dua minggu seperti diputuskan Mesyuarat Jemaah Menteri, pada 2 Januari 2019 dan berakhir pada 14 Januari lalu.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, sumbangan yang dibuat selepas tempoh itu tidak akan dikreditkan ke dalam akaun dan dipulangkan semula kepada penyumbang.

Katanya, Kementerian Kewangan kini dalam tindakan untuk membuat pelarasan penutupan akaun terbabit sebelum pengauditan dijalankan Jabatan Audit Negara.

“Jumlah sumbangan ini akan digunakan untuk pembayaran hutang Kerajaan Persekutuan.

“Bagi memastikan pengurusan THN dibuat secara teratur dan berintegriti, satu Jawatankuasa Akaun yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Ahmad Badri Mohd Zahir akan memutuskan penggunaannya mengikut tatacara yang termaktub di dalam Arahan Amanah Akaun THM (Trust Deed).

“Kerajaan Persekutuan merakamkan setinggi-tinggi ucapan penghargaan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang memberikan sumbangan kepada THM,” katanya.

Dalam kenyataannya juga, Guan Eng menyifatkan sumbangan penderma mencerminkan kesetiaan dan kasih sayang mereka terhadap tanah air yang dicintai.

Katanya, ia juga memberikan semangat kepada Kerajaan untuk berusaha bersungguh-sungguh menyelesaikan masalah hutang yang diwarisi Kerajaan Persekutuan.

Categories
NASIONAL

Tiada arahan umrah hanya melalui TH

PUTRAJAYA, 6 FEB: Kementerian Kewangan tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan atau arahan yang mewajibkan umat Islam di negara ini menunaikan umrah hanya melalui Lembaga Tabung Haji (TH).

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, tuduhan yang mengaitkannya dengan perkara itu disifatkan tidak berasas dan dibuat pihak tidak bertanggungjawab.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan artikel bertajuk “Guan Eng Akan Bunuh Perniagaan Melayu” yang diterbitkan di portal berita Malaysia Today, semalam.

“Artikel ini turut dipaparkan di laman Facebook Raja Petra Kamarudin (penulis blog) pada 4 Februari 2019.

“Laporan berita palsu ini disebarkan semata-mata untuk membangkitkan kemarahan orang ramai dan menghasut kebencian terhadap Menteri Kewangan bukan Islam kerana kononnya melakukan campur tangan dalam hal ehwal Islam,” katanya dalam kenyataan.

Kenyataan itu turut menyebut, satu laporan polis berhubung penyebaran maklumat palsu itu sudah dibuat dan akan membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

“Ingin ditegaskan sekali lagi bahawa Menteri Kewangan dan Kementerian Kewangan tidak sesekali pernah mengeluarkan arahan seperti dinyatakan dalam artikel Malaysia Today.

“Tuduhan palsu ini berniat jahat, fitnah dan pembohongan,” katanya.

Categories
NASIONAL

2019 permulaan terbaik saksikan pembangunan ekonomi negara

GEORGE TOWN, 5 FEB: Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yakin 2019 merupakan permulaan terbaik untuk melihat pembangunan ekonomi negara.

Beliau berkata, keyakinan itu bersandarkan kepada kedudukan fiskal negara yang mulai mengukuh dan juga peningkatan jumlah pelaburan langsung asing (FDI) yang memberangsangkan sejak tahun lepas.

“Kita harapkan tahun ini akan menjadi tahun yang lebih maju dan makmur untuk negara Malaysia. Selepas tahun lepas kita dapat mengukuhkan kedudukan kewangan fiskal dan juga berikan keyakinan kepada pelabur asing serta syarikat-syarikat dana kewangan bahawa kita komited menangani masalah-masalah yang diwariskan oleh kerajaan terdahulu.

“Pada masa sama, kita komited mencapai sasaran kita dan kita telah capai sasaran itu. Itulah sebabnya tahun ini adalah permulaan untuk melihat pembangunan ekonomi dan kita harap pelabur tempatan boleh memainkan peranan terus melabur dalam pasaran tempatan,” katanya lapor BERNAMA.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina anjuran Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang di Pusat Konvensyen Antarabangsa Pulau Pinang (SPICE), Bayan Baru, hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai perkembangan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Lim yang juga Anggota Parlimen Bagan berkata buat masa ini ia masih di peringkat rundingan dan pengumuman hanya akan dibuat selepas keputusan muktamad dicapai.

“Kita tak akan buat komen semasa rundingan diadakan melainkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Biar kita adakan rundingan (terlebih dahulu) dan tidak dipengaruhi oleh laporan surat khabar. Kadang-kadang laporan surat khabar pun tak tepat, ini akan merumitkan perbincangan.

“Lebih baik kita jangan buat sebarang kenyataan sehingga ada satu keputusan muktamad di mana semua akan dicatit secara hitam putih, masa itu baru kita akan umumkan,” katanya.

Laluan ECRL bakal menghubungkan Kelantan, Terengganu dan Pahang dengan Lembah Klang, melibatkan jajaran rel sepanjang 688.3 kilometer (km) dari Kota Bharu, Kelantan hingga ke Gombak, Selangor.

Sekurang-kurangnya 44 terowong dirancang akan dibina di beberapa kawasan dengan keseluruhan jarak meliputi 39.1km di sepanjang jajaran ECRL dan ia termasuk terowong berkembar sepanjang 16.3km dari Bentong ke Gombak.

– BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

mySalam: Penerima layak terima RM8,000 sekali sahaja

PUTRAJAYA, 24 JAN: Penerima Skim Perlindungan Nasional B40 (mySalam) akan mendapat bayaran sekali sahaja sebanyak RM8,000 jika dikenal pasti menghidap salah satu daripada 36 jenis penyakit kritikal.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, skim itu akan memberi bayaran harian RM50 sebagai pendapatan gantian jika penerima menjalani rawatan di mana-mana hospital kerajaan untuk tempoh maksimum 14 hari setiap tahun atau bersamaan dengan RM700 setahun.

Skim mySalam yang dilancarkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini, menyediakan perlindungan takaful kepada golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) yang menerima Bantuan Sara Hidup Rakyat (BSHR).

Melaluinya, kerajaan membantu golongan B40 menangani kesulitan kewangan yang timbul akibat kemasukan ke wad hospital kerajaan atau ditimpa satu daripada 36 penyakit kritikal.

Skim itu melibatkan sumbangan permulaan sebanyak RM2 bilion daripada syarikat insurans dan takaful Great Eastern.

Guan Eng pada majlis pelancaran skim mySalam itu berkata skim itu bermula pada 1 Januari lepas dan golongan B40 yang layak boleh membuat tuntutan mulai 1 Mac ini.

Selepas tarikh tersebut, Lim berkata semua penerima B40 yang layak di bawah skim itu akan dimaklumkan melalui sistem pesanan ringkas (SMS) dan perkhidmatan sokongan pelanggan juga akan mula beroperasi.

“Jika terdapat tuntutan, penerima boleh mengemukakan tuntutan tersebut melalui portal mySalam dalam talian atau di mana-mana pejabat Great Eastern di Malaysia dengan dokumentasi yang lengkap.

“Setelah tuntutan diluluskan, pembayaran dikreditkan terus ke akaun bank penerima,” katanya, sambil menambah butiran lanjut mengenai proses tuntutan akan diumumkan pada akhir bulan ini.

Beliau berkata, 3.69 juta individu golongan B40 berumur antara 18 hingga 55 tahun yang merupakan penerima Bantuan Sara Hidup layak menikmati skim tersebut.

Katanya, kerajaan menggunakan sumbangan RM2 billion untuk membayar kadar premium insurans perlindungan sosial sebanyak RM112 untuk setiap individu di bawah skim itu.

“Kadar premium ini ditetapkan pada kadar kos dan tanpa keuntungan untuk syarikat insurans,” katanya.

Mengenai caruman RM2 billion sebagai dana permulaan skim mySalam, Guan Eng berkata ia merupakan sumbangan tunai pemegang saham insurans asing sebagai alternatif kepada syarat pelupusan lebihan pegangan saham sebanyak 30 peratus, kepada tahap pegangan tidak melebihi 70 peratus ditetapkan kerajaan.

“Pilihan untuk menyumbang ini adalah selaras dengan objektif kerajaan untuk memberikan tumpuan khusus dan secara langsung kepada golongan B40, agar memanfaatkan jutaan orang dan bukan hanya segelintir kecil sahaja,” katanya.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Mohon maaf berserta S$7.5 bilion – Guan Eng

PUTRAJAYA, 18 JAN: Permohonan maaf oleh Goldman Sachs tidak cukup, sebaliknya ia perlu membayar pampasan kepada Malaysia ekoran peranan rakan kongsinya dalam skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, permohonan maaf itu perlu bagi negara dan rakyat Malaysia, namun Goldman Sachs juga harus menanggung dan menunjukkan tanggungjawabnya.

“Mohon maaf sahaja tidak cukup, sebaliknya mohon maaf berserta S$7.5 bilion, itu yang penting.

“Hanya apabila anda membayar pampasan, maka ia akan memadai,” katanya lapor BERNAMA.

Pada Rabu, Ketua Pegawai Eksekutif Goldman Sachs Group Inc, David Solomon memohon maaf kepada rakyat Malaysia atas peranan bekas pegawai bank di firma itu dalam skandal 1MDB.

Goldman membantu menguruskan bon US$6.5 bilion bagi 1MDB dan Malaysia menfailkan pertuduhan jenayah terhadap bank itu serta dua bekas kakitangannya atas tuduhan mencuri.

Guan Eng berkata, Goldman perlu bertanggungjawab kerana perkara itu turut membabitkan pelanggaran tanggungjawab kewangan memandangkan industri perbankan mempunyai obligasi membayar kerugian yang ditanggung Malaysia.

“Goldman harus memahami kesan negatif ditanggung rakyat Malaysia disebabkan skandal 1MDB,” katanya.

Ketika ditanya sama ada kerajaan akan menggugurkan pertuduhan berkenaan jika Goldman membayar ganti rugi itu, beliau: “sekiranya mereka membayar kita US$7.5 bilion, barulah kita akan membincangkannya.”

 

 

Categories
NASIONAL

Tunggakan cukai pendapatan, GST dibayar semula berperingkat

PUTRAJAYA, 18 JAN: Kerajaan kini dalam proses membayar semula tunggakan cukai berjumlah RM37 bilion, membabitkan cukai pendapatan dan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, tunggakan terdiri daripada RM18 bilion cukai pendapatan dan RM19 bilion bagi GST berdasarkan anggaran dibuat dalam Belanjawan 2019, akan dibayar secara berperingkat dalam tempoh 10 bulan.

“Kami akan memulakan proses pembayaran balik tetapi ia tidak akan dikembalikan sekali gus kerana ia akan menjadi angka yang sangat besar.

“Kami tidak membayarnya lagi tetapi kami berhasrat untuk berbuat demikian dalam tempoh 10 bulan tahun ini,” katanya lapor BERNAMA.

Katanya, keputusan untuk tidak membayar tunggakan itu secara sekali gus ekoran berpendapatan ia langkah tidak baik.

“Sekiranya kami membayar balik sekali gus, saya tidak fikir ia baik dan bank kami akan berkata, kenapa anda tidak menyebarkannya supaya anda boleh mendapat kesan pengganda sepenuhnya serta meningkatkan ekonomi tempatan,” katanya.

 

Categories
SELANGOR

Rakyat gembira harga petrol turun

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 5 JAN : Rakyat menyambut baik pengumuman kerajaan menurunkan harga runcit petrol RON95, RON97 dan diesel mulai 12 tengah malam tadi.

Kegembiraan itu dikongsi mereka menerusi laman media sosial Facebook sebaik sahaja pengumuman dibuat Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Salah seorang pengguna, Datin Paduka Anismah Ahmad melahirkan rasa syukur dengan penurunan harga petrol itu yang memberi

penjimatan kepada rakyat.

“Alhamdulillah atas penurunan harga petrol ini sedikit sebanyak sudah tentu dapat menjimatkan kos pengangkutan kepada yang menggunakan kereta sendiri,” tulisnya.

Manakala, seorang lagi pengguna, Iskandar Daniel turut memuji kerajaan kerana mendengar suara rakyat mahukan penurunan harga petrol dilaksanakan.

“Alhamdulillah…kerajaan terbaik dengar keluhan rakyat, lama dah tidak rasa minyak bawah RM2,” tulisnya.

Sementara itu, Radzlan Hamzah memuji Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kerana memahami masalah rakyat sekali gus meluahkan bahawa pemimpin nombor satu negara itu seorang pemimpin berjiwa rakyat.

“Terima kasih Tun Mahathir, pemimpin berjiwa rakyat, amat memahami masalah rakyat,” tulisnya.

Selain itu, salah seorang pengguna dengan nama samaran Pokse Setapak juga bersyukur dengan penurunan harga petrol yang dapat membantunya berjimat ulang alik pergi kerja setiap hari.

“Amin, syukur, saya ini ulang alik pergi kerja jauh, sudah turun harga Alhamdulillah,” tulisnya di ruangan komen.

Tidak kurang juga bagi Faizol Jaafar sempat berseloroh dengan menulis bahawa semalam sebagai hari terakhir untuk rakyat menikmati harga petrol mahal sebelum ia turun mengikut harga ditetapkan.

“Malaysia sudah tidak jual minyak mahal, esok (hari ini) Malaysia mula jual minyak murah, jadi malam ini (semalam) hari akhir kita nak rasa minyak mahal,” tulisnya.

 

Terdahulu, kerajaan mengumumkan penurunan harga petrol dan diesel bermula tengah malam tadi sehingga 11 Januari ini, menerusi pelaksanaan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan, bagi membolehkan pengguna menikmati sebarang perubahan harga dengan lebih cepat selaras trend penurunan harga petroleum di pasaran dunia.

Harga runcit petrol RON97 diturunkan daripada RM2.50 seliter kepada RM2.23 seliter, RON95 (RM2.20 seliter) kepada RM1.93 seliter manakala diesel (RM2.18 seliter) kepada RM2.04 seliter.

 

Categories
NASIONAL

Harga petrol, diesel turun bermula esok

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 4 JAN: Kerajaan mengumumkan penurunan harga petrol dan diesel bermula esok sehingga 11 Januari ini, menerusi pelaksanaan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan bagi membolehkan pengguna menikmati sebarang perubahan harga dengan lebih cepat selaras dengan trend penurunan harga petroleum di pasaran dunia.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, harga runcit petrol RON97 akan diturunkan daripada RM2.50 seliter kepada RM2.23 seliter, RON95 (RM2.20 seliter) kepada RM1.93 seliter manakala diesel (RM2.18 seliter) kepada RM2.04 seliter.

“Mesyuarat Jemaah Menteri diadakan pada 2 Januari lalu dipengerusikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membuat pertimbangan ke atas perkara itu dan bersetuju supaya penetapan harga runcit produk petroleum dilaksanakan secara mingguan mulai 12 tengah malam esok.

“Harga runcit produk petroleum ini akan diselaraskan semula pada setiap minggu mengikut kaedah apungan terkawal di bawah formula Mekanisme Harga Automatik (APM) sejajar dengan trend penurunan harga minyak di pasaran dunia ketika ini.

“Pengumuman harga runcit akan dibuat pada Jumaat setiap minggu dan berkuat kuasa mulai Sabtu sehingga Jumaat. Perlu ditegaskan harga baharu ini mengambil kira tambahan komisen atau margin pengusaha stesen minyak diluluskan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 2 Januari lalu,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, keputusan pelarasan semula harga runcit produk petroleum itu juga mengambil kira pandangan semua pihak berkaitan termasuk permintaan Persatuan Peniaga Petroleum Malaysia (PDAM) yang telah bertemu Perdana Menteri dan memohon supaya diteliti semula kadar Margin Pengusaha Stesen Minyak yang mana salah satu komponen di bawah formula APM, pada masa ini digunakan untuk menetapkan harga runcit produk petroleum.

“Kerajaan bersetuju supaya Margin Pengusaha Stesen Minyak diselaraskan dengan tambahan 2.81 sen kepada 15 sen seliter bagi produk petrol RON95 dan tambahan 3 sen kepada 10 sen seliter bagi produk diesel.

“Ini adalah kenaikan sebanyak 2.81 sen seliter bagi petrol dan 3 sen seliter bagi diesel, berbanding kadar semasa. Kali terakhir kadar margin ini disemak semula adalah pada 2008.

“Kerajaan juga akan terus komited untuk melaksanakan dasar penstabilan harga runcit produk petroleum dan pada masa sama melaksanakan penetapan harga memanfaatkan rakyat.

“Ini bermakna apabila harga petroleum di pasaran dunia turun, harga runcit produk petroleum juga akan diturunkan bagi membolehkan pengguna menikmati manfaat penurunan harga minyak dengan segera.

“Namun apabila harga pasaran dunia naik, demi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga yang ketara, harga runcit produk petroleum akan dikekalkan pada paras tidak melebihi RM2.20 seliter bagi petrol RON95 dan RM2.18 seliter bagi diesel melalui pemberian subsidi,” katanya.

Guan Eng berkata, pengekalan harga petroleum pada paras itu adalah sehingga pemberian subsidi petrol RON95 secara bersasar dilaksanakan mulai pertengahan tahun ini sebelum harga runcit diapungkan secara terkawal mengikut harga pasaran.

Categories
EKONOMI NASIONAL

3 tahun pulih kedudukan fiskal Malaysia

KUALA LUMPUR, 2 JAN: Malaysia memerlukan tiga tahun untuk memulihkan kedudukan fiskalnya dan muncul sebagai ekonomi pesat membangun yang mempunyai harapan paling cerah.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, walaupun baharu, kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mencipta beberapa kejayaan nyata.

“Malaysia membebaskan dirinya daripada menjadi simbol kleptokrasi global dengan melaksanakan akauntabiliti penuh ke atas skandal 1MDB, berusaha memperoleh semula wang yang dicuri dan mendakwa mereka yang bertanggungjawab,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan dalam mesej Tahun Baharu DAP 2019 atas kapasitinya sebagai Setiausaha Agung DAP dan Ahli Parlimen Bagan.

Beliau berkata, 2019 akan menjadi tahun lebih baik untuk Malaysia jika rakyat kekal bersama untuk masa depan lebih cerah.

Katanya, jika semua pihak bersama mengukuh ekonomi, negara akan terus makmur dan sekali lagi dihormati di peringkat global.

“Pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran dinikmati semua adalah penawar terbaik kepada politik beracun polarisasi, mengeksploitasi perkauman dan ekstremisme agama yang mengancam politik Malaysia,” katanya.

Penunjuk ekonomi yang menggalakkan termasuk pertumbuhan semula eksport pada Oktober 2018 ke paras tertinggi dalam sejarah dalam sebulan sebanyak RM96.4 bilion selain lebihan dagangan sebanyak RM16.3 bilion, merupakan rekod negara.

Pelaburan langsung asing (FDI) yang diluluskan dalam sektor perkilangan meningkat dari Mei hingga September 2018 sebanyak RM 27.7 bilion atau 379 peratus, daripada RM7.3 bilion pada 2017 kepada RM35 bilion pada 2018.

Bloomberg meletakkan Malaysia di tangga pertama dalam kalangan 20 ekonomi terkemuka dunia, dan walaupun perlu membetulkan kedudukan kewangan kerajaan terdahulu, ketiga-tiga agensi penarafan kredit antarabangsa mengekalkan penarafan Malaysia, kata Lim.

Lim berkata kekurangan dana akibat pemansuhan GST, dan masalah kewangan akibat skandal 1MDB dan hutang RM1 trilionnya, tidak menghalang kerajaan PH untuk meneruskan program bantuan kebajikan kepada mereka yang memerlukan.

Buat pertama kalinya, harga petrol dan kenaikan tol lebuh raya tidak dinaikkan, dan penjawat awam mendapat bayaran khas pada tahun yang sama, dan bukan pada tahun berikutnya.

Kumpulan B40 juga menikmati perlindungan insurans kesihatan percuma dalam bentuk pembayaran sekali sebanyak RM8,000 untuk jangka masa yang belum ditetapkan, dan pendapatan penghospitalan selama 14 hari sebanyak RM50 sehari atau RM700 setahun.

“GST digantikan dengan SST, dan RM19.4 bilion dalam pembayaran balik GST yang belum dibayar akhirnya akan dipulangkan kepada pembayar cukai pada 2019, selepas kelewatan dua tahun disebabkan kerajaan terdahulu tidak berbuat demikian,” kata Lim.

Beliau berkata kerajaan PH berjaya melaksanakan penjimatan tambahan sebanyak RM1.6 bilion pada akhir tahun, yang dikongsi bersama penjawat awam, penoreh getah dan pekebun kecil, peneroka FELDA dan ibu bapa yang berpendapatan kurang daripada RM3,000.

*Sumber: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Petunjuk ekonomi sangat mengalakkan

SHAH ALAM, 31 DIS: Petunjuk ekonomi sangat menggalakkan dengan pelaburan langsung asing meningkat 250 peratus kepada RM49 bilion dalam tempoh sembilan bulan pertama 2018.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, eksport pula mencatat rekod apabila meningkat ke paras RM96.4 bilion.

Katanya, inflasi pula berada pada paras rendah iaitu 1.2 peratus dalam tempoh Januari hingga September lalu.

“Kita wajar mengambil perhatian bahawa keadaan ekonomi global menghadapi cabaran yang lebih teruk berbanding Malaysia

“Oleh itu, kita yakin jika rakyat bersatu padu, tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang, kita akan menjadi kuat dan stabil sebagai sebuah negara dalam menangani semua cabaran ekonomi masa depan,” katanya dalam ucapan Tahun Baharu 2019 menerusi Facebook Kementerian Kewangan, hari ini.

Beliau berkata, Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) mahu memenuhi aspirasi rakyat sebaik mungkin dengan menambah baik skim kebajikan.

Guan Eng berkata, ia seperti Dana Perlindungan Kesihatan yang membolehkan individu dalam segmen B40 dimasukkan ke hospital kerajaan memohon pembayaran RM50 sehari untuk tempoh maksimum 14 hari setahun atau bersamaan RM700.

“Kesejahteraan ekonomi rakyat akan terus ditekankan dan kerajaan akan terus memberi bantuan kepada peneroka Felda, penoreh getah, dan mereka yang bekerja di bandar-bandar kecil dan bandar-bandar.

“Kami adalah kerajaan untuk semua warga Malaysia. Tahun baharu perlukan aspirasi baharu untuk semua, dan marilah kita bersama-sama menjadikan 2019 sebagai tahun untuk Malaysia pulih selain memberi cahaya harapan untuk anak-anak kita.

“Selamat Tahun Baharu 2019,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tiada kenaikan harga tol di 21 lebuh raya tahun depan

PUTRAJAYA, 27 DIS: Tiada kenaikan kadar tol bagi semua kelas kenderaan di 21 lebuh raya seluruh negara pada tahun depan, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Guan Eng, pembekuan kenaikan kadar tol itu membabitkan implikasi kewangan kerajaan sebanyak RM994.43 juta.

Katanya, ia adalah penambahbaikan ketara kepada pengumuman Belanjawan 2019 pada 2 November lalu yang hanya membekukan semua kenaikan kadar tol di lebuh raya dalam bandar saja untuk tahun hadapan.

“Implikasi kewangan itu membabitkan pembekuan kenaikan kadar tol berkenaan merangkumi 21 lebuh raya; kadar tol bagi bas di 8 lebuh raya berasingan dan pemansuhan tol motosikal di Jambatan Pulau Pinang (Jambatan Pertama Pulau Pinang), Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (Jambatan Kedua Pulau Pinang) serta di Lebuhraya Laluan Kedua di Johor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Kabinet pada 12 Disember lalu bersetuju membekukan kenaikan kadar tol bagi semua kelas kenderaan di 21 lebuh raya di seluruh negara yang tolnya layak dinaikkan pada 2019.

Guan Eng berkata, pembekuan komprehensif itu berasaskan kepada tanggungjawab Kerajaan Persekutuan pimpinan Pakatan Harapan (PAKATAN) untuk meringankan beban sara hidup dipikul rakyat.

Guan Eng berkata, kerajaan menganggarkan pembekuan kadar tol di 21 lebuh raya membabitkan kos bayaran pampasan sekitar RM972.75 juta kepada syarikat konsesi lebuh raya.

“Manakala, pemansuhan tol motosikal di Jambatan Pulau Pinang, Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Lebuhraya Laluan Kedua di Johor pula membabitkan bayaran pampasan sebanyak RM20 juta setahun,” katanya.

 

Categories
NASIONAL

Persekutuan beri pinjaman RM22.5 juta kepada Kelantan

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA LUMPUR, 24 OKT: Sebanyak RM22.5 juta pinjaman diberikan kepada Kerajaan Kelantan dari Kerajaan Persekutuan bagi tahun ini, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Beliau berkata, pemberian itu dipohon negeri terbabit pada Jun lalu bertujuan membayar gaji kakitangan mereka.

“Jika diikutkan, sebelum ini mereka memohon pinjaman pengurusan termasuk pembayaran gaji RM24.5 juta, namun Kerajaan Persekutuan cuma meluluskan RM22.5 juta kerana kita mahu memberinya dengan kadar segera supaya gaji kakitangan mereka dapat dibayar,” katanya pada Sidang Media di Parlimen, hari ini.

Sementara itu, Guan Eng turut berasa kesal terhadap dakwaan beberapa barisan kepimpinan PAS Kelantan yang menuduh beliau anti-Melayu dan anti-Islam.

“Mereka kata saya anti-Melayu dan anti-Islam sedangkan saya sudah sebut fakta serta angka.

“Malah, Kerajaan Persekutuan juga sudah menghulurkan bantuan jadi kenapa timbul soal agama juga kaum?,” soalnya.

Semalam, Guan Eng berkata, Kelantan sudah menerima RM398 juta secara keseluruhan sebagai inisiatif daripada Kerajaan Persekutuan seperti diterima negeri-negeri lain dalam Malaysia.

Turut termasuk dalam pemberian RM398 juta itu adalah pemberian defisit sebanyak RM59.9 juta kerana hasil kerajaan Kelantan tidak mencukupi untuk membayar perbelanjaannya, termasuk gaji dan emolumen.

Kerajaan Persekutuan juga meminjamkan RM100 juta dana tambahan sebagai pinjaman pendahuluan untuk menampung perbelanjaan Kerajaan Negeri.

Sehingga 31 Dis 2017, Kerajaan Kelantan masih belum membayar balik pinjaman pendahuluan RM388 juta, yang menjadikan Kerajaan Negeri itu sebagai penghutang terbesar pinjaman pendahuluan.