Categories
AGENDA NASIONAL

Enam ditahan insiden penghantar makanan pukul pelanggan

KUALA LUMPUR, 12 JUN: Polis menahan enam lelaki warga tempatan berhubung insiden seorang pelanggan dipukul sekumpulan penghantar makanan di kawasan Sungai Way, Petaling Jaya semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata mereka yang ditahan ialah lima penghantar makanan dan pelanggan itu yang berumur lingkungan 19 hingga 40 tahun.

Beliau berkata pihaknya menerima laporan daripada penghantar makanan berusia 19 tahun yang tidak berpuas hati dengan seorang pelanggan yang didakwa menggunakan nama yang menyentuh sensitiviti agama.

“Pengadu membuat tangkap layar pesanan daripada pelanggan itu dan menularkannya ke aplikasi komunikasi kumpulan penghantar makanan di kawasan tersebut. Keadaan ini menimbulkan kemarahan sekumpulan penghantar makanan lain yang seterusnya pergi ke rumah pelanggan berkenaan.

“Pelanggan yang berumur 29 tahun telah dipukul oleh sekumpulan penghantar makanan tersebut (sehingga mengalami kecederaan) dan kemudian dibawa ke Balai Polis Sungai Way untuk tindakan selanjutnya,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.

Mohamad Fakhruddin berkata pihaknya menahan keenam-enam individu dan masih mengesan suspek lain yang masih bebas.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menggunakan perkataan yang melukakan perasaan agama seseorang dan Seksyen 147 kanun sama kerana menggunakan kekerasan dalam perhimpunan yang menyalahi undang- undang.

Beliau menasihati masyarakat agar tidak menimbulkan apa-apa isu atau membuat provokasi yang menyentuh sensitiviti mana-mana agama dan bangsa sehingga boleh menggugat ketenteraman awam serta keharmonian masyarakat.

“Sekali lagi masyarakat diingatkan agar tidak mengambil tindakan melangkaui undang-undang dan menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Digi lanjutkan tawaran internet produktiviti 30GB percuma untuk B40

KUALA LUMPUR, 1 MEI: Digi Telecommunications Sdn Bhd bertindak memperkukuh komitmennya menyokong kalangan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) dengan melanjutkan tawaran percuma Internet Produktiviti 30GB sebulan (1GB sehari) sehingga 31 Julai, 2021 serta terus membantu keperluan usaha e-pembelajaran dan bekerja secara jarak jauh.

Dalam kenyataan pada Sabtu, syarikat telekomunikasi itu berkata kesemua pelanggan pascabayar dan prabayar aktif akan terus menikmati Internet Produktiviti 30GB sebulan bagi tujuan pembelajaran dan produktiviti yang melebihi peruntukan data bulanan pelan sedia ada masing-masing.

Selain itu, syarikat itu juga akan terus menawarkan akses percuma dan tiada had melibatkan aplikasi, laman sesawang dan perkhidmatan berkaitan maklumat bagi memastikan rakyat negara ini sentiasa mendapat perkembangan terkini mengenai Covid-19.

“Ini termasuk aplikasi MySejahtera dan MyTrace, laman sesawang penting dan talian penting berkaitan kesihatan seperti Pusat Kesiapsiagaan dan Respon Krisis (CPRC) Kementerian Kesihatan selain Pertubuhan Kesihatan Sedunia serta sebagainya,” katanya.

Maklumat lanjut boleh diperoleh menerusi https://www.digi.com.my/bpr.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pelanggan puas hati harga, kualiti barangan segar pasar bergerak PKPS

SHAH ALAM, 30 JAN: Rata-rata pengunjung berpuas hati dengan kualiti barang dan harga ditawarkan melalui perkhidmatan Lori Selangor Agro Market di Pangsapuri Rimbajaya di sini hari ini.

Pelanggan, Basar Atan, 62, berkata harga barangan segar seperti ayam, daging, ikan dan sayur-sayuran yang dijual lebih murah berbanding pasaran memberi kelegaan kepada penduduk.

“Dengan adanya program sebegini dapat meringankan beban masyarakat kerana mereka tidak perlu mengeluarkan perbelanjaan tambahan untuk memperoleh bekalan.

Basar Atan

“Saya berharap kerja amal seperti ini diteruskan pada masa akan datang bagi memudahkan penduduk tanpa perlu bersesak di pasar raya,” katanya pada program jualan segar dari ladang Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Prihatin.

Sementara itu, Mogana Chandra, 38, berkata dia sempat membeli ayam dan ikan walaupun tiba di lokasi kurang setengah jam sebelum perkhidmatan lori bergerak ditamatkan.

“Saya sampai agak lambat dan banyak barang sudah habis tetapi mujurlah masih terdapat beberapa bekalan makanan yang saya perlukan.

“Penjual tawarkan harga yang sangat berpatutan dan saya amat berharap sekiranya perkhidmatan ini boleh berada di sini setiap minggu,” katanya.

Mogana Chandra

PKPS memperkenal program Lori Selangor Agro Market bagi memudahkan orang ramai mendapatkan barangan makanan segar sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Jualan berkonsep kendera saji akan bergerak ke lokasi terpilih di semua daerah pada setiap hari kecuali Isnin bermula jam 8 pagi hingga 1 petang.

Categories
AGENDA NASIONAL

SSM galak pelanggan guna sistem dalam talian

KUALA LUMPUR, 21 JUN: ​Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menasihatkan para pelanggan untuk memanfaatkan sepenuhnya perkhidmatan dalam talian yang disediakan bagi mengelakkan terpaksa beratur panjang untuk berurusan di kaunter semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini.

SSM dalam satu kenyataan hari ini berkata bergantung kepada jenis transaksi, para pelanggan boleh menggunakan perkhidmatan dalam talian Portal Ezbiz (https://ezbiz.ssm.com.my/) untuk urusan berkaitan entiti perniagaan tunggal dan perkongsian, Portal MyCOID (https://mycoid2016.ssm.com.my/) untuk urusan berkaitan entiti syarikat dan Portal MyLLP (https://www.myllp.com.my/) untuk urusan berkaitan entiti perkongsian liabiliti terhad.

Selain itu, para pelanggan juga boleh menggunakan perkhidmatan dalam talian Portal e-Info (https://www.ssm-einfo.my) dan Portal MyData (https://www.mydata-ssm.com.my) untuk urusan berkaitan maklumat korporat syarikat dan perniagaan, Portal MBRS (https://www.ssm4u.com.my/Pages/default.aspx ) untuk urusan berkaitan serahsimpan penyata kewangan dan penyata tahunan dan Portal e-secretary (https://esecretary.ssm.com.my/) untuk urusan berkaitan pendaftaran setiausaha syarikat.

“Sekiranya perlu berurusan di kaunter, hanya para pelanggan yang mempunyai temu janji sahaja yang dibenarkan untuk hadir berurusan di pejabat SSM di seluruh negara.

“Borang temu janji boleh di dapati di portal rasmi SSM, www.ssm.com.my,” kata suruhanjaya itu.

-BERNAMA