Categories
ADN SELANGOR

27 sekolah Subang Jaya terima sabun cuci tangan, cegah Covid-19

SHAH ALAM, 24 JUN: Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya menyumbang 680 sabun pencuci tangan kepada 27 sekolah menengah dan rendah di Dewan Undangan Negerinya, semalam.

Michelle Ng Mei Sze berkata penyerahan itu bagi menggalakkan amalan kebersihan dan mengekang penularan Covid-19 terutama dalam kalangan pelajar serta kakitangan sekolah.

“Memandangkan 24 Jun (hari ini) sekolah menengah dibuka khusus untuk pelajar tingkatan lima dan enam, saya berbesar hati menyumbang barangan berkenaan bagi memastikan keselamatan mereka terjamin,” katanya selepas sesi penyerahan di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Subang Jaya.

Pada majlis itu, sebanyak 237 sabun pencuci tangan diberi kepada sekolah menengah dan 443 untuk sekolah rendah.

Categories
ADN SELANGOR

Sumbangan ADN bantu masjid, surau di Subang Jaya

SHAH ALAM, 4 JUN: Walaupun berlainan agama, ia bukan halangan bagi Ahli Dewan Negeri Subang Jaya menghulurkan sumbangan kepada masjid dan surau di Dewan Undangan Negeri (DUN)nya.

Michelle Ng Mei Sze berkata sebanyak enam masjid, 16 surau dan sebuah madrasah menerima sumbangan sempena Ramadan dan Aidilfitri berkenaan.

“Ini adalah tahun ketiga saya membantu masjid dan surau di Subang Jaya, sebagai wakil rakyat saya berusaha untuk mendekati semua lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa atau agama.

“Hanya dengan cara ini saya percaya boleh berkhidmat kepada masyarakat dengan lebih efektif,” katanya kepada SelangorKini.

Masjid yang menerima sumbangan ialah Masjid Darul Ehsan, Masjid An Nur USJ4, Masjid Abu Bakar As Siddiq, Masjid Al Mukminun USJ2, Masjid Al Irsyad dan Masjid Al Falah.

Sementara surau pula antaranya Surau Nurul Hasanat, Surau Al Hijrah, Surau Nurul Ehsan, Surau Al Fattahu Ghafoor dan Surau Al Hikmah.

Categories
ADN SELANGOR

Wakil rakyat seru kekal jarak satu meter, keluar bila perlu

SHAH ALAM, 23 MAC: Penduduk Subang Jaya diharap terus mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan sehingga hujung bulan ini bagi mengawal penularan Covid-19.

Ahli Dewan Negerinya Michelle Ng Mei Sze berkata orang ramai juga perlu mengekalkan jarak sosial satu meter ketika keluar membeli barangan keperluan harian.

“Hanya 50 orang dibenarkan masuk pada satu-satu masa di pasar SS15 dan perlu memakai topeng muka. Beli barang yang diperlukan sahaja dan terus pulang ke rumah,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan dari 18 Mac hingga 31 Mac 2020 di seluruh negara mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.

Perintah itu membabitkan larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya.

Categories
ADN PBT SELANGOR

Penguat kuasa MPSJ, lelaki warga emas berdamai

SHAH ALAM, 14 FEB: Isu membabitkan penguat kuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) bersama seorang lelaki warga emas di USJ 9, Subang Jaya yang tular di media sosial dianggap selesai apabila mereka berdamai hari ini.

Kedua-dua individu itu bertemu di pejabat Ahli Dewan Negeri Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze pada jam 4 petang tadi ditemani Timbalan Yang Dipertua MPSJ, Mohammad Zulkurnain Che Ali.

Michelle berkata, pihaknya berbangga kerana pertemuan berlaku secara sukarela dan salah faham mengenai kejadian itu dapat diselesaikan.

“Mereka juga bersetuju supaya kes tersebut dikira selesai secara muktamad,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, video memaparkan petugas MPSJ meminta lelaki itu tidak berkeras namun sebaliknya berlaku apabila dipukul dengan payung lalu beliau menumbuk serta menjatuhkan warga emas tersebut ke lantai hingga cedera berdarah di bahagian kepala.

Categories
ADN SELANGOR

ADN Subang Jaya sedia jadi pendamai isu video tular

SUBANG JAYA, 14 FEB: Ahli Dewan Negeri Subang Jaya bersedia menjadi orang tengah bagi jalan penyelesaian antara anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan seorang warga emas dalam kejadian berlaku di USJ9 di sini petang semalam.

Michelle Ng Mei Sze berkata kedua-dua pihak perlu tampil memberi penjelasan dan berdamai supaya mengelak kes berkenaan terus menjadi bualan warga maya setelah tular di media sosial.

“Saya tidak menyalahkan mana-mana pihak sebaliknya menganggap patut menjadi pengajaran kepada semua dan tidak mahu lagi ia berulang,” katanya mengulas isu video tular membabitkan anggota penguat kuasa MPSJ dengan bertindak terhadap kenderaan milik seorang warga emas.

Video memaparkan petugas MPSJ meminta lelaki itu tidak berkeras namun sebaliknya berlaku apabila dipukul dengan payung lalu beliau menumbuk serta menjatuhkan warga emas tersebut ke lantai hingga cedera berdarah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Risikin Satiman mengesahkan sudah menerima laporan daripada anggota penguat kuasa terlibat serta kes disiasat di bawah Seksyen 186, Seksyen 332 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Beliau turut meminta warga maya menghentikan penyebaran video terbabit bagi mengelak spekulasi negatif dalam kalangan masyarakat.

Categories
ADN SELANGOR

ADN Subang Jaya sokong cadangan naik had umur bersara

SUBANG JAYA, 3 SEPT: Ahli Dewan Negeri Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze menyokong cadangan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) untuk menaikkan had umur persaraan dari 60 ke 65 tahun.

Katanya, ia kerana populasi golongan warga emas semakin ramai di Malaysia tambahan lagi di kawasan Dewan Undangan Negerinya, Subang Jaya.

“Saya dapati kebanyakan warga emas ini mahu terus mengaktifkan minda mereka dan salah satu caranya adalah dengan bekerja.

“Pemerhatian juga mendapati ada warga emas yang sudah tidak bekerja merasakan hidup mereka kosong sehingga tidak mempunyai arah tuju,” katanya kepada SelangorKini.

Pada 1 September lalu, MTUC menggesa kerajaan memperkenalkan pemberian elaun kos sara hidup (COLA) bulanan RM500 atau lebih kepada pekerja swasta menerusi Belanjawan 2020 selain meningkatkan had umur bersara mandatori kepada 65 tahun.

MTUC melihat had umur persaraan harus dinaikkan kerana tahap gaji rendah menyebabkan pekerja tidak memiliki simpanan mencukupi untuk menampung usia persaraan panjang hingga bergantung kepada ahli keluarga, masyarakat dan kerajaan.

Mengulas lanjut, Michelle berkata, meningkatkan had umur bersara tidak akan menutup peluang anak muda dalam sesebuah organisasi.

“Sebaliknya kerajaan perlu memikirkan langkah bersesuai untuk menggiatkan industri negara sekali gus mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan,” katanya.

Categories
SELANGOR

Syarikat swasta perlu berani tawar kerja kepada kaum ibu

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SUBANG JAYA, 11 MEI: Syarikat swasta perlu berani melaksanakan dasar membawa wanita ke persekitaran kerja bagi memperkasa dan memantapkan penglibatan golongan itu dalam sektor pekerjaan.

Ahli Dewan Negeri Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze berkata, keupayaan pihak swasta melaksanakan dasar berkenaan bukan sahaja mampu meningkatkan mobiliti golongan wanita, malahan menyediakan peluang pekerja yang lebih meluas terhadap golongan terbabit.

“Sebagai majikan, mereka perlu peka terhadap keperluan ibu. Apabila membuat sesuatu keputusan, majikan kena pastikan mobiliti pekerja wanita memandangkan mereka juga mempunyai tanggungjawab dalam urusan rumah tangga.

“Majikan tidak perlu membuat dasar yang sangat rumit daripada satu keputusan yang kecil misalnya dengan memberikan sebuah komputer riba supaya mereka boleh bekerja dari rumah. Jadi, tidak bermakna pekerja tiada di tempat kerja, mereka tidak boleh bekerja.

“Staf juga dibenarkan bekerja dari rumah dan tidak akan ditolak daripada cuti tahunan mereka asalkan sudah berbincang sesama sendiri bagi memastikan terdapat staf yang cukup untuk menjaga pejabat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Ibu Peringkat Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Pelancaran Program Indahnya Raya Da Men 2019, di Ruang Legar Pusat Membeli Belah Da Men, di sini, hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua MPSJ, Noraini Roslan; Ahli Majlis Zon 4, Kamarul Hisham Yeop Hashim; Penasihat Da Men Mall, Dato’ Abdul Wahab Khalil dan Pengurus Kanan Sewaan Da Men Mall, Joanne Kuan.

Terdahulu, lebih 200 ibu terpilih dari seluruh kawasan pentadbiran MPSJ diraikan dalam majlis yang turut mendapat kerjasama Puspanita MPSJ, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, Pusat Wanita Berdaya (PWB) Selangor dan badan bukan kerajaan (NGO) SJ Care Warrior.

Sementara itu, Noraini berkata, sambutan itu bertujuan menghargai peranan dan sumbangan ibu sama ada wanita berkerjaya atau suri rumah yang sentiasa menggalas tanggungjawab membesarkan anak-anak.

“Kita juga mahu mendidik keluarga dan masyarakat untuk menghargai pengorbanan ibu mereka, selain mengiktiraf pencapaian wanita dalam pelbagai bidang termasuk sosial, ekonomi, politik dan budaya, sekali gus menjalankan tanggungjawab sebagai ibu,” katanya.

 

Categories
PBT SELANGOR

1,000 penduduk bantah projek Subang Ria Park

OLEH IZRIN MOHAMAD SAID

SUBANG JAYA, 16 APR: Seramai lebih kurang 1,000 penduduk sekitar Subang Ria Park membantah projek taman rekreasi yang dibangunkan sejak 1988 untuk dikomersialkan pemaju.

Pengerusi Persatuan Subang Jaya, Ir Naicker berkata, mereka mengambil langkah awal dengan membuat bantahan supaya pihak pemaju lebih peka terhadap penduduk di sini.

 

“Jadi, saya berharap Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa mengambil inisiatif serta tindakan kepada pemaju di Subang Ria Park supaya ia menjadi sebahagian daripada tempat awam.

“Penjagaan dan penambahbaikan fasiliti akan lebih terjamin jika Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan mengambilalih kawasan ini,” katanya kepada SelangorKini.

Pandangan sama turut dikongsi Pengerusi Persatuan Kejiranan Wangsa Baiduri, Hanif Gordon berkata, pemaju harus kekalkan perjanjian yang sudah termaktub dahulu.

“Kini, pemaju kembali untuk pembangunan komersial dan penduduk akan mempertahankan taman rekreasi ini,” katanya.

Kedua-dua mereka ditemui selepas sidang media pendengaran bantahan rancangan tempatan di Majlis Perbandaran Subang Jaya, hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze.

Mengulas lanjut, Michelle berkata, taman rekreasi itu penting untuk keluarga dan masyarakat bagi membina hubungan bersantai.

“Kita perlu menggalakkan aktiviti sedemikian untuk mengekalkan masyarakat yang sihat. Justeru, kita harus memelihara ruang rekreasi ini,” katanya.

Terdahulu, Subang Ria Park seluas 29.39 hektar itu bakal dikomersialkan namun penduduk sekitar kawasan terbabit membantah projek berkenaan.

FOTO: FIKRI YUSOF (SELANGORKINI)

Categories
PBT SELANGOR

ADN gesa kekalkan zon rekreasi Subang Ria Park

OLEH SHEEDA FATHIL

SUBANG JAYA, 16 APR: Jawatankuasa Perancang Negeri digesa menolak permohonan pemaju yang mahu mengkomersialkan sebahagian kawasan di Subang Ria Park.

Ahli Dewan Negeri Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze berkata, sebaliknya kawasan itu perlu dikekalkan sebagai zon rekreasi seperti yang sudah termaktub dalam perjanjian.

Katanya, seramai 1,000 penduduk sekitar kawasan terbabit membantah cadangan untuk memajukan sebahagian daripada Subang Ria Park itu.

“Hari ini, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) sudah meminta perbicaraan bantahan berhubung draf pelan tempatan 2035 dan saya sendiri akan memfailkan bantahan serta akan menghadiri pendengaran pada petang ini.

“Berdasarkan perjanjian, sudah tertulis bahawa tanah ini hendaklah digunakan semata-mata untuk taman rekreasi dan bangunan yang berkaitan dengannya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang sedia selepas menyertai pendengaran bantahan rancangan tempatan bersama wakil penduduk Subang Ria Park di MPSJ, di sini, hari ini.

Pada masa sama, katanya, Subang Ria Park itu tidak sesuai sekiranya dimajukan sebagai kawasan komersial memandangkan pembangunan kawasan itu sudah pesat membangun ditambah dengan kehijauannya yang cantik.

“Kita perlu mengekalkan kehijauan Subang Ria Park ini sebagai zon rekreasi kerana ia penting untuk komuniti membina hubungan dan melakukan aktiviti santai.

“Justeru, saya menggesa bagi menggalakkan aktiviti itu terus dikekalkan kita perlu mempertahankan ia daripada dikomersialkan,” katanya.

Terdahulu, Subang Ria Park seluas 29.39 hektar itu bakal dikomersialkan namun, penduduk sekitar kawasan terbabit membantah projek berkenaan.

FOTO: FIKRI YUSOF (SELANGORKINI)

Categories
SELANGOR

Michelle anjur forum kesihatan mental atasi gejala bunuh diri

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUBANG JAYA, 20 SEPT: Kesihatan mental merupakan aspek yang sangat penting bagi mengatasi kejadian membunuh diri khasnya membabitkan golongan pelajar di peringkat sekolah dan institusi pengajian tinggi.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze berkata, hal ini kerana statistik antara Mei hingga Ogos 2018 menunjukkan sebanyak empat kes bunuh diri atau percubaan bunuh diri telah dicatatkan di Subang Jaya.

“Secara puratanya satu kes setiap bulan dan sebab di Subang Jaya kes bunuh diri dan percubaan bunuh diri tinggi kerana di sini banyak universiti.

“Tekanan belajar amatlah tinggi dan ada juga kes pelajar gagal sesuaikan diri dengan persekitaran baru di tempat belajar, sebab itulah bilangan kes tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Forum Kesihatan Mental & Polisi Pencegahan Bunuh Diri di Universiti Sunway di sini, malam tadi.

Michelle berkata, beliau akan mengambil langkah proaktif bagi membendung gejala bunuh diri dalam kalangan pelajar di Subang Jaya.

Katanya, antara langkah yang akan diambil seperti mengadakan kursus kesihatan mental di sekolah-sekolah.

Katanya lagi, selain mengadakan kursus di sekolah, beliau turut menggesa masyarakat setempat memainkan peranan masing-masing menerusi rukun tetangga, persatuan penduduk dan lain-lain.

Sementara itu, forum yang dianjurkan malam tadi mendapat sambutan menggalakkan apabila dewan universiti itu dipenuhi kira-kira 500 hadirin.

Selain beliau yang bertindak sebagai moderator, forum itu turut membariskan panelis, Timbalan Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, Hannah Yeoh; Ahli Parlimen Subang, Wong Chen; Psikatris Pusat Perubatan Universiti Malaya, Prof Dr Stephen Thevanan Jambunathan dan Psikatris Pusat Perubatan Sunway, Dr Khoo Yee Laim.

Selain itu turut bertindak sebagai penalis, Ketua Polis USJ 8, ASP Tuan Jasni Zolpa; Ketua Polis Bandar Sunway, ASP Tuan Sulaiman Baputy dan Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, TPgB Tuan Syed Shahril Anuar Syed Sulaiman.

Categories
SELANGOR

DUN Subang Jaya optimis jayakan kempen kesedaran kesihatan mental

OLEH HAFIZAN TAIB

SUBANG JAYA, 19 SEPT: Kempen kesedaran kesihatan mental dan pencegahan bunuh diri dijayakan bagi menangani isu berkaitan yang berlaku di Dewan Undangan Negeri (DUN) Subang Jaya.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze berkata, kempen anjuran Pusat Khidmat Masyarakat DUN Subang Jaya bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Universiti Sunway adalah langkah awal mengatasinya.

“Kita mengadakan perbincangan berhubung kempen ini di mana ia antara isu besar di DUN Subang Jaya kerana terdapat kes bunuh diri pernah berlaku.

“Kempen ini juga bagi memenuhi permintaan masyarakat tempatan di mana kalangan ibu bapa dan guru melihat kanak-kanak menghadapi cabaran kesihatan mental,” katanya selepas majlis perasmian ‘Mental Health Awareness and Suicide Prevention Campaign’ di Universiti Sunway di sini, hari ini.

Beliau berkata, di dalam program itu pihaknya juga menjemput Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh serta Ahli Parlimen Subang, Wong Chen bagi membincangkan isu berkenaan di dalam satu forum untuk diatasi mengikut undang-undang.

Katanya, Kerajaan Negeri juga meluluskan peruntukan RM1 juta sebelum PRU14 dan pihaknya berharap ia dapat digunakan untuk menangani masalah berkaitan.

“Pada sidang Dewan Negeri Selangor lalu, Exco Kerajaan Negeri, Dr Siti Mariah Mahmud mengumumkan satu kursus mengenai kaunseling akan dilaksanakan dan saya berharap dana ini boleh digunakan bagi tujuan kesihatan mental.

“Dengan kursus dijalankan itu boleh disertai orang ramai bagi memberi peluang kepada masyarakat khususnya penjaga, ibu bapa, guru yang menghadapi masalah seperti ini,” katanya.