Categories
NASIONAL

Pengurusan kes inkues Adib pada 18 Januari

KUALA LUMPUR, 28 DIS: Mahkamah Shah Alam menetapkan 18 Januari ini bagi pengurusan kes inkues untuk menentukan punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Perkara itu dimaklumkan Peguam Cara Negara III, Datuk Mohd Hanafiah Zakaria ketika media, hari ini, lapor BH Online.

Mohd Hanafiah yang juga Ketua Unit Bicara dan Rayuan Pejabat Peguam Negara berkata, pihaknya memfailkan dokumen permohonan kes di Pejabat Pendaftar Kompleks Mahkamah Shah Alam semalam dan mahkamah kemudian menetapkan tarikh berkenaan.

Katanya, prosiding inkues akan dijalankan di mahkamah koroner yang bersidang di Kompleks Mahkamah Shah Alam.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Peguam Negara akan mengarahkan Majistret untuk menjalankan inkues bagi menentukan punca kematian Muhammad Adib.

Katanya, beliau dimaklumkan sendiri oleh Tommy Thomas, hasil perbincangan selepas penemuan dapatan tertentu polis melalui rakaman percakapan saksi, lakonan semula dan hasil bedah siasat pihak forensik patalogi hanya boleh didedahkan di mahkamah kelak.

Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Subang Jaya, parah selepas diserang dan dipukul perusuh dalam kejadian kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November lalu.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember di Institut Jantung Negara (IJN) selepas 21 hari bertarung nyawa.

 

Categories
NASIONAL SELANGOR

Penduduk Tuntut Prasarana Bentang Pelan Pejalan Kaki Projek BRT Sunway Line

Hannah Gotong Royong

SUBANG JAYA 15 JUN : Pemaju projek Bas Rapid Transit (BRT) Sunway Line, Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana) digesa segera membentangkan pelan laluan pejalan kaki kepada penduduk di PJS 7 dan PJS 9.

Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh Tseow Suan berkata, penduduk terlibat sudah menunggu sejak daripada tahun lalu bagi melihat cadangan pelan laluan pejalan kaki tersebut kerana meragui aspek keselamatan.

Katanya, pada 24 November tahun lalu, Prasarana mengadakan sesi dialog bersama penduduk dan berjanji memberikan pelan laluan kaki tersebut kepada penduduk untuk membuat penilaian sewajarnya.

“Prasarana berjanji untuk memberikan pelan laluan tersebut kepada penduduk untuk dinilai sama ada sesuai atau tidak tetapi sehingga ke hari ini, pelan cadangan tersebut belum dibentangkan kepada para penduduk di PJS 9,” katanya.

Menurut Hannah, penduduk di PJS 9 membantah cadangan laluan tersebut kerana khuatir laluan tersebut melalui belakang kawasan perumahan mereka.

“Saya menggesa Prasarana untuk segera membentangkan pelan berkenaan kepada penduduk, sama ada di buat macam terowong ke, kita tak tahu sebab pelan itu belum dibentangkan,” ujarnya lagi.

Bagaimanapun, penduduk PJS 7 menyatakan persetujuan mengenai cadangan laluan pejalan kaki tersebut.

Dalam pada itu, BRT merupakan sistem rapid transit lengkap yang menggabungkan pengangkutan awam lain seperti Transit Aliran Ringan (LRT) dan Keretapi Tanah Melayu (LRT).

Projek berkenaan akan dimulakan pada suku kedua tahun 2013 dan dijangka siap pada 2015.

Hannah ditemui dalam satu program gotong-royong bersama penduduk USJ6, Subang Jaya anjuran Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Bridget Bomba Seksyen 17, Subang Jaya.