Categories
EXCO SELANGOR

Pencemaran sungai di Selangor, Kerajaan Negeri tidak kompromi

SHAH ALAM, 23 OGOS: Kerajaan Negeri tidak akan berkompromi dalam isu pencemaran alam sekitar membabitkan pencemaran sungai di seluruh negeri.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Sains, Teknologi dan Inovasi, Hee Loy Sian berkata, pihaknya memberi amaran kepada semua pengusaha kilang supaya tidak membuang sisa kumbahan atau kimia.

“Kerajaan Negeri serius dan tidak berkompromi dalam isu ini. Jangan sewenang-wenangnya membuang sisa-sisa kimia yang menyebabkan air sungai hitam dan busuk.

“Kita tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas menerusi undang-undang,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas isu pencemaran Sungai Sasaran di Sungai Buloh, baru-baru ini.

Mengulas isu pencemaran sungai itu, Hee berkata, Kerajaan Negeri sedang menunggu keputusan laporan berkenaan tahap pencemaran dari Jabatan Kimia Malaysia dan Jabatan Alam Sekitar.

“Kita telah bermesyuarat dengan pelbagai agensi, sampel pencemaran juga sudah diambil dua minggu lalu dan sekarang masih menunggu keputusan.

“Buat masa ini, kita mengesyaki sebuah kilang kertas melepaskan sisa kimia dan sekiranya didapati benar, tindakan undang-undang akan diambil,” katanya.

Beliau berkata, ekoran dari pencemaran sungai itu juga, nelayan mengeluh akibat hasil tangkapan merosot.

Terdahulu, akhbar melaporkan pencemaran Sungai Buloh dan mengenai penurunan kualiti air sungai, warna air yang hitam serta bau tidak menyenangkan memberi kesan kepada aktiviti pantai di sekitar muara sungai berkenaan.

Kawasan itu mempunyai kepentingan dalam penternakan kerang, pelancongan dan habitat kepada burung pantai tempatan serta burung berhijrah.

Hampir 40 spesies burung dapat dilihat di kawasan muara Sungai Buloh dan kawasan pantai berhampiran.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kesedaran dan kepedulian awam elemen terpenting elak sungai tercemar

SUBANG, 27 JUL: Kesedaran dan kepedulian tinggi dalam kalangan rakyat terhadap kepentingan menjaga sungai daripada dicemari mana-mana pihak adalah elemen terpenting bagi mengatasi isu terbabit, kata Dato’ Menteri Besar.

Amirudin Shari berkata, perkara itu dibuktikan melalui tindakan orang awam yang memainkan peranan proaktif dengan melaporkan kejadian pencemaran sungai sebelum ini.

“Kita perlu memberi maklumat kepada orang ramai dan paling baik dalam kes terbaru, iaitu dalam pencemaran kedua, kita mendapat maklumat daripada nelayan atau orang yang memancing.

“Dari situ, bermakna ada kesedaran, dia nampak ada masalah, dia laporkan kepada pihak bertanggungjawab iaitu Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Air Selangor sekali gus, ini membantu kita atasi masalah dengan cepat sebelum pencemaran itu masuk ke dalam loji rawatan air,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Sambutan 100 Tahun GE Aviation’s dan Graduasi IKTISASS di ibu pejabat GE Engine Services, di sini, hari ini.

Amirudin berkata, langkah lain seperti pemantauan tetap dijalankan pihak bertanggungjawab.

Bagaimanapun katanya, adalah tidak realistik untuk meletakkan seorang penguatkuasa di setiap satu kilometer di sepanjang jajarang Sungai Selangor.

“Untuk meletakkan 120 petugas untuk memantau jajaran sungai di Selangor sepanjang 120 kilometer adalah tidak realistik,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Semua kerajaan negeri digesa serius atasi pencemaran sungai

BANTING, 27 JUL: Semua kerajaan negeri digesa mengambil serius langkah mengatasi isu pencemaran sungai kerana perubahan cuaca tidak menentu kini memungkinan negara mengalami musim kemarau berpanjangan pada masa depan.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr A Xavier Jayakumar berkata, ini kerana isu pencemaran sungai bukan perkara baharu namun jika ia masih tidak diendahkan, negara bakal berhadapan masalah kekurangan sumber air bersih ketika menghadapi musim kemarau.

“Dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang, negara mungkin menghadapi musim kemarau yang boleh lebih 60 hari akibat berlakunya perubahan musim cuaca dan kita akan kekurangan sumber air jika isu pencemaran sungai masih tidak diatasi.

“Sebab itu, penguatkuasaan (dalam isu pencemaran sungai) harus diperkukuhkan dan semua pihak termasuk pihak berkuasa tempatan dan syarikat-syarikat berkaitan mesti memainkan peranan besar untuk mengatasi isu ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Olahraga Sekolah-sekolah Tamil Daerah Klang di Stadium Jugra di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan sebuah akhbar tempatan hari ini mengatakan penguatkuasaan terhadap faktor pencemaran sungai-sungai di negara ini berada pada tahap lemah.

Memahami bahawa tindakan pemuliharaan sungai tercemar pasti mengambil masa lama, namun Dr Xavier menegaskan, perancangan teliti harus dimulakan segera dengan memberi keutamaan kepada usaha memulihara sungai yang paling tercemar terlebih dahulu.

Tambah beliau, kempen sayangi sungai yang pernah dilaksanakan sebelum ini juga akan terus dipergiatkan selain memupuk kerjasama dengan semua pihak termasuk penduduk, peladang dan syarikat pembakalan supaya mematuhi peraturan memelihara sungai yang dikuatkuasakan kini.

“Kami akan masuk ke sekolah-sekolah untuk mempergiat kempen sayangi sungai ini malah Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) juga telah diminta supaya mewujudkan program-program pendidikan mengenai isu ini dengan lebih mendalam,” katanya.

Beliau berkata, kementeriannya juga akan menjalankan kajian sepenuhnya berkaitan sungai dan pencemaran yang mana dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), satu peruntukan untuk memelihara sungai termasuk penghasilan air terawat dan air mentah dirancang untuk disediakan.

Dalam pada itu, Dr Xavier berkata, pihaknya merancang untuk menyemak semula Akta Perhutanan Negara dan membawanya ke persidangan Parlimen selewatnya-lewatnya Mac tahun depan untuk membuat beberapa pindaan.

Katanya, pindaan akta yang melibatkan hutan-hutan di Semenanjung Malaysia itu adalah bagi memperketatkan lagi pelaksanaan undang-undang tersebut termasuk hukumannya.

“Sekarang kita tengok orang masuk ke hutan (khususnya hutan simpan) tidak ada lesen dan kebenaran. Apakah tujuan mereka masuk ke hutan jika bukan berbuat sesuatu. Jika mahu masuk hutan, perlu mengisytiharkan apakah tujuan mereka.

“Disebabkan itu, langkah ini (semakan semula akta) adalah untuk mengehadkan kemasukan orang ke dalam hutan (khususnya hutan simpan) dan memberi kuasa kepada pengarah jabatan hutan dan penguatkuasanya supaya mereka dapat mengawal ekosistem hutan dengan lebih baik,” katanya. – BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Agensi bersepadu bermesyuarat Ahad bincang atasi pencemaran sungai

JOHOR BAHRU, 24 JUL: Usaha bersepadu berterusan antara agensi berkaitan dalam mengatasi isu pencemaran sungai di negeri ini adalah antara perkara yang akan dibincangkan pada mesyuarat Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar negeri yang dijadualkan Ahad ini.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Wan Abdul Latiff Wan Jaafar berkata, pihaknya memandang serius isu pencemaran sungai dan berharap agar mesyuarat itu dapat membincangkan langkah dan tindakan seterusnya untuk mengatasi masalah itu.

“Dalam mesyuarat jawatankuasa ini, antara perkara yang kita nak bincang, salah satu agendanya ialah pencemaran sungai. Apa yang penting ialah tindakan bersepadu daripada pelbagai agensi berkaitan,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Mesyuarat 28 Julai ini yang akan disertai JAS dan pelbagai agensi lain akan dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Tan Chen Choon.

Sementara itu, satu mesyuarat khas untuk membincangkan mengenai tapak pelupusan sampah termasuk yang haram, akan diadakan esok, kata Wan Abdul Latiff ketika diminta mengulas mengenai isu tahap pencemaran di sekurang-kurangnya 16 sungai di sekitar daerah Johor Bahru dan Pasir Gudang, yang dikesan semakin kritikal dan tindakan JAS mengenainya.

Mengenai status terkini usaha pendakwaan ke atas tiga kilang berasaskan bahan kimia di Pasir Gudang, beliau berkata pihaknya kini sedang menyiapkan kertas siasatan yang dijangka siap dalam masa dua minggu sebelum diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

Kilang-kilang berkenaan dijangka didakwa di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, katanya.

Sebelum ini, tiga kilang berkenaan dilaporkan berpotensi tinggi sebagai punca kehadiran bau gas beracun methyl mercaptan di kawasan Pasir Gudang sejak 20 Jun lalu.

Tiga kilang itu disyaki sebagai punca selepas proses penyisihan ke atas 257 kilang bahan kimia di Pasir Gudang selain terletak dalam radius tiga kilometer dari Sekolah Agama Taman Mawar dan Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Gudang 4.

Bau gas berkenaan disyaki boleh menyebabkan simptom muntah, loya dan sesak nafas, seperti yang dihadapi oleh pelajar-pelajar dan guru serta kakitangan sekolah-sekolah di Pasir Gudang sejak 20 Jun. – BERNAMA

Categories
SELANGOR

16 pencemaran sungai ditangani tahun ini

OLEH SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 8 NOV: Kerajaan Negeri giat menangani 16 kes pencemaran sungai yang berlaku di Selangor tahun ini apabila mengakibatkan penutupan Loji Pembersihan Air (LPA).

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong berkata, terdapat tujuh kes di Daerah Hulu Langat bermula Januari hingga Februari lalu sehingga menyebabkan lebih sejuta pengguna di daerah Hulu Langat, Kuala Langat, Petaling dan Sepang terjejas.

Katanya, dua kes daripadanya berpunca daripada pencemaran bau yang tidak dikenalpasti daripada Sungai Semantan, Pahang.

Manakala empat kes lagi daripada kenaikan paras ammonia akibat pelepasan sistem kumbahan Lembangan Langat dan satu kes daripada kenaikan mangan.

“Baki lapan kes pencemnaran berlaku pada September hingga Oktober lalu dengan melibatkan empat kes berasal daripada premis tidak berlesen di Sungai Lalang (Semenyih).

dns-2016“Dua kes berpunca daripada sauk Sungai Semantan dan dua kes lagi berpunca daripada Nilai,” katanya ketika di Sidang Dewan Negeri (DNS), semalam.

Wong berkata demikian menjawab pertanyaan ADN Semenyih (BN), Dato’ Johan Aziz mengenai jumlah kes gangguan bekalan air akibat pencemaran sungai sepanjang tahun ini.

Katanya, kilang yang mengakibatkan pencemaran adalah dikawal Jabatan Alam Sekitar (JAS) melalui Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS 74).

“JAS mengambil tindakan dengan mengeluarkan notis arahan penahanan operasi peralatan proses pengeluaran kilang yang menjadi punca pelepasan pencemaran dan tindakan mahkamah di bawah AKAS 74.

“Manakala bagi kilang tanpa lesen, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mempunyai kuasa mengambil tindakan perundangan di bawah Akta Perancagan Bandar dan Desa 1976 dan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

“Mana-mana pihak yang bertanggungjawab menyebabkan pencemaran boleh dikenakan denda maksimun RM100,000 atau lima tahun penjara merujuk seksyen 25, AKAS 74,” katanya.

EZY