Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Ladang angsa disyaki punca Sungai Semenyih berbau bangkai

SEPANG, 5 OKT: Aktiviti pembersihan ladang angsa disyaki punca pencemaran Sungai Semenyih yang berbau bangkai menyebabkan operasi dua Loji Rawatan Air (LRA) dihenti tugas petang semalam.

EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian berkata reban yang terletak di sebelah Sungai Pajam, Negeri Sembilan melakukan operasi pembersihan berskala besar kira-kira jam 9 pagi semalam.

“Pencemaran juga disyaki dari kawasan Perindustrian Nilai 3. Di Selangor kita tidak kesan apa-apa punca pencemaran.

“Setakat jam 9.30 pagi ini kadar pencemaran Sungai Semenyih pada tahap 8 TON (ukuran kadar bau). Kerajaan Selangor sudah memaklumkan perkara ini kepada Negeri Sembilan dan meminta pihak berkuasanya menjalankan siasatan,” katanya pada sidang media di Tasik Idaman hari ini.

Peta menunjukkan lokasi kejadian pencemaran Sungai Semenyih yang terletak antara sempadan Selangor dan Negeri Sembilan pada 5 Oktober 2020. Foto REMY ARIFIN/ SELANGORKINI

Loy Sian berkata LRA Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi hanya akan beroperasi semula selepas bacaan pencemaran 0 TON dicatatkan.

“Kita tidak pasti bila LRA ini akan dibuka namun kita telah mengepam air dari beberapa kawasan untuk meneutralkan air tercemar Sungai Semenyih,” katanya.

Susulan penutupan dua LRA itu, sebanyak 274 kawasan membabitkan 309,687 akaun pengguna di wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

Categories
AGENDA NASIONAL

Lima suspek cemar Sungai Gong didakwa esok

SHAH ALAM, 14 SEPT: Lima individu yang dikaitkan dengan insiden pencemaran bau di Sungai Gong, Rawang awal bulan lalu didakwa di Mahkamah Seksyen Selayang esok.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Fadzil Ahmat berkata kertas siasatan kes berkenaan sudah dirujuk ke pejabat Peguam Negara, lapor Astro Awani.

“Pertuduhan pertama ke atas lima individu mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan yang akan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan sementara pertuduhan kedua mengikut Seksyen 25 Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 yang dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan.

Pendakwaan membabitkan empat ahli lembaga pengarah syarikat dan seorang pengurus kilang.

Sementara itu, beliau berkata empat lagi tangkapan dibebaskan dengan bon mengikut Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah untuk dijadikan saksi.

Pada 3 September lalu, empat loji rawatan air dihenti tugas susulan pencemaran di Sungai Selangor yang menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual di Kuala Lumpur dan Selangor.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Punca Sungai Selangor tercemar, kilang selenggara jentera disita

RAWANG, 3 SEPT: Kilang menyelenggara mesin dan jentera di sini, yang dipercayai menjadi punca pencemaran bau Sungai Selangor sehingga menjejaskan bekalan air 1.2 juta pemegang akaun disita sehingga tarikh dimaklumkan.

EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian berkata siasatan awal Lembaga Urus Air Selangor (Luas) mendapati kilang tersebut gagal melakukan penstoran sisa minyak buangan mengikut syarat ditetapkan selain menemui bau seakan-akan pelarut mengalir ke sungai.

“Kita arahkan kilang ini ditutup sementara menunggu keputusan siasatan. Pemantauan rapi dari semasa ke semasa dilakukan Luas bersama agensi berkaitan bagi memastikan pencemaran bau dikawal secepat mungkin,” katanya selepas meninjau kawasan kilang hari ini.

Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Dan Inovasi (STI) Dan Hal Ehwal Pengguna, Tuan Hee Loy Sian menunjukkan contoh air yang tercemar ketika Sidang Media berkenaan pencemaran air dan bau di Rawang pada 3 September 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Loy Sian berkata kilang tersebut pernah dikompaun RM60,000 atas kesalahan sama sebelum ini tetapi masih mengulangi perkara tersebut.

“Ia membuktikan tahap kesedaran serta tanggungjawab pengusaha kilang masih rendah, kita kesal sikap sesetengah pihak mengambil jalan mudah buang sisa di dalam sungai,” katanya.

Tujuh wilayah di Kuala Lumpur dan Selangor mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual selepas empat Loji Rawatan Air (LRA) negeri ini terpaksa dihenti tugas pagi ini.

Gangguan melibatkan wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

LRA Rantau Panjang dihenti tugas jam 7.15 pagi manakala LRA Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), Fasa 2 (SSP2) dan Fasa 3 (SSP3) pada 9 pagi.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MPS sita kilang mesin, punca gangguan air Selasa lepas

SHAH ALAM, 19 MAC: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menyita sebuah kilang menyelenggara mesin dan jentera kerana menjadi punca pencemaran bau di Sungai Selangor sehingga menyebabkan operasi empat Loji Rawatan Air (LRA) dihenti tugas Selasa lalu.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dalam kenyataan berkata kilang di Taman Industri Integrasi, Rawang itu didapati gagal menjalankan penstoran sisa minyak melibatkan buangan terjadual mengikut syarat ditetapkan di kawasan premis terbabit.

“Siasatan awal pada Selasa lalu menemui pencemaran bau seakan-akan bahan pelarut dari Kawasan Perindustrian Kecil Sungai Bakau di Sungai Gong, Rawang.

“LUAS kemudian menjalankan pensampelan minyak dan gris serta pemeriksaan hidrokarbon di titik pelepasan akhir kilang berkenaan dan Sungai Gong,” katanya.

Jelas kenyataan itu, hasil siasatan dan pemeriksaan menyeluruh LUAS dan Jabatan Alam Sekitar (JAS), MPS, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara, Unit Pengurusan Bencana Selangor dan Air Selangor semalam menemui sisa minyak di aliran pelepasan akhir yang akan mengalir masuk ke takungan seterusnya ke Sungai Gong.

Kata kenyataan itu, bagi menyelesaikan masalah pencemaran bau, LUAS memasukkan satu tan bahan kimia ke dalam Sungai Gong.

JAS turut mengeluarkan kompaun ke atas premis berkenaan kerana gagal menguruskan bahan buangan terjadual seperti yang tertakluk di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

Sebelum ini, LRA Fasa 1 (SSP1), Fasa 2 (SSP2), Fasa 3 (SSP3) dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas kira-kira tiga jam sehingga berlaku gangguan air tidak berjadual di tujuh wilayah iaitu Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat namun bekalan air dipulihkan secara berperingkat.

 

Categories
PBT SELANGOR

Pencemaran bau, kilang plastik henti operasi

KLANG, 16 JAN: Majlis Perbandaran Klang (MPK) mengenal pasti pencemaran bau di sekitar Taman Perepat Timur, Kapar di sini berpunca daripada sebuah kilang memproses plastik, kata timbalan yang dipertuanya.

Elya Marini Darmin berkata hasil pemeriksaan dijalankan di premis berkaitan mendapati penapis scrubber dari mesin memproses plastik rosak dan kilang terbabit dihentikan operasi serta merta.

“Kita menerima aduan dari penduduk berkaitan bau yang kurang enak. Oleh itu, MPK bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) membuat pemeriksaan dan mengenal pasti perkara itu.

“JAS menyarankan pengusaha kilang supaya membuat penyelenggaraan setiap 17 hari bagi memastikan insiden kerosakan tidak berulang,” katanya ketika ditemui di kilang berkenaan di sini semalam.

Elya berkata MPK akan menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa dan tidak sama sekali bertolak ansur dengan mana-mana pengusaha yang melakukan kesalahan.

Beliau berkata, terdapat lebih 500 kilang haram di Telok Gong dan setakat ini MPK menutup 70 kilang sama di bawah pentadbirannya sejak November tahun lalu hingga 15 Januari lepas selain bancian berterusan dilakukan berhubung perkara itu.

Categories
NASIONAL

Pencemaran bau: 14 sekolah ditutup hingga Khamis

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PASIR GUDANG, 23 JUN: Kerajaan Johor mengarahkan 14 lagi sekolah di Pasir Gudang ditutup sementara berikutan gelombang kedua pencemaran bau, pagi tadi.

EXCO Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata, keputusan itu dibuat selepas tiga lagi sekolah mengalami sesak nafas dan muntah-muntah di sekolah terbabit, pada jam 11 pagi tadi.

“Pihak bomba menerima panggilan jam 11 pagi daripada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nusa Damai, Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Dahlia dan SK Kopok. Mereka membuat saringan kepada 20 orang dikesan mengalami gejala sesak dan muntah-muntah.

“Sehubungan itu, Jawatankuasa Teknikal dan Saintifik dalam mesyuarat membuat ketetapan supaya sekolah-sekolah berada dalam jajaran lokasi kejadian yang dikenal pasti ditutup selama empat hari bermula esok sehingga 27 Jun (Khamis) ini,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, antara sekolah terbabit adalah SK Bukit Dahlia, SK Taman Cahaya Masai, SK Felda Cahaya Baru, SK Kong Kong Laut, SK Taman Nusa Damai, SK Kopok, SK Kota Masai 3, SK Taman Cendana.

Selain itu, katanya, SMK Taman Nusa Damai, SMK Pasir Gudang, SMK Kota Masai, SJK (T) Pasir Gudang, SK Taman Scientex dan SMK Taman Scientex.

“Ini termasuk dua sekolah ditutup sebelum ini iaitu SK Pasir Gudang 4 dan SMK Pasir Gudang 2.

“Turut terbabit sama adalah institusi pengajian awam, sekolah-sekolah agama kerajaan Johor yang dikenal pasti termasuk semua pra sekolah dan Tadika,” katanya.

Sehingga jam 3.30 petang tadi, seramai 13 orang dirujuk ke Hospital Sultan Ismail (HSI), manakala 49 orang menerima rawatan di klinik sementara di Stadium Tertutup dan Klinik Kesihatan Pasir Gudang.

Bagaimanapun sehingga kini, Jabatan Alam Sekitar (JAS) bersama agensi terbabit sedang melakukan siasatan untuk mengenal pasti punca kepada pencemaran bau yang dikesan di sekolah berkenaan.