Categories
NASIONAL

Speaker renyuk kertas usul gantung kit Siang

Oleh : AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 21 OKT: Notis pemberitahuan usul yang mencadangkan agar Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang digantung ditarik balik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Azalina Othmad Said menariknya dalam Dewan Rakyat setelah diarah oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Ia berikutan beberapa wakil rakyat dalam dewan mempertikaikan notis tersebut atas alasan Kit Siang belum memberi penjelasan mengenai dakwaannya terhadap Pandikar, namun notis telah dikeluarkan.

“Saya tarik kembali pemberitahu usul tapi saya nak bagi tahu Lim Kit Siang bahawa beliau mempunyai (masa) semalam untuk tarik balik, tetapi dia tidak buat.

“Dia sepatutnya kena menghormati kerusi Speaker. Yang Berhormat (Kit Siang) sebagai orang lama bertanggungjawab untuk berperangai elok dalam Dewan Rakyat,” katanya.

Insiden berkenaan menimbulkan sedikit kekecohan di Dewan Rakyat hingga mengakibatkan campurtangan Pandikar.

Beliau menegaskan bahawa notis itu hanya pemberitahuan untuk membahaskan kedudukan Ahli Parlimen Gelang Patah jika beliau gagal menarik kembali dakwaannya.

“Itu hanya notis pemberitahuan sahaja. Ia tidak diterima dan belum pun dibahas. Ia boleh saya buang,” katanya sambil merenyukkan notis yang berada di tangannya.

Beliau kemudiannya tegas dengan gesaanya pada Selasa mahu Kit Siang meminta maaf tanpa syarat di dalam dewan itu selepas membahaskan isu jerebu.

-nR-

Categories
NASIONAL SELANGOR

PM Mungkir Janji, Tawar Masteel Bhd Bina Rel Melalui Rundingan Terus

tony pua Forum Air

KUALA LUMPUR 15 JULAI : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dilabel mungkir janji apabila menawarkan projek pembinaan sistem rel di Iskandar Malaysia kepada Malaysian Steel Works(Masteel) Bhd melalui rundingan terus.

Tawaran tender berkenaan dianggarkan bernilai RM1 bilion.

Najib didakwa gagal menunaikan janjinya apabila sebelum ini pernah berjanji akan melaksanakan sistem tender terbuka selepas Pilihan Raya Umum Ke 13 yang lalu.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua dalam sidang media di Parlimen hari ini berkata, pemilihan Masteel juga dipersoalkan kerana tidak berpengalaman dalam bidang rel kerana aktiviti utamanya adalah pembuatan dan pembekalan pelbagai jenis keluli di Malaysia.

“Syarikat tersebut yang hanya memperolehi keuntungan bersih RM24 juta pada 2012 tidak pernah terlibat dalam kerja pembinaan dan pengoperasian rel.

“Adakah Masteel merupakan syarikat terbaik untuk melaksanakan projek RM1 bilion ini dengan bantuan kerajaan sebanyak RM700 juta?

“Malah apakah keperluan untuk menswastakan projek ini jika kerajaan perlu membiayai 70 peratus daripada kos pembinaan melalui pemberian pinjaman mudah?” soalnya.

Beliau berkata, kerajaan perlu menjelaskan rasional menawarkan projek secara rundingan terus terutama kepada syarikat tiada pengalaman dan dana modal mencukupi.

Tony Pua menjelaskan Masteel mengumumkan pada 31 Mei lalu melalui Bursa Malaysia bahawa mereka menghadiri mesyuarat dengan Jawatankuasa Kerjasama Awam Swasta (UKAS) dipengerusikan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Ahmad Husni Hanazlah Hussain.

Dalam mesyuarat tersebut, anak syarikat Masteel, Metropolitan Commuter Network (MCN) diberikan kebenaran untuk memuktamadkan struktur pinjaman mudah RM700 juta daripada kerajaan untuk membina satu sistem rel yang baru di Iskandar Malaysia di mana sistem rel ini akan melingkungi 20 stesen termasuk Kulai, Gelang Patah, Nusajaya, Johor Bahru dan Masai.

MCN adalah syarikat usahasama di mana Masteel memiliki 60 peratus manakala KUB Bhd di mana Umno mempunyai kepentingan 40 peratus.

Categories
NASIONAL

Kit Siang : PR Perlu Menang Lebih 1/3 Parlimen Di Negeri Deposit Umno-BN

lim kit siang oren 01

SHAH ALAM 9 APRIL : Pakatan Rakyat (PR) memerlukan kemenangan lebih satu pertiga kerusi Parlimen di negeri deposit BN iaitu Johor, Sabah dan Sarawak bagi meneruskan kesinambungan tsunami politik PRU-12.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, PR sekurang-kurangnya memerlukan kemenangan 33 kerusi Parlimen di 83 kerusi Parlimen di tiga negeri tersebut.

“Ia bagi menyelesaikan ‘kerja tertangguh’ tsunami politik PRU-12 yang menyaksikan kejatuhan Umno-BN di lima buah negeri dan penafian majoriti dua-pertiga Parlimen terhadap Umno buat kali pertama dalam sejarah Malaysia,” kata Kit Siang.

Katanya, ?Pertempuran Gelang Patah? bukanlah sekadar sebuah pertempuran demi beliau, DAP atau Pakatan Rakyat kerana ia sebuah impian rakyat  ke arah Bangsa Malaysia yang majmuk dan bersatu padu melampaui semangat perkauman.

Telah dilaporkan bahawa Kit Siang, seorang tokoh yang aktif di dalam politik hampir setengah abad akan bertanding di parlimen Gelang Patah dalam PRU-13.

Pencalonan beliau di kerusi Johor adalah bagi membuka jalan untuk PR memecahkan kubu kuat BN di negeri Selatan itu.

?Pertempuran Gelang Patah akan melancarkan tsunami politik dalam Pilihanraya Umum ke 13 dari arah Selatan yang bakal merebak ke seluruh negara, merentas Laut China Selatan ke Sabah dan Sarawak,” kata Kit Siang.

“Saya mempunyai ?Impian Malaysia? yang saya pasti turut dikongsi oleh ramai orang Malaysia tanpa mengira kaum, agama daerah dan zaman,” kata Kit Siang yang bakal bertanding di Parlimen Gelang Patah dalam PRU-13 ini.