Categories
NASIONAL SELANGOR

PM Mungkir Janji, Tawar Masteel Bhd Bina Rel Melalui Rundingan Terus

tony pua Forum Air

KUALA LUMPUR 15 JULAI : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dilabel mungkir janji apabila menawarkan projek pembinaan sistem rel di Iskandar Malaysia kepada Malaysian Steel Works(Masteel) Bhd melalui rundingan terus.

Tawaran tender berkenaan dianggarkan bernilai RM1 bilion.

Najib didakwa gagal menunaikan janjinya apabila sebelum ini pernah berjanji akan melaksanakan sistem tender terbuka selepas Pilihan Raya Umum Ke 13 yang lalu.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua dalam sidang media di Parlimen hari ini berkata, pemilihan Masteel juga dipersoalkan kerana tidak berpengalaman dalam bidang rel kerana aktiviti utamanya adalah pembuatan dan pembekalan pelbagai jenis keluli di Malaysia.

“Syarikat tersebut yang hanya memperolehi keuntungan bersih RM24 juta pada 2012 tidak pernah terlibat dalam kerja pembinaan dan pengoperasian rel.

“Adakah Masteel merupakan syarikat terbaik untuk melaksanakan projek RM1 bilion ini dengan bantuan kerajaan sebanyak RM700 juta?

“Malah apakah keperluan untuk menswastakan projek ini jika kerajaan perlu membiayai 70 peratus daripada kos pembinaan melalui pemberian pinjaman mudah?” soalnya.

Beliau berkata, kerajaan perlu menjelaskan rasional menawarkan projek secara rundingan terus terutama kepada syarikat tiada pengalaman dan dana modal mencukupi.

Tony Pua menjelaskan Masteel mengumumkan pada 31 Mei lalu melalui Bursa Malaysia bahawa mereka menghadiri mesyuarat dengan Jawatankuasa Kerjasama Awam Swasta (UKAS) dipengerusikan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Ahmad Husni Hanazlah Hussain.

Dalam mesyuarat tersebut, anak syarikat Masteel, Metropolitan Commuter Network (MCN) diberikan kebenaran untuk memuktamadkan struktur pinjaman mudah RM700 juta daripada kerajaan untuk membina satu sistem rel yang baru di Iskandar Malaysia di mana sistem rel ini akan melingkungi 20 stesen termasuk Kulai, Gelang Patah, Nusajaya, Johor Bahru dan Masai.

MCN adalah syarikat usahasama di mana Masteel memiliki 60 peratus manakala KUB Bhd di mana Umno mempunyai kepentingan 40 peratus.