Categories
SELANGOR

Pesara tentera maut dibunuh anak lelaki hidap sakit mental

CYBERJAYA, 6 DIS: Seorang pesara tentera meninggal dunia selepas dicederakan dengan pisau pemotong kek selain dipukul bertubi-tubi oleh anak lelakinya yang dipercayai mempunyai masalah kesihatan mental, dalam kejadian Rabu lepas di rumah mereka di Kampung Jenderam Hulu, di Sepang.

Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata suspek yang berumur 48 tahun itu, sedang mengamuk ketika polis tiba di lokasi kejadian kira-kira 7 malam.

“Pihak polis kemudiannya menahan lelaki itu yang juga merupakan pemegang kad orang kurang upaya (OKU), di pekarangan rumah berkenaan.

“Mangsa, 73, ditemui terbaring dalam keadaan berlumuran darah di ruang tamu dengan kesan kecederaan teruk pada bahagian muka, dipercayai dipukul bertubi-tubi oleh suspek, selain cedera pada bahagian dada dan kedua-dua belah tangan,” katanya dalam sidang media berkaitan Operasi Cegah Jenayah di sini hari ini.

Wan Kamarul Azran berkata suspek dipercayai mengamuk kerana sudah lama tidak mengambil ubat penenang yang dibekalkan pihak hospital.

Katanya mayat mangsa dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan suspek yang ditahan bersama senjata yang digunakan, sedang menjalani tahanan reman sehingga esok.

Tambahnya suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pandemik Covid-19 tidak ubah seperti suasana perang – pesara tentera

KUALA LUMPUR, 2 SEPT: Bantu kerajaan dengan terus patuh kepada setiap tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan bagi membebaskan negara daripada terus ‘dijajah’ oleh musuh ‘senyap’ adalah satu perjuangan yang amat dituntut daripada rakyat ketika ini.

Bagi Pegawai Waran I (B) Ielias Ibrahim, keadaan pandemik ketika ini tidak ubah seperti suasana perang yang memerlukan rakyat mempunyai semangat patriotik tinggi dan berjuang bersama-sama memerangi ‘musuh’ yang telah meragut banyak nyawa dan kebebasan yang dikecapi selama ini.

“Dahulu, kami berperang dengan menggunakan senjata api bagi memerangi musuh yang kita nampak iaitu komunis, tetapi kini peperangan yang kita hadapi jauh berbeza sama sekali kerana musuh yang kita hadapi ini lebih ganas dan bahaya.

“Ia tidak mampu dilihat oleh mata kasar tetapi ada di sekeliling kita, sekali kita alpa sekelip mata ia boleh meragut nyawa. Jadi, perisai dan kubu yang kita ada hanyalah terus patuh pada SOP yang ditetapkan dan lengkapkan diri kita dengan vaksin,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Ielias merupakan individu pertama dianugerahkan pingat Panglima Gagah Berani (PGB) dalam Rejimen Askar Wataniah atas jasanya memerangi komunis semasa bertugas memantau pembinaan Lebuh Raya Timur Barat menghubungkan Gerik, Perak dan Jeli, Kelantan pada 1977.

Keberanian menentang musuh menerusi Operasi Kota Foxtrot itu juga membolehkan anak kelahiran Batu Kurau, Taiping, Perak ini dianugerahkan Pingat Keberanian Handalan (PKH) oleh Sultan Perak ketika itu, Al-Marhum Sultan Idris Iskandar Al-Mutawakkil Alallahi Shah pada tahun yang sama, sempena Hari Keputeraan baginda.

Mengimbas keadaan yang dialami negara suatu ketika dahulu, beliau berkata masyarakat hari ini sewajarnya bersyukur kerana masih mampu hidup dalam keadaan aman walaupun diuji dengan penularan wabak dan dikenakan dengan Perintah Kawalan Pergerakan.

“Dahulu, sesiapa yang langgar perintah berkurung pasti sahaja akan ditembak. Kini, ia tidak begitu, kita sebaliknya masih bebas untuk melakukan apa-apa sahaja namun perlulah berlandaskan undang-undang.

“…dan apabila terkurung dalam tempoh lama, sebenarnya ia membuatkan kita lebih menghargai erti kebebasan dengan lebih mendalam selain memahami maksud sebenar kemerdekaan negara,” katanya.

Sementara itu, berkongsi pengalamannya sepanjang berkhidmat 22 tahun dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Ielias mengakui berpuas hati apabila dapat menembak mati tiga pengganas komunis termasuk seorang wanita.

Ketika itu, beliau yang berpangkat Prebet bersama-sama empat rakan seperjuangannya Lans Koperal Zaki Shamsudin yang juga Ketua Seksyen Prebet Abd Halim Hasan, Prebet Md Ali Hassan dan Prebet Tajuddin Yusof diarahkan untuk mengambil catuan makanan di Pos Kawalan 5 pada 15 Ogos 1977, iaitu sehari sebelum Ramadan.

Menurutnya ketika dalam perjalanan, mereka telah terserempak dengan longgokan kulit binatang seperti baru sahaja ditinggalkan, namun tidak dipedulikan oleh seorang daripada rakan sepasukannya dan meminta mereka meneruskan perjalanan.

“Namun, saya rasa was-was dan risau kerana terdengar bunyi riuh ungka dan mengesyaki pasti ada sesuatu yang berlaku. Ternyata telahan saya benar apabila pasukan kami diserang kira-kira 30 pengganas komunis dari atas bukit selepas berjalan lebih kurang 500 meter,” katanya.

Bunyi riuh ungka tadi, berganti dengan bunyi tembakan bertalu-talu dan hujan peluru daripada senjata musuh menyebabkan seorang demi seorang rakannya cedera dan terkorban dalam serang hendap itu, malah beliau sendiri turut cedera parah.

Tanpa menghiraukan kecederaan yang dialami, anak keempat daripada tujuh adik-beradik ini sempat membalas tembakan sehingga berjaya membunuh tiga daripada mereka.

Selepas kejadian itu, Ielias ditukarkan ke Batalion Ke-14 Rejimen Askar Wataniah (14 MTA) pada 12 Nov 1977 dan dinaikkan pangkat Lans Koperal pada Mac 1979.

Beliau kemudiannya diserapkan sebagai anggota tetap Ke-9 Rejimen Renjer Diraja pada 1 Nov 1979 dan menamatkan perkhidmatan pada 1998 di unit terakhirnya di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang sebagai Sarjan Mejar Rejimen untuk Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES).

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Putrajaya mahu ambil pesara tentera jadi pengawal keselamatan

SUNGAI SIPUT, 26 SEPT: Kementerian Sumber Manusia dalam perbincangan dengan Kementerian Pertahanan untuk mengambil pesara tentera mengisi kekosongan perkhidmatan kawalan keselamatan di negara ini.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan berkata perkhidmatan kawalan keselamatan perlu diberi penjenamaan semula dengan mengambil kira tahap kecergasan dan faktor usia seseorang petugas yang menjaga kebanyakan premis perbankan dan perniagaan.

Mengambil contoh perkhidmatan kawalan keselamatan di kebanyakan negara luar, Saravanan berkata ia merupakan suatu pekerjaan yang dipandang tinggi berbanding di negara ini kebanyakan pengawal keselamatan terdiri daripada mereka yang sudah lanjut usia.

“Kita mesti mempunyai tahap dengan imej yang baharu dengan pertambahan pendapatan dan pelbagai insentif yang akan ditawarkan kepada pengawal keselamatan.

“Pengambilan pesara tentera dalam perkhidmatan kawalan keselamatan dapat mengatasi kebergantungan terhadap pekerja asing apatah lagi ketika ini kita sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Karnival PenjanaKerjaya Kementerian Sumber Manusia bagi Sungai Siput 2020 di Pusat Konvensyen Sungai Siput hari ini.

Sementara itu, Saravanan yang juga ahli parlimen Tapah berkata seramai 41,696 pencari kerja di seluruh negara mendapat pekerjaan menerusi Program Insentif Pengambilan Pekerja (PenjanaKerjaya) sejak ia dimulakan pada 15 Jun hingga 23 Sept lepas.

Beliau berkata daripada jumlah itu, seramai 3,532 pekerja menjalani latihan kemahiran dan peningkatan kemahiran.

Bagi Perak, Saravanan berkata sejumlah 1,317 pencari kerja berjaya mendapat peluang pekerjaan menerusi program PenjanaKerjaya.

Pada karnival sehari itu, lebih 10,000 kekosongan jawatan ditawarkan oleh kira-kira 20 majikan.

-BERNAMA

Categories
KENYATAAN MEDIA

Umno-BN perlu tunaikan tuntutan pesara tentera

OLEH LAKSAMANA PERTAMA (B) MOHAMAD IMRAN ABD HAMID

Selepas peneroka Felda menerima ‘gula-gula’ sepertimana yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan kini pesara tentera pula mendapat ‘habuan’ yang lebih kurang sama kononnya untuk membantu pesara tentera tidak berpencen dan kategori B40.

Sebanyak 5 intensif yang diberikan kepada tentera, iaitu bantuan Bakti Negara (BBN) iaitu bantuan tahunan berjumlah RM1,200 kepada pesara tidak berpencen, Skim Anuiti Veteran (SAVe) bagi tentera yang masih berkhidmat tetapi berhasrat untuk bersara awal, penyelarasan pencen hilang upaya kepada pesara dan bekas askar wataniah yang berkhidmat kurang 10 tahun kerana cedera ketika berkhidmat dan tidak mendapat pencen perkhidmatan, Insentif Veteran Kelainan Upaya Tabung Pahlawan sebanyak RM1,000 setahun kepada pesara yang mengalami kelainan upaya selepas bersara dan penambahan kuota jemaah haji khas kepada pesara daripada 100 kepada 400 orang setahun.

1. Bagi saya, dalam trend ekonomi yang tidak menentu serta peningkatan kos sara hidup yang menekan rakyat keseluruhannya, ini menunjukkan kerajaan Umno BN cuba menabur ‘gula-gula’ kepada pesara tentera seperti yang dibuat kepada peneroka Felda.

Golongan ini terhimpit dengan suasana tersebut, maka ini masanya kerajaan Umno BN memainkan peranan mereka untuk mendapat sokongan pengundi semata-mata untuk pilihan raya akan datang. Ini bukan pertama kali berlaku, PRU sebelum ini pun perkara sama turut dijanjikan.

2. Kerajaan kena ingat bahawa semua insentif yang disebutkan itu sebenarnya sudah termeterai antara kerajaan dan anggota tentera sewaktu mengangkat sumpah jawatan. Walaupun janji-janji manis ini tidak ditulis secara khas kepada mereka.

Setiap kali menjelang pilihan raya janji-janji ini ditaburkan kepada anggota tentera tetapi tidak ditunaikan. Persoalannya, adakah janji-janji manis kali ini akan ditunaikan kerajaan selepas beribu janji telah ditaburkan kepada tentera?

Anggota tentera tidak mengharapkan janji-janji manis, yang mereka tuntut dan mahu kerajaan buat adalah laksanakan insentif yang diberikan, bukan cakap-cakap sahaja, tunaikan apa yang telah dijanjikan. Anggota tentera bukan boneka kerajaan Umno BN.

3. Kebajikan anggota tentera perlu dipenuhi oleh kerajaan Umno BN melalui pencen, saya lihat bagaimana kerajaan mengkhianati janji sebelum-sebelum ini. Contoh pada 2016, isu kelewatan bayaran pampasan pencen kepada pesara tentera.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein tidak menyelesaikan isu kelewatan bayaran pampasan pencen kepada pesara tentera. Bantuan untuk pesara tentera kali ini katanya adalah lanjutan usaha kerajaan membantu pesara tentera selama ini, terutama dalam menghadapi ekonomi tidak menentu dan peningkatan kos sara hidup.

Tetapi kita lihat bagaimana kehidupan pesara tentera hari ini, mereka dibayar pencen yang tidak setimpal dengan keadaan ekonomi ketika ini. Apa yang dituntut veteran selama ini termasuk kadar pencen dan hak-hak yang lain tidak dipedulikan kerajaan.

4. Sejumlah 288,952 pesara tentera dengan 59 peratus (179,581) daripadanya tidak menerima pencen. Mereka harus dibantu bukan dengan pelbagai imbuhan kerajaan Umno BN berii dan bermacam-macam janji diberi dan akhirnya ‘ghaib’ entah ke mana.

5. Pakatan Harapan sentiasa mengambil berat terhadap nasib bekas ATM kerana segala sumbangan mereka di dalam perkhidmatan sentiasa dihargai.

Oleh sebab itu, saya mahu rakyat sedar bahawa dedak demi dedak yang diberikan kerajaan Umno BN tidak akan menyelesaikan permasalahan yang dihadapi rakyat, baik peneroka, baik tentera atau rakyat biasa.

# Laksamana Pertama (B) Mohamad Imran Abd Hamid adalah Ahli Parlimen Lumut merangkap Naib Pengerusi KEADILAN Perak

Categories
NASIONAL

Elaun RM16 sehari kakitangan tentera, pesara tuntut penyelarasan pencen

OLEH ERMIZI MUHAMAD

WANGSA KERAMAT, 8 SEPT : Penyelarasan pencen dan elaun pesara tentera veteran perlu dilaksanakan demi kepentingan dan kebajikan golongan ini.

Bekas Pegawai Armada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Pertama (B) Imran Abd Hamil, berkata wujudnya ketidakadilan pembayaran skim pencen dan elaun tentera membabitkan golongan itu.

Lebih mengecewakan katanya, ada kalangan tentera menerima pembayaran rendah pada kadar RM16 sehari, walaupun bertugas di luar kawasan.

“Menteri bertanggungjawab didesak mengambil inisiatif untuk mewujudkan penyelarasan seimbang supaya elaun lebih tinggi sekurang-kurangnya RM100 sehari diberikan kepada mereka.

“Adakah berbaloi bagi tentera bertugas mempertaruhkan nyawa mereka mendapat imbuhan RM16 sehari walaupun bertugas di kawasan berbahaya yang jauhnya 100 hingga 200 batu jauh dari tanah besar?” soalnya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Dialog Perajurit, Wangsa Keramat di sini, malam tadi yang turut dihadiri Exco Kerajaan Negeri, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Terdahulu, wujudnya rungutan daripada pesara dan kakitangan tentera yang terpaksa menerima pembayaran elaun rendah, disamping masalah kelewatan pembayaran wang pesaraan.

Masalah tersebut dipercayai berpunca daripada penyelewengan dana RM288 juta bagi tujuan pemindahan wang kepada 1MDB untuk membayar faedah hutang pinjaman syarikat cetusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu.

Mengulas perkara tersebut, Imran yang juga Ahli Parlimen Lumut, berkata perkara tersebut membuktikan ketidaksungguhan Kerajaan Persekutuan terhadap isu kebajikan tentera.

“Kementerian Pertahanan perlu mengambil langkah berkesan supaya penyelarasan boleh dilakukan demi manfaat dan kebajikan kakitangan tentera dan pesara,” katanya.

EZY