Categories
AGENDA NASIONAL

PKPB: KWSP tutup sementara cawangan di Selangor, KL dan Labuan

KUALA LUMPUR, 21 OKT: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah menutup sementara semua pejabat termasuk kaunternya di Selangor, Kuala Lumpur dan Labuan mulai esok, (22 Oktober) sehingga diberitahu kelak.

KWSP dalam satu kenyataan hari ini berkata langkah itu diambil susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan arahan kerja dari rumah ke rumah yang dibuat baru-baru ini di lokasi berkenaan.

“Oleh itu, semua urusan Janji Temu Online (JTO) di pejabat KWSP di Selangor, Kuala Lumpur dan Labuan akan dibatalkan serta-merta dan anggota yang telah membuat temujanji sepanjang tempoh PKPB perlu menjadualkan semula janji temu mereka selepas perintah kawalan ditarik balik,” katanya.

Sementara itu, KWSP menggesa anggoita dan majikan untuk menggunakan perkhidmatan dalam talian KWSP, i-Akaun (Anggota) dan i-Akaun (Majikan), sambil menambah caruman masih boleh dibuat melalui perbankan internet atau di kaunter ejen bank yang berdaftar.

Dana ini menasihatkan anggota termasuk majikan untuk mendapatkan maklumat hanya daripada saluran rasmi KWSP dan menghubungi Pusat Pengurusan Perhubungannya di talian 03-8922 6000 bagi penjelasan.

“KWSP mengambil pendirian untuk sangat berhati-hati berhubung dengan peningkatan jumlah kes COVID-19 di negeri-negeri ini dan di seluruh negara secara keseluruhannya.

“Walaupun kami memahami penutupan ini mungkin menimbulkan sedikit kesulitan kepada orang ramai, kami tetap fokus untuk mengutamakan kesihatan dan keselamatan anggota serta majikan yang melawat kaunter dan pejabat KWSP setiap hari,” tambahnya lagi.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: KKM mahu pelaksanaan PKPB diperketat

PUTRAJAYA, 18 OKT: Kementerian Kesihatan (KKM) mahu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang sedang dikuatkuasakan di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Sabah diperketat bagi mengekang penularan Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkara itu akan diusulkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam masa terdekat.

“… kita perketatkan dan benarkan sektor ekonomi sahaja,” katanya pada sidang media perkembangan Covid-19, di sini hari ini.

Katanya segala bentuk perhimpunan melibatkan jumlah peserta yang besar perlu dikurangkan agar penularan Covid-19 dapat diputuskan.

Pelaksanaan PKPB yang antara lain menyaksikan institusi pendidikan ditutup selain majikan diminta aktifkan pelan bekerja dari rumah dan penggiliran bagi pekerja mereka, berkuat kuasa di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor sejak 14 Oktober lalu selama 14 hari, sementara di Sabah bermula dari 12 hingga 26 Oktober ini.

Semalam, Mesyuarat Khas MKN memutuskan pemilik dan pengusaha fasiliti sukan komersial dalam kawasan PKPB iaitu padang bola sepak komersial, gimnasium dan gelanggang futsal serta dewan badminton komersial, dibenar beroperasi semula mulai 19 Oktober ini (esok).

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata tatacara operasi piawai (SOP) bagi penjara akan dikaji semula bagi memastikan jangkitan di tempat tersebut dapat dikurangkan.

KKM bersama-sama Jabatan Penjara akan perkemaskan SOP itu, katanya.

Ditanya sama ada virus mutasi D614G dikesan dalam kluster di Selangor, Dr Noor Hisham berkata kajian oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) memerlukan masa satu hingga dua minggu lagi sebelum dapat mengenal pasti sama ada D614G turut dikesan di negeri itu.

IMR sebelum ini mengesan virus mutasi tersebut dalam kluster Sivagangga di Kedah, seterusnya di Sabah, kluster Sungai (Kedah) dan kluster Ulu Tiram di Johor, katanya.

Jelasnya virus mutasi itu menyebabkan kadar kebolehjangkitan yang tinggi, sekali gus meningkatkan risiko penularan lebih meluas.

Sehubungan itu, beliau mengulangi nasihat agar orang ramai memastikan pematuhan SOP pada sepanjang masa termasuk pemakaian pelitup muka, kerap mencuci tangan serta mengelakkan perhimpunan.

Menurutnya ketika penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan, KKM berjaya mengawal penularan pandemik dalam tempoh empat minggu kerana semua rakyat duduk di rumah.

Malah katanya walaupun KKM terlewat 10 hari melaksanakan intervensi bagi kluster Sri Petaling, penularan daripada kluster itu dapat dikawal dalam tempoh 100 hari.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PKPB: Majikan diminta benarkan staf bekerja dari rumah

SHAH ALAM, 18 OKT: Majikan diminta supaya membenarkan kakitangan di Lembah Klang yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bekerja dari rumah.

Menteri kanan (keselamatan) berkata cadangan berkenaan bagi menjamin keselamatan pekerja dan mengelakkan virus merebak di pejabat jika kes Covid-19 terus meningkat.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kebenaran pergerakan pekerja perlu dinilai semula berikutan wujud tiga kluster baharu membabitkan jangkitan di tempat kerja.

“Oleh itu, saya akan bawa isu ini ke mesyuarat Majlis Keselamatan Negara yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi mencari tindakan yang bersesuaian,” katanya.

Beliau pada sidang media melalui siaran langsung Facebook hari ini menjawab soalan berkaitan kebimbangan orang ramai susulan ada majikan tidak membenarkan kakitangan bekerja dari rumah.

Tiga kluster itu antaranya kluster Menara dan kluster Utama.

Semalam Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan 869 kes baharu Covid-19, 20.3 peratus daripadanya di kawasan Lembah Klang.

Daripada jumlah keseluruhan kes, Selangor merekodkan 159 kes, Kuala Lumpur (15) dan Putrajaya (2).

Categories
SELANGOR

159 kes baharu di Selangor, tertinggi sejak Mac

SHAH ALAM, 17 OKT: Kes baharu Covid-19 di Selangor hari ini melonjak kepada 159, tertinggi sejak Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan Mac lalu.

Ketua pengarah kesihatan berkata 31 daripadanya melibatkan kluster baharu iaitu kluster Keladi (23) dan kluster Menara (8).

“Sebanyak 89 kes daripada kluster sedia ada, 23 kes saringan kontak rapat, dua kes saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah) dan 14 kes lain-lain saringan,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam siaran langsung di Facebook.

Noor Hisham berkata seramai 41 pesakit Covid-19 di Selangor sembuh dan dibenarkan keluar hospital.

Secara keseluruhan Malaysia merekodkan 869 kes Covid-19 mengatasi angka 691 jangkitan pada 6 Oktober lalu menjadikan kesemuanya 19,627 kes termasuk pertambahan empat kematian.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: PKPB di zon hijau mungkin beri kesan ekonomi

SHAH ALAM, 14 OKT: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di kawasan zon hijau seperti Kuala Selangor dan Sabak Bernam mungkin memberi kesan kepada ekonomi.

Dato’ Menteri Besar berkata ia sekali gus menyebabkan impak kewangan sesebuah keluarga memandangkan kadar pendapatan kawasan itu kurang tinggi.

“Katalah jika sektor ekonomi dibenarkan tetapi sekolah, pusat jagaan, taska tutup. Apa yang jadi? Ramai terpaksa cuti sebab anak tak ada siapa jaga.

“Kalau sekolah tak beroperasi, sebahagian kedai makan pun tak boleh beroperasi. Kesan (PKPB) ni besar, bukan kecil,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Pejanjian Kontrak Penjaaan Liga Bola Keranjang Komuniti Kebangsaan (NCBL) 2021 semalam.

Kenyataan tersebut dikeluarkan sebelum kerajaan persekutuan mengumumkan tatacara operasi piawai (SOP) PKPB di seluruh Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Sebelumnya, Amirudin memaklumkan akan menghantar cadangan balas kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung pelaksanaan arahan itu bermula hari ini hingga 27 Oktober.

Beliau berkata Kerajaan Negeri akan mengadakan perbincangan bersama Yang Dipertua (YDP), Datuk Bandar dan pegawai daerah bagi menyelaraskan pelaksanaan PKPB.

“Kita mahu pastikan PKPB berjalan lancar dan dapat memutuskan rantaian perebakan Covid-19,” katanya.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Institusi perbankan sedia bantu pelanggan di kawasan PKPB, PKPD

KUALA LUMPUR, 13 OKT: Institusi perbankan bersedia untuk membantu peminjam dan pelanggan yang berada di beberapa kawasan di bawah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) atau Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) kerana peningkatan kes pandemik Covid-19.

Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) dan Persatuan Perbankan Islam dan Institusi Kewangan Malaysia (AIBIM) berkata peminjam dan pelanggan di kawasan PKPB atau PKPD yang menghadapi kesukaran untuk membuat pembayaran pinjaman atau pembiayaan harus segera menghubungi bank mereka untuk meminta bantuan pembayaran balik.

“Bank-bank bersedia untuk memudahkan permohonan bantuan pembayaran balik untuk disesuaikan dengan keadaan kewangan para peminjam dan pelanggan. Mereka (pelanggan dan peminjam) dapat menghubungi bank mereka melalui e-mel atau telefon jika mereka tidak dapat melakukan pertemuan secara bersemuka kerana sekatan pergerakan,” kata ABM dan AIBIM dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan semalam.

Untuk tujuan keselamatan, bank-bank yang terletak di kawasan PKPB akan beroperasi dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) Covid-19, kata kenyataan itu.

“Peminjam dan pelanggan di kawasan yang terjejas ini dinasihati untuk memeriksa di laman web bank masing-masing untuk mendapatkan maklumat mengenai sebarang perubahan pada waktu operasi atau peraturan untuk perkhidmatan di kaunter.

“Mereka juga dapat terus melakukan urusan perbankan di semua terminal layan diri, seperti mesin juruwang automatik (ATM) dan mesin deposit tunai (CDM) yang terletak di kawasan PKPB,” katanya.

Untuk maklumat lebih lanjut mengenai bantuan pembayaran balik, orang ramai juga boleh menghubungi ABM Connect melalui laman web ABM di https://www.abm.org.my/eabmconnect atau AIBIM di 03-2026-8002 / 8003 atau melalui e-mel di [email protected].

“Peminjam atau pelanggan yang masih menghadapi kesukaran selepas berunding dengan bank mereka boleh menghubungi BNMTELELINK di [email protected] atau hubungi 1-300-88-5465 atau sebagai alternatif, peminjam atau pelanggan juga boleh mendapatkan panduan dan memilih pilihan lain bagi mendapatkan bantuan dengan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dengan menghubungi 03-2616-7766,” kata kenyataan itu.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata dalam sidang akhbar semalam berkata seluruh Sabah akan berada di bawah PKPB mulai pukul 12.01 pagi, 13 Oktober hingga 26 Okt, manakala Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) akan dilaksanakan di Felda Umas, Tawau dari pukul 12.01 pagi, 13 Okt hingga 26 Okt.

PKPB pula akan dikuatkuasakan untuk seluruh Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya berkuat mulai pukul 12.01 pagi pada 14 Oktober hingga 27 Oktober.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Klang dikenakan PKP Bersyarat mulai Jumaat

SHAH ALAM, 7 OKT: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bersyarat dikuatkuasakan di daerah Klang mulai jam 12.01 pagi pada Jumaat ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tindakan itu susulan daerah Klang mempunyai lebih 40 kes positif Covid-19.

Selain Klang beberapa kawasan turut dikenakan PKP Bersyarat iaitu Sandakan, Papar dan Tuaran, Sabah.

“Pelaksanaan PKPB ini bagi membendung jangkitan dan penularan Covid-19 dalam daerah tersebut serta membolehkan aktiviti pengesanan kes secara bersasar dilaksanakan sepanjang tempoh 14 hari.

“Pergerakan keluar masuk di ke empat kawasan PKPB ini adalah tidak dibenarkan,” katanya dalam sidang media hari ini.

Klang bertukar kepada zon merah semalam apabila mencatatkan 77 pesakit aktif yang sedang dirawat.

Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) berkata pertambahan itu menjadikan taburan kes aktif di seluruh Selangor setakat semalam sebanyak 232 kes.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Liga M tidak dibenar sepanjang PKPB

SHAH ALAM, 31 MEI: Kerajaan tidak akan membenarkan saingan Liga Malaysia (Liga M) berlangsung sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kata menteri kanan (keselamatan).

Datuk Seri Mohd Ismail Sabri Yaakob berkata perlawanan Liga M hanya dibenarkan selepas PKPB berakhir tetapi ia tetap tertakluk kepad peraturan ketat.

“PKPB dijadualkan tamat pada 9 Jun tetapi kita tidak tahu lagi akan bersambung atau tidak. Jadi FAM boleh merayu untuk Liga M dibenarkan setelah PKPB ditamatkan.

“FAM boleh merayu tetapi terserah kepada kita untuk membenarkan atau tidak kerana ia membabitkan banyak perkara seperti latihan pemain dan sebagainya,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Ismail Sabri berkata FAM diminta mengemukakan tatacara operasi piawai (SOP) lebih awal bagi memudahkan urusan semua pihak.

“Saya minta FAM merangka SOP terlebih dahulu nanti saya akan berbincang dengan menteri belia dan bukan bagaimana perkara ini boleh dilakukan.

“Dalam masa sama saya ingin mengingatkan agar tiada persatuan bola sepak negeri membuat SOP sendiri tanpa kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pengusaha restoran ingkar SOP boleh disaman RM1,000

PUTRAJAYA, 30 MEI: Pengusaha restoran berisiko dikenakan tindakan saman maksimum RM1,000 menurut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) jika didapati melanggar tatacara operasi piawai (SOP) yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata SOP itu merupakan garis panduan yang perlu dipatuhi bagi mereka beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Kelonggaran diberikan kepada restoran untuk beroperasi. Jadi kita harap mereka patuh SOP,” katanya pada sidang media perkembangan Covid-19 harian di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata demikian ketika ditanya mengenai segelintir pengusaha restoran yang membenarkan pelanggan memasuki premis tanpa had serta mengabaikan aspek jarakan sosial ketika duduk di meja.

Mengenai penempatan rawatan bagi pendatang asing tanpa izin (PATI) yang positif Covid-19, Dr Noor Hisham berkata kesemua 26 individu terbabit akan dipindahkan dari Hospital Sungai Buloh (HSB) ke Taman Pertanian Agro Malaysia Serdang (MAEPS) untuk rawatan.

Katanya keputusan tersebut dibuat berikutan cubaan melarikan diri seorang warga Bangladesh pagi tadi.

“Mereka akan dipindahkan semula ke MAEPS atas faktor keselamatan. Hanya warga tempatan dan pekerja asing sah sahaja akan dirawat di HSB,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata siasatan sedang dijalankan berhubung cubaan meloloskan diri oleh PATI tersebut.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Masih terlalu awal untuk buat keputusan tamatkan PKPB – KP Kesihatan

PUTRAJAYA, 29 MEI: Masih terlalu awal bagi Kementerian Kesihatan (KKM) membuat keputusan sama ada untuk menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) selepas 9 Jun, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata adalah penting untuk KKM memantau situasi Covid-19 berikutan sejak dua minggu lepas jumlah rakyat Malaysia yang dijangkiti Covid-19 tidak banyak.

“Dari 4 Mei hingga sekarang hanya terdapat kira-kira 222 rakyat Malaysia yang dijangkiti daripada 1,800 kes (Covid-19) dalam negara,” katanya dalam taklimat harian mengenai perkembangan Covid-19 di KKM di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata demikian ketika ditanya adakah Malaysia sudah bersedia untuk menamatkan PKPB selepas 9 Jun.

Beliau berkata jangkitan Covid-19 kini kebanyakannya membabitkan pekerja asing.

“Melihat pada perkembangan dua hari lepas iaitu walaupun kes meningkat kepada 172 dan 187 kes tetapi jumlah yang melibatkan rakyat Malaysia adalah rendah iaitu pada dua angka.

“Mungkin rakyat Malaysia mengamalkan semua SOP ( tatacara operasi piawai) tetapi persoalannya adakah pekerja asing mengamalkan SOP.

“Jadi kami perlu mendidik pekerja asing mengenai SOP kerana soal kesihatan melibatkan warganegara dan bukan warganegara,” tegas Dr Noor Hisham.

Beliau berkata sekiranya rakyat Malaysia mematuhi SOP, tidak akan berlaku peningkatan kes pasca-Hari Raya.

“Jadi kita hanya akan tahu pada minggu depan atau minggu berikutnya,” katanya.

Ditanya mengenai saringan dilakukan majikan (terhadap pekerja asing), Dr Noor Hisham berkata KKM sedang memantau perkara itu.

“KKM jangka indeks tinggi akan berlaku membabitkan pekerja asing. Dari 4 Mei hingga 29 Mei, KKM mendapati hampir 78 peratus kes positif Covid-19 di Malaysia membabitkan pekerja asing,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata KKM juga akan berusaha menyelesaikan isu penginapan pekerja asing.

“Saya fikir kami perlu menangani masalah itu, bukan sahaja (untuk) Covid-19 tetapi (untuk) tuberkulosis dan penyakit berjangkit yang lain juga. Jadi ini sesuatu yang kami perlu tangani secara serius dan bekerjasama dengan agensi dan kementerian berkaitan secara menyeluruh,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PKPB: JPJ buka sektor latihan, pengujian pemandu 1 Jun ini

KUALA LUMPUR, 29 MEI: Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) akan membuka semula sektor Latihan dan Pengujian Pemandu berkuat kuasa 1 Jun ini.

JPJ, dalam kenyataan hari ini, berkata pengoperasian institut memandu dan proses melesenkan pemandu oleh JPJ akan dilaksanakan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan waktu operasinya bermula 8 pagi sehingga 4 petang.

“Perkhidmatan yang dibenarkan adalah merangkumi perkhidmatan latihan pemanduan kurikulum pendidikan pemandu, perkhidmatan praujian pemanduan, perkhidmatan ujian teori dan praktikal (litar dan jalan raya) serta perkhidmatan ujian undang-undang berkomputer di pusat ujian yang diiktiraf JPJ,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, orang ramai diminta mematuhi segala arahan yang dikeluarkan dengan mengamalkan kelaziman baharu mengikut ketetapan Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pengguna lebuh raya meningkat sewaktu PKPB – Plus

KUALA LUMPUR, 23 MEI: Pengguna lebuh raya kendalian PLUS Malaysia Berhad (Plus) kembali meningkat sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sejak 4 Mei lepas berbanding ketika pelaksanaan PKP namun ia jauh lebih rendah daripada jumlah sebelum penguatkuasaan PKP.

Ketua Kecemerlangan Operasi Plus Mohd Yusuf Abdul Aziz berkata sebelum penguatkuasaan PKP pada 18 Mac lepas, kira-kira 1.7 juta pengguna direkodkan setiap hari dan apabila PKP dikuatkuasakan, jumlah pengguna lebuh raya hanya 500,000 hingga 600,000 sahaja sehari.

“Tapi bila PKPB diperkenalkan dengan beberapa industri dibenarkan untuk beroperasi, maka pengguna lebuh raya di Lebuhraya PLUS mencatatkan peningkatan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata semalam hampir sejuta kenderaan menggunakan lebuh raya di bawah kendalian syarikat itu.

Katanya peningkatan pengguna lebuh raya semasa pelaksanaan PKPB berbanding semasa PKP berikutan terdapat pergerakan ekonomi yang memerlukan penghantaran barang keperluan dari satu negeri ke negeri lain termasuk pekerja sektor tertentu yang perlu merentas negeri.

Mohd Yusuf berkata kesesakan yang berlaku di beberapa tempat di lebuh raya sejak beberapa hari lepas berikutan terdapat sekatan jalan raya yang dilakukan oleh pihak berkuasa bagi memastikan pematuhan terhadap PKPB dan bukannya akibat daripada peningkatan trafik.

Bernama difahamkan, rata-rata pengguna lebuh raya ketika ini merupakan petugas sektor tertentu yang perlu merentas negeri.

– BERNAMA