Categories
NASIONAL

Semua sekolah di Pasir Gudang dibuka 31 Mac

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SHAH ALAM, 22 MAC: Jabatan Pendidikan Negeri Johor hari ini memaklumkan semua sekolah yang ditutup di Pasir Gudang akan dibuka 31 Mac depan.

Timbalan Pengarahnya, Azman Adnan berkata, ia susulan perkembangan semasa tragedi Sungai Kim Kim.

“JPBN pada 19 Mac 2019 memutuskan menghentikan Ops Sungai Kim Kim dan sekali gus menutup Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB).

“Kejadian bencana menunjukkan perubahan semakin positif serta sudah hampir pulih sepenuhnya,” katanya dalam kenyatan hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, kerja pembersihan sekolah akan dilakukan tanpa membabitkan murid mengikut prosedur operasi standard (SOP) berkaitan.

Terdahulu, 111 buah sekolah di Pasir Gudang ditutup akibat pencemaran sisa kimia di Sungai Kim Kim.

Categories
NASIONAL

Polis tingkat rondaan di sekitar Pasir Gudang

JOHOR BAHARU, 17 MAC: Polis menambah jumlah kekerapan rondaan bagi meningkatkan kawalan keselamatan terhadap rumah yang ditinggalkan oleh penduduk sekitar Pasir Gudang.

Ketua Polis Johor Baharu Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata walaupun polis menambah kekerapan kereta peronda, orang ramai diingatkan agar memaklumkan kepada balai polis berdekatan sebelum pulang ke kampung atau bercuti.

“Orang ramai boleh mengisi borang balik kampung di balai berdekatan atau membuat pendaftaran secara atas talian di Volunteer Smartphone Patrol (VSP),” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Mohd Khalil turut menasihati orang ramai agar memeriksa suis utama utiliti ditutup dan rumah dikunci sebelum meninggalkan rumah.

“Saya juga nasihatkan orang ramai agar tidak meninggalkan barangan berharga di rumah sebaliknya membawanya bersama,” katanya.

Beliau berkata, sehingga kini polis masih belum menerima sebarang laporan kejadian pecah rumah di kawasan Pasir Gudang.

Penduduk sekitar Pasir Gudang mengambil peluang cuti sekolah selepas arahan penutupan seluruh sekolah ekoran insiden pencemaran sisa kimia di Sungai Kim Kim.

Tinjauan Bernama beberapa rumah berkunci di sekitar Taman Pasir Putih, Kampung Bukit Pulai, Kota Masai dan beberapa kawasan berdekatan Sungai Kim Kim. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Dua pusat rawatan ditutup, diganti ke Stadium Pasir Gudang

JOHOR BAHRU, 15 MAC: Dua pusat rawatan awal mangsa pencemaran sisa kimia di Pasir Gudang ditutup, petang semalam ekoran keduanya berada di Zon Merah iaitu radius satu kilometer dari Sungai Kim Kim.

Dua pusat rawatan itu adalah Dewan Komuniti Taman Pasir Putih dan Dewan Taman Mawar, Pasir Gudang.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor, Dr Sahruddin Jamal berkata berikutan itu, Pusat Gerakan Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana, memutuskan kedua-duanya ditutup, kira-kira 6 petang semalam lalu digantikan dengan pembukaan pusat rawatan awal di Stadium Tertutup Pasir Gudang.

“Stadium Tertutup Pasir Gudang terletak di zon hijau iaitu kawasan selamat dengan jaraknya lima kilometer dari kawasan tercemar dan dapat menampung ramai mangsa,” katanya lapor BERNAMA.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Pusat Gerakan Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana, di Menara Aqabah Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), di sini, hari ini.

Sementara itu, Dr Sahruddin berkata sehingga semalam, pihaknya tidak menerima sebarang laporan mengenai terdapat pencemaran air yang tersebar sehingga ke Sungai Tiram dan dakwaan pencemaran merebak ke Pelabuhan Johor.

Beliau turut menegaskan, bagi memastikan keadaan terus terkawal, orang awam terutamanya penduduk diminta supaya tidak datang ke kawasan tercemar bagi menyaksikan kerja-kerja pembersihan kerana kawasan berkenaan terdedah kepada bahaya jika tidak memakai pakaian bersesuaian.

“Orang ramai juga dinasihati segera mendapatkan rawatan sekiranya mengalami gejala loya, muntah, pedih mata, sakit dada dan sesak nafas di pusat rawatan awal, di klinik atau hospital berdekatan,” katanya.

Katanya, penting bagi orang awam terutama kanak-kanak dan warga emas untuk mengurangkan aktiviti di luar rumah serta sentiasa memakai penutup hidung dan mulut.

— BERNAMA

Categories
NASIONAL

PEKA gesa undang-undang alam sekitar lebih tegas

KUALA LUMPUR, 15 MAC: Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (PEKA) Malaysia menggesa kerajaan mengenakan penaliti lebih berat ke atas mereka yang didapati bersalah atas jenayah alam sekitar.

Presidennya, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata, ini termasuk meningkatkan tempoh hukuman penjara dan denda dalam undang-undang sedia ada berkaitan alam sekitar.

“Penaliti lima tahun penjara dan denda RM500,000 (misalnya) tidak akan menghalang pencemar. Kerajaan patut mempertimbang hukuman penjara 20 tahun dan denda sekurang-kurangya RM1 juta,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas insiden pembuangan sisa bahan kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor yang dilapor menyebabkan lebih 2,000 orang dirawat di hospital sementara 111 sekolah ditutup bagi mengelak lebih ramai pelajar terjejas.

Shariffa Sabrina berkata, bagi mengelak perkara sama berulang,langkah pencegahan mesti dilaksana di seluruh negara.

“Meter ujian gas dan pencemaran seharusnya dipasang di semua kawasan perindustrian utama,” katanya.

Beliau turut menyarankan setiap syarikat kimia diwajibkan mendaftar dengan Jabatan Alam Sekitar untuk memudahkan proses pemantauan.

— BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tidak perlu isytihar darurat di Pasir Gudang

KUALA LUMPUR, 14 MAC: Usaha pengurusan dan mitigasi di Pasir Gudang yang terjejas dengan pencemaran bahan kimia membabitkan pelbagai agensi Kerajaan Persekutuan seperti situasi darurat, walaupun setakat ini tiada keperluan mengisytiharkan darurat, di kawasan itu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hanipa Maidin berkata, antara agensi Kerajaan Persekutuan terbabit ialah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Angkatan Tentera Malaysia, Kementerian Kesihatan dan Jabatan Alam Sekitar.

Turut terbabit dalam operasi pengurusan krisis itu ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Pasukan Khas Pengurusan Bahan Berbahaya (Hazmat), Jabatan Pengaliran dan Saliran dan Kementerian Pendidikan yang berada di lokasi kejadian bagi tujuan operasi.

“Krisis itu sedang ditangani Kerajaan Negeri dan sehingga kini ia (Kerajaan Negeri) tidak meminta kebenaran daripada Kerajaan Pusat untuk mengisytiharkan darurat.

“Buat masa ini kami diberitahu, mereka kata boleh lagi mereka selesai, tidak perlu rujuk kepada Kerajaan Persekutuan untuk mendapatkan pengisytiharan darurat di bawah arahan Majlis Keselamatan Negara, arahan 20,” katanya menggulung perbahasan usul tergempar untuk mengisytiharkan darurat di Pasir Gudang.

Usul tergempar itu dikemukakan Hassan Abdul Kasim (PH-Pasir Gudang), dibahaskan oleh empat anggota Parlimen dan digulung enam Menteri berkaitan.

Hanipa berkata Jawatankuasa Pengurusan Negeri Johor yang bermesyuarat pada Rabu telah membuat keputusan bahawa Kerajaan Negeri masih boleh mengawal dan menangani isu ini.

Katanya, agensi-agensi yang terlibat dalam pengurusan krisis itu juga berpandangan tahap isu masih belum mencapai tahap bencana untuk diisytiharkan darurat bencana.

“Kerajaan Persekutuan juga bersetuju memberi peruntukan RM8 juta untuk kerja-kerja pembersihan sungai yang terlibat dengan secepat munngkin.

“Bantuan wang ihsan juga akan diberi kepada setiap keluarga yang terlibat dalam bencana itu berdasarkan senarai yang telah diputuskan oleh pegawai daerah,” katanya. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

ATM hantar unit khas ke Pasir Gudang beri bantuan

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 14 MAC: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menghantar beberapa unit khas Pertahanan Nuklear, Biologi dan Kimia Tentera Darat (PNBK TD) ke Pasir Gudang susulan kes pencemaran, di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor.

ATM dalam kenyataan berkata, unit khas itu bertindak untuk melawan Kimia, Biologi, Radioaktif, Nuklear dan Letupan (CBRNE).

Katanya, sejumlah anggota PNBK TD sudah digerakkan ke Bilik Gerakan Operasi Dewan Taman Pasir Putih bagi meninjau lokasi bencana, menyelaras operasi selain membantu pasukan bomba dan penyelamat lain.

“Unit ini adalah sebahagian daripada 12 Skuadron Rejimen Askar Jurutera Diraja (12 Skn RAJD) yang berpangkalan di Kem Terendak, Melaka.

“Ia turut dibantu pasukan doktor dan paramedik daripada dua Batalion Ubat Kor Kesihatan Diraja yang berpangkalan di Kem Mahkota, Johor.

“Peranan unit ini sangat penting bagi ATM terutama apabila menghadapi musuh yang menggunakan bahan kimia, biologi, radioaktif atau nuklear senjata,” katanya.

Pada masa sama, ATM berkata, selain ditubuhkan untuk mempertahankan negara, ia juga berperanan dalam Hazardous Material Disaster Management Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan dilengkapi aset nyahcemar serta peralatan pelindungan lengkap.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

900 orang dirawat, penduduk mula tinggalkan Pasir Gudang

JOHOR BAHRU, 14 MAC: Khuatir dengan keadaan pencemaran kimia akibat pembuangan sisa bahan kimia di Sungai Kim Kim yang sehingga kini menyebabkan lebih 900 orang dirawat, sebilangan penduduk di Pasir Gudang mula mengambil inisiatif meninggalkan kediaman mereka buat sementara.

Mereka mengambil keputusan keluar dari kawasan itu demi memastikan keselamatan diri dan keluarga mereka.

Seorang daripada mereka, Mahirah Ahmad Helmi, 32, berkata beliau hari ini membawa dua anaknya – berusia tiga tahun dan lima bulan ke Kempas, di sini untuk tinggal di rumah bapa mertuanya.

“Sejak beberapa hari lalu, anak pertama saya batuk-batuk, anak kedua pula mengalami mata merah. Saya telah bawa mereka ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk membuat pemeriksaan.

“Mulai hari ini, saya akan tinggal sementara di rumah bapa mertua malah sejak semalam, semua jiran saya sudah mula meninggalkan rumah masing-masing kerana merasakan kehidupan kami di situ (Pasir Gudang) terancam,” katanya yang tinggal di Taman Kota Masai, Pasir Gudang.

Mahirah yang merupakan Guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Masai 2 turut berharap proses pembersihan sungai dapat dijalankan dengan segera, bagi mengelakkan perkara tidak diingini.

Seorang lagi penduduk, Abdul Rahim Abdul Rahman, 47, berkata beliau telah membawa tiga anaknya menginap di sebuah hotel di pusat bandar sejak malam tadi.

Ini kerana beliau enggan mengambil risiko terhadap keselamatan anak-anaknya tambahan pula sekolah mereka telah diarap tutup semalam.

“Kami tinggal di hotel kerana merasakan tidak perlu untuk terus berada di rumah kami di Taman Bukit Dahlia…ada banyak sangat maklumat mengelirukan tentang insiden ini,” katanya.

Kejadian pencemaran bahan kimia sejak 7 Mac itu sehingga kini menyebabkan 947 orang awam terpaksa mendapatkan rawatan dengan sembilan daripadanya dirawat di Unit Rawatan Rapi dan semua 111 sekolah di Pasir Gudang diarah ditutup serta merta. -BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Situasi pencemaran terkawal, tiada keperluan isytihar darurat

JOHOR BAHRU, 13 MAC: Situasi pencemaran ekoran pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim, di Pasir Gudang, setakat ini terkawal dan tiada keperluan mengisytiharkan darurat di kawasan berkenaan.

Menteri Besar, Johor Datuk Osman Sapian berkata, rakyat juga diminta tidak mempercayai dan menyebar maklumat tidak benar yang tular, sebaliknya sentiasa mengikuti informasi betul dari saluran yang benar.

“Melalui jabatan terbabit, ini bukan suatu perkara yang kita boleh anggap darurat. Tidak, jauh daripada itu. Dalam keadaan terkawal,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat khas Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, di Majlis Perbandaran Pasir Gudang, di sini.

Turut hadir, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin.

Beliau juga meminta supaya masyarakat bertenang dan memberi kerjasama penuh serta keyakinan kepada pihak berkuasa untuk mengurus bencana itu dengan cekap, cepat juga selamat.

“Ketika ini, kita tidak perlu menunding jari dan cari salah mana-mana pihak serta cuba bermain politik kerana fokus utama adalah untuk kerja pengawalan pencemaran dan mengurus serta merawat pesakit yang terkesan dengan pencemaran ini,” katanya.

Osman berkata, pelbagai faktor yang menyebabkan insiden itu berlaku, termasuk arah angin dan haba panas selain ia menjejaskan kawasan tertentu sahaja.

Pada masa sama, katanya, kerajaan negeri meluluskan peruntukan kecemasan RM6.4 juta sebagai bantuan segera untuk menjalankan kerja pembersihan, sumbangan kepada mangsa dan keluarga serta kakitangan keselamatan yang terdedah dengan bahaya pencemaran terbabit.

Katanya, operasi pembersihan itu turut membabitkan tiga kontraktor dan ia diharap mengambil masa lebih kurang seminggu.

“Kerja pembersihan yang dilakukan itu membabitkan kawasan yang terjejas dengan pencemaran sepanjang 1.5 kilometer,” katanya.

Katanya, kerja pembersihan akan turut mendapatkan bantuan dari Petronas, Angkatan Tentera Malaysia dan Jabatan Meteorologi serta menggunakan peralatan yang dimiliki mereka bagi memantau tahap juga radius pencemaran. – BERNAMA

Kapsyen foto: Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian ketika melawat mangsa pencemaran bahan toksik di Sungai Kim Kim yang mendapatkan rawatan awal di Dewan Komuniti Taman Pasir Putih hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Negeri Johor Dr Sahruddin Jamal (kanan) dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan Johor, Liow Cai Tung (dua, kanan).
–fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

Pelancaran ABU Di Johor Bermula Esok

SHAH ALAM, 25 FEB : Kerajaan Umno-BN diingatkan supaya menghormati lunas-lunas demokrasi, tidak mengeksploitasi serta meracuni pemikiran anak muda dengan permainan politik kotor, ugutan dan penerapan budaya samseng demi survival politik parti itu.

Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia Negeri Johor (SAMM Johor), Ahmad Anwar Asyraf berkata, beberapa siri program Pelancaran Gerakan Asalkan Bukan UMNO (ABU) yang dilancarkan sebelum ini di negeri-negeri lain, telah mencetuskan provokasi dan gangguan tindakan tidak bertamadun yang melacurkan minda anak muda.

Menurutnya, segala ugutan, kecaman dan tindakan mensabotaj poster-poster promosi ini hanya bertujuan untuk menakut-nakutkan aktivis SAMM dalam berjuang menentang rejim korup yang diamalkan Umno-BN.

“Menjelang program Pelancaran ABU Peringkat Negeri Johor pada 26 Februari ini, beberapa aktivis telah menerima kecaman dan ugutan dari individu-individu semasa memasang poster-poster promosi program tersebut di beberapa tempat sekitar Pasir Gudang.

Malahan, beberapa poster-poster promosi program tersebut telah dikoyakkan, diconteng dan disabotaj oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab.

“Kami percaya tindakan ini adalah langkah awal pihak-pihak lawan sebelum aksi samseng digunakan semasa program pelancaran nanti. Bahkan baru-baru ini, kita dikejutkan dengan aksi ganas sekumpulan anak muda upahan di Sembrong, Kluang hingga menyaksikan cermin kereta Ketua Pembangkang Malaysia pecah,” tegasnya.

Tegasnya, SAMM Johor tidak akan bertoleransi dengan mana-mana pihak yang menjajah minda anak muda dengan anasir politik sebegini.

Ini kerana jelasnya, anak muda tidak seharusnya dijadikan mangsa eksploitasi pihak tidak bertanggungjawab demi survival politik melampau mereka.

Beliau berkata, Umno-BN seharusnya bertindak mendidik anak muda di negara iniu untuk berpolitik secara matang dan penuh ilmiah sebagai pewaris masa depan negara, dan bukannya melakukan tindakan sembrono yang membonsaikan pemikiran masyarakat khususnya anak muda.

Tambahnya, program yang bakal berlangsung esok akan diadakan di premis persendirian serta merupakan platform terbaik bagi rakyat Johor untuk menyuarakan keperitan dan kepayahan mereka selama ini.

“ABU bukanlah satu gerakan yang dinaungi oleh mana-mana parti politik, sebaliknya merupakan satu gerakan dari rakyat kepada rakyat.

Sewajarnya, UMNO menghormati perbezaan pandangan dan meraikan demokrasi. Ini sahaja platform yang ada untuk rakyat tertindas meluahkan penderitaan mereka apabila media-media cetak dan elektronik telah dirantai oleh rejim pemerintah,” ujarnya lagi.

Sehubungan itu, SAMM Johor akan menggerakkan kesemua aktivis untuk membantu pihak penganjur dalam menjaga keselamatan lokasi program bagi mengelakkan insiden sama seperti di Klang, Selangor dan Semberong, Kluang berulang lagi.

Malahan jelasnya, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga turut menyatakan kesediaan untuk bersama dalam mengawal keselamatan orang ramai sepanjang program tersebut berlangsung.