Categories
AGENDA NASIONAL

Amaran hujan berterusan lapan negeri termasuk Selangor tamat

KUALA LUMPUR, 19 DIS: Amaran hujan berterusan di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kelantan, Terengganu dan Pahang yang dikeluarkan pagi ini, ditamatkan.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Muhammad Helmi Abdullah berkata keadaan cuaca di negeri-negeri terlibat dijangka bertambah baik.

Beliau berkata orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui laman web rasmi MetMalaysia, aplikasi mobil myCuaca dan laman media sosial rasmi jabatan itu.

Orang ramai yang mempunyai pertanyaan lanjut boleh menghubungi talian hotline MetMalaysia di 1-300-22-1638.

Selain Kelantan, Terengganu, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor dan Perak, turut dilanda banjir adalah Kuala Lumpur.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Hujan diramal reda di tengah, selatan Selangor hari ini

SHAH ALAM, 19 DIS: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan reda di kawasan tengah dan Selatan Selangor hari ini.

Bagaimanapun, hujan berterusan pada tahap waspada dijangka berlaku di dua daerah negeri ini iaitu Sabak Bernam dan Hulu Selangor.

Selain itu, amaran hujan sangat lebat berterusan dijangka berlaku di Perak dan hujan lebat berterusan di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Pahang.

Hujan lebat luar biasa sejak kelmarin, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Semua aset Kerajaan Negeri dan agensi persekutuan termasuk bomba, polis dan tentera dikerah bagi memindahkan mangsa ke tempat selamat selain mengagih barang keperluan asas.

Usaha berkenaan diselaras Smart Selangor Operations Centre (SSOC) yang beroperasi 24 jam, berpusat di ibu pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri di sini.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Hujan sangat lebat diramal di Selangor, Perak, Pahang hari ini

KUALA LUMPUR, 19 DIS: Hujan sangat lebat berterusan tahap bahaya diramal berlaku hari ini di beberapa kawasan di ibu negara, Perak, Pahang dan Selangor.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi kenyataan amaran cuaca yang dikeluarkan pada 1.40 pagi memaklumkan bahawa kawasan yang terlibat di Perak ialah Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim.

Di Pahang, kawasan yang dijangka terlibat ialah Cameron Highlands, Lipis, Raub, Jerantut, Bentong dan Kuantan manakala di Selangor ialah Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Gombak, Petaling, Kuala Langat serta Hulu Langat.

Sementara itu, hujan lebat berterusan tahap buruk diramal berlaku di Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu di Kedah; Pahang (Temerloh, Maran dan Pekan); Sepang (Selangor); Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Jelebu (Negeri Sembilan).

MetMalaysia juga mengeluarkan amaran waspada hujan berterusan di seluruh Perlis; Kedah (Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Yan, Pendang, Sik dan Baling), Perak (Hulu Perak) dan Kelantan (Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai).

Keadaan cuaca sama turut diramal berlaku di seluruh Terengganu, Melaka, Pahang (Bera dan Rompin); Negeri Sembilan (Seremban, Port Dickson, Kuala Pilah, Rembau, Jempol dan Tampin) serta Johor (Tangkak, Segamat, Muar dan Batu Pahat).

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Amaran hujan sangat lebat, berterusan di lapan daerah

SHAH ALAM, 18 DIS : Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran zon merah dan hujan sangat lebat melibatkan lapan daerah di Selangor, hari ini.

Hujan sangat lebat secara berterusan diramal berlaku di Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Gombak, Petaling, Kuala Langat dan Hulu Langat.

Selain itu, MetMalaysia menerusi Facebook memaklumkan cuaca sama diramal berlaku di Kuala Lumpur.

Manakala kawasan lain yang dijangka mengalami hujan lebat berterusan ialah Sepang, Selangor dan beberapa daerah di Perak, Pahang, Kelantan, Putrajaya dan Negeri Sembilan.

Amaran berwaspada turut dikeluarkan kepada beberapa daerah di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan dan Melaka.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Amaran cuaca buruk, siap siaga hadapi banjir di Kelantan, Terengganu

KUALA LUMPUR, 16 DIS: Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) hari ini menasihatkan pengaktifan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri/Daerah selain meningkatkan tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi hujan lebat berterusan yang dijangka berlaku melibatkan kawasan berisiko tinggi.

NDCC dalam kemas kini notis kesiapsiagaan operasi bencana juga memohon supaya pihak jawatankuasa itu memastikan setiap pusat pemindahan dilengkapi dengan keperluan asas dan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK), selain memastikan aset pengoperasian mencukupi dan sedia digunakan.

Terdahulu hari ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca buruk tahap jingga dengan jangkaan hujan lebat berterusan melibatkan kesemua jajahan di Kelantan dan daerah di Terengganu sehingga esok.

Dalam kenyataan sama, amaran hujan berterusan tahap kuning atau waspada juga dikeluarkan untuk kawasan di Cameron Highlands, Jerantut, Kuantan dan Lipis (Pahang); Kerian, Larut, Matang dan Selama, Hulu Perak dan Kuala Kangsar (Perak) dan kesemua daerah di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

PRN Sarawak: Ribut petir diramal di beberapa kawasan penamaan calon esok

KUCHING, 5 DIS: Jabatan Meterologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan beberapa tempat di Sarawak dilanda ribut petir pada hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 esok.

Menerusi laman sesawang MetMalaysia hari ini, hujan dijangka berlaku di satu atau dua tempat di kawasan pedalaman negeri pada pagi manakala ribut petir dijangka berlaku di satu atau dua tempat pada petang.

Selain itu, hujan diramalkan berlaku di satu atau dua tempat di kawasan pedalaman di sebelah malam.

Sejumlah 82 pusat penamaan calon dibuka di seluruh negeri bermula 9 pagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRN Sarawak pada 18 Disember manakala pengundian awal pada 14 Disember.

Dalam pada itu, SPR menerusi laman sesawang rasminya hari ini mencadangkan masa bagi setiap pengundi untuk keluar mengundi untuk mengawal jumlah pengundi yang datang ke pusat mengundi dalam satu-satu masa.

SPR memaklumkan pengundi boleh membuat semakan maklumat pengundian melalui aplikasi mySPR Semak atau di portal Semakan Daftar Pemilih SPR.

“Peringkat waktu yang digalakkan adalah 7.30 pagi hingga 9.30 pagi, 9.30 pagi hingga 11.30 pagi, 11.30 pagi hingga 1.30 tengah hari, 1.30 tengah hari hingga 3.30 petang dan 3.30 petang hingga 5 petang,” menurut laman sesawang itu.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Amaran ribut petir, hujan lebat lima daerah di Selangor petang ini

SHAH ALAM, 21 NOV: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir berserta hujan lebat lima daerah di Selangor.

Cuaca buruk yang diramal berlaku sehingga jam 5 petang ini ialah Hulu Langat, Sepang, Kuala Langat, Gombak dan Hulu Selangor.

Selain itu, MetMalaysia menerusi Facebook memaklumkan cuaca sama diramal berlaku di Perlis, Kedah, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Sabah.

Negeri lain yang dijangka mengalami cuaca buruk ialah Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Pahang, Kuala Lumpur, Putrajaya, Sarawak.

Categories
SELANGOR

Lima kawasan di Selangor diramal alami ribut petir, hujan lebat

SHAH ALAM, 24 OKT: Hujan lebat dan ribut petir diramal melanda lima kawasan di Selangor sehingga jam 11 pagi ini, maklum Jabatan Meteorologi (MetMalaysia).

Kawasan berkenaan ialah Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Kuala Langat, dan Sepang, lapor Kosmo!

Selain itu, Perak dan Negeri Sembilan juga diramal mengalami cuaca sama.

Kawasan terlibat cuaca hujan dan ribut petir di Perak ialah Manjung, Perak Tengah, Bagan Datuk dan Hilir Perak dan Port Dickson di Negeri Sembilan.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Selangor diramal alami hujan, ribut petir sehingga 29 Okt

SHAH ALAM, 23 OKT: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan negeri ini akan mengalami cuaca hujan dan ribut petir mulai hari ini hingga 29 Oktober.

Ketua Pengarah Muhammad Helmi Abdullah berkata negeri lain turut mengalami cuaca sama ialah Kedah, Perak, Kelantan, Pahang, Sarawak, Sabah dan Labuan, lapor Berita Harian.

Beliau berkata, negeri lain dijangka tiada hujan atau mengalami cuaca mendung.

“Keadaan cuaca di Semenanjung masih lembap pada sebelah petang hingga lewat malam, dan dijangka mula berkurangan pada 25 Oktober ini, terutama di Pantai Barat (cuaca bertumpu di pedalaman Semenanjung).

“Keadaan cuaca di Sabah dan Sarawak kekal lembap dalam tempoh ramalan. Hujan juga diramal berlaku di berapa tempat di Labuan,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Perubahan monsun, tumpuan angin punca hujan lebat

SHAH ALAM, 21 OKT: Penumpuan angin dari pelbagai arah di barat Semenanjung menyebabkan hujan lebat di beberapa negeri semalam, kata Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Ketua pengarahnya berkata insiden yang mengakibatkan banjir turut berpunca daripada fasa peralihan monsun yang sedang dialami negara, lapor Harian Metro.

“Rantau negara lazimnya menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah yang sesuai untuk ribut petir. Ini lazimnya membawa hujan lebat berserta angin kencang,” kata Muhammad Helmi Abdullah.

Susulan itu, beliau menasihatkan orang ramai lebih berwaspada dalam tempoh tersebut dan sentiasa peka dengan ramalan serta amaran cuaca dikeluarkan MetMalaysia.

Maklumat boleh didapati melalui laman web rasmi, aplikasi mobile myCuaca dan media sosial. Orang ramai juga boleh menghubungi talian 1 300 22 1638 bagi pertanyaan lanjut.

Semalam, hujan lebat di beberapa negeri antaranya Selangor dan Melaka menyebabkan banjir kilat hingga meragut nyawa seorang anggota bomba dalam operasi menyelamat.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Empat hingga enam episod hujan, banjir dijangka berlaku mulai November

KUALA LUMPUR, 12 OKT: Empat hingga enam episod hujan lebat yang signifikan dan boleh menyebabkan kejadian banjir, dijangka berlaku dalam fasa awal Monsun Timur Laut iaitu dari November ini hingga Januari 2022.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Muhammad Helmi Abdullah berkata tempoh Monsun Timur Laut 2021/2022 diramal bermula pada awal November ini sehingga Mac 2022.

“Di Kelantan, Terengganu dan Pahang, episod hujan lebat berlaku antara November hingga Disember 2021. Sementara, mulai Disember 2021 hingga Januari 2022, episod hujan lebat dijangka lebih tertumpu di Johor, Sabah dan Sarawak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata semasa luruan udara sejuk yang kuat, ia juga boleh mempengaruhi keadaan cuaca negeri-negeri di pantai barat Semenanjung Malaysia dan jangkaan jumlah hujan tertinggi semasa Monsun Timur Laut adalah pada November dan Disember ini di pantai timur Semenanjung Malaysia.

Muhammad Helmi berkata pada November dan Disember ini, Kelantan dan Terengganu dijangka menerima taburan hujan sedikit melebihi purata iaitu antara 450 mm hingga 1,000 mm.

“Sementara pada Januari hingga Mac 2022 secara amnya, semua negeri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak dijangka menerima hujan pada paras purata kecuali di pedalaman dan barat Sarawak serta timur Sabah yang dijangkakan menerima hujan sedikit melebihi purata pada Januari iaitu antara 350 mm hingga 950 mm,” katanya.

Sementara itu, kenyataan itu memaklumkan Met Malaysia hari ini menganjurkan Forum Iklim Kebangsaan (FIK): Monsun Timur Laut 2021/2022 dengan tema ‘Cabaran dan Persediaan Norma Baharu’ yang bertujuan memperkasakan persediaan pihak pengurusan bencana dalam mengadaptasi norma baharu.

Menurut Muhammad Helmi, FIK itu merupakan satu platform perbincangan jabatan dan agensi utama yang terlibat dalam pengurusan bencana bertujuan memastikan kesiapsiagaan pelbagai pihak dalam menghadapi Monsun Timur Laut.

“Objektif utama penganjuran FIK tahun ini adalah lebih kepada perkongsian maklumat mengenai peranan dan tanggungjawab agensi-agensi pengurusan bencana yang turut terkesan dengan situasi pandemik serta persediaan dan perancangan menghadapi Monsun Timur Laut dalam norma baharu,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Ribut petir, hujan lebat bermula hujung bulan ini

KUALA LUMPUR, 3 SEPT: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan negara akan mengalami ribut petir dan hujan lebat yang lebih kerap pada petang dan awal malam ketika fasa Peralihan Monsun bermula hujung September hingga pertengahan atau hujung Oktober ini.

Ketua Pengarah MetMalaysia Muhammad Helmi Abdullah berkata ia disebabkan oleh atmosfera yang tidak stabil sekali gus meningkatkan aktiviti perolakan dan membawa lebih banyak hujan khususnya di negeri pantai barat Semenanjung, barat Sarawak dan barat Sabah pada sebelah petang dan awal malam.

“Jangkaan jumlah hujan di negeri Pantai Timur semasa Peralihan Monsun pada Oktober 2021 ialah antara 200 hingga 400 mm,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, MetMalaysia turut menjangkakan empat hingga enam episod hujan lebat akan berlaku sepanjang Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh yang akan bermula pada awal November ini hingga Mac tahun hadapan.

Beliau berkata sepanjang Monsun Timur Laut, negeri Pantai Timur, Kelantan dan Terengganu dijangka menerima hujan sedikit di atas paras purata pada November dan Disember manakala tempat lain dijangka menerima hujan pada paras purata.

Menurutnya, musim tengkujuh itu dijangka akan membawa lebih banyak hujan di Kelantan, Terengganu dan Pahang pada November hingga Disember manakala Johor, Sabah dan Sarawak pada Disember hingga Januari tahun hadapan.

“Jangkaan jumlah hujan tertinggi semasa Monsun Timur Laut 2021/2022 di Pantai Timur adalah pada November dan Disember 2021. Pada November 2021, taburan hujan yang dijangkakan ialah melebihi 600 mm di Kelantan dan Terengganu, manakala 200 hingga 400 mm di Pahang.

“Jangkaan jumlah hujan bulanan pada Disember 2021, masih melebihi 600 mm di Kelantan dan Terengganu serta 300 hingga 600 mm di Pahang,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Helmi menasihati penduduk di kawasan rendah dan biasa dinaiki air supaya lebih waspada apabila berlaku hujan lebat serta sentiasa mendapatkan maklumat terkini berkaitan amaran dan ramalan cuaca melalui laman web dan media sosial MetMalaysia atau talian hotline 1-300-22-1638 serta aplikasi myCuaca.

“Orang awam juga dinasihatkan menyimpan dokumen-dokumen penting di tempat yang selamat dan mudah diambil apabila berlaku sesuatu kejadian buruk serta segera berpindah ke pusat-pusat pemindahan yang disediakan apabila diarahkan,” katanya.

-BERNAMA