Categories
PBT SELANGOR

Parkir bertingkat MPSJ serendah RM1

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 31 OGOS: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menetapkan kadar serendah RM1 bagi tempat letak kenderaan di Kompleks Tempat Letak Kereta Bertingkat MPSJ di SS15, di sini, bermula 4 September ini.

Timbalan Pengarah Korporat, Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik MPSJ, Azfarizal Abdul Rashid berkata, kadar itu dikenakan selama satu jam antara jam 7 pagi hingga 7 petang, Isnin hingga Jumaat.

Katanya, kadar sehari pula RM8 dan selepas jam 7 petang sebanyak RM2, bagi sekali masuk.

“Pada Sabtu, Ahad dan cuti umum, bayaran RM2 dikenakan.

“Selain itu, bagi petak khas caj RM318 sebulan akan dikenakan, pas bulanan biasa RM159 serta pas pelajar RM127,” katanya dalam kenyataan.

Pada Julai lalu, kompleks parkir bertingkat itu mula dibuka kepada orang awam untuk mewujudkan persekitaran terancang, teratur dan selesa dalam kawasan komersial bagi masyarakat terutama penduduk serta peniaga di Subang Jaya.

parkir 2Ia bertujuan menyelesaikan masalah kekurangan parkir, mengelakkan parkir haram, menyediakan tempat parkir selamat dan menyelesaikan masalah kesesakan aliran trafik di SS15.

Projek setinggi empat tingkat itu menyediakan 630 unit parkir terdiri dari 605 unit parkir di dalam bangunan dan 25 unit parkir di luar bangunan, termasuk 14 unit parkir bagi orang kurang upaya serta 12 unit parkir khas bagi pemandu wanita.

Kompleks itu dibina bercirikan bangunan mesra alam dengan pencahayaan bangunan menggunakan lampu LED bagi penjimatan tenaga dan penggunaan cat lantai menggunakan bahan kimia epoxy selamat serta hijau.

Bangunan terbabit turut dilengkapi pemantauan kamera litar tertutup (CCTV) 24 jam yang dihubungkan terus ke Bangunan Ibu Pejabat MPSJ bagi tujuan pemantauan dan keselamatan.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Baiki segera meter parkir rosak sekitar Petaling Jaya

OLEH SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 3 OKT: Syarikat Godell Parking Sdn Bhd diminta segera membaiki meter parking yang rosak di sekitar Petaling Jaya.

Ahli Dewan Negeri Damansara Utama, Yeo Bee Yin berkata, syarikat itu dilantik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan bertanggungjawab dalam menangani masalah tempat letak kereta bermeter.

“Mengikut perjanjian, Godell dalam tempoh konsesi perlu mengekalkan kemudahan pada kos dan perbelanjaannya sendiri seperti memastikan sistem dalam keadaan baik, beroperasi, berfungsi serta dalam keadaan yang baik.

img_2766“Namun, disebabkan syarikat sudah melanggar erjanjian, saya menerima banyak aduan daripada pengguna di sekitar pusat komersial SS2 yang kecewa apabila mereka perlu berjalan jauh untuk mencari meter yang berfungsi.

“Saya menyarankan MBPJ mengambil tindakan tegas terhadap syarikat yang bertanggungjawab, jika tidak dibaiki dalam kadar segera adalah wajar kontrak mereka dibatalkan,” katanya kepada SelangorKini, di sini, hari ini.

Difahamkan, syarikat tersebut bakal menamatkan kontrak pada 2020 selepas 20 tahun perkhidmatan, namun penyelenggaraan tidak dilaksanakan mengikut perjanjian kontrak.

“Masalah kerosakan meter boleh menyebabkan pengguna berpotensi disaman Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Selain itu, syarikat berkaitan juga perlu memastikan garis parkir dapat dilihat dengan jelas bagi mengelak berlaku salah letak kereta,” katanya.

Beliau berkata, tidak sepatunya meter letak kereta diswastakan, dan MBPJ harus mengambilalih sepenuhnya kerana keuntungan 70 peratus diambil Godell dengan hanya 30 peratus kepada MBPJ.

Katanya, masalah penyelenggaran akan dapat diatasi jika MBPJ yang menguruskan perkhidmatan itu.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Tangani masalah kenaikan kadar parkir melampau

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 25 SEPT: Reformasi terhadap dasar Kerajaan Persekutuan membabitkan stuktur kadar parkir di sekitar Kuala Lumpur perlu dibuat, demi kelangsungan manfaat rakyat.

Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil, berkata cadangan itu sebagai jaminan komitmen Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengukuhkan peranan sebenarnya.

“Penggubalan dasar yang mendatangkan kesan kepada rakyat tidak patut dibuat hanya berasaskan maklumbalas satu dua komuniti secara tangkap muat.

“Ia sepatutnya dibuat beraskan data dan bukti dengan proses rundingan orang ramai,” katanya dalam kenyataan.

Beliau membidas kenyataan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mohd Amin Noordin Abdul Aziz yang mendakwa kononnya masyarakat menyambut baik inisiatif DBKL menaikan kadar caj parkir di Kuala Lumpur.

Beliau mendakwa, maklum balas mengenai pengumuman tersebut hasil daripada tinjauan pihaknya di sekitar Bangsar dan Taman Tun Dr Ismail (TTDI).

“Kajian hanya dibuat di Bangsar dan TTDI. Bagaimana pula pendapat penduduk di Jinjang, Taman Seri Sentosa, Taman OUG di Keramat, Raman Dato Senu di Danau Kota dan kawasan lain?

Adakah Datuk Bandar juga mendapat maklum balas serupa dari semua penduduk?

“Saya tidak dapat melihat komitmen DBKL dalam melaksanakan langkah reformasi institusi seperti ini,” kata Fahmi.

EZY

Categories
SELANGOR

MPSJ laksana kajian enam bulan sistem letak kereta berkupon

Oleh: HAFIZAN TAIB

SUBANG JAYA, 29 JAN: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) akan menjalankan kajian pelaksanaan sistem letak kereta berkupon dalam tempoh enam bulan, sehingga 1 Ogos ini.

Yang Dipertua MPSJ, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, hasil kajian itu akan digunakan bagi melicinkan proses pelaksanaan sistem yang dimulakan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu,pada 2 Februari ini.

logo mpsj“Kita bersetuju kawasan dilengkapi mesin berkupon dikekal dan diteruskan dalam tempoh enam bulan, manakala kawasan baharu yang tiada kemudahan itu ditangguhkan.

“Dalam tempoh itu, kita akan mengkaji secara menyeluruh dan melihat hasilnya dari segi keberkesanan serta Tatacara Pengendalian Piawaian (SOP),” katanya.

Beliau berkata, MPSJ mendapat maklum balas daripada orang ramai dan pelbagai pihak apabila mengumumkan pelaksanaan sistem berkenaan.

“Berikutan itu, ahli majlis dan MPSJ berasa perlu melaksanakan kajian menyeluruh selama tempoh enam bulan,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Rizab berhampiran pangsapuri Jalan Pandan Indah akan dijadikan parkir

Oleh : AFEEQA AFEERA

KUALA LUMPUR, 7 JAN: Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Cempaka mempertimbangkan cadangan menggunakan rizab sungai dan jalan raya berhampiran pangsapuri kos rendah di Jalan Pandan Indah sebagai parkir.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, cadangan itu dilihat wajar kerana penduduk terpaksa meletakkan kenderaan secara bertindih sehingga menghalang laluan utama pangsapuri itu.

Beliau menjelaskan pangsapuri 940 unit itu hanya menyediakan 300 tempat letak kenderaan sedangkan rata-rata penduduk memiliki lebih dari satu kenderaan.

IMG_1164“Pernah terjadi situasi di mana bomba dan ambulans tidak dapat masuk ke kawasan pangsapuri untuk memberi bantuan.

“Cadangan penduduk adalah supaya menggunakan dua rizab terbabit untuk dijadikan tempat meletak kenderaan dengan anggaran 180 unit  tempat letak kereta tambahan.

“Oleh kerana kawasan cadangan itu tidak bertutup dan sementara, jadi ia boleh dipertimbangkan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor,” katanya ketika mengadakan lawatan tapak bagi menyelesaikan masalah parkir di Jalan Pandan Indah 3/3 itu.

Tinjauan media bersama Adun Cempaka itu mendapati kawasan cadangan parkir kenderaan itu kini dijadikan tempat letak barangan oleh kontraktor sampah lantikan MPAJ.

Beliau akan meminta MPAJ memindahkan kontraktor terbabit ke kawasan lain.

“Saya hendak selesaikan banyak masalah parkir dan akan mengambil ketetapan supaya perkara ini dapat selesai secara keseluruhan membabitkan semua pangsapuri di Selangor.

IMG_1166“Kita akan bincang perkara ini kerana kebanyakan rumah kos rendah mengalami masalah sama,” katanya.

Sementara itu, wakil penduduk Wan Ghazulee Zain berharap supaya masalah itu dapat diselesaikan segera kerana sudah berlarutan, sejak lima tahun lalu.

“Masalah ini sudah lama tetapi tidak ramai yang tampil membuat aduan jadi ia senyap begitu sahaja.

“Saya benar-benar berharap perkara ini akan selesai bagi memastikan penduduk dapat meletak kenderaan mereka dengan selamat dan teratur,” katanya.