Categories
EXCO SELANGOR

Selangor negeri pertama bantu penggiat seni terjejas pandemik

SHAH ALAM, 2 DIS: Selangor menjadi negeri pertama membantu kelangsungan hidup golongan seni terutama seniman jalanan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

EXCO Kebudayaan dan Warisan Borhan Aman Shah berkata Kerajaan Negeri memperuntuk RM250,000 bagi membantu pemuzik jalanan yang berdaftar bawah kelab atau persatuan negeri.

“Kita bantu hampir 1,000 seniman jalanan untuk mereka adakan persembahan di pusat pemberian vaksin (PPV) bagi menghiburkan penerima suntikan,” katanya pada Program Rentak Selangor di Sabak Bernam semalam.

Beliau menambah, pihaknya juga mendapat kelulusan bagi membantu kumpulan nasyid yang turut terkesan akibat pandemik.

“Selepas ini kita mungkin bantu kumpulan kompang, marhaban dan sebagainya,” katanya.

Ogos lalu, Kerajaan Negeri memperuntuk RM250,000 bagi membantu 720 pemuzik jalanan melalui inisiatif Kita Buskers Selangor.

Pada 4 November, satu lagi inisiatif, Kita Seniman Selangor dilancar membabitkan peruntukan RM50,000 bagi membantu kelangsungan hidup golongan seni terbabit.

Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Balada si penghibur jalanan, lumrah ditangkap dan diusir

TIGA hari bermalam dalam lokap Penjara Pudu antara pengalaman tidak akan dilupakan pemuzik jalanan sepenuh masa Meor Yusof Aziddin Meor Hassan.

Bukan macam sekarang, dahulu ‘buskers’ dipandang serong. Macam-macam label negatif diberi. Peminta sedekah dan lebih teruk lagi penagih dadah.

Pendapatan pula tidak seberapa. Menyanyi sampai kering tekak belum tentu dapat RM50 sehari. Tidak pasal-pasal pula terpaksa tidur dalam lokap.

Bagi Meor Yusof Aziddin, kini berusia 54 tahun, peristiwa dicekup di kaki lima Pasar Seni di ibu kota Kuala Lumpur pada 2005 tetap segar dalam ingatan.

Sedang asyik bernyanyi sambil memetik gitar, dari lagu Iwan Fals, M Nasir, Kembara hingga Broery Marantika, diikuti tepukan gemuruh pendengar, tiba-tiba tiga lelaki dari celah penonton merentap tangannya. Walau tidak berseragam, bapa empat anak dapat mengagak mereka anggota polis. Memang betul, mereka dari Cawangan Khas.

Meor Yusof Aziddin Meor Hassan dipilih sebagai residen buskers di KL Sentral sejak 2010. Foto ihsan Meor Yusof Aziddin Meor Hassan

Meor Yusof Aziddin dibawa ke Penjara Pudu. Bukan beliau seorang sahaja, beberapa penghibur jalanan juga senasib dengannya. Ujian air kencing dibuat.

“Pada masa itu, saya ada tiga anak. Dalam fikiran, terbayang wajah isteri dan anak-anak terutama anak kedua Adam ketika itu berumur enam tahun kerana dia autisme.

“Saya dapat bayangkan, isteri mesti risau saya tidak balik. Macam-macam dalam fikiran, bagaimana keadaan isteri mahu uruskan keluarga tanpa saya dan macam-macam lagi,” katanya kepada Selangorkini.

Meor Yusof Aziddin dibebaskan pada hari ketiga penahanan selepas ujian menunjukkan beliau negatif dadah. Kejadian sama berulang beberapa tahun kemudian, kali ini Menara Berkembar Petronas Kuala Lumpur City Centre. Cuma tidak sampai bermalam dilokap, sekadar soal siasat di lokasi sahaja.

Lali dihalau

Selain kerenah pihak berkuasa, penghibur jalanan termasuk beliau juga lali dihalau pemilik kedai makan. Sesetengahnya tidak senang kehadiran kelibat mereka, dianggap mengganggu pelanggan.

Meor Yusof Aziddin mula mencebur diri dalam bidang muzik sejak hujung 80-an. Sekitar awal 90-an, beliau berpeluang mengadakan persembahan di kelab malam.

Pada 2000, beliau mula bergerak sebagai seniman jalanan, malah menjadikannya sebagai karier empat tahun kemudian.

Bukan mudah. Pendapatan tidak menentu. Kalau bernasib baik, boleh dapat lebih RM50 sehari untuk menyara isteri dan empat anaknya. Tambahan pula membesarkan Adam, kini 22 tahun, cabarannya berbeza dengan anak biasa.

Dapur tak berasap juga menjadi perkara biasa. Namun Meor Yusof Aziddin dan keluarga cekal mendepani dugaan hidup. Disokong isteri yang setia, Adam menjadi tunjang kekuatan untuk meneruskan kehidupan.

Rakam album

Sebenarnya, adik kepada penyanyi Sohami Meor Hassan yang popular dengan lagu Epilog Cinta Dari Bromley bukan calang-calang pemuzik. Beliau pernah merakam album terbitan M Nasir pada 1993.

Sayangnya, album itu tidak sempat memasuki pasaran berikutan isu komersial. Beliau tidak berputus asa. Pada 2001, beliau menghasilkan album menerusi syarikat rakaman indie Nebiula Production dengan judul Pesta Jiwa. Sehingga kini, beliau telah menghasilkan 10 album berkonsep indie, semuanya bertema kehidupan dan kemanusiaan.

Meor Yusof Aziddin Meor Hassan aktif mengadakan persembahan sejak hujung 80-an. Foto ihsan Meor Yusof Aziddin Meor Hassan

Walaupun hasil jualan tidak selaris album komersial, yang penting beliau puas. Apatah lagi, sokongan penggemar muzik indie sedikit sebanyak menambah pendapatannya. Lebih-lebih lagi, diam di kota metropolitan serba-serbinya duit.

Selain muzik, Meor Yusof Aziddin juga berbakat dalam mencipta lagu dan menulis. Buku pertama beliau, Sembang Tepi Jalan diterbitkan pada 2009 diikuti Syurga Yang Hilang, Sembang Kehidupan dan Gila Muzik. Buku ini masih dijual di Shopee dan Lazada.

Beliau juga pernah menjadi kolumnis tetap di Malaysia Insider, Malaymail Online dan Malaysian Insight, kebanyakannya berkisar isu muzik, budaya dan kehidupan.

Tidak seperti dahulu, pemuzik jalanan kian diiktiraf pelbagai pihak. Dari kerajaan hingga ke syarikat swasta dan badan bukan kerajaan. Bahkan, mereka sering mendapat undangan persembahan.

Meor Yusof Aziddin sendiri dipilih Keretapi Tanah Melayu Berhad sebagai residen buskers di KL Sentral sejak 2010. Beliau juga antara 500 pemuzik jalanan yang terlibat dalam Kita Buskers Selangor, program yang menempatkan mereka ke enam pusat pemberian vaksin.

Bersama anak ketiga, Aqeef, 19, mereka memetik gitar di PPV Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam pada 24 Ogos lalu.

“Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan, ramai pemuzik jalanan tertekan kerana putus mata pencarian. Alhamdullilah, Kerajaan Selangor peka. Negeri lain wajar mengikuti contoh langkah ini,” katanya.

Sepanjang PKP, beliau membuat persembahan menerusi akaun Facebooknya. Biarpun pendapatan berkurangan hampir separuh berbanding persembahan di luar tetapi beliau cekal mendepani Covid-19.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Selangor belanja RM250,000 bantu pemuzik jana pendapatan

SHAH ALAM, 25 OGOS: Kerajaan Negeri memperuntuk sebanyak RM250,000 bagi membantu pemuzik jalanan atau busker yang terjejas pendapatan akibat Covid-19.

EXCO Kebudayaan dan Warisan Borhan Aman Shah berkata inisiatif melalui projek Kita Buskers Selangor memanfaatkan 500 pemuzik yang berdaftar bawah kelab atau persatuan negeri.

“Daripada 2,000 yang berdaftar, hanya sekitar 500 masih aktif kerana sejumlah besar bertukar kerjaya dengan menjadi penghantar makanan dan sebagainya.

“Justeru mereka yang masih aktif akan mendapat manfaat daripada program ini seterusnya membantu meringankan bebanan kewangan dan emosi mereka akibat pandemik,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan lisan wakil rakyat Sementa Dr Daroyah Alwi berhubung langkah kerajaan membantu pemain seni dan adat Melayu ketika pandemik pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Sementara itu, Borhan berkata Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat) akan mewujudkan muzium permainan di Kuala Selangor sebagai tarikan pelancongan terbaharu.

Beliau berkata persiapan yang kini pada tahap akhir memakan masa berikutan kekangan Perintah Kawalan Pergerakan sejak awal tahun.

“Apabila siap kelak, muzium ini bukan sahaja dijadikan pusat tarikan kesenian dan pelancongan malah menjadi pusat aktiviti permainan tradisional secara berkeluarga,” katanya.

Pada 7 Ogos, Borhan berkata Kerajaan Negeri membela nasib busker dengan menempatkan mereka di pusat pemberian vaksin (PPV) terpilih termasuk empat PPV mega bawah persekutuan

Projek Kita Buskers Selangor selama sebulan mulai mulai 15 Ogos membabitkan PPV Bangi Avenue, Sunway, Dewan MBPJ, MSU Shah Alam, Tanjung Sepat dan Gombak.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

720 pemuzik jalanan jana pendapatan, hiburkan pengunjung PPV

SHAH ALAM, 9 OGOS: Seramai 720 pemuzik jalanan atau busker terlibat dalam projek Kita Buskers Selangor di enam pusat pemberian vaksin (PPV) seluruh negeri.

Selain menghiburkan orang ramai, pengurus projeknya berkata Kerajaan Negeri bagi membantu melalui pemberian wang sagu hati bagi meneruskan kelangsungan hidup sepanjang perintah kawalan.

Mohd Hilmie Sa’ban menjelaskan projek selama sebulan mulai 15 Ogos membabitkan PPV Bangi Avenue, Sunway, Dewan MBPJ, MSU Shah Alam, Tanjung Sepat dan Gombak.

“Terdapat dua sesi di setiap PPV dan setiapnya melibatkan dua busker. Kebajikan dan kelengkapan audio disediakan dan mereka hanya membawa alat muzik yang digunakan sahaja,” katanya baru-baru ini.

Beliau berkata semua pemuzik terlibat diwajibkan menjalani saringan bagi mengekang penularan wabak, dengan kos ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri.

Mohd Hilmie menambah mereka juga perlu mengikut syarat ketat ditetapkan iaitu sentiasa memakai pelitup muka dan tidak boleh menjemput individu lain untuk menyanyi bersama.

“Saya berharap projek ini dapat diperluas ke setiap PPV seluruh Selangor bagi membantu golongan busker menjana pendapatan,” katanya lagi.

Pada 7 Ogos, EXCO Kebudayaan Borhan Aman Shah berkata Kerajaan Negeri membela nasib busker dengan menempatkan mereka di PPV terpilih termasuk empat PPV mega bawah persekutuan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pemuzik jalanan ditempatkan di PPV Selangor, bantu jana pendapatan

BANTING, 7 OGOS: Nasib pemuzik jalanan atau busker akan terbela apabila mereka ditempatkan di pusat pemberian vaksin (PPV) di bawah program Vaksin Selangor (Selvax).

EXCO kebudayaan dan warisan berkata buat permulaan Dewan MPKL Banting Baru menjadi PPV pertama menempatkan kumpulan tersebut semalam.

EXCO Kebudayaan dan Warisan Borhan Aman Shah

Borhan Aman Shah berkata inisiatif itu adalah salah satu usaha membantu mereka menjana pendapatan selain ia disaran Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

“Perbincangan dilakukan bersama Persatuan Busker Negeri Selangor berhubung perkara ini dan mereka mempunyai seramai lebih 2,000 ahli.

“Persetujuan dicapai dengan menempatkan busker ini di PPV negeri ini. Namun terdapat syarat iaitu ahli mestilah menetap di daerah PPV tersebut supaya usaha membantu ini sampai kepada golongan sasaran,” katanya.

Borhan berkata demikian ketika ditemui pada program Selvax Komuniti DUN Tanjung Sepat di Dewan MPKL Banting Baru semalam.

Beliau yang juga wakil rakyat Tanjung Sepat bercadang menempatkan kumpulan busker di empat PPV mega.

Kerajaan Persekutuan membuka empat PPV mega menerusi Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) iaitu di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur; Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Ideal Convention Center (IDCC) Shah Alam.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Selangor bincang dengan Ramli MS, angkat imej pemuzik jalanan

SHAH ALAM, 3 SEPT: Satu inisiatif dijalankan Kerajaan Selangor bagi mengangkat martabat pemuzik jalanan ke imej profesional, kata EXCO modal insan.

Mohd Khairuddin Othman berkata perbincangan dijalankan bersama komposer dan pengarah muzik terkenal, Datuk Ramli MS yang mewakili Kelab Busker Malaysia supaya matlamat itu direalisasikan.

“Bagi menentukan lokasi strategik pemain muzik ini dapat berkarya, kita memerlukan kerjasama dan pandangan dari PBT (pihak berkuasa tempatan) dan ia masih diperingkat perbincangan.

“Kerajaan Selangor akan sedaya upaya membangunkan program ini kerana majoriti adalah belia dan ini sebagai langkah membantu mereka,” katanya pada sidang media selepas merasmikan pelancaran Program Ceria Atlet Selangor 2020.

Negeri ini melancarkan pelbagai inisiatif membantu semua golongan di Selangor termasuk pelaksanaan Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE), e-bazar Ramadan dan e-bazar Raya.