Categories
SELANGOR

146 pekerja, peniaga Pasar Awam Banting jalani saringan Covid-19

SHAH ALAM, 31 DIS: Seramai 146 pekerja dan peniaga Pasar Awam Banting menjalani saringan Covid-19 bersasar yang dikendalikan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Langat hari ini.

Pegawai kesihatannya berkata saringan menggunakan kaedah tindak balas berantai polimeras masa nyata (rt-PCR) bagi mengesan kontak rapat kepada kes positif yang berkait dengan pasar terbabit.

“Setakat hari ini, PKD mengenal pasti seramai 27 kes positif yang mempunyai kaitan dengan pasar berkenaan hasil saringan dijalankan ke atas 97 kontak rapat.

“Bagaimanapun, secara keseluruhannya situasi kes di pasar tersebut dalam keadaan terkawal,” kata Dr Wan Ahmad Razman Wan Abd Salim ketika dihubungi SelangorKini.

Proses calitan bermula 9 hingga 11.30 pagi dianggotai 25 petugas kesihatan PKD dan Pejabat Pergigian Kuala Langat selain dibantu Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) serta Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Kuala Langat.

Sementara itu, beliau menasihatkan penduduk daerah terbabit supaya terus mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan bagi mengelak penularan wabak yang lebih serius.

“Mereka perlu mengutamakan aspek pemakaian pelitup muka, menggunakan cecair pembasmi kuman dan kerap mencuci tangan selain segera mendapatkan rawatan sekiranya bergejala seperti demam, batuk serta selsema.

“Saya juga menyeru orang ramai untuk tidak berada di tempat sesak dan keluar rumah jika tiada keperluan bagi mengurangkan risiko jangkitan,” katanya.

Pasar Awam Banting ditutup selama 10 hari sejak kelmarin sehingga 7 Januari depan bagi kerja sanitasi awam.

Notis perintah tutup itu dibuat mengikut Seksyen 18 (1)(d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Categories
AGENDA NASIONAL

MPKL nafi tiada pematuhan SOP di Pasar Awam Banting

SHAH ALAM, 31 DIS: Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) menafikan laporan berhubung tiada pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) di Pasar Awam Banting susulan perintah penutupan selama 10 hari bermula 29 Disember lalu.

Yang Dipertua Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim berkata pihaknya mengikut sepenuhnya SOP di semua pasar awam kendalian MPKL termasuk Pasar Awam Banting.

“Antara SOP yang dilaksanakan ialah pemeriksaan suhu kepada semua peniaga, pekerja serta pengunjung, penyediaan cecair pembasmi kuman dan kawalan penjarakan sosial.

“Selain itu, seluruh pasar awam MPKL akan disanitasi secara berkala dua kali seminggu dan tiada keperluan untuk disanitasi tiga kali sehari.

Beliau menambah, polis juga memberi bantuan rondaan di semua pasar awam di daerah itu bagi memastikan peniaga dan pengunjung mematuhi SOP yang ditetapkan.

Semalam, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) mengesahkan terdapat 25 kes positif Covid-19 di Pasar Awam Banting dan seramai 101 peniaga disaring hari ini.

Pengarahnya Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata pasar itu ditutup 10 hari berikutan terdapat individu tidak patuhi SOP seperti tidak menjaga penjarakan, tiada rekod pembasmi kuman tiga kali sehari dan tiada rekod saringan tanda gejala kepada pekerja.

Categories
AGENDA NASIONAL

25 kes positif Covid-19 dikesan di Pasar Awam Banting

SHAH ALAM, 30 DIS: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) mengesahkan 25 kes positif Covid-19 di Pasar Awam Banting, Kuala Langat.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor berkata sebanyak 25 kes yang dikesan dikaitkan dengan pasar terbabit dan 43 kontak rapat sudah disaring.

“Khamis ini (31 Disember), pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Langat akan melakukan saringan kepada semua peniaga melibatkan 101 orang,” kata Datuk Dr Sha’ari Ngadiman ketika dihubungi.

Beliau menambah pasar itu ditutup 10 hari mulai semalam berikutan terdapat individu tidak patuhi tatacara operasi piawai (SOP).

“Kita mendapati ada dalam kalangan mereka tidak menjaga penjarakan, tiada rekod pembasmi kuman tiga kali sehari dan tiada rekod saringan tanda gejala kepada pekerja di pasar tersebut,” katanya.

Beliau menjelaskan penutupan itu juga bagi memberi ruang bagi operasi nyahkuman, selain saringan kepada kontak dan golongan berisiko.

Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) menutup Pasar Awam Banting selama 10 hari berkuat kuasa semalam hingga 7 Januari bagi proses sanitasi.

Yang Dipertua Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim berkata kerja semburan premis diselia pihaknya, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan Persekitaran serta PKD.

Categories
PBT SELANGOR

Pasar Awam Banting ditutup 10 hari untuk sanitasi

SHAH ALAM, 29 DIS: Pasar Awam Banting ditutup 10 hari berkuat kuasa hari ini hingga 7 Januari depan bagi proses sanitasi, kata Majlis Perbandaran Kuala Langat.

Yang Dipertua Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim berkata kerja semburan premis diselia pihaknya, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan Persekitaran serta Pejabat Kesihatan Daerah.

“Ia bagi memastikan sanitasi awam dilaksanakan mengikut tatacara operasi piawai (SOP) yang disarankan Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Saya menyeru orang awam dapat bersabar dan memberi kerjasama sebaiknya,” katanya melalui hebahan di Facebook.

Beliau menjelaskan operasi berkenaan dilakukan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Categories
SELANGOR

Isu Aedes: Pasar Awam Banting ditutup tiga hari

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

BANTING, 5 APR: Pasar Awam Banting akan ditutup sementara selama tiga hari bermula 8 hingga 10 April ini bagi memberi laluan kerja pembersihan dilakukan Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL).

Pegawai Komunikasi Korporatnya, Mohammad Kamal Mohd Ramlan berkata, pihaknya akan menjalankan kerja pembersihan secara menyeluruh terhadap bangunan pasar berkenaan ekoran isu pembiakan Aedes.

Katanya, terdapat banyak tempat berpotensi dikenal pasti menjadi tempat pembiakan Aedes di sekitar bangunan pasar terbabit.

“Sehubungan itu, kita meminta kepada semua peniaga di pasar berkenaan untuk turut sama menyertai kerja pembersihan ini memandangkan pasar ini juga merupakan punca utama rezeki mereka,” katanya dalam kenyataan akhbar.

Dalam kenyataan sama, Mohammad Kamal turut meminta peniaga di pasar awam berkenaan supaya membuka semua binaan tambahan, selain membersihkan tapak perniagaan sendiri.

“Laluan tengah pasar hendaklah dikosongkan, semua barangan perniagaan seperti bakul, meja, kerusi, kotak, rak barang, tong ikan dan sebagainya perlu dialihkan serta dikosongkan.

“Sekiranya didapati peniaga tidak mengosongkan petak perniagaan, kita akan mengambil barang-barang itu untuk dilupuskan.

“Kita tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang kerosakan dan kehilangan barang semasa kerja pembersihan dijalankan,” katanya.

Categories
SELANGOR

MDKL: Jadikan Pasar Awam Banting tarikan pelancong

BANTING 23 MEI : Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) meneruskan usaha bagi memastikan Pasar Awam Banting bersih dan selesa kepada pengunjung untuk mendapatkan bekalan makanan basah harian.

Yang Dipertua MDKL, Mohd Azhar Mohamed Ali, berkata MDKL mengadakan dua kali program gotong-royong melibatkan peniaga di pasar awam itu bagi memastikan hasrat dicapai.

MDKL Pasar BantingKatanya, kerjasama peniaga diharap bersama-sama MDKL menjaga kebersihan dan persekitaran untuk memastikan Pasar Awam Banting kekal menjadi pilihan pengunjung bagi mendapat barang keperluan basah harian.

“MDKL menggerakkan seramai 100 pegawai dan kakitangan untuk menjalankan program gotong-royong pembersihan di pasar awam itu.

“MDKL mendapati terdapat peniaga melanggar peraturan apabila meletakkan meja dan sebagainya di kawasan tidak dibenarkan dan juga di atas laluan pejalan kaki,” katanya dalam kenyataan media.

Mohd Azhar berkata Notis Kompaun serta Pemberitahuan dikeluarkan kepada peniaga terlibat untuk memastikan kebersihan petak niaga disamping arahan pematuhan syarat pelesenan.

“MDKL melakukan iventori petak niaga bagi mengenalpasti petak niaga kosong untuk tujuan pembersihan dan mendapati ada peniaga meletakkan bakul plastik kosong yang menjejaskan pemandangan dan kebersihan persekitaran”, katanya.

Mohd Azhar berkata beliau mahu Pasar Awam Banting menjadi pasar awam setanding pasar lain yang menjadi tarikan pelancongan dari dalam dan luar negara.

EZY