Categories
AGENDA SUKANKINI

Keadaan angin tidak memihak skuad pelayaran di Tokyo

TOKYO, 26 JULAI: Keadaan angin yang tidak memihak kepada skuad negara di Enoshima Yacht Harbour, menjejaskan rentak atlet pelayaran Khairulnizam Mohd Afendy dan Nur Shazrin Mohamad Latif yang bergelut untuk mendapatkan kedudukan terbaik dalam acara masing-masing hari ini.

Khairulnizam yang sebelum ini menghuni kedudukan ke-26 dalam Race 1 acara Laser Standard semalam, kembali memperbaiki kedudukan kepada 14 dalam Race 2 hari ini, selepas perlumbaan itu ditangguhkan semalam, susulan cuaca buruk.

Bagaimanapun, tiga kali Olimpian yang juga pemenang pingat perak Sukan Asia itu sekadar menduduki tempat ke-28 pada Race 3.

Selepas tiga siri perlumbaan, Khairulnizam menghuni tangga ke-27 daripada 35 peserta dengan 40 mata bersih.

Karle Tapper dari Finland mengungguli ranking ketika ini dengan lima mata bersih, diikuti pemenang pingat perak edisi lepas Tonci Stipanovic dari Croatia dan pemenang pingat perak Olimpik London 2012 Pavlos Kontides dari Cyprus, yang juga pemenang pertama pingat Olimpik untuk negara itu.

Jurulatih kebangsaan Mohd Afendy Abdullah berkata walaupun kesilapan kecil dilakukan oleh Khairulnizam menjejaskan kedudukan dalam Race 3, namun beliau yakin atlet negara berpeluang memperbaiki kedudukan keseluruhannya.

“Ketika Race 2 keputusan agak baik, tapi ketika penghujung Race 3, arah angin berubah dan Khairulnizam melakukan kesilapan kecil. Dia sepatutnya mengekalkan kedudukan.

“Kita masih mempunyai tujuh perlumbaan. Dia masih lagi berpeluang untuk memperbaiki kedudukan. Dia masih boleh menamatkan saingan dalam kelompok 15 ataupun mungkin 10 terbaik,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, dalam acara Laser Radial wanita, atlet muda sensasi negara Nur Shazrin, yang memulakan cabaran hari pertama dengan kedudukan ketiga semalam, gagal mengulangi prestasinya hari ini dalam Race 3 dan menamatkan saingan di kedudukan ke-33.

Bagaimanapun, atlet berusia 23 tahun itu kembali memperbaiki kedudukan kepada 14 dalam Race 4, kedudukan keseluruhan di tangga ke-17 daripada 44 peserta dengan 42 mata bersih.

Line Flem Hoest dari Norway mengetuai perlumbaan dengan tujuh mata bersih, diikuti Vasileia Karachaliou dari Greek (sembilan mata bersih) dan pemenang pingat gangsa edisi lepas Anne-Marie Rindom (14 mata bersih).

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Tokyo 2020: Catat kedudukan ke-68, Farah Ann terlepas pusingan akhir

TOKYO, 25 JULAI: Gimnas negara Farah Ann Abdul Hadi terlepas peluang beraksi dalam acara all-around akhir selepas menamatkan saingan di kedudukan ke-68 daripada 85 peserta di Sukan Olimpik Tokyo hari ini.

Farah Ann yang tampil ceria dengan leotard berwarna jingga di Pusat Gimnastik Ariake mengumpul mata sebanyak 48.565 keseluruhan selepas melengkapkan empat rutin wajib.

Atlet berusia 27 tahun itu bermula agak goyah pada awalnya apabila hanya mengutip 11.600 mata dalam aparatus palang bertingkat dan 11.566 mata dalam palang imbangan.

Farah Ann kemudiannya mempamerkan aksi mengagumkan dalam disiplin senam lantai dengan memperoleh 12.233 mata sebelum melengkapkan aksi dengan mata 13.166 dalam disiplin melombol.

Hanya 24 gimnas, dengan maksimum dua wakil dari setiap negara layak ke peringkat akhir acara all-around yang dijadual pada Khamis (29 Julai).

Sementara lapan gimnas terbaik, dengan maksimum dua wakil dari setiap negara akan meneruskan cabaran di final aparatus.

Juara bertahan Simone Biles dari Amerika Syarikat (AS) mengungguli ranking keseluruhan hari ini dengan mengutip 57.731 mata diikuti Rebecca Andrade dari Brazil (57.399 mata) dan seorang lagi gimnas AS Sunisa Lee di tempat ketiga (57.166 mata).

Pada Sabtu, gimnas lelaki negara Jeremiah Loo Phay Xing gagal melayakkan diri ke final apabila menamatkan saingan di tempat ke-62 daripada 66 peserta dengan mengumpul 67.498 mata.

Atlet berusia 23 tahun itu memperolehi 13.100 mata dalam disiplin senam lantai, diikuti kekuda berpelana (12.266 mata), gelang roman (7.700 mata), melombol (12.466 mata), palang imbangan (10.200 mata) dan palang tunggal (11.766 mata) dalam pusingan kelayakan.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA SUKANKINI

Olimpik Tokyo: Zii Jia menang mudah, beregu wanita terkandas

TOKYO, 25 JULAI: Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia tidak berdepan masalah untuk melakar kemenangan dengan menumpaskan pemain Ukraine Artem Pochtarov dalam aksi pertama peringkat Kumpulan M pada Sukan Olimpik Tokyo 2020, hari ini.

Pemain berusia 23 tahun itu yang membuat penampilan pertama di pentas Olimpik mencatat kemenangan mudah selepas mengetepikan cabaran lawannya itu dalam tempoh 25 minit pada aksi yang berlangsung di Musashino Forest Sport Plaza.

Zii Jia, yang berada di ranking kelapan dunia, ternyata berada di kelas tersendiri pada set pertama apabila merekodkan kemenangan 21-5, sebelum mengatasi Pochtarov yang menghuni ranking ke-98 dunia dengan 21-11 pada set kedua.

Selain Pochtarov, pemain kelahiran Kedah itu yang muncul Juara All England pada Mac lepas dan diletakkan sandaran meraih pingat emas negara pada Sukan Olimpik Tokyo, akan menentang pemain Perancis, Brice Leverdez dalam aksi Kumpulan M, selepas ini.

Sementara itu, cabaran beregu wanita negara, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean pada temasya sukan berkenaan berakhir apabila mengalami kekalahan kedua berturut-turut dalam aksi Kumpulan A, malam ini.

Walaupun menampilkan semangat juang yang tinggi, ia belum mencukupi bagi mengatasi pasangan nombor satu dunia dari Jepun, Sayaka Hirota-Yuki Fukushima apabila tumpas dalam pertarungan tiga set yang berlangsung selama 84 minit.

Mei Kuan-Meng Yean bermula cemerlang pada set pertama apabila melakar kemenangan 21-17, namun gagal mengekalkan rentak pada set kedua apabila tumpas 15-21 dan kecundang 8-21 di set penentuan.

Semalam, pasangan Malaysia itu terpaksa akur di tangan pasangan Indonesia, Greysia Polii-Apriyani Rahayu 14-21, 17-21 dalam aksi pembukaan Kumpulan A.

Gandingan Malaysia itu dijadual bertemu beregu England, Chloe Birch-Lauren Smith bagi melengkapkan aksi Kumpulan A.

Hanya dua pasangan teratas dalam setiap kumpulan layak ke pusingan kalah mati.

 

Categories
AGENDA SUKANKINI

Zii Jia: Peluang seimbang menang emas acara badminton

TOKYO, 24 JULAI: Pemain badminton perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia, tidak akan memandang rendah terhadap mana-mana lawan yang akan beliau hadapi di Olimpik Tokyo.

Zii Jia pemain pilihan kesembilan Olimpik berpandangan bahawa, setiap pemain mempunyai peluang dan keupayaan untuk memenangi pingat emas dalam acara badminton, bagi acara yang bermula di Musashino Forest Sport Plaza hari ini.

“Setiap pemain mempunyai peluang yang sama untuk menang di Olimpik Tokyo,” katanya dalam satu video dimuat naik di Facebook Majlis Olimpik Malaysia (MOM) hari ini.

Sementara itu juara All England 2021 itu berkata, beliau hanya mahu menikmati penyertaan kali pertamanya di Olimpik, di sini, walaupun akan bermain tanpa kehadiran penonton.

Menggambarkan suasana tanpa penonton sebagai sukar, pemain berusia 23 tahun itu berkata, setiap pemain perlu melalui laluan yang sama dan perlu mengadaptasi kepada norma baharu ini.

Tumpuan tentunya akan diberikan terhadap Zii Jia, apabila pemain berasal dari Kedah itu disebut-sebut sebagai calon untuk memenangi pingat di Tokyo selepas kejayaannya di All England 2021 mengalahkan pemain nombor dua dunia Viktor Axelsen dari Denmark 30-29, 20-22, 21-9 pada perlawanan akhir di Birmingham, Mac lepas.

Pemain nombor lapan dunia itu perseorang lelaki itu, akan memulakan cabarannya di Olimpik Tokyo esok (Ahad) dengan bertemu Artem Pochtarov dari Ukraine pada perlawanan Kumpulan M.

— BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB taruh harapan pingat emas pertama Olimpik Tokyo

SHAH ALAM, 24 JULAI: Dato’ Menteri Besar menaruh harapan kepada kontinjen Malaysia untuk membawa pulang pingat emas pertama pada temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020.

“Selamat berjaya saya ucapkan kepada seluruh warga kontinjen Malaysia terutamanya atlet-atlet dari Selangor.

“Ayuh realisasikan impian untuk pingat emas pertama bagi Malaysia di Sukan Olimpik. Semoga berjaya!” tulis Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Twitter hari ini.

Malam tadi, pembukaan temasya sukan terbesar dunia berlangsung dalam stadium yang hampir kosong apabila kurang 1,000 orang kenamaan menghadiri majlis di Stadium Olimpik yang mampu memuatkan 68,000 penonton.

Temasya sukan berprestij bermula 23 Julai hingga 8 Ogos ini menyaksikan seramai 30 atlet negara akan beraksi dalam 27 acara membabitkan 10 jenis sukan.

Empat daripadanya mewakili Selangor iaitu Phee Jing En (renang), Lee Hup Wei (lompat tinggi), Gavin Kyle Green (golf) dan Farah Ann Abdul Hadi (gimnastik artistik).

Pada edisi Rio 2016, Malaysia yang diwakili 32 atlet membawa pulang empat pingat perak dan sebutir gangsa, yang disifatkan pencapaian terbaik negara di Sukan Olimpik.

Categories
AGENDA SUKANKINI

Beregu badminton wanita tewas pada perlawanan pembukaan

TOKYO, 24 JULAI: Pasangan badminton beregu wanita negara Chow Mei Kuan-Meng Yean memulakan kempen Olimpik Tokyo mereka dengan laluan sukar, apabila tewas pada perlawanan pembukaan Kumpulan A mereka, menentang Greysia Polii-Apriyani Rahayu dari Indonesia hari ini.

Pasangan Indonesia itu hanya memerlukan 45 minit, untuk menewaskan pasangan Mei Kuan-Meng Yean 21-14, 21-17 di Musashino Forest Sport Plaza, Tokyo.

Kedua-dua pasangan bermula dengan baik dan saling bersaingan mata demi mata, sebelum waktu rehat pada set pertama, sebelum Greysia-Apriayani mendahului pada kedudukan 11-10, yang memperlihatkan Mei Kuan-Meng Yean mula hilang momentum selepas permainan bersambung, dengan pasangan Indonesia itu menang set pertama, 21-14.

Pada set kedua, Mei Kuan-Meng Yean menunjukkan semangat melawan yang baik terhadap Greysia-Apriyani dengan berjaya menyamakan kedudukan 13-13, sebelum pasangan Indonesia itu mendahului semula sehingga 20-15 dan menamatkan set kedua dengan kemenangan 21-17.

Kemenangan hari ini menyaksikan pasangan Greysia-Apriayani menjarakkan lagi rekod kemenangan mereka selepas lima pertemuan kepada tiga kemenangan, manakala pasangan Malaysia menang dua.

Pilihan utama Olimpik Yuki Fukushima-Sayaka Hirota dari Jepun, akan bertemu pasangan Great Britain Chloe Birch-Lauren Smith dalam satu lagi perlawanan Kumpulan A, hari ini.

Laluan berliku akan dihadapi Mei Kuan-Meng Yean, kerana mereka akan bertemu Yuki-Sayaka dalam perlawanan mesti menang untuk pasangan Malaysia itu esok, manakala Greysia-Apriyani akan bertemu Chloe-Lauren.

Selain Mei Kuan-Meng Yean, dua lagi wakil Malaysia akan beraksi hari ini, di mana pasangan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik akan bertemu pasangan Korea Choi Solgyu-Seo Seungjae dalam perlawanan Kumpulan D Beregu Lelaki.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Perasmian Olimpik Tokyo cukup hebat walaupun berskala kecil

TOKYO, 24 JULAI: Selepas berdepan pelbagai cabaran dan rintangan sejak 18 bulan lepas, Jepun akhirnya berjaya mendepani pandemik Covid-19, bagi mempersembahkan pertunjukan cukup hebat berteknologi tinggi, untuk majlis pembukaan temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020, malam tadi.

Ia berlangsung dalam stadium yang hampir kosong, apabila kurang daripada 1,000 orang kenamaan menghadiri majlis di Stadium Olimpik yang mampu memuatkan 68,000 penonton – senario yang jelas berbeza sama sekali dengan kehadiran puluhan ribu peminat menceriakan majlis pembukaan pada masa lalu.

Bilangan peserta yang mengambil bahagian dalam temasya sukan yang tertangguh selama setahun itu juga berkurangan berikutan pandemik global, perbezaan yang cukup ketara berbanding temasya sebelumnya, dan kesemua yang hadir pula kini terpaksa memakai pelitup muka.

Bagaimanapun majlis pembukaan berlangsung dalam suasana yang memukau dengan pertunjukan dron, bunga api serta persembahan muzikal, dan seperti biasa negara yang mengambil bahagian berarak memasuki stadium satu demi satu ke dalam stadium, diketuai Greece yang menjadi tuan rumah pertama Sukan Olimpik.

Negara tuan rumah Jepun yang terakhir memasuki stadium, dan yang mengambil bahagian dalam temasya tahun ini melibatkan 206 negara, termasuk pasukan pelarian.

Kesan pandemik Covid-19 turut diketengahkan oleh penganjur, dan suasana bertukar sayu serta menyentuh perasaan buat seketika apabila sesi bertafakur diselitkan dalam majlis malam ini bagi memperingati mereka yang kehilangan anggota keluarga, sanak saudara dan sahabat handai yang meninggal dunia akibat pandemik Covid-19.

Selepas atlet, pegawai dan jurulatih membacakan ikrar Olimpik, ia kemudian disusuli dengan persembahan secara maya lagu ikonik ‘Imagine’ oleh beberapa penyanyi terkenal dunia termasuk John Legend dan Keith Urban. Lagu itu yang dipopularkan oleh mendiang John Lennon, pada dasarnya menggalakkan para pendengar kepada keamanan dunia, tanpa materialisme, tanpa sempadan yang memisahkan negara dan agama.

Sukan itu secara rasminya diisytiharkan pembukaannya oleh Maharaja Jepun Naruhito, disaksikan oleh pemimpin dunia dan tokoh terkemuka termasuk Presiden Perancis Emmanuel Macron dan Wanita Pertama Amerika Syarikat Jill Biden.

Ia kemudian disusuli dengan paparan seni yang lebih mengujakan serta perarakan oleh beberapa petugas barisan hadapan yang terlibat dalam memerangi pandemik, diberi penghormatan membawa bendera Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) untuk dikibarkan.

Selepas persembahan yang lebih mengagumkan dan ucapan yang menyentuh mengenai perpaduan, tibalah upacara kemuncak perasmian – menyalakan kawah obor.

Dengan sebahagian petugas barisan hadapan turut terlibat dalam penyerahan obor di sekitar stadium, ia akhirnya diserahkan kepada juara perseorangan wanita tenis Grand Slam empat kali Naomi Osaka untuk menyalakan kawah dengan bergaya.

Bertemakan ‘United by Emotion’, majlis perasmian Sukan Olimpik Tokyo 2020 melakar sejarah tersendiri, dengan setiap negara mempunyai dua pembawa bendera (lelaki dan wanita) buat kali pertama, manakala bilangan pembaca ikrar ditambah daripada tiga kepada enam (dua atlet, jurulatih dan pengadil) untuk menyerlahkan kepentingan perpaduan, keterangkuman, tiada diskriminasi dan kesaksamaan.

Kontinjen Malaysia seramai 13 peserta diketuai pemain badminton Lee Zii Jia dan Goh Liu Ying sebagai pembawa jalur gemilang, merupakan negara ke-177 berarak masuk ke stadium.

Atlet lelaki dan pegawai memakai baju Melayu lengkap dengan tanjak, rekaan inspirasi daripada persalinan pemakaian pahlawan Melayu terbilang, Laksamana Hang Tuah, yang menetap di Melaka semasa pemerintahan Sultan Mansur Shah pada abad ke-15.

Atlet wanita pula memakai baju kurung, lengkap berdokoh dan pakaian luar yang direka untuk sepadan dengan pakaian atlet lelaki.

Rekaan itu dihasilkan Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, dengan memaparkan corak geometri dan warna yang diadaptasi daripada Jalur Gemilang.

Perbarisan Malaysia turut disertai penerjun negara Pandelela Rinong, Nur Dhabitah Sabri dan Ng Yen Yee; perenang Phee Jinq En dan Welson Sim; gimnastik Farah Ann Abdul Hadi serta Ketua Sekretariat Malaysia Datuk Nazifuddin Mohd Najib.

Tokyo sebelum ini pernah menjadi tuan rumah Sukan Olimpik pada tahun 1964. Sukan ini akan berakhir secara rasmi pada 8 Ogos apabila Jepun menyerahkan baton kepada Perancis untuk Sukan Olimpik Paris 2024.

Tetapi tidak semuanya berjalan lancar apabila beratus-ratus penunjuk perasaan, membawa pelekat yang tertera ‘Lives over Olympics’, memprotes di sekitar stadium sambil menjerit ‘Hentikan Olimpik’ pada sebelah petang.

Pandemik ini masih memberi ancaman besar, dengan lebih 100 orang terlibat dalam Olimpik diuji positif setakat ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Penganjur setuju acara Olimpik Tokyo berlangsung tanpa penonton

TOKYO, 9 JULAI: Penganjur Sukan Olimpik Tokyo dan pihak berkaitan pada Khamis bersetuju acara di Tokyo dan tiga wilayah berdekatan iaitu Kanagawa, Chiba dan Saitama akan dilangsungkan tanpa kehadiran penonton, menurut Jiji Press.

Ini bermakna upacara pembukaan dan penutup di Stadium Nasional Jepun di Tokyo akan berlangsung tanpa penonton. Temasya sukan itu dijadual bermula 23 Julai.

Persetujuan itu dicapai selepas kerajaan Jepun pada awal Khamis memutuskan darurat akan di kuat kuasa di Tokyo bermula Isnin hingga 22 Ogos, iaitu merangkumi keseluruhan tempoh penganjuran Olimpik.

“Kami memutuskan tidak ada penonton pada acara tersebut. Kami memohon maaf kepada mereka yang selama ini ternanti-nanti untuk menyaksikan acara di lokasi penganjuran,” kata Presiden Jawatankuasa Penganjur Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo Seiko Hashimoto, pada sidang media.

Sebelum ini, semua gelanggang boleh dihadiri sehingga 50 peratus penonton, maksimum 10,000 untuk setiap acara.

Sementara itu, tempat acara di wilayah Miyagi, Fukushima dan Shizuoka akan membenarkan kehadiran penonton sehingga 50 peratus dan maksimum 10,000 penonton.

Di wilayah Ibaraki, hanya penonton di bawah program untuk murid sekolah rendah dan pelajar menengah sahaja dibenarkan. Sementara penonton di Hokkaido belum diputuskan.

Untuk Paralimpik, yang akan bermula 24 Ogos, status penonton akan dibincangkan selepas penutup Olimpik.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Zii Jia miliki peluang cerah di Olimpik Tokyo

KUALA LUMPUR, 8 JULAI: Pemain badminton perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia mempunyai peluang cerah untuk mara ke pusingan seterusnya apabila undian peringkat kumpulan Olimpik Tokyo yang diadakan hari ini, memihak kepadanya.

Zii Jia, pemain pilihan kesembilan dan juara All England 2021 itu diundi dalam Kumpulan M bersama-sama dua pemain Eropah, iaitu Brice Leverdez dari Perancis dan Artem Pochtarov dari Ukraine.

Dalam kategori beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik diundi dalam Kumpulan D dengan pilihan nombor dua dari Indonesia Hendra Setiawan-Mohammad Ahsan, Choi Solgyu-Seo Seungjae dari Korea, dan pasangan Kanada Jason Anthony Ho-Shue/Nyl Yakura.

Pemenang pingat perak Rio 2016 beregu campuran Chan Peng Soon-Goh Liu Ying diundi dalam Kumpulan D bersama pemenang pingat gangsa Kejohanan Dunia 2019 dan pilihan kedua dari China Wang Yi Lyu-Huang Dong Ping, Mark Lamfuss-Isabel Hettrich dari Jerman dan Tang Chun Man-Tse Ying Suet dari Hong Kong.

Sementara, pemain perseorangan wanita Soniia Cheah diundi dalam Kumpulan N dengan pilihan kelima dari Thailand, Ratchanok Intanon dan Laura Sarosi dari Hungary.

Bagaimanapun, laluan sukar bakal menanti pasangan beregu wanita negara, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean apabila mereka diundi dalam Kumpulan A bersama pilihan pertama, Sayaka Hirota-Yuki Fukushima dari Jepun, Apriyani Rahayu-Greysia Polii dari Indonesia dan Chloe Birch-Lauren Smith dari Great Britain.

Pertandingan badminton akan bermula pada 24 Julai-2 Ogos di Musashino Forest Sport Plaza.

Olimpik Tokyo akan diadakan bermula dari 23 Julai-8 Ogos.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA SUKANKINI

Atlet negeri bersemangat pamer aksi terbaik di Tokyo

SHAH ALAM, 8 JULAI: Atlet Selangor yang mewakili negara ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 berazam untuk mempamer aksi terbaik meski tidak menyertai sebarang acara sepanjang pandemik.

Gimnas artistik Farah Ann Abdul Hadi yakin dirinya 100 peratus bersedia untuk bersaing pada temasya sukan paling berprestij itu walaupun baharu pertama kali menyertainya.

“Saya tiada sasaran untuk membawa pulang pingat emas memandangkan ini kali pertama saya berjaya menjejakkan kaki ke Sukan Olimpik.

“Namun, saya 100 peratus bersedia dan akan berusaha buat yang terbaik. Terima kasih Kerajaan Selangor atas sokongan dan insentif yang diberikan,” katanya dalam siaran langsung di Google Meet malam tadi.

Atlet renang Phee Jing En pula berharap sesi latihan selama beberapa bulan di Amerika Syarikat akan membuahkan hasil dalam penampilan keduanya pada temasya berkenaan.

“Kini saya lebih bersedia dan akan melakukan yang terbaik berbanding penampilan kali pertama di pentas Olimpik Rio lima tahun lalu,” katanya.

Sementara itu, atlet lompat tinggi Lee Hup Wei mengakui bersedia membuat penampilan ketiga meskipun masih dalam proses pemulihan akibat kecederaan buku lali pada kejohanan di Kazakhstan, bulan lalu.

Sukan Olimpik Tokyo bakal berlangsung pada 23 Julai hingga 8 Ogos sementara paralimpik mulai 24 Ogos hingga 5 September.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor beri RM40,000 kepada empat atlet negeri ke Olimpik Tokyo

SHAH ALAM, 8 JULAI: Kerajaan Negeri memperuntuk insentif khas berjumlah RM40,000 kepada empat atlet Selangor yang layak bertanding ke Sukan Olimpik Tokyo.

Atlet tersebut Phee Jing En (renang), Lee Hup Wei (lompat tinggi), Gavin Kyle Green (golf) dan Farah Ann Abdul Hadi (gimnastik artistik) masing-masing menerima RM10,000.

EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman berkata insentif tersebut sebagai pembakar semangat kepada mereka untuk beraksi dengan lebih baik pada temasya sukan berprestij itu.

“Dengan sumbangan ini kita harap ia dapat membantu sedikit sebanyak ketika mereka berada di Tokyo. Kita harap atlet ini dapat membawa pulang pingat tertinggi serta mengibar jalur gemilang di negeri matahari terbit itu.

“Saya mewakili Kerajaan Selangor mengucapkan syabas kepada semua atlet berkenaan kerana berjaya mewakili Malaysia juga negeri ke Sukan Olimpik. Jaga diri, kesihatan dan harumkan nama negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada perjumpaan maya bersama attlet Selangor yang mewakili negara ke Sukan Olimpik Tokyo malam tadi.

Pada masa sama, Khairuddin berkata kehadiran mereka dalam kontinjen Malaysia tentu akan menjadi inspirasi kepada seluruh generasi dan atlet baharu untuk mencipta kegemilangan dalam arena sukan.

“Kerajaan Negeri juga pastinya akan memantau secara dekat pencapaian dan prestasi keempat-empat atlet ini nanti, selain terus berusaha untuk memajukan sukan di Selangor secara amnya,” katanya.

Categories
PERSONALITI RENCANA

Atlet pecut gigih bahagi masa antara pelajaran, aksi di Tokyo

Oleh Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif

KUALA LUMPUR, 7 JULAI: Pelajaran tetap menjadi keutamaan atlet pecut muda wanita negara Azreen Nabila Alias dalam kesibukannya membuat persediaan rapi menjelang Sukan Olimpik Tokyo bulan ini, yang turut menjadi penampilan sulungnya di temasya berprestij itu.

Tatkala fokus atlet lain sudah tertumpu kepada Sukan Olimpik, Azreen Nabila, 21, yang mendapat tiket “wild card” ke Tokyo kini gigih membahagikan masa antara pelajaran dan sesi latihan apabila bakal menduduki peperiksaan akhir semester kedua bermula 11 hingga 21 Julai ini.

Situasi tersebut menjadikan penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi itu lebih kreatif dalam memanfaatkan sepenuhnya masa 24 jam sehari bagi mentelaah kesemua enam mata pelajaran dan mencapai objektif sesi latihan.

Namun, jadual harian padat yang dilalui tidak dianggap sebagai bebanan, malah beliau yang akan bertanding dalam acara 100 meter(m) pecut wanita di Tokyo turut enggan meletakkan sebarang tekanan tidak perlu untuk memastikannya berada pada tahap terbaik untuk beraksi di negara matahari terbit.

“Sekarang sangat sibuk sebab peperiksaan akhir semakin hampir, dalam sehari saya perlu berlatih dan menghadiri kelas. Tetapi itu tidak menjejaskan persiapan ke Tokyo kerana saya sentiasa berikan tumpuan sepenuhnya dalam sesi latihan,” katanya kepada Bernama.

“…dan ketika ini saya juga tidak mahu terlalu memikirkan pasal pertandingan (Olimpik), apabila saya terlalu fikirkan ia akan memberi tekanan kepada diri sendiri,” kata beliau yang dijadual berlepas ke Tokyo pada 25 Julai.

Atlet dengan rekod peribadi terbaik 11.81 saat (s) yang dilakukannya di Sukan Malaysia (Sukma) 2018 di Perak itu layak ke Tokyo selepas menjadi atlet pilihan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) yang diberikan satu slot “wild card”.

Catatan terbaik Azreen Nabila musim ini adalah 12.00s yang dilakukan pada April lepas, selepas mencipta kejutan menewaskan nama besar antaranya S Komalam Shally dari Perak dan atlet Johor Siti Fatimah Mohamad untuk merangkul emas 100m pecut Kejohanan Grand Prix (GP) Malaysia.

Berdasarkan catatan dilakarnya dan kekurangan kejohanan kompetitif di samping impak pandemik Covid-19, Azreen Nabila mengakui beliau perlu berpijak di bumi nyata apabila bakal bersaing dengan barisan jaguh dunia, selain perlu mempunyai sasaran realistik di Tokyo.

“Pecah rekod kebangsaan? Saya hanya mahu buat yang terbaik. Sasaran utama saya bersama jurulatih adalah memperbaiki catatan peribadi, saya memang berhasrat nak perbaharui rekod 11.81s sebelum ini,” katanya yang dinobatkan sebagai Olahragawati Sukma 2018.

Rekod kebangsaan 100m pecut wanita berusia 28 tahun dipegang bekas ratu pecut negara G Shanti dengan catatan masa 11.50s yang dicipta pada Pra-Sukan SEA di Kuala Lumpur pada 1993.

Sementara itu, Azreen Nabila yang merupakan anak ketujuh daripada lapan beradik menyasarkan untuk menurunkan berat badan sebanyak tiga kilogram (kg) sebelum berlepas untuk membantunya mencapai prestasi puncak di Tokyo.

Dengan masa semakin suntuk, beliau yang mempunyai berat badan 54kg berharap dapat mencapai berat badan ideal melalui kaedah mengurangkan pengambilan kuantiti makanan yang diamalkannya sejak terpilih ke Tokyo.

“Saya tidak boleh gandakan latihan atau membuat sesuatu di luar program kerana ia boleh menggugat persiapan sehingga mendatangkan kecederaan. Saya lihat dengan cara mengawal pemakanan sahaja dapat turunkan berat badan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengakui terkejut namanya terpilih mengisi slot “wild card” ke Sukan Olimpik Tokyo, namun melihat itu sebagai rezeki serta berkat doa ibu dan arwah bapanya yang merupakan individu terpenting sepanjang beliau bergelar atlet.

Malah, Azreen Nabila mengakui keputusannya melanjutkan pelajaran di peringkat prauniversiti di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) suatu ketika dahulu sebagai memenuhi kehendak arwah bapanya yang mahu beliau mendapat akses terbaik dalam kariernya.

“Saya tidak menyesal ikut permintaan ibu dan arwah ayah, sebab dengan kata-kata mereka selama ini lah yang bawa saya sampai ke tahap sekarang, boleh beraksi di Olimpik. Kalau saya tidak tunaikan permintaan mereka mungkin saya tidak berada di sini,” katanya.

Profil Azreen Nabila

Nama penuh: Azreen Nabila Alias

Tarikh lahir: 29 Jun 2000 (21 tahun)

Tempat lahir: Hospital Kuala Terengganu

Hobi: Mendengar lagu dan menonton filem

Cita-cita: Ahli perniagaan

Keluarga: Anak ketujuh daripada lapan beradik (lima kakak, seorang abang dan adik lelaki seorang)

Catatan masa terbaik: 11.81 saat

Jenama kasut: Asics

Idola: Allyson Felix (Amerika Syarikat)

Penampilan antarabangsa: Sukan SEA 2019 di Filipina

-BERNAMA