Categories
SELANGOR

MBSA diseru percepat pembinaan pasar baru Sri Muda

OLEH : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 21 FEB: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) disarankan mempercepatkan pembinaan pasar baru di Sri Muda yang tertangguh sebelum ini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sri Muda, Shuhaimi Shafei, berkata peniaga di pasar lama merungut kerana pembinaan pasar baru seperti dijanjikan pada 2013 masih belum siap.

“Peniaga mula merungut kerana tidak selesa keadaan pasar yang daif. Pasar ini beroperasi lebih 25 tahun. Namun, terpaksa berniaga di pasar itu kerana menunggu pasar yang baru siap.

“Saya memahami keadaan penjaja ini. Kita tidak tahu apa masalah sebenarnya dari MBSA dalam menyiapkan pembinaan pasar baru ini, saya akan meminta Ahli Majlis kawasan terbabit untuk mendapatkan penjelasan sebenarnya daripada MBSA,” katanya kepada SelangorKini.

MBSAShuhaimi berkata MBSA juga perlu membuat tapisan peniaga di pasar baru itu nanti bagi mengelakkan peniaga menyewakan premis mereka kepada warga asing.

“Peniaga sedia ada ketika ini kebanyakannya bertindak secara ali baba, menyewakan kepada warga asing. Mereka ini perlu dikenalpasti dan diambil tindakan tegas.

“Selagi pasar baru tidak siap, pelarasan peniaga tidak dapat diselesaikan. Jika kita lakukan sekarang pastinya timbul pelbagai isu,” katanya.

Sebelum ini, seramai 110 para peniaga asal di Pasar Pagi Seri Muda dijangka dapat menjalankan perniagaan mereka dalam keadaan lebih selesa dan teratur apabila MBSA menyediakan lokasi baru yang lengkap dengan pelbagai prasarana dan kemudahan, menjelang 2016.

Bagaimanapun, pembinaan pasar baru yang dianggarkan menelan kos RM22 juta itu mengalami kelewatan.

Pasar baru enam tingkat itu dibina dengan berkonsepkan ‘hypermarket’ bersebelahan tapak pasar sedia ada.

Berkeluasan dua ekar, pasar itu membabitkan 67 lot pasar basah, 72 lot pasar kering, 28 gerai makanan dan lapan buah kiosk. Terdapat tempat pelupusan sampah, surau, tandas, bilik air, pejabat pengurusan dan agak cantik serta berkonsep seperti ‘hypermarket’.

MBSA juga akan membina kemudahan 200 petak tempat letak kereta dan 112 tempat letak motorsikal.
EZY

Categories
SELANGOR

Pastikan pengecualian fi lesen dinikmati peniaga tempatan

OLEH : NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 12 FEB: Penjaja kecil menganggap langkah Kerajaan Selangor mengecualikan bayaran fi lesen perniagaan penjaja kecil, pasar malam dan pasar tani tepat masanya ekoran keadaan ekonomi tidak menentu.

Peniaga pasar malam, Azahari Md Isa, 38, bagaimanapun berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) juga perlu memastikan hanya peniaga rakyat tempatan sahaja mendapat manfaat pengecualian terbabit.

IMG-20160209-WA004“Terdapat peniaga yang ‘Ali Baba’ lesen perniagaan mereka kepada pendatang asing dengan mereka juga menerima manfaat pengecualian fi lesen sepatutnya untuk rakyat tempatan berniaga,” kata Azahari kepada SelangorKini.

Azahari berkata, sebelum ini beliau terpaksa menyediakan kira-kira RM1,000 setiap tahun bagi bayaran fi lesen perniagaannya termasuk bayaran kerja pembersihan sampah.

zainal kassimPenjaja kecil, Zainal Kassim, 52, pula berkata, pengecualian diberikan itu dapat membantu golongan peniaga meringankan beban golongan peniaga berhadapanan dengan peningkatan kos sara hidup.

“Sama dengan langkah mengecualikan cukai taksiran rumah kos rendah, langkah ini satu lagi idea Kerajaan Negeri membantu golongan berpendapatan rendah,” kata Zainal.

Sementara itu, peniaga kecil, Ismail Sulaiman pula mencadangkan kerajaan mengkaji supaya fi lesen untuk penjaja pasar pagi, pasar malam dan pasar tani dimansuhkan.

“Golongan peniaga kecil bukannya dapat untung ribu-ribu. lebih-lebih lagi sekarang kita tahu keadaan ekonomi sekarang memang teruk. Jadi apa yang dibuat Kerajaan Selangor itu memang baik.

“Diharap walaupun ekonomi dah pulih, elok fi lesen ini dimansuhkan terus kerana peniaga kecil seperti kami ini bukannya seperti golongan VIP atau menteri tetapi kais pagi makan pagi,” kata Ismail.

EZY

Categories
SELANGOR

PBT perlu tetap SOP sama kendali pasar seluruh Selangor

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 25 MEI: Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Selangor perlu menetapkan Tatacara Pengendalian Piawai (SOP) yang sama dalam pengendalian tapak pasar pagi dan malam di seluruh negeri itu.

Ahli Dewan Undangan Selangor (ADUN) Taman Medan, Haniza Talha, berkata hal itu kerana operasi di tapak pasar terbabit dilihat berbeza antara satu kawasan dengan yang lain hingga menimbulkan kekeliruan kepada pihak berkenaan termasuk PBT sendiri.

Katanya, pengambilalihan tapak pasar oleh PBT sewajarnya memperbetulkan pengurusan termasuk SOP mengikut kemampuan dan standard sama di semua kawasan.

haniza“Kita nampak pengurusan ini tidak dibuat secara standard. Ada kawasan tertentu PBT yang buat, ada kawasan lain Jawatankuasa Penduduk (JKP) atau Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) buat, bahkan ada juga persatuan penjaja turut terbabit sama.

“Disebabkan tiada sistem yang diselaraskan, maka terjadi masalah. Bila kita minta bentangkan akaun penyata kutipan sewa, ada pihak yang gagal berbuat demikian,” katanya kepada Selangor Kini, di sini, baru-baru ini.

Haniza turut mengulas berkenaan isu pengurusan sewa tapak pasar pagi dan malam membabitkan PBT serta JKP dan JKKK ketika beliau mempengerusikan Jawatankuasa Pilihan PBT Selangor sebelum ini.

ayam mentah pasar stok 01Katanya, persatuan penjaja yang terbabit dalam pengurusan dan kutipan sewa tapak pasar itu juga boleh dianggap menyalahi syarat ditetapkan Pendaftar Pertubuhan (ROS) kerana membuat keuntungan daripada operasi itu.

“Kami juga dimaklumkan dalam satu kawasan majlis daerah, satu jawatankuasa parti politik menguruskan tapak pasar malam untuk tempoh lama. Kami mengarahkan PBT mengambilalih pengurusan kerana kawasan dimaksudkan adalah hak milik PBT,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

PAS Selangor akan ambil tindakan jika terbukti ahli kutip sewa pasar

Oleh: HAFIZAN TAIB dan NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 8 MEI : Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sudah diarahkan mengambilalih pengurusan pasar pagi dan malam di seluruh Selangor berkuatkuasa 2012.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Datuk Teng Chang Kim, berkata arahan dibuat Kerajaan Negeri itu diambil supaya pengurusan tapak perniagaan diletakkan di bawah bidang kuasa PBT sepenuhnya dalam usaha menjadikannya lebih tersusun dan kemas.

Katanya, pengambilalihannya dilakukan secara beperingkat daripada pihak yang terbabit antaranya Jawatankuasa Penduduk (JKP) di kawasan berkenaan.

teng-chang-kim“PBT sudah mengambialih soal pengurusan termasuk kutipan sewa pasar pagi dan malam. Ia membabitkan banyak kawasan di bawah pentadbiran PBT seluruh Selangor dan bermula 2012, ia dilakukan secara berperingka,” katanya kepada Selangor Kini, di sini, baru-baru ini.

Chang Kim berkata, sehingga kini PBT meneruskan langkah itu dengan bilangan tapak pasar pagi dan malam semakin mengecil.

“Kes yang masih ada tidak dapat dipastikan tetapi mungkin terpencil,” katanya.

Sebelum ini, terdapat dakwaan ahli parti tertentu yang menganggotai JKP terbabit menjalankan aktiviti kutipan sewa tapak pasar pagi dan malam di negeri itu dan ia dikatakan berlaku sejak beberapa tahun lalu.

yunusMengulas perkara itu, Bendahari PAS Selangor, Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata PAS negeri akan menjalankan kajian berhubung perkara terbabit.

“Kita akan kaji perkara ini sama ada benar atau tidak. Jika benar maka tindakan akan diambil,” katanya yang juga Exco Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor.

Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Selangor, Iskandar Abdul Samad, pula berkata pihaknya tidak menerima sebarang laporan berhubung perkara terbabit dan pihaknya akan menyiasat sejauh mana kebenaran dakwaan berkenaan sebelum tindakan diambil.

YB Iskandar 2“Kita akan menyiasat terlebih dahulu sejauh mana dakwaan berhubung perkara itu. Adakah kutipan itu dilakukan atas arahan PBT atau pihak lain.

“Setakat ini dakwaan terbabit hanya khabar angin kerana belum terbukti kebenarannya. Saya hanya akan bertindak selepas menerima laporan,” katanya.

-NFN-