Categories
AGENDA SUKANKINI

Zii Jia ganti Khairul Anuar bawa jalur gemilang di Olimpik Tokyo

KUALA LUMPUR, 6 JULAI: Pemain badminton perseorangan lelaki nombor satu negara Lee Zii Jia akan menggantikan jaguh memanah Khairul Anuar Mohamad sebagai pembawa bendera pada upacara pembukaan Sukan Olimpik Tokyo 23 Julai ini.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria yang mengesahkan penggantian itu berkata Khairul Anuar meminta untuk diberi pelepasan daripada menjadi pembawa bendera dalam upacara pembukaan Sukan Olimpik Tokyo kerana akan menyertai saingan pada 24 Julai.

Mohamad Norza berkata Khairul Anuar dijangka beraksi pada pusingan kelayakan acara recurve berpasukan campuran bersama Syaqiera Mashayikh di Yumenoshima Park Archery Field.

Penarikan diri Khairul Anuar itu menyaksikan Zii Jia kini akan bergandingan bersama seorang lagi pemain badminton beregu campuran Goh Liu Ying bagi membawa bendera Malaysia.

“Keputusan mesyuarat MOM pagi tadi memutuskan untuk memilih kombinasi muka lama dan muka baharu.

“Oleh sebab itu, Zii Jia dipilih kerana beliau merupakan antara atlet yang pertama kali ke Olimpik selain merupakan generasi masa depan Sukan Olimpik dan prospek pingat negara kali ini manakala Liu Ying pula pernah beraksi pada temasya sukan berkenaan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Mohamad Norza pada 3 Mei lepas mengumumkan MOM memberikan penghormatan kepada Liu Ying dan Khairul Anuar bagi menggalas tugas sebagai pembawa bendera.

Liu Ying, 32, dan pasangannya Chan Peng Soon, 33, yang berkedudukan ketujuh terbaik dunia merupakan pemenang pingat perak ketika Sukan Olimpik di Rio pada 2016 selepas tewas 14-21, 12-21 kepada pasangan Indonesia Tontowi Ahmad dan Liliyana pada aksi final.

Zii Jia, 23, pula dijangka bakal memberi cabaran pingat di Tokyo berikutan kejayaan merangkul gelaran All England setelah mengalahkan pemain nombor dua dunia, Viktor Axelsen dari Denmark 30-29, 20-22, 21-9 di final di Birmingham pada Mac lepas.

Kontinjen negara di Sukan Olimpik Tokyo bakal mencipta sejarah apabila buat pertama kalinya Malaysia akan menampilkan dua pembawa bendera pada upacara pembukaan.

Sementara itu, MOM dalam satu kenyataan memaklumkan mesyuarat turut menekankan persiapan atlet dan pegawai ke Sukan Olimpik Tokyo selain kepentingan mengamalkan langkah mengelakkan penularan Covid-19 dalam kalangan kontinjen Malaysia iaitu sebelum, semasa dalam penerbangan dan setibanya di Tokyo.

Seramai 30 orang atlet akan mewakili negara dan bertanding dalam 10 acara di Sukan Olimpik Tokyo, pada 23 Julai hingga 8 Ogos ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Atlet memanah Syaqiera layak ke Tokyo

KUALA LUMPUR, 2 JULAI: Terkejut dan berdebar. Begitulah perasaan pemanah wanita kebangsaan Syaqiera Mashayikh sebaik sahaja disahkan mewakili negara ke Sukan Olimpik Tokyo bermula 23 Julai ini.

Syaqiera sama sekali tidak menyangka memperoleh peluang keemasan itu selepas Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) memutuskan untuk memilihnya membawa cabaran negara dalam acara recurve individu wanita dan pasukan campuran bersama jaguh memanah negara, Khairul Anuar Mohamad di Jepun.

Mana tidaknya, pemanah berusia 21 tahun itu menyatakan Sukan Olimpik Tokyo bakal menjadi temasya sukan pertama disertainya dan penampilan ketiga di peringkat antarabangsa selepas bertanding pada dua kejohanan di Paris, Perancis bagi Kelayakan Sukan Olimpik 2020 dan Peringkat Ketiga Piala Dunia 2021, bulan lepas.

“Terima kasih kepada NAAM kerana memilih saya sebagai atlet yang bertanding ke Sukan Olimpik Tokyo.

“Sudah semestinya saya bangga dapat mewakili negara ke Tokyo, saya akan cuba buat sehabis upaya di sana,” katanya ketika dihubungi.

Sebelum ini, Syaqiera terlepas peluang ke Sukan Olimpik Tokyo selepas terkandas pada peringkat kedua acara recurve individu wanita di tangan wakil Switzerland, Valentine De Giuli, dengan keputusan 6-2 dalam Kelayakan Sukan Olimpik 2020.

Bukan itu sahaja, beliau juga gagal membantu dua rakan sepasukannya, Nur Ain Ayuni Fozi dan Nurul Azreena Mohamad Fazil ke Tokyo menerusi acara recurve berpasukan apabila tersingkir di pusingan pertama kepada Brazil selepas tewas 6-2, dalam kempen kelayakan terakhir Olimpik Tokyo itu.

Presiden NAAM Datuk Abdul Hamid Hasan memberitahu Bernama pada Selasa lepas bahawa Malaysia mendapat slot ke Tokyo apabila semakan World Archery mendapati ada dalam kalangan 64 pemanah yang layak tidak melepasi ‘Minimum Qualification Score (MQS)’ sebanyak 605 mata untuk acara wanita.

Jelasnya, Malaysia mendapat slot berkenaan selepas memiliki atlet yang melepasi MQS itu.

Berdasarkan keputusan pusingan kelayakan kejohanan di Paris itu, Syaqiera dan Nurul Azreena mencatat 619 mata manakala Nur Ain Ayuni meraih 594 mata.

Aksi Piala Dunia pula menyaksikan Syaqiera kekal dengan panahan 619 mata, manakala Nur Ain Ayuni dan Nurul Azreena masing-masing mendapat 605 dan 600 mata.

Sementara itu, jurulatih skuad memanah wanita kebangsaan, Muhammad Marbawi Sulaiman berkata Syaqiera dipilih Jawatankuasa Pemilihan NAAM ke Tokyo selepas memungut 619 mata dan melepasi MQS selain menampilkan prestasi lebih menonjol berbanding dua lagi pemanah dalam kedua-dua kejohanan di Perancis itu.

Olimpian negara yang pernah beraksi di Sukan Olimpik Beijing, China pada 2008 turut gembira dapat melihat Syaqiera beraksi di pentas Olimpik dan mahu anak buahnya itu mengutip pengalaman sebanyak mungkin di Jepun nanti.

Sebelum ini, hanya dua pemanah wanita yang pernah beraksi di pentas Olimpik iaitu Mon Redee Sut Txi pada edisi 2004 dan Nurul Syafiqah Hashim pada 2012.

Khairul Anuar terlebih dahulu mengesahkan tempat ke Sukan Olimpik Tokyo menerusi acara individu selepas meraih pingat perak pada Kejohanan Memanah Dunia di Hertogenbosch, Belanda pada Jun 2019.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA SUKANKINI

Farah Ann tidak sabar ke Olimpik, patuh protokol ketat elak wabak

SHAH ALAM, 29 JUN: Gimnas negara, Farah Ann Abdul Hadi tidak sabar beraksi buat pertama kali dalam temasya Olimpik, Julai depan di sebalik kebimbangan peningkatan kes Covid-19.

Menurut atlet Selangor itu, beraksi di pentas sukan paling berprestij adalah impiannya sejak kecil dan tidak mahu melepaskan peluang dengan membuat pelbagai persiapan.

Farah Ann menjelaskan antara persiapannya termasuk mematuhi protokol kesihatan ketat pihak berkuasa Jepun yang menganjurkan Olimpik pada 23 Julai hingga 8 Ogos, antaranya perlu mengambil dua dos suntikan vaksin.

Beliau sudah melengkapkan suntikan vaksin pada 4 Mei lalu.

“Dari segi latihan saya teruskan seperti biasa di Majlis Sukan Negara Bukit Jalil yang turut menetapkan tatacara operasi piawai ketat bagi mengelakkan jangkitan.

“Saya akan berlepas ke Jepun 17 Julai depan, sudah semestinya saya tidak sabar beraksi di Olimpik yang menjadi impian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Farah Ann mengesahkan tiket ke Olimpik Tokyo selepas mencatat keputusan memberangsangkan pada Kejohanan Gimnastik Artistik Dunia 2019 di Stuttgart, Jerman.

Pencapaian itu juga menamatkan penantian rakyat Malaysia selama 20 tahun untuk melihat gimnas wanita negara kembali beraksi di pentas Olimpik, selepas Au Li Yen pada Sukan Olimpik 2000 di Australia.

Categories
AGENDA SUKANKINI

MSN Selangor bantu Farah Ann, Gavin hadapi Olimpik Tokyo

SHAH ALAM, 29 JUN: Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor akan memantau dan membantu dua atlet negeri ini yang akan mewakili negara dalam temasya Olimpik di Jepun pada Julai.

Pengarah Eksekutifnya Mohammad Nizam Marjugi berkata dua atlet berkenaan adalah gimnas negara Farah Ann Abdul Hadi dan pemain golf profesional Gavin Kyle Green.

“Walaupun selepas mereka diserapkan ke dalam pasukan kebangsaan dan semua urusan berkaitan bawah Majlis Sukan Negara, namun MSN Selangor biasanya pantau atlet negeri kita.

“Kita akan beri bantuan seperti kewangan sebelum dan selepas menyertai Olimpik,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Olimpik Tokyo bakal menjadi pentas pertama bagi Farah Ann beraksi dalam kejohanan sukan paling berprestij itu manakala kali kedua buat Gavin.

Farah Ann mengesahkan tiket ke Olimpik Tokyo selepas mencatat keputusan memberangsangkan pada Kejohanan Gimnastik Artistik Dunia 2019 di Stuttgart, Jerman.

Gavin secara rasminya layak selepas menduduki ranking ke-56 daripada 60 pemain golf dalam ranking Olimpik yang tempoh kelayakannya berakhir pada 22 Jun.

Categories
AGENDA SUKANKINI

Skuad memanah wanita kempunan, gagal beraksi di Olimpik Tokyo

KUALA LUMPUR, 22 JUN: Skuad memanah wanita kebangsaan terus kempunan untuk beraksi di pentas Olimpik apabila tiga pemanah gagal menempah slot ke Tokyo dalam acara recurve individu wanita pada kejohanan Kelayakan Sukan Olimpik 2020 di Paris, Perancis semalam.

Saingan kempen terakhir ke Olimpik Tokyo itu menyaksikan pemanah negara, Nur Ain Ayuni Fozi tersingkir di pusingan keempat apabila atlet Poland, Magdalena Smialkowska mudah menewaskannya dengan keputusan 6-0 untuk melangkah ke peringkat suku akhir.

Terdahulu, seorang lagi pemanah Poland menyekat hasrat Nurul Azreena Mohamad Fazil yang tewas 6-2 di pusingan ketiga manakala Syaqiera Mashayikh pula terkandas pada peringkat kedua di tangan wakil Switzerland, Valentine De Giuli, juga dengan keputusan 6-2.

Hanya lima sahaja slot akhir yang menjadi rebutan buat para pemanah yang bertanding dalam kempen kelayakan kali ini.

Keputusan itu menyaksikan ketiga-tiga wakil negara yang turut digandingkan dalam acara recurve berpasukan gagal mengubati kekecewaan mereka tersingkir di pusingan pertama di tangan pasukan Brazil selepas tewas 6-2 pada Ahad.

Kali terakhir pemanah wanita melayakkan diri ke temasya Olimpik adalah pada edisi 2012 di London, United Kingdom yang menyaksikan Nurul Syafiqah Hashim tersungkur di pusingan pertama dalam acara recurve individu kepada pemanah Taiwan, Lin Chia-En, dengan keputusan 6-2.

Kesemua pemanah wanita kebangsaan itu seterusnya dijadual beraksi pada Peringkat Ketiga Piala Dunia 2021 juga di Paris, yang berlangsung hari ini sehingga 27 Jun.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Trio recurve lelaki negara gagal ke Olimpik Tokyo

KUALA LUMPUR, 20 JUN: Impian skuad memanah lelaki negara untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo bulan depan, musnah selepas terkandas di peringkat suku akhir acara recurve berpasukan lelaki kejohanan Kelayakan Sukan Olimpik 2020 di Paris, pada Sabtu.

Trio negara diketuai Khairul Anuar Mohamad, Muhamad Zarif Syahiir Zolkepeli dan Muhammad Akmal Nor Hasrin tewas 6-2 kepada pasukan Ukraine yang dibarisi Oleksii Hunbin, Heorhiy Ivanytskyy, Ivan Kozhokar, berdasarkan keputusan di laman worldarchery.sport.

Hanya tiga slot menjadi rebutan bagi kempen kelayakan terakhir Olimpik Tokyo yang dijadual berlangsung pada 23 Julai hingga 8 Ogos.

Setakat ini, sembilan pasukan layak beraksi di temasya sukan terbesar dunia iaitu Australia, China, Taiwan, Great Britain, India, Jepun, Kazakhstan, Korea Selatan dan Belanda.

Bagaimanapun, pasukan recurve wanita negara masih memiliki peluang untuk menebus kekecewaan skuad lelaki apabila bakal beraksi pada Ahad.

Khairul Anuar terlebih dahulu mengesahkan tempat ke Sukan Olimpik selepas meraih pingat perak pada Kejohanan Memanah Dunia di Hertogenbosch, Belanda pada Jun 2019.

Sukan Olimpik Tokyo 2020 akan menjadi penampilan ketiga buat Khairul Anuar, 29, selepas edisi London 2012 dan Rio 2016, yang turut menyaksikan Muhammad Akmal membuat penampilan pertamanya pada temasya di Brazil itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Qabil Ambak layak ke Sukan Olimpik Tokyo

KUALA LUMPUR, 4 JUN: Mohd Qabil Ambak Muhamad Fathil melakar sejarah baharu apabila tampil sebagai atlet ekuestrian Malaysia yang pertama bertanding di Sukan Olimpik.

Presiden Persatuan Ekuestrian Malaysia (EAM) Syed Omar Syed Abu Bakar AlMohdzar mengucapkan tahniah kepada atlet berusia 41 tahun itu melalui hantaran di laman Facebook persatuan tersebut kerana terpilih bagi mewakili negara dalam acara dressage.

“Ini bukan sahaja satu pencapaian penting dalam sukan nasional tetapi juga negara kita kerana ini adalah kali pertama Malaysia diwakili dalam acara ekuestrian pada temasya Sukan Olimpik. Olimpik memberikan kesempatan untuk kita bersatu dalam pelbagai cara terutama ketika berdepan cabaran global susulan pandemik Covid-19.​

“Sebagai sebahagian daripada skuad Olimpik Malaysia, Qabil Ambak adalah suri teladan bagi sukan ekuestrian dan semua rakyat Malaysia. Kami mengucapkan selamat berjaya kepadanya dan tidak sabar untuk memberikan sokongan padu kepada beliau,” katanya.

Qabil, dari Kuala Lumpur, juga pernah tampil sebagai atlet pertama Malaysia yang berentap di Pertandingan Akhir Piala Dunia pada 2003 selain menggondol pingat dalam pelbagai kejohanan peringkat Asia dan Sukan SEA, termasuk perak dalam acara dressage individu pada Sukan Asia 2018.

Sukan Olimpik Tokyo dijadualkan bermula pada 23 Julai.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL SUKANKINI

Lebih separuh rakyat Jepun mahu Olimpik Tokyo batal, tunda

TOKYO, 22 JULAI: Tinjauan mendapati lebih 60 peratus warga Jepun lebih suka temasya Olimpik 2020 dibatalkan atau ditangguhkan sekali lagi, lapor agensi berita Sputnik.

Pada akhir Mac, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa dan jawatankuasa penganjur Sukan Tokyo 2020 mengumumkan acara itu ditangguhkan pada 2021 kerana wabak Covid-19.

Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020 dijadual dari 23 Julai hingga 8 Ogos 2021.

Menurut hasil tinjauan oleh penyiar NHK, 31 peratus responden mahu Olimpik 2020 dibatalkan sepenuhnya, sementara 35 peratus mahu ia ditunda sekali lagi. Hanya 26 peratus bersetuju ia dilangsungkan mengikut jadual.

Tinjauan dilakukan dari 17 hingga 20 Julai melalui panggilan telefon, membabitkan 1,298 warga Jepun yang dipilih secara rawak.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Olimpik 2020: Pindaan tarikh buka ruang atasi cabaran Covid-19

KUALA LUMPUR, 1 APRIL: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yakin Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang ditunda memberi ruang dan masa secukupnya kepada semua pihak untuk mengatasi pelbagai cabaran yang sedang dihadapi susulan pandemik Covid-19.

Menterinya Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican percaya tarikh baharu sukan itu memberi ruang selesa buat semua pihak mengatur semula perancangan program latihan dan pertandingan termasuk proses kelayakan atlet yang tertangguh.

“Saya juga menyambut baik keputusan bahawa atlet yang layak sebelum ini diberi jaminan pengesahan untuk bertanding di Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020 tahun hadapan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau turut berharap Persekutuan Sukan Antarabangsa dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dan Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) mencapai kata sepakat bagi memutuskan proses kelayakan adil kepada atlet yang masih belum layak beraksi di temasya sukan berprestij itu.

IOC, IPC, Jawatankuasa Penganjur Tokyo 2020 dan kerajaan Jepun bersetuju untuk menganjurkan Sukan Olimpik dan Paralimpik 2020 pada Julai dan Ogos 2021 selepas satu persidangan telefon pada Isnin.

Tarikh baharu Sukan Olimpik Tokyo 2020 dipinda 23 Julai hingga 8 Ogos 2021, manakala Sukan Paralimpik Tokyo 2020 diadakan pada 24 Ogos hingga 5 September 2021.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Olimpik Tokyo: Keputusan Malaysia belum muktamad

SHAH ALAM, 21 MAC: Kementerian Belia dan Sukan belum memuktamadkan keputusan menyertai Sukan Olimpik Tokyo 2020 Julai ini, kata menterinya.

Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata pihaknya mengutamakan keselamatan dan kesihatan atlet, selain menanti pengesahan Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai penularan wabak Covid-19, lapor Berita Harian.

“Tentu sekali (keputusan) akan berubah dari semasa ke semasa dan kita ada lebih kurang empat bulan lagi daripada tempoh Sukan Olimpik ini dianjurkan.

“Kita akan lihat dan putuskan secara muktamad bila mana melihat perkembangan daripada semasa ke semasa mengenai Covid-19,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Majlis Olimpik Malaysia menyokong keputusan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa yang mahu temasya itu dibuat mengikut jadual bermula 24 Julai hingga 9 Ogos ini.

Categories
AGENDA SUKANKINI

Laluan skuad hoki ke Olimpik Tokyo makin sukar

KUALA LUMPUR, 3 NOV: Peluang skuad hoki lelaki negara untuk mara ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 semakin tipis apabila ketinggalan 1-4 kepada Great Britain pada perlawanan pertama play off kelayakan Sukan Olimpik di London, awal pagi ini.

Anak didik Roelant Oltmans ternyata perlu bekerja keras membuka peluang baharu pada perlawanan kedua, pada jam 11 malam ini, di Lee Valley Hockey & Tenis Centre, London.

Misi menamatkan kemarau gagal layak ke Olimpik sejak edisi 2000 di Sydney, Australia, semakin pudar dan hanya keajaiban pada pertemuan kedua itu dapat mengesahkan laluan Malaysia ke pentas Olimpik.

Malaysia memulakan aksi dengan garang apabila pukulan sudut penalti pertama pada awal perlawanan gagal diterjemahkan ke dalam gawang.

Bagaimanapun, Nabil Fiqri Mohd Noor bijak menyambut hantaran Muhammad Razie Abdul Rahim, untuk mengejutkan penjaga gol George Pinner untuk gol pertama Malaysia pada minit keenam.

Pemain negara jelas menunjukkan mutu permainan yang baik dengan aksi kawalan bola yang lebih kemas oleh pemain pertahanan, Faiz Helmi Jali dan Syed Syafiq Syed Cholan.

Tersentak dengan kesungguhan dan serangan bertalu-talu Malaysia Tigers, pasukan Great Britain cuba mengawal permainan dan meningkatkan serangan balas untuk menyamakan jaringan sebelum suku kedua berakhir.

Pasukan tuan rumah kemudian bangkit menyamakan kedudukan seawal dua minit perlawanan suku ketiga menerusi gol padang pemain penyerang, Sam Ward pada minit ke-33.

Great Britain mula mendapat rentak apabila pintu gawang S.Kumar digegarkan pada minit ke-36 oleh gol padang Phil Roper dan hantaran terus oleh Alan Forsyth pada minit ke-42.

Kad hijau diberi kepada Faizal Saari dua minit sebelum perlawanan suku ketiga berakhir selepas melakukan kekasaran di bahagian belakang.

Di awal babak keempat, Great Britain meletakkan mereka di kedudukan selesa dengan keputusan 4-1 selepas pemain mudanya, James Gall membolosi gawang Malaysia pada minit ke-47 untuk membawa bekalan selesa pada perlawanan timbal balik itu.

– BERNAMA