Categories
SELANGOR

KUIS bakal tubuh Pusat Latihan dan Penyelidikan Perbankan Islam Januari 2014

kuiss

BANGI 24 OKT: Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) akan menandatangani perjanjian persefahaman (MOU) bersama Islamic Develop Bank (IDB) Jeddah bagi menubuhkan pusat latihan dan penyelidikan perbankan Islam, selewat-lewatnya Januari 2014.

Cadangan penubuhan itu bertujuan memperkembangkan lagi pengetahuan terhadap sistem perbankan Islam yang semakin mendapat tempat dalam pasaran.

Rektor KUIS, Prof Madya Datuk Dr Ab Halim Tamuri, berkata program itu akan dikendalikan oleh Fakulti Muamalat, selain jalinan kerjasama di antara Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang lain.

“Lembaga Pengarah bersetuju untuk kita mengadakan MOU bersama Islamic Develop Bank (IDB) di Jeddah. Atas persetujuan itu, kami akan menubuhkan satu pusat latihan dan penyelidikan perbankan Islam.

“Penebuhan itu, akan diketuai Dekan Fakulti Muamalat dan mesyuarat pertama akan diadakan dalam masa terdekat, yang mana perjanjian ini akan ditandatangani, selewat-lewatnya Januari 2014,” katanya pada sidang media Majlis KUIS bersama Media, di sini, semalam.

Katanya, fokus latihan diberikan kepada kepada pegawai yang tidak mempunyai latar belakang perbankan Islam tapi bekerja di dalam sektor berkenaan dan untuk orang bukan Islam.

“Cadangan itu dilihat mampu dikembangkan ke peringkat antarabangsa memandangkan perbankan Islam baru menguasai 20 peratus pasaran. Modul pengajaran ini akan dibuat dalam bentuk sarjana dan sijil latihan, namun perkara itu masih dalam peringkat perbincangan,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Unilever Food Solutions Bantu Peniaga Tingkat Aspek Kebersihan

mb-unilever

SHAH ALAM 8 JULAI : Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah memeterai Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan pihak Unilever Food Solutions bagi memberi pendedahan kepada pengendali makanan di Shah Alam terhadap kebersihan.

Majlis tandangan MoU itu dimeterai antara Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan bagi mewakili MBSA dengan Pengarah Urusan Unilever Food Solutions Malaysia, Matt Wilke.

Ia turut disaksikan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang diadakan di Dewan Bola Tampar MBSA Seksyen 4 di sini semasa Majlis Pelancaran Zon Bersih Peringkat Majlis Bandaraya Shah Alam 2013.

“Melalui kerjasama ini, Akademi Chefmanship  akan dapat membawa mereka yang berminat untuk meningkatkan kesedaran pengguna mengenai isu kebersihan makanan.

“Dan seterusnya menggalakkan pengusaha makanan mengamalkan cara yang lebih bertanggungawab dalam menjalankan perniagaan,” kata Wilke.

Menurut Wilke, peringkat awal perkongsian bersama MBSA ini, Akademi Chefmanship bertujuan untuk menawarkan peluang latihan kebersihan makanan yang inovatif kepada pengendali makanan.

Katanya, modul ini merangkumi pelbagai topik termasuk kebersihan diri, pengendalian makanan yang selamat, perancangan menu dan pengurusan kos yang efisyen.

“Ia berfungsi sebagai tempat latihan untuk chef serta pengusaha makanan bagi meningkatkan kemahiran makanan dan kepakaran serta menawarkan penyelesaian terbaik kepada chef, pengusaha makanan dan pengendali makanan.

“Ia juga sebagai inisiatif unik selaras dengan projek Zon Bersih MBSA yang merupakan satu inisiatif khusus oleh Kerajaan Selangor bagi menjadikan negeri yang terbersih di negara ini terutamanya di premis-premis makanan,” kata beliau.