Categories
AGENDA NASIONAL

MetMalaysia: Hujan hasil pembenihan awan tidak jejas kesihatan

KUALA LUMPUR, 26 SEPT: Orang ramai tidak perlu bimbang dengan hujan hasil operasi pembenihan awan (OPA) kerana ia tidak menjejaskan kesihatan, kata Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Jailan Simon.

Beliau berkata, MetMalaysia menggunakan kaedah pembenihan basah (wet seeding) melalui garam dengan kandungannya natrium klorida atau jenis garam masakan dilarutkan dalam air dan menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

“Orang ramai tidak perlu bimbang hujan itu tidak menjejaskan kesihatan. Proses pembenihan basah ini, air garam disemburkan ke dalam awan yang sesuai untuk menjadi nukleus dan menarik wap air dalam awan untuk membentuk titik-titik hujan.

“Kaedah ini lebih sesuai untuk pembenihan awan bagi kawasan luas dan menggunakan pesawat yang lebih besar (pesawat TUDM) kerana ia membawa tangki air garam agak berat,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Selain itu, Jailan berkata, MetMalaysia juga menggunakan kaedah pembenihan kering (dry seeding) iaitu ‘hygroscopic flares’ yang diletakkan di tempat khusus di sayap pesawat.

Beliau berkata, hygroscopic flares sesuai digunakan di kawasan kurang luas dan menggunakan pesawat lebih kecil seperti jenis Cessna.

“MetMalaysia hanya guna sekali (kaedah pembenihan kering) semasa jerebu di Lembah Klang baru-baru ini,” katanya sambil menjelaskan hujan pada Selasa dan semalam tiada kaitan dengan OPA.

Jailan berkata, pada masa ini, MetMalaysia menangguhkan OPA memandangkan hujan semula jadi sejak dua hari lalu.

Beliau berkata, sepanjang musim jerebu kali ini, enam OPA dilakukan melibatkan tiga kali di Sarawak (Kuching, Samarahan, Serian, Sarikei, Betong dan Sri Aman) serta tiga di Semenanjung (Selangor, Negeri Sembilan, Perak, Kedah dan Pulau Pinang).

Dalam pada itu, Jailan berkatal OPA turut dilakukan bagi meningkatkan paras air empangan untuk bekalan air atau pertanian.

“Contohnya semasa musim kemarau, kami biasanya diminta untuk membuat pembenihan awan di kawasan pertanian seperti Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) bagi meningkatkan paras air di empangan Muda dan Pedu bagi tujuan pertanian.

“MetMalaysia juga sering diminta membantu membuat pembenihan awan bagi meningkatkan paras empangan seperti di negeri yang menghadapi masalah bekalan air,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Pembenihan awan di Selangor dijangka Ahad

KLANG, 13 SEPT: Operasi pembenihan awan bagi mengurangkan kesan jerebu di Selangor dijangka dilakukan pada Ahad atau Isnin ini, kata Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Jailan Simon.

Beliau berkata, ini berikutan keadaan cuaca yang agak kering dengan kadar kelembapan dalam udara yang rendah di negeri ini hari ini dilihat kurang sesuai untuk dilakukan operasi berkenaan.

“Untuk pembenihan awan ini, kita perlukan keadaan cuaca yang sesuai. Kalau cuaca tak sesuai dan hujan, ia (pembenihan awan) tak jadi. Untuk hari ini, kita dapati memang tidak sesuai, kemungkinan pada Ahad atau Isnin ini.

“Namun, esok kita akan pantau lagi (kesesuaian keadaan cuaca) dari semasa ke semasa. Jika sesuai, mungkin esok kita akan buat pembenihan awan selagi mana cuaca itu sesuai untuk pesawat melakukan operasi tersebut,” katanya kepada pemberita ketika melawat sekitar kawasan Johan Setia, di sini, hari ini.

Turut sama melawat adalah Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Mohtar Mohd Abdul Rahman.

Di Selangor, Johan Setia, Klang merupakan kawasan yang mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200 iaitu tahap sangat tidak sihat, sejak semalam.

Mengulas lanjut, Jailan berkata antara faktor untuk menjayakan proses pembenihan awan adalah langit mesti mempunyai awan, keadaan angin yang sesuai, dan kadar kelembapan dalam udara yang mencukupi.

“Sebenarnya, untuk operasi pembenihan awan ini meliputi peralatan dan sebagainya, kita sudah sediakan dan bersiap siaga di Subang (Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia, Subang). Pasukan ini sedang tunggu ‘lampu hijau’ saja. Jika cuaca sesuai, kita terbang.

“Operasi bukan hanya fokus kepada kawasan Johan Setia kerana kalau memang ada awan di sini, ia lagi bagus…tapi jika ada awan di lokasi lain yang mencapai bacaan IPU tidak sihat pun kita akan buat pembenihan awan, namun ia bergantung kepada kesesuaian tempoh masa terbang dan jarak penerbangan. Paling penting adalah faktor cuaca itu sendiri,” katanya.

Sebahagian pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 1, Bandar Kinrara, Puchong, memakai topeng hidung dan mulut sebagai langkah keselamatan ekoran keadaan jerebu pada tahap tidak sihat, pada 12 September 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Ditanya sama ada operasi pembenihan awan akan dilakukan di negeri-negeri lain yang turut dilanda jerebu, Jailan berkata, ia pasti dilakukan sekiranya bacaan IPU melebihi 200 seperti mana prosedur operasi standard MetMalaysia namun setakat ini, tiada lokasi menunjukkan tahap berkenaan selain di Johan Setia.

Dalam pada itu, Mohtar menyeru rakyat di kawasan dilanda jerebu supaya tidak melakukan pembakaran terbuka sewenang-wenangnya dan sentiasa memakai topeng muka mengikut spesifikasi yang betul bagi mengelakkan berlakunya kesan kepada kesihatan.

Menurut laman web Jabatan Alam Sekitar setakat pukul 2 petang, bacaan IPU di Johan Setia adalah 222, Shah Alam (141), Klang (137), Banting (136), Petaling Jaya (149) dan Kuala Selangor (105).

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tiga daerah di Selangor diramal panas hingga 8 September

SHAH ALAM, 2 SEPT: Tiga daerah di Selangor diramal mengalami cuaca panas berterusan sehingga 8 September ini, lapor Jabatan Metereologi Malaysia (METMalaysia).

Jabatan itu melalui laman sesawangnya memaklumkan, keadaan itu dijangka berlaku di Kuala Langat, Klang dan Sabak Bernam, dengan suhu dicatatkan mencecah sehingga 33 darjah celcius.

Keadaan sama turut berlaku di Sepang dan Kuala Selangor, namun kedua-dua lokasi itu diramal akan menerima hujan ribut petir pada Khamis (5 September).

Manakala tiga daerah lain iaitu Hulu Langat, Gombak dan Hulu Selangor pula dijangka akan mengalami cuaca hujan dan ribut petir hingga Khamis ini dan kemudian bertukar panas hingga Ahad.

Categories
AGENDA NASIONAL

Nasihat ribut tropika Podul di perairan Sabah

KUALA LUMPUR, 29 OGOS: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan nasihat Ribut Tropika (Podul) yang dijangka melanda kawasan perairan Sabah.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan jabatan itu pagi ini, MetMalaysia memaklumkan ribut tropika itu sedang bergerak ke arah barat Sabah dengan kelajuan maksimum sehingga 83 kilometer (km) sejam.

“Berdasarkan pencerapan pada 8 pagi ini, ribut tropika itu kini berada pada kedudukan kira-kira 722 km ke tenggara Hanoi, Vietnam dan jarak bandar terdekat dengan kedudukan ribut itu ialah kira-kira 1,305 km ke barat laut Kudat, Sabah.

“Keadaan itu boleh menyebabkan angin kencang dan laut bergelora di kawasan perairan Sabah,” menurut kenyataan itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

MetMalaysia keluar nasihat ribut tropika Podul

KUALA LUMPUR, 28 OGOS: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan nasihat Ribut Tropika (Podul) yang dijangka melanda kawasan perairan Sabah.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan malam tadi, MetMalaysia memaklumkan ribut tropika itu boleh menyebabkan berlakunya angin kencang dan laut bergelora dan jarak bandar terdekat dengan kedudukan ribut itu ialah kira-kira 1,196 km ke timur laut Kudat, Sabah.

“Berdasarkan pencerapan pada 8 malam tadi, kedudukan ribut tropika itu berada kira-kira 140 km ke Tenggara Luzon, Filipina dan sedang bergerak ke arah barat laut dengan kelajuan 35 km sejam,” katanya.

Menurut kenyataan itu, kelajuan angin ribut tropika berkenaan boleh mencapai sehingga 65 km sejam.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Selangor, Putrajaya & KL diramal alami ribut petir sehingga Sabtu

SHAH ALAM, 16 OGOS: Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur dijangka mengalami cuaca hujan dan ribut petir sehingga esok (Sabtu).

Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) memaklumkan, beberapa daerah di Selangor antaranya Kuala Langat, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Gombak, Hulu Langat, Sabak Bernam dan Sepang diramal hujan serta ribut petir pada sebelah siang.

Namun, pada sebelah malam diramal tiada hujan di kawasan terbabit.

Bagi kawasan Gombak, Hulu Selangor dan Hulu Langat pula diramalkan hujan dan ribut petir, pada waktu petang.

Kawasan Petaling dijangka tidak mengalami hujan sehingga Rabu depan.

Di Kuala Lumpur pula hujan dan ribut petir diramal di satu dua tempat, pada petang Sabtu manakala cuaca dijangka baik pada keesokan hari.

Bagi kawasan Putrajaya, hujan dan ribut petir dijangka pada waktu pagi dari esok sehingga lusa, manakala cuaca diramal baik dari Ahad sehingga Rabu ini.

Categories
SELANGOR

Hujan dan ribut petir diramal di Selangor

SHAH ALAM, 17 JULAI: Hujan dan ribut petir diramalkan berlaku di seluruh daerah di Selangor sehingga 23 Julai ini, lapor Jabatan Metereologi Malaysia (MetMalaysia).

Jabatan itu melalui laman sesawangnya memaklumkan, cuaca sedemikian dijangka bermula dari Khamis (18 Julai) hingga Selasa (23 Julai) ini.

Keadaan sedemikian dijangka berlaku pada waktu petang dan hampir kesemua daerah tidak dilanda hujan pada waktu pagi atau malam.

Sementara bacaan suhu pula bermula dari 24 hingga 33 darjah celcius.

Categories
SELANGOR

Hujan dan ribut petir berterusan di Selangor

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 8 JULAI: Cuaca hujan dan ribut petir diramalkan berlaku di seluruh Selangor sehingga 14 Julai ini (Ahad).

Jabatan Metereologi Malaysia (MetMalaysia) melalui laman sesawang melaporkan, keadaan itu diramalkan berlaku di Sepang, Hulu Langat, Kuala Langat, Petaling dan Gombak.

Tidak ketinggalan Klang, Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Sabak Bernam.

Bagaimanapun, dijangkakan tiada hujan pada waktu pagi dan sebelah malam.

Categories
SELANGOR

Ribut petir di Selangor hingga 27 Jun

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 21 JUN: Tiga lokasi di negeri ini dijangka mengalami cuaca hujan dan ribut petir sehingga Khamis depan, 27 Jun ini.

Lokasi berkenaan ialah Hulu Langat, Gombak dan Kuala Selangor, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia).

Sementara daerah di Petaling, Klang dan Hulu Selangor pula dijangka mengalami cuaca sama, namun kembali panas bermula Rabu (26 Jun) hingga Khamis (27 Jun).

Bagi Kuala Langat dan Sabak Bernam, cuaca diramalkan hujan dan ribut petir sehingga Isnin (24 Jun), namun bertukar panas bermula Selasa (25 Jun) hingga Khamis.

Categories
NASIONAL

Suhu panas berjaga-jaga di Kelantan, Pahang

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 26 APRIL: Dua negeri di Semenanjung masih lagi dilanda suhu panas pada tahap berjaga-jaga dengan catatan suhu maksimum harian antara 35 hingga 37 darjah celcius, sejak seminggu lalu.

Kemas kini status gelombang haba yang dimuat naik laman sesawang Jabatan Metereologi Malaysia (MetMalaysia) menyatakan negeri terbabit ialah Pahang dan Kelantan.

Hal itu ekoran beberapa daerah di negeri terbabit mengalami keadaan suhu panas mengikut rekod bacaan suhu hingga lewat petang semalam.

Di Kelantan, antara lokasinya termasuk Gua Musang, Kuala Krai, Machang, Jeli dan Pasir Mas.

Sementara di Pahang, antara daerah terbabit ialah Temerloh, Jerantut dan Bentong.

Tiga kawasan lain ialah Jempol (Negeri Sembilan), Kuala Terengganu (Terengganu) dan Kubang Pasu (Kedah).

Sebelum ini, SelangorKini melaporkan hampir kesemua daerah di Kelantan, Kedah dan Pahang dilanda suhu panas berjaga-jaga.

Bagi kawasan yang tidak berada pada tahap satu, suhu harian maksimum adalah di bawah 35 darjah celcius.

Categories
NASIONAL

12 kawasan dilanda suhu panas tahap berjaga-jaga

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 17 APRIL: Sebanyak 12 kawasan di Semenanjung Malaysia dilanda suhu panas tahap berjaga-jaga, menurut Jabatan Metereologi Malaysia (METMalaysia).

Suhu maksimum harian itu direkodkan antara 35 hingga 37 darjah celcius yang dicatatkan sehingga semalam.

Antara kawasan yang disenaraikan adalah di Sik (Kedah); Pasir Mas, Tanah Merah, Jeli, Machang, Gua Musang (Kelantan); Kuala Terenggangu (Terengganu), Jerantut, Raub, Bentong, Rompin (Pahang) dan Jempol (Negeri Sembilan).

Bagi kawasan yang tidak berada di tahap satu, suhu harian maksimum bagi kawasan berkenaan di bawah 35 darjah celcius.

Categories
ALAM SEKITAR & CUACA SELANGOR

Ribut petir di Selangor hingga Jumaat

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 30 MAC: Selangor diramalkan mengalami cuaca hujan ribut petir dan dijangka berlarutan hingga Jumaat, 5 April ini.

Jabatan Metereologi Malaysia (METMalaysia) melalui laman sesawang rasminya memaklumkan keadaan cuaca sedemikian diramal berlaku sepanjang waktu pagi dan petang, di beberapa lokasi.

“Antara lokasi yang dijangka mengalaminya termasuk Sepang, Hulu Langat, Petaling, Gombak, Sabak Bernam dan Hulu Selangor.

“Namun, diramalkan tiada hujan pada waktu malam,” kata laporan berkenaan.

Sementara itu, status gelombang haba sehingga 4.30 petang semalam mendapati suhu maksimum di Selangor kurang daripada 35 darjah celcius.

Namun, keadaan berbeza di Chuping, Kota Setar dan Kubang Pasu ekoran suhu di situ berada pada tahap berjaga-jaga di antara 35 hingga 37 darjah celcius.