Categories
AGENDA NASIONAL

Atlet Road To Tokyo boleh jalani latihan – Ismail Sabri

SHAH ALAM, 19 MEI: Kerajaan memberi kelonggaran khas kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi membolehkan atlet program Road To Tokyo 2020 kembali menjalani latihan selama sebulan bermula 1 Jun hadapan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kelonggaran khas melibatkan 265 individu termasuk 57 atlet itu bagi persiapan menghadapi Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik di Tokyo, Jepun.

“Sesi latihan ini akan dijalankan di Kompleks Sukan Bukit Jalil yang melibatkan 181 individu, Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara (56 individu) dan Pusat Latihan Perahu Layar Kebangsaan, Langkawi (28 individu). Saringan Covid-19 akan dilakukan sewaktu pendaftaran,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata KBS menggunakan pendekatan kuarantin selama 30 hari bersamaan dua kali tempoh inkubasi dan semua peserta tidak dibenarkan keluar selain menjalani saringan Covid-19 sebelum tempoh latihan tamat.

Ismail Sabri berkata Jawatankuasa Pemantauan yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican akan memantau program latihan ini supaya mengikut tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan.

Categories
RENCANA WAWANCARA

Norma baharu belanja sambut Aidilfitri

Oleh Kurniawati Kamarudin

KUALA LUMPUR, 18 MEI: Berbaki kurang seminggu, umat Islam seluruh dunia akan menyambut kedatangan 1 Syawal yang dijangka diraikan hujung minggu ini, pada 24 Mei.

Kebiasaanya, inilah waktu paling sibuk bagi masyarakat Islam di Malaysia untuk membuat segala persiapan akhir menjelang Aidilfitri.

Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Masjid India di ibu negara antara lokasi wajib yang dikunjungi untuk berbelanja, membeli segala persiapan Aidilfitri sama ada pakaian, kuih-muih, biskut raya mahupun perhiasan rumah.

Bagaimanapun, senario tahun ini ternyata berbeza. Lokasi tumpuan di Kuala Lumpur agak lengang walaupun ada premis yang menjual barangan persiapan hari raya beroperasi semenjak kelonggaran diberikan kerajaan melalui pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 4 Mei lalu.

Menariknya, normal baharu dalam masyarakat membolehkan rakyat Malaysia berjimat ketika menyambut perayaan. Apa yang lebih penting, senario sebegini turut mengubah corak perbelanjaan dan penggunaan individu isi rumah berikutan penularan pandemik Covid-19.

Pensyarah kanan Fakulti Ekonomi Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Norlin Khalid berkata, berdasarkan kajian Jabatan Perangkaan Malaysia (DOS) baru-baru ini mendapati dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 18 Mac hingga 3 Mei lalu, gaya perbelanjaan rata-rata individu isi rumah telah berubah secara keseluruhannya dengan tumpuan kepada hanya barangan perlu dan penting.

Bercakap kepada Bernama, Norlin berkata perbelanjaan barang makanan dan minuman yang meliputi bahan mentah masakan meningkat sebanyak 27 peratus kepada purata RM924 per individu isi rumah berbanding RM726, sebelum penguatkuasaan PKP.

Perbelanjaan untuk bahan tahan lama seperti pakaian dan peralatan rumah pula menurun dengan drastik masing-masing kepada 95 peratus dan 58 peratus.

Sementara itu, perbelanjaan pengangkutan awam dan persendirian turut menyaksikan penurunan drastik sebanyak 89 peratus iaitu dari RM553 per individu isi rumah kepada RM61 berbanding sebelum PKP.

Keadaan ini, menurut beliau, bukanlah sesuatu yang mengejutkan memandangkan PKP menyebabkan ramai memilih duduk di rumah dan bekerja dari rumah, ditambah pula sekatan perjalanan rentas negeri dan daerah.

Norma baharu berbelanja

Malah, kesan pandemik Covid-19 menyebabkan individu isi rumah banyak berbelanja bagi pembelian barangan kesihatan seperti pelitup muka serta produk sanitasi pencegah kuman.

Ketiadaan bazar Ramadan, bufet Ramadan di hotel-hotel dan restoran menyebabkan kebanyakan umat Islam memilih untuk memasak sendiri juadah berbuka puasa di rumah.

Meskipun, ketika tempoh PKP dan PKPB menyaksikan semakin banyak wujudnya khidmat penghantaran makanan seperti e-bazar yang semakin popular dalam kalangan pengguna kini, namun isi rumah didapati tetap mengutamakan pembelian barangan makanan perlu sahaja.

Suasana lengang dua buah gerai pakaian yang menjual tudung sempena sambutan Aidilfitri walaupun Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan ketika tinjauan di sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman pada 12 Mei 2020. Foto BERNAMA

“Jika dahulu orang ramai banyak berbelanja membeli juadah berbuka di bazar-bazar Ramadan sehingga ada yang berbelanja secara berlebih-lebihan sehingga berlakunya pembaziran makanan. Kini situasi itu tidak berlaku,” katanya.

Memandangkan sambutan hari raya kali ini akan berlangsung dalam keterbatasan PKPB ditambah pula larangan pergerakan rentas negeri yang tidak membenarkan umat Islam pulang ke kampung menyambut Aidilfitri, ia sekali gus akan memberi kesan positif terhadap corak perbelanjaan isi rumah.

“Sudah tentu dengan sambutan norma baharu ini, ada yang dapat menjimatkan wang kerana tidak perlu membuat perbelanjaan persiapan yang biasanya sangat tinggi pada musim perayaan seperti membeli baju raya, memberi duit raya, penyediaan masakan dan kuih raya untuk tetamu mahupun membeli perabot baharu serta barangan menghias rumah,” katanya.

Justeru, katanya pengguna harus bijak menggunakan duit lebihan yang ada untuk keperluan yang lebih penting berbanding persiapan bermusim bagi menyambut Aidilfitri.

“Dalam situasi Covid-19 kini yang belum diketahui penamatnya, amatlah penting individu isi rumah membuat perancangan simpanan kecemasan untuk masa hadapan,” katanya menambah krisis Covid-19 tidak diketahui berapa lama ia akan berlanjutan dan sejauhmana ekonomi boleh bertahan.

Rancang kewangan dengan baik

Menurut Norlin langkah Bank Negara Malaysia (BNM) memperkenalkan moratorium automatik selama enam bulan bagi semua pembayaran semula pinjaman, berupaya untuk meningkatkan kecairan bagi peminjam individu isi rumah.

Orang ramai mematuhi jarak selamat satu meter ketika membeli barangan keperluan harian berikutan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengawal Covid-19 di Pasaraya Harian Bhuiyen, Bandar Tun Razak, Cheras pada 24 Mac 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Apabila adanya simpanan atau lebihan pendapatan boleh guna, individu isi rumah dapat membuat perancangan kewangan semula agar dapat mengurangkan beban hutang, katanya.

“Dengan menyelesaikan hutang-hutang yang mempunyai kadar faedah yang secara relatifnya lebih tinggi seperti hutang kad kredit dan hutang peribadi….individu dapat mengurangkan komitmen hutang bulanan yang perlu dibayar selepas berakhirnya moratorium nanti,” katanya.

Bukan itu sahaja, kecairan wang tersebut boleh dijadikan modal untuk perniagaan, pelaburan atau membeli eset yang dapat memberikan jangkaan pulangan masa depan yang lebih tinggi.

Keadaan ini sangat bersesuaian rentetan penurunan Kadar Dasar Semalam (OPR) terendah dalam tempoh 10 tahun oleh BNM iaitu ke paras 2 peratus baru-baru, sekali gus menggambarkan kos pinjaman kini semakin berkurang, katanya.

Sambil menasihatkan pengguna agar bijak menguruskan kewangan agar mempunyai simpanan kecemasan, Norlin berkata data terkini DOS menunjukkan bahawa kadar pengangguran telah meningkat kepada 3.9 peratus pada April lalu berbanding 3.3 peratus pada Mac 2020.

“Ini jelas menunjukkan mengapa perlunya setiap individu isi rumah berbelanja mengikut keperluan dan sentiasa cakna serta bijak dalam perancangan dan pengurusan kewangan,” katanya

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Hanya pegawai, kakitangan masjid, jemaah tertentu dibenarkan solat Jumaat

KUALA LUMPUR, 15 MEI: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata solat Jumaat dan solat berjemaah dalam Zon Hijau Covid-19 di Wilayah Persekutuan yang dibenarkan semula hari ini hanya melibatkan pengerusi, ahli jawatankuasa, pegawai dan petugas masjid, surau Jumaat dan surau terpilih.

Sementara jemaah yang dibenarkan hadir untuk menyertai solat Jumaat dan solat berjemaah akan ditentukan oleh pihak pentadbiran ketiga-tiga tempat ibadat itu seperti yang dimaklumkan kepada beliau oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) .

“Jemaah pula akan ditentukan oleh jawatankuasa masjid atau surau serta yang mendapat jemputan sahaja,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebooknya, hari ini.

Beliau berkata senarai masjid, surau Jumaat dan surau terpilih di Zon Hijau juga akan dimaklumkan Jawi manakala garis panduan lengkap pelaksanaannya boleh didapati di Facebook Jawi.

Pada masa sama, Zulkifli turut menzahirkan rasa gembira apabila melihat masjid, surau Jumaat dan surau terpilih di zon hijau dalam Wilayah Persekutuan telah bersedia menerima jemaah bagi Solat Jumaat pada hari ini.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Paimuzi Yahya berkata bagi masjid di bawah Jakim, hanya Masjid Negara yang berada dalam zon hijau dan akan memulakan pelaksanaan solat Jumaat, solat berjemaah, solat Tarawih dan solat Sunat Aidilfitri mulai hari ini.

Beliau berkata dua lagi masjid yang berada di bawah pentadbiran Jakim iaitu Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya masih lagi berada dalam zon kuning.

“Pelaksanaan solat berjemaah tersebut hanya dihadkan kepada jemaah yang tidak kurang daripada tiga orang dan tidak melebihi 30 orang yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan masjid serta jemaah yang akan ditentukan oleh pihak pentadbiran masjid,” katanya dalam satu kenyataan

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai agar merujuk kepada pihak pentadbiran masjid terlebih dahulu dan tidak dibenarkan hadir untuk solat berjemaah atau sebarang aktiviti sebelum mendapat keizinan.

“Ini bagi mengelakkan berlakunya kehadiran jemaah yang di luar kawalan pihak masjid dan boleh menyebabkan penjarakan sosial yang tidak terkawal. Sama-samalah kita berdoa semoga keadaan negara kita kembali pulih sepenuhnya daripada wabak COVID-19 dan aktiviti di masjid dapat beroperasi seperti biasa,” katanya.

Katanya pelaksanaan solat berjemaah di masjid akan mematuhi semua syarat yang telah dinyatakan melalui garis panduan yang telah disediakan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PKPB: Tidak patuh SOP, polis boleh ambil tindakan

SHAH ALAM, 12 MEI: Polis Diraja Malaysia (PDRM) diberi kuasa untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang ingkar pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan tindakan terhadap mereka boleh diambil mengikut Akta 342.

“Kerajaan kadang-kadang lihat rakyat menganggap PKPB ini seperti tidak ada undang-undang dikenakan, ramai yang anggap boleh bebas tanpa syarat dan keluar membawa anak-anak termasuk ke pasar raya.

“Semalam saya dapat video viral mengenai kesesakan warung-warung di Kampung Pandan, mulanya saya ingatkan berita palsu dan kemudian menghubungi Ketua Polis Negara untuk pengesahan, dan ternyata ia benar dan bukan palsu.

“Jadi saya beri ingatan bahawa Akta 342 masih berkuat kuasa, kegagalan untuk patuh SOP boleh dikenakan tindakan,” katanya dalam sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Mengulas lanjut Ismail Sabri berkata apabila kelonggaran diberi dalam PKPB, kerajaan mahu rakyat patuh dengan setiap peraturan dikeluarkan bagi mengelak peningkatan dalam jumlah kes baharu Covid-19.

“Kita mahu beri peringatan kepada rakyat bahawa PKPB bukan boleh terus kekal sebagai PKPB, boleh menjadi PKP Diperketatkan kalau rakyat tidak patuh SOP.

“Malah PKP satu, dua atau tiga yang kita laksanakan sebelum ini juga boleh dilaksanakan semula jika tiada kepatuhan kepada SOP ditetapkan,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Penghuni tiga zon di Pasar Jalan Othman akan disaring

SHAH ALAM, 11 MEI: Semua penghuni kediaman dan premis perniagaan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pasar Jalan Othman di Petaling Jaya, akan menjalani saringan Covid-19.

Menteri Kanan (kluster keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia membabitkan kira-kira 2,900 orang di tiga zon sekitar kawasan terbabit dalam usaha mengekang penularan wabak.

“Saya minta penghuni bertenang dan beri kerjasama kepada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta mengikuti arahan pihak berkuasa.

“KKM juga akan membuat saringan terhadap semua penghuni,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Semalam sekitar pasar berkenaan dikenakan PKPD sehingga 23 Mei ini susulan terdapat 26 kes positif Covid-19 yang berpotensi memberi risiko penularan jangkitan di kawasan itu.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata kerajaan tidak menolak kemungkinan melarang ibu bapa membawa anak kecil ke kawasan tumpuan orang ramai seperti pusat beli-belah dalam peraturan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) fasa kedua yang bermula Rabu ini.

Beliau berkata ini susulan terdapat laporan ramai ibu bapa membawa anak masing-masing ke pusat beli-belah sehingga menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan kanak-kanak.

Katanya buat masa ini di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), kerajaan tiada halangan jika ibu bapa membawa anak mereka ke pusat beli-belah, namun akan mengkaji mengenakan larangan sekiranya perkara itu berterusan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tiada lagi kelonggaran rentas negeri – Ismail Sabri

SHAH ALAM, 5 MEI: Tiada lagi kelonggaran rentas negeri kepada rakyat yang berada di kampung untuk kembali ke kediaman masing-masing, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia selepas kebenaran untuk berbuat demikian melalui aplikasi Gerak Malaysia dan borang manual polis berakhir semalam.

“Bagaimanapun jika ada kecemasan seperti melibatkan kematian misalnya, boleh merentas negeri dengan syarat mendapat kelulusan polis,” katanya dalam sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Ismail Sabri berkata sepanjang tempoh empat hari kebenaran rentas negeri, secara keseluruhan polis meluluskan 401,253 permohonan melalui aplikasi Gerak Malaysia dan borang manual polis.

“Semalam sahaja 109,30 kebenaran melalui aplikasi Gerak Malaysia dan 1,388 borang manual polis dikeluarkan kepada mereka yang terkandas di Selangor, Negeri Sembilan dan Terengganu untuk pulang ke kediaman masing-masing.

“Berdasarkan laporan daripada polis, pergerakan rentas negeri berjalan baik, aliran lalu lintas juga lancar dan tiada kesesakan, malah keadaan di pusat rehat dan rawat terkawal,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Dapatkan kebenaran, jangan rentas negeri tanpa alasan munasabah – KPN

KUALA LUMPUR, 10 MEI: Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador mengingatkan orang ramai untuk tidak melakukan pergerakan rentas negeri selepas kebenaran perjalanan selama hari empat hari sejak 7 Mei lepas tamat hari ini.

Beliau berkata bermula esok, orang ramai yang ingin melakukan pergerakan rentas negeri perlu mempunyai alasan munasabah serta mendapat kebenaran pihak polis terlebih dahulu.

“Sekiranya masih ada keperluan oleh sesiapa untuk membuat pergerakan rentas negeri maka alasannya mestilah munasabah seperti menziarahi kematian ahli keluarga terdekat.

“Bagi tujuan sebegini, maka kebenaran polis mestilah diperoleh terlebih dahulu,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Pada Jumaat, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilapor sebagai berkata pergerakan rentas negeri selepas 10 Mei memerlukan kebenaran daripada polis dan hanya kes kecemasan akan dibenarkan.

Ismail Sabri berkata individu yang memerlukan kebenaran pergerakan itu boleh memohon di balai polis berhampiran.

Dalam pada itu, Abdul Hamid berkata polis percaya tempoh empat hari pergerakan rentas negeri yang dibenarkan memadai untuk menyatukan keluarga yang terpisah sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kebenaran rentas negeri ini adalah untuk mengurangkan beban psikologi mereka yang terpisah dengan ahli keluarga sejak pelaksanaan PKP mulai 18 Mac lepas,” katanya.

Beliau juga menjelaskan bahawa jadual pergerakan yang disusun selama empat hari adalah bagi mengelak berlaku kesesakan di jalan raya.

“Ia juga dibuat bagi membolehkan polis merekodkan data-data pergerakan… data pergerakan rentas negeri ini amat berguna bagi tujuan pengesanan kontak sekiranya ada terkesan Covid-19,” katanya.

Bernama hari ini melaporkan bahawa pergerakan rentas negeri yang dibenarkan, memasuki hari keempat dan terakhir, dengan rata-rata perjalanan melibatkan pergerakan dari Selangor, Negeri Sembilan dan Terengganu lancar dan trafik adalah terkawal.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Suami isteri di negeri berbeza dibenar rentas negeri

KUALA LUMPUR, 10 MEI: Pasangan suami isteri yang tinggal berjauhan, dibenarkan untuk melakukan perjalanan rentas negeri bagi membolehkan mereka berjumpa dengan keluarga.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan mengambil keputusan untuk memberikan kelonggaran tersebut kerana difahamkan ada pasangan yang terpaksa tinggal berjauhan atas urusan kerja.

“Oleh kerana larangan perjalanan rentas sempadan negeri, ada suami yang dah tak berjumpa anak dan isteri selama dua bulan,” katanya dalam perutusan khas yang disiarkan di stesen televisyen hari ini.

Sehubungan itu, beliau juga memohon supaya kerajaan negeri Sabah dan Sarawak dapat memberikan kelonggaran yang sama.

Menurutnya permohonan itu boleh dibuat melalui aplikasi Gerak Malaysia atau hadir sendiri ke balai polis yang berdekatan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis tubuh pasukan petugas pantau SOP – Ismail Sabri

SHAH ALAM, 5 MEI: Polis menubuhkan Pasukan Petugas Operasi Pematuhan bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh negara.

Menteri Kanan (kluster keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ini kerana tumpuan polis tidak lagi terhadap sekatan jalan raya memandangkan pergerakan rakyat telah dilonggarkan.

Katanya semua ketua polis daerah juga menubuhkan Pasukan Pematuhan PKPB di peringkat daerah yang dianggotai secara tetap oleh tentera, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta akan membabitkan pihak berkuasa tempatan.

“Pendekatan yang akan diambil Pasukan Pematuhan ini adalah memberi nasihat kepada orang ramai dan sektor industri. Pasukan ini juga akan memberi amaran jika tahap pematuhan masih tidak memuaskan.

“Sekiranya ada individu atau sektor industri yang masih gagal mematuhi peraturan setelah diberi nasihat dan amaran, maka pasukan ini akan mengambil tindakan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya.

Ismail Sabri berkata selain polis, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga memberi kuasa kepada 13 lagi agensi kerajaan untuk pelaksanaan pematuhan PKPB iaitu:

– Angkatan Tentera Malaysia (ATM)
– Angkatan Pertahanan Awam Malaysia
– Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM)
– Rela
– Jabatan Imigresen
– Jabatan Kerja Raya
– Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)
– Majlis Keselamatan Negara (MKN)
– Jabatan Tenaga Kerja (JTK)
– Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (DOSH)
– Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI)
– Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya
– Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Patuh PKP Bersyarat, tingkat disiplin sosial cegah Covid-19

KUALA LUMPUR, 5 MEI: Kepatuhan orang ramai serta disiplin sosial amat penting bagi mencapai matlamat untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 dalam komuniti, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau turut menyeru orang ramai agar mengamal serta membudayakan kelaziman baharu dalam kehidupan seharian bagi mencegah penularan pandemik maut itu di negara ini.

“Kita perlu mengamalkan dan membudayakan kelaziman baharu dalam kehidupan seharian kita seperti penjarakan sosial, mengelak (mengadakan dan menyertai) perhimpunan, pastikan sentiasa basuh tangan dengan air dan sabun serta sangat digalakkan memakai penutup mulut dan hidung di tempat awam.

“Ini adalah tanggungjawab sosial dan kita perlu menjaga diri sendiri, keluarga serta komuniti. Sila duduk rumah jika tiada urusan penting di luar,” katanya dalam satu pesanan khidmat masyarakat yang disiarkan oleh semua stesen televisyen tempatan.

Noor Hisham turut mengajak seluruh rakyat agar mematuhi pelaksanaan arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) iaitu kelonggaran diberikan untuk membuka semula hampir semua sektor ekonomi secara berhati-hati dan terkawal.

Katanya peniaga, pengusaha dan majikan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta syarat yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pengangkutan awam selamat digunakan sepanjang PKP Bersyarat

KUALA LUMPUR, 4 MEI: Kementerian Pengangkutan memberi jaminan perkhidmatan pengangkutan awam negara kekal boleh diharap dan selamat digunakan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula hari ini.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata pihak kementerian sentiasa bersiap siaga dan memastikan operator mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan kerajaan termasuk semua pengangkutan awam disanitasi dengan kerap.

Beliau turut meminta pengguna memberi kerjasama dengan mematuhi SOP seperti mengamalkan jarak sosial dan memakai penutup hidung dan mulut dalam mengekang penularan wabak Covid-19.

“Walaupun dari segi undang-undang sukar untuk kita cakap wajib (pakai penutup hidung dan mulut) tetapi untuk pengangkutan awam kita wajibkan.

“Kita dah dapatkan pandangan pakar bagaimana (pemakaian) penutup hidung dan mulut dapat mencegah (penularan Covid-19), ” katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan di stesen MRT Bukit Bintang di sini, hari ini. Terdahulu Wee turut meninjau operasi di MRT Taman Mutiara dan MRT Muzium Negara.

Beliau berkata walaupun kapasiti pengangkutan awam dikurangkan kepada separuh penumpang, waktu puncak bagi semua perkhidmatan rel dan bas telah dilanjutkan dari 7 pagi hingga 11 pagi, dan dari 4 petang hingga 7 malam.

Sementara itu, Wee mencadangkan agar individu yang didapati bersalah memandu di bawah pengaruh alkohol hingga menyebabkan kematian dikenakan hukuman penjara mandatori.

Katanya beliau juga telah mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan untuk meneliti Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 khususnya Seksyen 41 hingga 45 untuk dipinda sekiranya perlu bagi mengenakan hukuman lebih berat bagi kesalahan seumpama itu.

Ketika ini Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 memperuntukkan hukuman penjara antara dua hingga 10 tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM20,000 bagi kesalahan berkenaan.

– BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Mais belum operasi hari ini, urusan dalam talian

SHAH ALAM, 4 MEI: Khidmat Pelanggan dan Kaunter Majlis Agama Islam Selangor (Mais) belum mula beroperasi hari ini dan segala urusan dijalankan menerusi dalam talian.

Agensi itu dalam kenyataan memaklumkan orang ramai digalakkan untuk terus berurusan perkara berkaitan faraid, hibah atau wasiat melalui cara berkenaan dengan melayari laman sesawang www.mais.gov.my.

“Mais mengambil maklum mengenai arahan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang diumumkan Perdana Menteri baru-baru ini.

“Bagaimanapun, semua urusan Khidmat Pelanggan dan Kaunter Kewangan Mais masih belum beroperasi pada hari ini,” katanya menerusi Facebook.

Pada 1 Mei lalu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan PKPB dilaksanakan bermula 4 Mei ini bagi membolehkan sebahagian sektor ekonomi dan sosial dibuka semula.

Antaranya restoran beroperasi dengan syarat mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) perniagaan, aktiviti sukan seperti bermain badminton atau tenis di luar tanpa penonton, joging, kayuhan basikal, golf dan larian tidak melebihi 10 orang dengan syarat mengamalkan penjarakan sosial.