Categories
NASIONAL SELANGOR

Syabas diheret ke Tribunal Tuntutan Pengguna -FOKUS

Sinopsis

FOKUS Untuk 11092013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT. Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) diheret ke Tribunal Tuntutan Pengguna kerana didakwa gagal menguruskan bekalan air dengan baik sehingga menjejaskan penduduk sekitar Lembah Klang.

2. Parti Keadilan Rakyat (PKR) melahirkan kebimbangan penurunan kedudukan universiti-unversiti awam negara dalam senarai kedudukan universiti dunia, Quacquarelli Symonds World University Ranking 2013.

3. Kerajaan Negeri Selangor membelanjakan RM984 juta dari Mac 2008 hingga Mei 2013 bagi melaksanakan program dan dasar yang terangkum dalam Agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

4. Menteri Kerajaan Pusat yang menghantar anak-anak mereka belajar di luar negara menunjukkan krisis keyakinan yang serius terhadap pelan pendidikan Malaysia.

5. Tindakan keatas premis-premis perniagaan yang melanggar undang-undang di Jalan Teratai, Klang akan diteruskan ke fasa kedua, tegas Pemangku Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Ehsan Mukri.

Categories
SELANGOR

MB: Bagi Peluang Masyarakat Kampung Nikmati Pembangunan

mb-kupon-jom-shopping

PELABUHAN KLANG 28 JULAI : Kerajaan Negeri akan mula berjumpa dengan syarikat-syarikat yang mengendalikan sektor pembangunan bagi merangka pembangunan secara bersama dengan penduduk kampung.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata perjumpaan terbabit akan dilakukan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri ini.

Katanya, pihaknya sudah membuat kajian bagi mencantumkan ketiga-tiga bahagian di Pelabuhan Klang itu yang terdiri daripada kampung, pembangunan baru dan kawasan perindustrian.

“Tujuan saya ini supaya dapat mencantumkan ketiga-tiga bahagian itu agar masyarakat sekitar khususnya kampung dapat merasai pembangunan.

“Tiada guna ada bangunan berpuluh tingkat dan beratus juta tetapi orang kampung hanya tengok saja.

“Jadi kita mahu syarikat yang mengendalikan pembangunan itu akan merangka pembangunan secara bersama dengan melibatkan penduduk kampung. Jadi kita akan jumpa mereka untuk perlaksanaan itu,” katanya dalam ucapannya di Majlis Berbuka Puasa bersama rakyat bagi Dun Pelabuhan Klang di Masjid Sultan Pulau Indah.

Hadir sama Pemangku Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Ehsan Mukri dan Ahli Majlis MPK, Norhisham Aziz.

Dalam pada itu, Abdul Khalid turut memaklumkan beliau sudah meminta untuk berjumpa dengan Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah bagi membincangkan untuk memperhebatkan lagi pembangunan di Dun terbabit.

“Janji masa pilihanraya umum ke 13, untuk minta Kerajaan Pusat meningkatkan tahap prasarana di sini.

“Jadi saya sudah membisikkan perkara ini dengan Menteri itu, saya harap ia dapat dilakukan dalam masa terdekat.Usaha kita ialah usaha berterusan kerana mahu rakyat tidak ketinggalan,” katanya.

Dalam majlis itu, seramai 100 penduduk dari empat buah kampung menerima Kupon Membeli Belah di bawah program Jom Shopping sempena Hari Raya yang bernilai RM100.

Empat kampung itu terdiri daripada Kampung Perigi Nenas, Teluk Nipah, Pinang dan Sungai Kembung.

Penerima, Aishah Kasbari, 82, menyifatkan pemberian itu sebagai bantuan meringankan beban keluarga penerima.

“Dengan kupon ini, kita dapat membeli barangan keperluan yang akan digunakan menjelang Hari Raya nanti,” katanya.