Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: Selangor berbelanja besar bantu rakyat tangani Covid-19

KLANG, 25 OKT: Selangor merupakan negeri pertama yang berbelanja besar untuk rakyat dalam mendepani pandemik Covid-19.

Dato’ Menteri Besar berkata pelbagai pakej rangsangan dilancarkan negeri membabitkan perbelanjaan RM1.1 bilion bagi memastikan rakyat dapat bertahan ketika Covid-19.

“Kerajaan Negeri juga mampu melaksana tugas-tugas Kerajaan Pusat seperti melakukan saringan iaitu sebanyak 127,000 saringan secara percuma yang negeri lain tidak lakukan.

“Selvax Komuniti Remaja iaitu pemberi vaksin kepada anak muda dan berjaya memberi suntikan lebih 200,000 ke 300,000 orang di Selangor menerusi vaksin dibeli Kerajaan Negeri,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Amirudin berkata demikian ketika berucap di pelancaran Jelajah Deepavali KEADILAN Selangor di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sentosa hari ini.

Amirudin juga pengerusi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) negeri berkata formula itu yang Pakatan Harapan (PH) laksana di Selangor dan akan dilaksana di Putrajaya tetapi tidak sempat sepenuhnya kerana dicuri dan dikhianati.

“Dalam tempoh dua tahun pertama memang seolah-olah Selangor tiada apa-apa dan semua memperlekeh inisiatif yang dilakukan tetapi waktu itu tiada yang mengkhianati dan negeri ini kekal PH dan KEADILAN sebagai paksinya.

“Rakyat sudah dapat lihat hasilnya dan boleh bandingkan dan di Putrajaya tidak melihat hasilnya serta lihat pertukaran kerajaan,” katanya.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Negara tidak berdepan isu kurang bekalan makanan sepanjang pandemik

Oleh Irwan Shafrizan Ismail

SHAH ALAM, 29 SEPT: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan memaklumkan negara tidak berdepan isu kekurangan bekalan makanan sepanjang berdepan pandemik Covid-19.

Timbalan menterinya Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata antara langkah diambil ialah dengan mengerah pasukan pemantau bagi melihat keperluan dan kekurangan dihadapi rakyat setiap hari.

“Kekangan kita ketika ini antaranya bergantung pada banyak barangan import berikutan penggunaan sentiasa meningkat,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PAKATAN-Kulim Bandar Bharu) yang bertanya apakah dasar digariskan kementerian mampu mengatasi isu sekuriti makanan seperti mengurangkan kebergantungan pada makanan diimport.

Selain itu katanya kementerian mengambil langkah untuk meningkatkan pengeluaran beras tempatan kepada 75 peratus daripada keperluan negara dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Pada ketika ini, dasar kita berkaitan beras yang menjadi makanan ruji negara adalah 70:30, iaitu 70 peratus kita hasilkan dan 30 peratus lagi diimport.

“Walaupun kita selesa dengan dasar ini, MAFI mengambil pendekatan mengkaji kemungkinan kita pertingkatkan lagi pengeluaran beras negara sebanyak 75 peratus untuk lima tahun akan datang.

“Ini akan dilaksanakan menerusi beberapa pendekatan yang kita berkeupayaan untuk mencapainya,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Menteri: Lebih 140,000 individu hilang kerja kesan pandemik Covid-19

Oleh Irwan Shafrizan Ismail

SHAH ALAM, 29 SEPT: Sejumlah 140,608 individu hilang pekerjaan sejak Mac tahun lalu sehingga 20 Ogos lalu, sepanjang tempoh negara dilanda pandemik Covid-19.

Menteri sumber manusia Datuk Seri M Saravanan berkata data itu berdasarkan statistik Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) yang dikeluarkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

“Kerajaan sedar serta amat prihatin terhadap impak Covid-19 di kalangan rakyat yang serius. Dalam tempoh tidak menentu ini ramai pekerja yang kehilangan pekerjaan atau diberhentikan, memerlukan sokongan dan bantuan.

“Sehubungan itu, antara tindakan kerajaan bagi menangani kehilangan pekerjaan adalah menyalurkan bantuan dengan membantu Orang Berinsurans yang telah kehilangan pekerjaan,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan) yang ingin tahu statistik kehilangan pekerjaan di kalangan rakyat sejak pandemik Covid-19 melanda dan apakah tindakan kerajaan menanganinya.

Tambah Saravanan bantuan di bawah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) meliputi faedah berbentuk kewangan dan bantuan pencarian pekerjaan seperti Elaun Mencari Pekerjaan (EMP), Elaun Bekerja Semula Awal (EBSA), Elaun Pendapatan Berkurangan (EPB), Elaun Latihan dan pembiayaan fi latihan.

Menurutnya sehingga kini lebih satu juta pencari kerja telah berdaftar di portal pekerjaan MYFutureJobs dari 1 Januari lalu sehingga Ogos, dengan 203,102 individu berjaya mendapat pekerjaan.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Stesen minyak, restoran, kedai serbaneka dibenar operasi jam 6 pagi hingga 12 malam

KUALA LUMPUR, 21 SEPT: Lanjutan waktu operasi bagi perkhidmatan stesen minyak, restoran, kedai makan dan kedai serbaneka dibenarkan dari 6 pagi hingga 12 malam untuk semua fasa kecuali di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata cadangan itu dipersetujui pada mesyuarat kedua Menteri Kuartet Covid-19 hari ini dan akan disyor kepada Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob esok.

“Mesyuarat juga memberi fokus kepada penambahbaikan tatacara operasi piawai (SOP) dengan usaha mempermudah 181 SOP kepada 10 sahaja agar berjalan dengan baik sekali gus memberi keyakinan ia dapat diselesaikan seperti dirancang pada permulaan Oktober,” katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen hari ini.

Beliau juga berkata keputusan kebenaran merentas negeri perlu dibuat secara bertanggungjawab dengan memastikan ia benar-benar selamat.

Hishammuddin berkata pelbagai faktor perlu dipertimbang termasuk jumlah peratusan vaksinasi dan kemampuan hospital di negeri dalam menangani Covid-19 sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini.

Beliau berkata risiko penularan wabak Covid-19 juga perlu dilihat jika perjalanan secara besar-besaran dibenarkan terutama bagi mereka yang berada di kawasan berisiko.

“Saya harap semua tahu kita bukan sahaja serius tetapi kita juga bertanggungjawab untuk memastikan apabila kita buat kelonggaran, kita lakukannya dalam keadaan selamat dan bertanggungjawab,” katanya yang menggunakan slogan #reopeningsafely berhubung isu kebenaran rentas negeri.

Hishammuddin berkata pada akhirnya, akan ada sinar di hujung terowong namun rakyat perlu memberi masa kepada kerajaan dalam membuat keputusan berhubung perkara itu.

Beliau berkata buat masa ini, kerajaan telah memberikan kelonggaran berkaitan rentas negeri seperti projek rintis gelembung pelancongan Langkawi dan pasangan jarak jauh yang telah lengkap vaksinasi.

“Menuju fasa endemik, lebih banyak kelonggaran akan diberikan kepada rakyat. Saya berharap rakyat tidak leka sebaliknya kekal berdisiplin dalam mengamalkan SOP serta mematuhi garis panduan yang ditetapkan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB ajak umat Islam berdoa Covid-19 berakhir, mudahkan urusan ibadat

SHAH ALAM, 17 SEPT: Dato’ Menteri Besar mengajak jemaah Masjid Kampung Nakhoda, Batu Caves hari ini bersama-sama memohon doa supaya pandemik Covid-19 segera berakhir.

Dato’ Seri Amirudin Shari turut menzahirkan rasa syukur atas peluang menunaikan solat Jumaat bersama jemaah di masjid berkenaan.

“Alhamdulillah berpeluang menunaikan solat Jumaat bersama para jemaah dan kariah di Masjid Kampung Nakhoda, Batu Caves.

“Saya turut mengajak para jemaah untuk kita sama-sama berdoa agar wabak Covid-19 ini segera diangkat dan kita dapat melaksanakan ibadah dengan sejahtera,” katanya menerusi Facebook.

Pada 3 September, Kerajaan Selangor yang masih dalam fasa satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) ketika itu membenarkan 100 jemaah yang lengkap dos vaksin menunaikan solat Jumaat di masjid manakala 50 orang bagi solat berjemaah termasuk di surau.

Kelonggaran itu perlu dibuat secara bergilir sama ada untuk solat Jumaat atau berjemaah sementara kegiatan lain seperti ceramah hanya dalam talian.

Selangor bersama Kuala Lumpur dan Putrajaya beralih ke fasa dua PPN berkuat kuasa 10 September lalu dengan beberapa kelonggaran, termasuk rentas daerah kepada mereka yang mendapat suntikan dua dos vaksin.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pandemik Covid-19 tidak ubah seperti suasana perang – pesara tentera

KUALA LUMPUR, 2 SEPT: Bantu kerajaan dengan terus patuh kepada setiap tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan bagi membebaskan negara daripada terus ‘dijajah’ oleh musuh ‘senyap’ adalah satu perjuangan yang amat dituntut daripada rakyat ketika ini.

Bagi Pegawai Waran I (B) Ielias Ibrahim, keadaan pandemik ketika ini tidak ubah seperti suasana perang yang memerlukan rakyat mempunyai semangat patriotik tinggi dan berjuang bersama-sama memerangi ‘musuh’ yang telah meragut banyak nyawa dan kebebasan yang dikecapi selama ini.

“Dahulu, kami berperang dengan menggunakan senjata api bagi memerangi musuh yang kita nampak iaitu komunis, tetapi kini peperangan yang kita hadapi jauh berbeza sama sekali kerana musuh yang kita hadapi ini lebih ganas dan bahaya.

“Ia tidak mampu dilihat oleh mata kasar tetapi ada di sekeliling kita, sekali kita alpa sekelip mata ia boleh meragut nyawa. Jadi, perisai dan kubu yang kita ada hanyalah terus patuh pada SOP yang ditetapkan dan lengkapkan diri kita dengan vaksin,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Ielias merupakan individu pertama dianugerahkan pingat Panglima Gagah Berani (PGB) dalam Rejimen Askar Wataniah atas jasanya memerangi komunis semasa bertugas memantau pembinaan Lebuh Raya Timur Barat menghubungkan Gerik, Perak dan Jeli, Kelantan pada 1977.

Keberanian menentang musuh menerusi Operasi Kota Foxtrot itu juga membolehkan anak kelahiran Batu Kurau, Taiping, Perak ini dianugerahkan Pingat Keberanian Handalan (PKH) oleh Sultan Perak ketika itu, Al-Marhum Sultan Idris Iskandar Al-Mutawakkil Alallahi Shah pada tahun yang sama, sempena Hari Keputeraan baginda.

Mengimbas keadaan yang dialami negara suatu ketika dahulu, beliau berkata masyarakat hari ini sewajarnya bersyukur kerana masih mampu hidup dalam keadaan aman walaupun diuji dengan penularan wabak dan dikenakan dengan Perintah Kawalan Pergerakan.

“Dahulu, sesiapa yang langgar perintah berkurung pasti sahaja akan ditembak. Kini, ia tidak begitu, kita sebaliknya masih bebas untuk melakukan apa-apa sahaja namun perlulah berlandaskan undang-undang.

“…dan apabila terkurung dalam tempoh lama, sebenarnya ia membuatkan kita lebih menghargai erti kebebasan dengan lebih mendalam selain memahami maksud sebenar kemerdekaan negara,” katanya.

Sementara itu, berkongsi pengalamannya sepanjang berkhidmat 22 tahun dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Ielias mengakui berpuas hati apabila dapat menembak mati tiga pengganas komunis termasuk seorang wanita.

Ketika itu, beliau yang berpangkat Prebet bersama-sama empat rakan seperjuangannya Lans Koperal Zaki Shamsudin yang juga Ketua Seksyen Prebet Abd Halim Hasan, Prebet Md Ali Hassan dan Prebet Tajuddin Yusof diarahkan untuk mengambil catuan makanan di Pos Kawalan 5 pada 15 Ogos 1977, iaitu sehari sebelum Ramadan.

Menurutnya ketika dalam perjalanan, mereka telah terserempak dengan longgokan kulit binatang seperti baru sahaja ditinggalkan, namun tidak dipedulikan oleh seorang daripada rakan sepasukannya dan meminta mereka meneruskan perjalanan.

“Namun, saya rasa was-was dan risau kerana terdengar bunyi riuh ungka dan mengesyaki pasti ada sesuatu yang berlaku. Ternyata telahan saya benar apabila pasukan kami diserang kira-kira 30 pengganas komunis dari atas bukit selepas berjalan lebih kurang 500 meter,” katanya.

Bunyi riuh ungka tadi, berganti dengan bunyi tembakan bertalu-talu dan hujan peluru daripada senjata musuh menyebabkan seorang demi seorang rakannya cedera dan terkorban dalam serang hendap itu, malah beliau sendiri turut cedera parah.

Tanpa menghiraukan kecederaan yang dialami, anak keempat daripada tujuh adik-beradik ini sempat membalas tembakan sehingga berjaya membunuh tiga daripada mereka.

Selepas kejadian itu, Ielias ditukarkan ke Batalion Ke-14 Rejimen Askar Wataniah (14 MTA) pada 12 Nov 1977 dan dinaikkan pangkat Lans Koperal pada Mac 1979.

Beliau kemudiannya diserapkan sebagai anggota tetap Ke-9 Rejimen Renjer Diraja pada 1 Nov 1979 dan menamatkan perkhidmatan pada 1998 di unit terakhirnya di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang sebagai Sarjan Mejar Rejimen untuk Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES).

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pandemik Covid-19 cetus kesepaduan rakyat, bantuan kepada semua bangsa

SHAH ALAM, 17 OGOS: Pandemik Covid-19 yang melanda negara sejak tahun lalu memberi impak daripada aspek menyatupadukan rakyat berbilang kaum di Malaysia.

Felo Utama Institut Kajian Etnik (Kita) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata walaupun Covid-19 dianggap musibah namun ia merupakan detik perpaduan dalam negara.

Profesor Datuk Dr Teo Kok Seong memberi contoh di pusat pemberian vaksin (PPV) dapat dilihat petugas kesihatan dan sukarelawan terdiri daripada pelbagai kaum tetapi tidak nampak perbezaan diskriminasi antara mereka.

“Ini juga dapat dilihat daripada program pemberian bakul makanan yang mana badan bukan kerajaan membantu sesiapa sahaja tanpa mengira agama, bangsa dan keturunan.

“Pandemik memang musibah tetapi menyatupadukan semua dan ini detik-detik perpaduan dalam negara. Kita banyak berpecah tetapi pandemik tidak dinafikan ia detik perpaduan selain sukan dan sebagainya,”katanya.

Beliau berkata demikian pada program Bual Bicara: Perang dan Merdeka Era Pandemik yang disiarkan secara langsung melalui Facebook Media Selangor dan YouTube SelangorTV malam tadi.

Jangkitan harian Covid-19 di seluruh negara sedikit menurun kepada 19,631 kes berbanding 19,740 semalam, menurut ketua pengarah kesihatan.

Data dikongsi Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi Facebook menunjukkan jangkitan di Selangor kekal pada paras 5,000 iaitu 5,753 kes.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Selangor lancar program penjagaan kesihatan mental pada 30 Ogos

SHAH ALAM, 15 OGOS: Program Selangor Mental Sihat (SEHAT) bakal dilancar oleh Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari pada 30 Ogos ini.

EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud berkata program itu bertujuan membantu penduduk Selangor meluahkan tekanan mental yang dihadapi terutama dalam mendepani pandemik Covid-19.

“Kerajaan Negeri memperuntuk sebanyak RM500,000 bagi melaksanakan program ini demi meningkatkan kesedaran rakyat kepentingan menjaga kesihatan mental ketika musim wabak ini.

“Fungsi SEHAT nanti boleh diakses melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dan daripada situ ada talian untuk pengguna berbual dengan pakar kaunselor tanpa berjumpa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Pra Pelancaran SEHAT Selangor di Facebook Kita Selangor, semalam.

Dr Siti Mariah berkata pengguna juga akan diberi penglibatan awal mengenai kaedah untuk menangani penyakit mental menerusi paparan video psikologi.

Program itu turut mendapat kerjasama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Tunku Abdul Rahman, Universiti Sains Malaysia dan Persatuan Sokongan dan Kesedaran Penyakit Mental (Miasa).

Categories
AGENDA NASIONAL

MB harap rakyat kekal teguh, cekal depani cabaran Covid-19 (VIDEO)

SHAH ALAM, 10 OGOS: Dato’ Menteri Besar berharap rakyat terus teguh dan cekal berdepan cabaran dalam menangani pandemik Covid-19.

Dato’ Seri Amirudin Shari juga mengajak orang ramai terus berikhtiar membantu individu yang memerlukan di sekeliling.

“Selamat Tahun Baru 1443H saya ucapkan kepada seluruh muslimin dan muslimat. Harapan saya agar kita terus teguh dan cekal menghadapi cabaran menangani Covid-19.

“…serta terus berikhtiar membantu mereka yang memerlukan di sekeliling kita. Bersama kita menuju kejayaan,” katanya di Facebook.

Amirudin turut berkongsi keratan video sempena sambutan Maal Hijrah 1443H yang menyeru rakyat agar sedia berubah ke arah lebih baik.

“Kadangkala kita perlu berubah dan perubahan itu adalah sebahagian daripada ketentuan dan lumrah kejayaan,” katanya.

             

 

 

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Analisis: Hidup bersama Covid-19 sebagai endemik

Oleh Nurqalby Mohd Reda

KUALA LUMPUR, 27 JULAI: Bermula di Wuhan, China pada Disember 2019, jangkitan Covid-19 kini menular hampir ke semua negara termasuk Malaysia, dan mendekati dua tahun, “serangan” virus ini tidak menunjukkan tanda-tanda akan reda dengan angka korban terkini melebihi empat juta orang di seluruh dunia.

Kemunculan varian baharu yang lebih agresif menyukarkan lagi usaha sistem kesihatan negara terjejas menangani pandemik itu, dan di sebalik penemuan vaksin, rekod di seluruh dunia menunjukkan mereka yang divaksinasi masih boleh dijangkiti Covid-19, cuma tanpa simptom yang teruk.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dan dipersetujui majoriti pakar kesihatan, baru-baru ini menyatakan Covid-19 berkemungkinan besar menjadi endemik, iaitu kekal dan menjadi sebahagian daripada kehidupan harian kita sepertimana selesema. Persoalannya, bersediakah kita untuk “hidup” bersama virus yang setakat semalam telah meragut 8,201 nyawa di negara ini?

Foto yang diambil pada 3 Februari 2020 menunjukkan kakitangan perubatan menyembur pembasmi kuman pada pesakit selepas pulang dari hospital dan memasuki semula zon kuarantin di Wuhan. Foto AFP

Pakar Kesihatan Pekerjaan, Kecemasan dan Kesihatan Am Dr Hanafiah Bashirun memberitahu Bernama bahawa mahu tidak mahu perkara itu berkemungkinan besar menjadi hakikat yang perlu diterima rakyat negara ini.

“Kita dapati hanya beberapa negara sahaja yang merekodkan kes sifar dalam tempoh dua minggu berturut-turut mutakhir ini, sekali gus membuktikan negara-negara di seluruh dunia akan menerima Covid-19 sebagai sebahagian kehidupan, sepertimana influenza (H1N1) yang tercetus pada 2009 dan kemudian menjadi endemik,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata apabila bertukar status kepada endemik, kes baharu tidak perlu lagi dimaklumkan kepada orang awam, namun rakyat perlu mengambil langkah berjaga-jaga secara berterusan termasuk mematuhi tiga tatacara operasi piawai (SOP), iaitu penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka dan kerap membasuh tangan.

Paling utama, pastikan diri divaksinasi, katanya yang yakin vaksinasi dan pematuhan tiga SOP tersebut merupakan kunci kepada pembendungan virus itu.

Jelasnya, selepas menjadi endemik, individu yang mempunyai simptom ringan seperti selesema akan dianggap sebagai selesema biasa dan tidak lagi dirujuk ke hospital melainkan pesakit menunjukkan gejala lebih berat seperti sukar bernafas.

Keadaan di unit rawatan rapi (ICU) di salah sebuah hospital kerajaan yang merawat pesakit Covid-19. Foto Facebook Noor Hisham Abdullah

Menurutnya pesakit juga tidak lagi akan diasingkan sebaliknya dirawat seperti jangkitan virus biasa.

Bagaimanapun katanya pengisytiharan Covid-19 sebagai endemik bergantung pada keputusan WHO yang akan membuat penelitian selepas suatu tempoh.

“Untuk mengisytiharkan Covid-19 ini sebagai endemik sebenarnya tidak bergantung pada kes kematian atau kes harian sesebuah negara selaina tidak ada faktor yang betul-betul spesifik untuk meletakkan ia sebagai endemik.

“Cuma, apa yang boleh kita harapkan sementara menunggu ia sebagai endemik, program vaksinasi terus berjalan sebab dengan kadar vaksinasi yang tinggi juga kita dapat menjalani rutin kehidupan harian seperti biasa, selain berharap penemuan ubat antivirus sebagai alternatif rawatan sekiranya dijangkiti,” katanya.

Sebelum ini, Tan Sri Dr Jemilah Mahmood yang merupakan Penasihat Khas kepada Perdana Menteri mengenai Kesihatan Awam, menyarankan pihak berkuasa menjadikan suntikan vaksin Covid-19 sebagai vaksinasi tahunan seperti yang dilakukan di Eropah bagi mengekang flu atau selesema bermusim.

Pada masa ini, penularan Covid-19 masih berstatus pandemik yang diisytiharkan oleh WHO pada 11 Mac 2020.

– BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Mais: 209 keluarga di Hulu Langat terima sumbangan barangan asas

SHAH ALAM, 7 JULAI: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyerahkan sumbangan barangan asas bernilai RM20,900 kepada 209 keluarga terkesan pandemik Covid-19 di Hulu Langat semalam.

Agensi itu berkata sumbangan diberikan dalam bentuk makanan asas merangkumi beras, tepung, minyak dan gula menggunakan peruntukan Fidyah Mais bernilai RM100.

“Agihan kali ini melibatkan kerjasama dari empat Rakan Strategik Agihan Fidyah MAIS (RSAFM), terdiri daripada Sahabat Hospital – Serdang, Sahabat Hospital – Kajang, Persatuan Belia Masjid Selangor (PBMS) dan Sekolah Rendah Agama (SRA) Dato Abu Bakar Baginda.

“Kepada para pembayar fidyah yang budiman, Mais mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga. Semoga sumbangan yang diberikan ini dapat membantu meringankan beban mereka semua,” katanya menerusi Facebook.

Individu beragama Islam yang ingin membayar fidyah secara dalam talian boleh berbuat demikian di http://fpx.mais.gov.my/epay/fidyah.php

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Laksana ‘serampang tiga mata’ serentak, tangani jangkitan sporadik Covid-19

SHAH ALAM, 26 JUN: Kaedah ‘serampang tiga mata’ perlu dilaksana serentak kerajaan bagi menangani gelombang ketiga pandemik Covid-19 terutama membabitkan kes sporadik.

Ia melibatkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pengesanan aktif menerusi kaedah FTTIS iaitu kenal pasti (finding), pengujian (testing), pengesanan (tracing), kuarantin (isolation) dan sokongan (support) serta mempertingkat vaksinasi.

Pengerusi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) berkata setiap kaedah memainkan peranan dalam usaha mencapai imuniti kelompok.

“Kerajaan tidak boleh laksanakan PKP tanpa ada tindakan susulan FTTIS. Ia menyebabkan jangkitan tidak dapat dikesan dan keluar kes sporadik.

“Kaedah terakhir ibarat peluru iaitu vaksin bagi hentikan wabak. Jangan pertikaikan mana lebih penting kerana ini merupakan strategi berkesan,” kata Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata demikian pada program Juru Bicara Rakyat:’Kad Laporan PH: Memerangi Covid-19 dianjur Studio Birumuda dengan kerjasama Unit Pendidikan AMK Malaysia dan Institut Darul Ehsan menerusi Facebook pada Khamis.

Bekas menteri kesihatan berkata kerajaan, Kementerian Kesihatan (KKM) dan ketua pengarah kesihatan akan gagal sekiranya tidak dapat menangani jangkitan terutama penularan kes sporadik yang meningkat ketika ini.

Isnin lalu Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan sebanyak 151,725 kes sporadik atau 38.0 peratus daripada keseluruhan kes dicatatkan di Selangor manakala Kuala Lumpur merekodkan 44,517 kes (11.2 peratus) meskipun PKP penuh dilaksanakan sejak tiga minggu lalu.