Categories
AGENDA GLOBAL

Gagal pakai pelitup muka, PM Thailand didenda RM782

SHAH ALAM, 27 APRIL: Perdana Menteri Thailand Prayut Chan-O-Cha semalam didenda sebanyak RM782 (6,000 baht) kerana tidak memakai pelitup muka di tempat awam.

Gabenor Bangkok Aswin Kwanmuang berkata tindakan itu selepas gambar perdana menteri menghadiri mesyuarat tanpa pelitup muka tersebar di media sosial, lapor AFP.

“Sebagai Gabenor Bangkok, saya mengajukan perkara itu kepada perdana menteri dan beliau menerima denda itu,” tulisnya di Facebook.

Thailand mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam berkuat kuasa semalam susulan pengesanan kes baharu terutama di premis hiburan.

Mereka yang ingkar peraturan boleh dikenakan denda maksimum sebanyak RM2,606 (20,000 baht).

Negara itu mencatatkan 2,048 kes baharu Covid-19 semalam. Sehari sebelumnya, Thailand mencatatkan angka kematian tertinggi iaitu 11 kes.

Categories
AGENDA NASIONAL

PM dahului program suntikan vaksin Covid-19 petang ini

KUALA LUMPUR, 24 FEB: Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bermula secara rasmi hari ini dengan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijadualkan menjadi individu pertama di negara ini menerima vaksin itu pada kira-kira 3 petang.

Pelaksanaan program tiga fasa yang diawalkan dua hari berbanding jadual asal pada 26 Februari (Jumaat) itu bakal menyaksikan lebih 500,000 anggota barisan hadapan menerima vaksin tersebut untuk fasa pertama ini yang akan berlangsung hingga April depan.

Selain Muhyiddin, turut dijadualkan menerima vaksin itu pada petang ini ialah Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah serta empat lagi warga kerja Kementerian Kesihatan.

Mereka bakal menerima vaksin tersebut di Klinik Kesihatan Presint 11, Putrajaya yang merupakan antara lebih 500 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang telah dikenal pasti di seluruh negara.

Pada Ahad lalu, sebanyak 312,390 dos vaksin Pfizer-BioNTech dihantar ke negara ini dengan sebahagian diterbangkan ke Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, sementara sebahagian lagi ke Johor. Vaksin tersebut dibawa dari Singapura yang merupakan hab pengagihan vaksin Covid-19 ke negara-negara Asia Pasifik.

Setakat ini, 571,802 anggota barisan hadapan telah mendaftar untuk mendapatkan imunisasi itu dengan 57.3 peratus merupakan petugas sektor perubatan dan kesihatan, sementara baki 42.7 peratus adalah anggota sektor keselamatan seperti Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia, Jabatan Penjara, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Fasa kedua program ini akan bermula dari April hingga Ogos, melibatkan warga emas berusia 60 tahun ke atas serta kumpulan rentan dengan masalah morbiditi selain orang kurang upaya, manakala fasa ketiga dijadualkan dari Mei hingga Februari 2022 untuk kumpulan berusia 18 tahun dan ke atas.

Program ini menyasarkan untuk memberi imunisasi terhadap jangkitan Covid-19 kepada kira-kira 80 peratus penduduk negara ini, baik rakyat tempatan mahupun warga asing.

Malaysia telah mengadakan perjanjian untuk memperoleh sebanyak 66.7 juta dos vaksin COVID-19 iaitu melalui Fasiliti COVAX dan lima pengeluar, yang terdiri daripada Pfizer-BioNTech, AstraZeneca, Sinovac, CanSinoBIO dan Gamaleya.

Sejak kes pertama Covid-19 dilaporkan di negara ini pada 25 Januari 2020, seramai 288,229 orang telah dijangkiti virus itu setakat 23 Februari, selain 1,076 kematian direkodkan bagi tempoh sama.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Bangunkan pusat kuarantin Maeps 2.0, PM anggap tindakan luar biasa

KUALA LUMPUR, 20 JAN: Perdana Menteri menyifatkan pengoperasian Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) yang dibangunkan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps), Serdang dalam tempoh tiga hari sebagai satu tindakan luar biasa dalam situasi yang luar biasa.

Menzahirkan rasa bangga dengan usaha barisan hadapan dari pelbagai agensi bagi membangunkan fasiliti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ia merupakan langkah bagi memastikan penyediaan fasiliti dan perkhidmatan terbaik kepada para pesakit.

“Saya sangat bangga melihat kesungguhan serta kesabaran mereka dalam melaksanakan tugas menjaga kebajikan dan memberikan rawatan yang terbaik buat semua pesakit,” katanya dalam satu catatan kemas kini di laman Facebook rasminya malam tadi.

Semalam, beliau meluangkan masa melawat Hospital Bersepadu Maeps 2.0 di Serdang bagi melihat sendiri pengurusan PKRC dan pesakit-pesakit Covid-19.

Beliau diiringi Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba ke sesi taklimat tertutup pengoperasian oleh Pengarah Kesihatan Selangor merangkap Komander Pusat Kawalan Bersepadu Covid-19 Wilayah Tengah Datuk Dr Sha’ari Ngadiman.

Dalam kemas kini sama, Muhyiddin berkata beliau sempat berinteraksi dengan pesakit yang sedang dirawat salah satu dewan di pusat berkenaan dan menitipkan kata-kata semangat kepada mereka.

“Alhamdulillah, mereka semua kelihatan bersemangat, ceria dan berpuas hati dengan perkhidmatan serta rawatan yang diberikan. Pada sesi interaksi itu, saya mengingatkan mereka supaya kuat semangat dan banyakkan bersabar dalam menghadapi ujian ini,” katanya.

Beliau juga tidak lupa menitipkan doa kepada semua pesakit Covid-19 agar terus bersemangat menjalani tempoh sukar dan diberikan kesembuhan serta barisan hadapan dikurniakan kesabaran dan kekuatan untuk terus berjuang menentang pandemik tersebut.

PKRC Maeps kini meliputi tujuh buah dewan yang telah digunakan dengan kapasiti maksimum 10,000 katil dan sehingga hari ini, sebanyak 9,200 katil sedang digunakan.

Fasiliti itu kini dinaik taraf secara berfasa sebagai Hospital Bersepadu Maeps 2.0 dan dijangka beroperasi sepenuhnya pada 24 Januari ini bagi merawat pesakit Covid-19 kategori tiga, empat dan lima untuk distabilkan sebelum dihantar mendapatkan rawatan rapi di hospital.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Perutusan khas perdana menteri 6 petang ini

KUALA LUMPUR, 11 JAN: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menyampaikan perutusan khas mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, pada 6 petang ini.

Menerusi catatan di laman Facebook beliau, perutusan khas itu akan disiarkan secara langsung di saluran stesen televisyen tempatan iaitu Radio Televisyen Malaysia (RTM), Bernama TV, TV3 dan Astro Awani.

Pada Jumaat, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Perdana Menteri akan membuat pengumuman khas hari ini mengenai tindakan yang akan dilaksanakan kerajaan, berhubung situasi semasa jangkitan Covid-19 yang menunjukkan trend peningkatan.

Sejumlah 2,433 kes harian baharu Covid-19 dilapor semalam menjadikan jumlah kumulatif kes positif ialah 135,992 kes, manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 27,332 kes.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PM: PKP semula jika kes Covid-19 naik mendadak

KUALA LUMPUR, 15 SEPT: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi peringatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terpaksa dilaksanakan semula sekiranya kes Covid-19 dalam negara meningkat dengan mendadak.

Beliau berkata jika PKP dilaksanakan semula, ia akan memberi kesan buruk kepada kehidupan rakyat dan ekonomi negara.

“Kita tidak boleh ke mana-mana dan tinggal di rumah sahaja seperti yang sedang dikuatkuasakan di Kota Setar, Kedah pada masa ini. Nauzubillah,” katanya ketika menyampaikan perutusan khas berkaitan situasi semasa Covid-19 di dalam negara, malam ini.

Perutusan itu disiarkan secara langsung di beberapa rangkaian televisyen tempatan dan media sosial.

Perdana Menteri juga berkata kerajaan tidak teragak-agak untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan yang mencatatkan kes baharu yang tinggi.

Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menyampaikan perutusan khas berkaitan situasi semasa Covid-19 di dalam negara pada 15 September 2020. Foto BERNAMA

Justeru, Muhyiddin mengingatkan rakyat Malaysia supaya terus berwaspada dan tidak leka terhadap peraturan berkaitan kuarantin, pemakaian pelitup muka serta pematuhan kepada tatacara operasi piawai (SOP) yang masih berkuat kuasa agar penularan wabak Covid-19 dapat dikawal.

Muhyiddin memberi gambaran situasi pandemik Covid-19 secara global yang masih menular secara aktif tidak terkecuali terjadi di negara ini.

Katanya, kes harian Covid-19 yang direkodkan di Malaysia adalah sekitar satu, dua dan adakalanya tiga digit tanpa pernah mencatatkan kes sifar dan memberikan gambaran bahawa rantaian jangkitan Covid-19 di Malaysia masih belum dapat diputuskan sepenuhnya.

“Berdasarkan dapatan yang diperolehi oleh para penyelidik dari seluruh dunia dan trend kes yang dilaporkan, jangkitan dijangka berterusan untuk suatu tempoh masa yang agak lama.

Ini mengambil kira faktor pencegahan dan kawalan penularan jangkitan Covid-19 secara berkesan memerlukan rawatan spesifik dan vaksin yang efektif serta selamat untuk digunakan, Dengan situasi ini, sesiapa sahaja mungkin terdedah kepada risiko jangkitan Covid-19 pada ketika ini,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri meluah kebimbangan dengan situasi semasa Covid-19 di negara ini kerana terdapat peningkatan jumlah kes positif Covid-19 yang agak ketara sejak kebelakangan ini.

Orang ramai yang menerima notis menjalani saringan Covid-19 di pekarangan Wad Psikiatrik Lama, Hospital Alor Setar, Kedah pada 14 September 2020. Foto BERNAMA

“Walaupun negara kita setakat ini telah berjaya menangani penularan wabak Covid-19 dengan baik, saya berasa agak bimbang kerana terdapat peningkatan jumlah kes positif yang agak ketara sejak kebelakangan ini. Sepanjang tempoh 14 hari yang lalu, sebanyak 615 kes baharu telah dicatatkan.

“Peningkatan ini turut menyaksikan tiga daerah yang merekodkan 41 kes atau lebih sepanjang tempoh 14 hari yang lepas. Daerah-daerah yang dikategorikan sebagai merah ini ialah Kota Setar di Kedah dan Tawau serta Lahad Datu di Sabah,” katanya.

Muhyiddin berkata sementara itu, jumlah keseluruhan pelawat dari luar negara yang dikesan positif Covid-19 sepanjang tempoh 3 April sehingga hari ini adalah seramai 1,017 orang.

Beliau seterusnya berkongsi data-data penting termasuk 1,395,578 individu telah disampel, menjadikan kadar ujian Covid-19 yang dijalankan di Malaysia adalah 41.8 orang bagi setiap 1,000 penduduk.

Beliau berkata secara keseluruhannya terdapat 108 kluster yang telah dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) dan daripada jumlah itu, 11 kluster masih aktif manakala baki 97 kluster telah diisytiharkan tamat.

“Sehingga kini, Kluster Seri Petaling yang telah diisytiharkan tamat pada 8 Julai 2020 merupakan kluster terbesar jangkitan Covid-19 di negara ini. Kluster ini telah merekodkan sejumlah 3,375 kes positif selepas seramai 42,023 individu disaring,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Majlis Presiden PAKATAN kekalkan Anwar calon PM

SHAH ALAM, 6 JULAI: Majlis Presiden Pakatan Harapan (PAKATAN) hari ini mengekalkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri.

Mengikut kenyataan hari ini, mesyuarat majlis itu juga membincangkan pencalonan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Dato’ Seri Shafie Apdal sebagai perdana menteri.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) juga diberi ruang untuk meneruskan perbincangan termasuk Dato’ Seri Shafie Apdal bagi mengembalikan mandat rakyat.

“Majlis Presiden berpendirian semua usaha ke arah pengembalian mandat rakyat perlu dijalankan dan memerlukan sokongan semua pihak,” kata kenyataan berkenaan.

Kenyataan tersebut dibuat bersama Anwar, Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Pada 24 Februari lalu, Anwar berkata PAKATAN memutuskan beliau dinamakan sebagai calon perdana menteri.

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

MTUC: Rancangan berdaya maju perlu bantu pekerja

KUALA LUMPUR, 3 JUN: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berharap terdapat rancangan berdaya maju dan mampan bagi menangani masalah pekerja dalam rancangan pemulihan ekonomi jangka pendek yang bakal diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak lama lagi.

Setiausaha Agung MTUC J. Solomon mencadangkan kerajaan mencari cara lebih berkesan untuk memastikan pekerja tetap bekerja, menyelesaikan isu pemotongan gaji yang tidak adil serta mengurangkan perbelanjaan isi rumah berikutan ekonomi terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

“Sebagai contoh, moratorium enam bulan untuk pembayaran pinjaman perumahan dan kereta oleh institusi kewangan yang diperkenalkan pada Mac lepas banyak membantu pekerja. MTUC menggesa Perdana Menteri supaya melanjutkan moratorium berkenaan enam bulan lagi.

“Langkah ini memberi banyak manfaat kepada ribuan pekerja yang kehilangan pekerjaan atau terpaksa melakukan pemotongan gaji yang banyak, menjadikan mereka tidak dapat membayar balik pinjaman mereka dalam tempoh sukar ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata MTUC juga meminta perdana menteri mempertimbangkan kemungkinan menyediakan jaring kewangan mampan untuk pekerja B40 (berpendapatan rendah) dan M40 (berpendapatan sederhana rendah) sehingga ekonomi kembali kukuh.

Solomon berkata walaupun terdapat dakwaan kerajaan tidak mampu memberikan elaun bulanan kepada pekerja kurang berkemampuan, kongres itu berpendapat mungkin ada sesuatu yang dapat dilakukan kerajaan memandangkan harga minyak mulai pulih dan kerajaan juga memiliki rizab luar cukup besar.

Beliau berkata MTUC juga berharap kerajaan meneliti keperluan mendesak untuk memperkenalkan Peraturan Pekerjaan Darurat (EER) yang menyekat pemberhentian pekerja bagi jangka waktu tertentu, terutama setelah Persekutuan Majikan Malaysia menyatakan sehingga dua juta pekerja mungkin kehilangan pekerjaan selepas musim perayaan Hari Raya.

“Langkah tegas itu mesti termasuk tindakan tegas terhadap majikan tidak bermoral yang cepat menyasarkan pekerja berpendapatan rendah untuk pemotongan gaji dan pemberhentian pekerja bagi mengekalkan keuntungan besar dan pada masa sama mendapat keuntungan daripada pinjaman mudah dan geran kerajaan.

“Kami menantikan rancangan Tan Sri Muhyiddin untuk memulihkan ekonomi dan berharap kerajaan melihat teliti keadaan pekerja di negara ini yang semakin teruk dan secara serius mempertimbangkan cadangan kami sebagai remedi,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Dr M dedah 114 sokong, Muhyiddin kurang enam pemimpin Bersatu

SHAH ALAM, 29 FEB: Perdana Menteri sementara Dr Mahathir Mohamad mendedahkan senarai nama 114 ahli parlimen yang menyokongnya sebagai perdana menteri.

Dalam kenyataan media malam ini, Dr Mahathir berkata beliau menyediakan surat untuk diserah kepada Yang Dipertuan Agong bagi menjelaskan sokongan kepadanya.

Dr Mahathir turut mendedahkan lima lagi ahli Bersatu yang tidak menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Buat masa ini saya telah mendapat sejumlah 114 ahli parlimen yang menyokong saya sebagai perdana menteri kelapan.

“Saya telah menyediakan surat untuk dihantar kepada Agong yang menerangkan kedudukan perkara ini serta sokongan 114 ahli parlimen yang diberikan kepada saya.

“Saya berharap pihak Tuanku DYMM Yang di-Pertuan Agong akan menerima surat dan penjelasan saya,” katanya.

Selain ahli-ahli parlimen dari KEADILAN, DAP dan Amanah yang memberi sokongan pada Dr Mahathir melalui akaun berkanun, senarai itu juga menyebut beberapa nama ahli parlimen dari parti lain.

Kenyataan penuh dan senarai nama 114 ahli parlimen itu seperti di bawah:

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

2 Mac bakal lakar sejarah politik negara

KUALA LUMPUR, 28 FEB: Tanggal 2 Mac 2020 bakal melakar sejarah politik negara apabila Dewan Rakyat memainkan peranan penting sama ada memilih seorang Perdana Menteri baharu atau berdepan pilihan raya umum mengejut bagi menyelesaikan kemelut arena politik semasa.

Pada hari tersebut, Sidang Khas Dewan Rakyat akan memilih Perdana Menteri baharu susulan peletakan jawatan oleh Tun Dr Mahathir Mohamed, Isnin lalu, yang menyaksikan negarawan itu dilantik sebagai Perdana Menteri interim oleh Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Dr Mahathir berkata selepas proses temu bual dengan semua Ahli Parlimen pada Selasa dan Rabu, baginda tidak menemui mana-mana individu memperoleh majoriti yang jelas untuk dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan.

Pada sidang media selepas membentang Pakej Rangsangan Ekonomi 2020, di Putrajaya semalam, pemimpin berusia 94 tahun itu berkata Seri Paduka memberikan tanggungjawab kepada Dewan Rakyat untuk memilih Perdana Menteri baharu.

Seandainya gagal mendapatkan calon yang mendapat sokongan majoriti, maka Parlimen akan dibubarkan bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum mengejut, katanya.

Terdahulu, Dr Mahathir telah menghadap Al-Sultan Abdullah di Istana Negara.

Susulan peletakan jawatan oleh Dr Mahathir dan penarikan diri parti yang dipimpinnya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), daripada Pakatan Harapan (Pakatan) menyebabkan kerajaan pimpinan pakatan itu kehilangan majoriti kerusi dalam Dewan Rakyat.

Bersatu dengan 26 Ahli Parlimen dan 11 Ahli Parlimen daripada KEADILAN, iaitu sekutu Pakatan, mengambil keputusan untuk keluar daripada pakatan tersebut.

Selepas melepaskan jawatan sebagai pengerusi Bersatu, Isnin lalu, Dr Mahathir mengumumkan bahawa beliau kembali semula sebagai pengerusi parti itu, semalam.

Ekoran pengumuman Bersatu keluar daripada Pakatan, maka kedudukan kerajaan Pakatan di Johor turut terjejas dengan Istana Johor mengumumkan satu gabungan baharu diwujudkan bagi membentuk kerajaan negeri selepas ia mendapat sokongan majoriti daripada 28 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) berbanding 26 Adun yang memilih Pakatan Harapan (Pakatan).

Dalam pada itu, gabungan Pakatan di Melaka dan Kedah mengumumkan kekal dengan status quo sedia ada.

Sementara itu, Indeks utama Bursa Malaysia, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup lebih tinggi selepas dipacu pakej rangsangan ekonomi diumumkan Dr Mahathir.

Pada penutup, indeks bursa mengukuh sebanyak 10.40 mata kepada 1,505.59 berbanding dengan 1,495.19 yang direkodkan kelmarin.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

PM Timor Leste letak jawatan

JAKARTA, 25 FEB: Perdana Menteri Timor Leste, Taur Matan Ruak, meletak jawatan selepas kerajaan perikatannya tumbang, lapor agensi berita Xinhua memetik media Indonesia pada Selasa.

Perdana Menteri menghantar surat peletakan jawatan kepada presiden pada Selasa, ketika negara Asia Tengara itu berdepan ketidakstabilan politik terbaru selepas tumbangnya perikatan yang menyokong beliau di parlimen, lapor Jakarta Post.

“Saya sudah menghantar surat (peletakan jawatan) kepada presiden,” kata Taur Matan Ruak kepada pemberita selepas bertemu Presiden Francisco Guterres.

Katanya, beliau bersedia menjalankan tugas buat sementara waktu sehingga peletakan jawatannya diterima bagi memastikan aktiviti kerajaan terus berjalan, lapor akhbar itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PM: Baca akhbar setiap hari untuk minda aktif

KUALA LUMPUR, 15 DIS: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menasihati rakyat Malaysia supaya membaca akhbar setiap hari bagi memelihara minda agar sentiasa aktif.

Dalam ruangan beliau yang disiarkan oleh akhbar New Sunday Times hari ini bertajuk “Here’s my recipe for staying healthy” (Ini resipi saya kekal sihat) menyebut bahawa apabila bercakap atau memberi ucapan, memori kata-kata dan frasa dan pilihan perkataan akan mudah keluar dari minda hasil daripada kerap membaca.

“Dan sekiranya seseorang itu tidak membaca atau kurang membaca, perkataan tidak akan mampu keluar secara spontan apabila bercakap atau memberi ucapan.

“Membaca akhbar setiap hari juga dapat membantu minda aktif dan memperbaiki kapasiti untuk membentuk perkataan dan frasa.

“Adalah biasa bagi seorang yang berusia untuk mengingati kejadian yang lepas berbanding yang baharu berlaku. Namun ini boleh diperbaiki dengan membaca dan bercakap,” tulis Tun Dr Mahathir.

Perdana Menteri berusia 94 tahun ini menumpukan kebanyakan isi ruangan ini bagi menjawab satu soalan yang sering ditanya berulang kali oleh orang ramai kepada beliau iaitu mengenai kemampuan beliau untuk terus berfungsi pada usia sebegini.

“Saya rasa menjadi kewajiban untuk menjelaskan mengenai pengalaman saya walaupun sekiranya ia tidak berdasarkan hasil daripada kajian saintifik. Sejujurnya, saya tidak tahu bagaimana saya ini, apa saya ini. Apa yang boleh saya katakan ialah saya bernasib baik kerana tidak mengalami sebarang penyakit yang boleh memendekkan umur seseorang itu,” katanya.

Dr Mahathir berkata beliau pernah kena serangan jantung 30 tahun lepas tetapi terselamat, dan menambah kata bahawa serangan jantung bukanlah semestinya berkesudahan mati seperti yang dianggapkan.

Beliau menjelaskan bahawa sudah tentu banyak perkara adalah di luar kawalan kita dan kita hendaklah lakukan yang terbaik untuk mengawal diri kita agar kita terus kekal sihat dan berkemungkinan boleh terus hidup hingga usia tua.

“Disiplin diri atau keupayaan untuk mengawal apa yang kita boleh lakukan dalam kehidupan adalah penyelamat nyawa. Kita perlu sentiasa berusaha untuk mengawal keinginan diri,” jelas beliau lagi.

Amalan pemakanan yang baik adalah resipi pertama Dr. Mahathir untuk hidup terus sihat, dan berkata, kita hendaklah makan untuk hidup dan bukan hidup untuk makan.

“Badan benar-benar tidak memerlukan banyak makanan melainkan apabila seseorang itu muda dan sedang membesar. Bagi mereka makanan diperlukan untuk memastikan pertumbuhan badan yang sihat. Masih lagi, jumlah makanan tidak sepatutnya melebihi daripada apa yang diperlukan.

“Kegemukan selalunya berlaku hasil daripada makan berlebihan terutama dalam kalangan kanak-kanak dan remaja. Dan kegemukan tidak bagus untuk kesihatan dan umur”.

Beliau berkata, kanak-kanak membesar gemuk kerana ibu bapa memaksa anak mereka mengambil banyak makanan yang tidak sepatutnya.

Sebaliknya ibu bapa hendaklah mengajar anak mereka untuk makan lebih buah-buahan dan sayur-sayuran dan kurangkan nasi atau karbohidrat dan tentunya kurangkan gula.

Mengulas lanjut mengenai kegemukan yang mempengaruhi satu peratusan yang tinggi terhadap rakyat Malaysia, Dr Mahathir berkata masalah itu selalunya bermula pada umur 40 tahun kerana kecenderungan pada umur berkenaan untuk makan sebanyak mungkin makanan sedap yang ada dan apabila makanan itu sedap, lebih banyaklah yang akan dimakan.

Perut pula akan bertindak balas kepada pengambilan yang lebih banyak dengan mengembang lagi dan apabila ini berlaku lebih banyak makanan diperlukan untuk mengisi rasa lapar dan ini berkesudahan dengan kenaikan berat badan sedangkan kegemukan adalah tidak baik untuk kesihatan.

Dan dengan keadaan badan yang begitu besar, jantung perlu bekerja kuat untuk mengalirkan darah dan menyerap makanan ke dalam badan yang terlebih berat dan untuk menanggung kerja kuat itu, jantung mengembang manakala tekanan darah terus naik hingga membawa bersama-sama semua jenis simptom dan penyakit yang berkaitan dengannya.

“Jadi untuk mengelakkan penyakit darah tinggi, kurangkan makan dan jangan jadi gemuk. Selain jantung, organ lain dalam badan seperti hati, buah pinggang dan pankreas juga akan mengalami banyak tekanan. Mana-mana satu organ berkenaan kemungkinan akan gagal berfungsi dan seterusnya pendekkan umur,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tun M: Animasi tempatan kini bertaraf dunia

KUALA LUMPUR, 10 DIS: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan karya animasi tempatan yang dihasilkan kini bertaraf dunia.

Katanya rakyat Malaysia boleh berbangga dengan pencapaian tersebut yang dihasilkan sendiri atas usaha penggiat seni animasi negara yang berbakat besar.

“(Karya animasi tempatan) Tidak nampak seperti dibuat di Malaysia. Nampak setaraf dengan teknologi dunia dan kita boleh berbangga kerana kita boleh keluar filem animasi yang setakat ini teknologi yang tinggi.

“Saya berpendapat bahawa ramai daripada orang kita cekap dalam buat lukisan dan animasi bermula dengan lukisan, karakter dan untuk membuat cerita tak begitu mudah tambah pula kena ada ‘background’ muzik.

“Saya nampak yang ini semuanya lengkap. Daripada segi cerita, teknologi, muzik dan saya fikir ini boleh kata ‘world standard’,” katanya selepas menonton tayangan filem animasi ‘Ejen Ali The Movie’ malam tadi. Beliau diiringi isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.

Sebelum ini, media melaporkan filem animasi Ejen Ali The Movie memungut RM13 juta selepas tujuh hari tayangan di 162 pawagam di Malaysia, Singapura dan Brunei.

Ejen Ali The Movie turut mengungguli tempat pertama dalam carta filem pecah panggung tempatan dengan kutipan melebihi RM1.8 juta, pada hari pertama tayangan, 28 November lalu.

Filem terbitan Primeworks Studios dan Wau Animation itu mengisahkan Ali, budak berusia 12 tahun direkrut menjadi penyiasat bagi sebuah agensi perisikan dikenali sebagai Meta Advance Tactical Agency (MATA) dan Ali juga ditugaskan melindungi kota futuristik Cyberaya daripada ancaman luar.

– BERNAMA