Categories
SELANGOR

Bantu penduduk Pangsapuri Indahria isu tanah mendap

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 18 SEPT: Kerajaan Negeri bersedia membantu penduduk Pangsapuri Indahria di Seksyen 22, Batu Tiga menyelesaikan masalah tanah mendap di kawasan parkir pangsapuri berkenaan.

Ahli Dewan Negeri Batu Tiga, Rodziah Ismail berkata, pihaknya sudah membawa perkara itu ke pengetahuan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Katanya, Kerajaan Negeri juga sudah meminta Majlis Bandaraya Shah Alam untuk melihat keadaan dan mengambil langkah seterusnya.

“Walaupun pangsapuri itu tiada kena mengena dengan Kerajaan Negeri tetapi kita bersedia membantu mereka termasuk menyaman pemaju jika perlu,” katanya kepada SelangorKini.

Rodziah berkata, isu tanah mendap itu semakin mengancam keselamatan penduduk dan kini memberi kesan kepada struktur bangunan pangsapuri.

“Sebelum ini, pemaju menunding jari kepada Kerajaan Negeri, sedangkan di pihak kerajaan tidak ada kena mengena.

“Sebelum ini, kita juga sudah melantik kajian Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) sebagai perunding geoteknologi bagi menjalankan pemeriksaan terhadap struktur bangunan dan kawasan pangsapuri itu bagi mengetahui keadaan sebenar mendapan tanah yang berlaku,” katanya.

Pangsapuri berkenaan siap pada 2006 dan tanah mendap di kawasan parkir itu bermula sejak 2009.

Sebelum ini, dilaporkan kira-kira 1,000 penduduk di pangsapuri terbabit bimbang terhadap keselamatan mereka apabila rekahan tanah di bangunan itu semakin serius.

Keretakan itu dipercayai berpunca daripada rekahan tanah di kawasan tempat letak kenderaan yang terletak bersebelahan pangsapuri 15 tingkat terbabit yang menyebabkan tiang struktur parkir condong.

 

Categories
SELANGOR

Kerajaan Selangor Arah Pemaju Baikpulih Pangsapuri Retak

indahria pangsapuri retak 01
SHAH ALAM, 31 JAN : Kerajaan Negeri mahu pemaju Pangsapuri Indahria untuk segera melaksanakan kerja-kerja membaikpulih bangunan tersebut yang kini berhadapan masalah rekahan tanah sehingga menyebabkan strukturnya retak sejak setahun lalu.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, sekiranya pemaju enggan melaksanakan kesemua kerja itu, Kerajaan Negeri akan mengarahkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk mengambil alih usaha pembaikan.

MBSA kemudian akan menuntut bayaran daripada pemaju untuk kos-kos baik pulih.

“Kita telah meminta pemaju untuk membetulkan masalah rekahan yang berlaku dan jika pemaju tidak melakukan sebarang tindakan, saya akan mengarahkan MBSA untuk meneruskan usaha pembetulan.

“Bagaimanapun kesemua kos penyelenggaraan itu akan diserahkan kepada pemaju untuk diselesaikan,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Sistem Pengurusan Sosial E-Gems di Auditorium Jubli Perak, SUK hari ini.

Tambahnya, kesuaian penduduk untuk terus mendiami pangsapuri tersebut hanya akan diputuskan oleh Datuk Bandar Shah Alam.

Sebelum ini dilaporkan kira-kira 1,000 penduduk di pangsapuri tersebut bimbang akan keselamatan mereka apabila rekahan tanah di bangunan itu semakin serius.

Keretakan itu dipercayai berpunca akibat rekahan tanah di kawasan tempat letak kenderaan yang terletak bersebelahan pangsapuri 15 tingkat itu yang menyebabkan tiang struktur parkir condong.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Pangsapuri Indahria – Salam Selangor

Episod 84:

Sinopsis:

Hampir 300 orang penduduk Pangsapuri Indahria, Seksyen 22 Shah Alam, bimbang akan masalah keretakan premix di kawasan meletak kenderaan di dalam kawasan bangunan kediaman tersebut.
Sehubungan itu, satu majlis dialog diadakan penduduk Pangsapuri Indahria bersama ADUN Batu Tiga, YB Rodziah Ismail, Ahli Parlimen Shah Alam, YB Khalid Abdul Samad, wakil dari Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan wakil dari Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor (JPS).
Walaubagaimanapun wakil pihak pemaju iaitu SHANGHAI REALTY SDN BHD tidak hadir pada majlis ini.
Sekitar tahun 2009 berlaku keretakan yang pertama yang turut di maklumkan kepada pihak pemaju pangsapuri ini iaitu SHANGHAI REALTY (M) SDN BHD dan kerja-kerja pembaikpulih telah di buat. Namun, keretakan kali kedua di sedari sekali lagi pada penghujung tahun 2010 yang di lihat semakin teruk dan berkemungkinan mengancam struktur bangunan.
Rekahan pertama di sedari hanya dengan ukuran setengah inci.Tetapi sekarang ia menjangkau kepada 18 inci.

Tetamu :
YB Rodziah Ismail (ADUN Batu Tiga)
YB Khalid Abdul Samad (Ahli Parlimen Shah Alam)

indahria