Categories
AGENDA NASIONAL

PKP 2.0 tidak gagal – Dr Noor Hisham

SHAH ALAM, 8 MEI: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menegaskan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang dilaksanakan secara berfasa di beberapa negeri bermula 13 Januari lalu tidak gagal.

Sebaliknya, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes Covid-19 boleh mencecah 10,000 sehari jika perintah tersebut tidak dikuatkuasakan.

“KKM jangka kes menurun pada Mei, namun selepas kelonggaran kepada banyak sektor ekonomi dan sosial serta kelesuan pandemik, kes kembali meningkat. Awal Mei, kes kembali 3,000 sehari,” katanya menerusi sidang media hari ini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata kebanyakan kes ketika ini adalah sporadik dalam komuniti tanpa mengetahui punca jangkitan dan jumlah kes lebih tinggi berbanding kluster.

Sementara itu, Noor Hisham memaklumkan terdapat 14 kluster rentas negeri yang aktif ketika ini.

“Ada kluster ini dijangkiti varian Afrika Selatan B1351 (dan) kerana itu rentas negeri masih tidak dibenarkan,” katanya.

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Ringgit dibuka rendah 4.0450/0510 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 18 JAN: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS pagi ini berikutan pengukuhan dolar selepas para pelabur meningkatkan pegangan ke atas unit berkenaan.

Ini lebih-lebih lagi didorong oleh perasaan bimbang peniaga terhadap dasar luar negara berikutan pelantikan Joe Biden sebagai Presiden AS minggu ini.

Pada jam 9.03 pagi, ringgit disebut harga pada 4.0450/0510 berbanding dolar AS daripada 4.0350/0380 ketika ditutup pada Jumaat lepas.

Ringgit turut merosot apabila negara menguatkuasakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Isnin minggu lepas.

Unit tempatan menyusut 0.2 peratus minggu lepas, merosot kepada RM4.037 untuk satu AS dolar (minggu sebelumnya: RM4.029 untuk satu AS dolar) selepas kerajaan menguatkuasakan PKP 2.0 di beberapa negeri dan wilayah persekutuan terpilih.

Proklamasi Darurat juga telah diisytiharkan sehingga 1 Ogos, atau sehingga gelombang semasa penularan Covid-19 mereda bagi membolehkan kerajaan memberi tumpuan kepada usaha membendung pandemik serta menyokong ekonomi.

Selain daripada kebimbangan terhadap pertumbuhan ekonomi, penyusutan ringgit turut menjejaki penurunan harga minyak mentah Brent yang jatuh 1.6 peratus kepada US$55.10 setong daripada US$55.99 setong minggu lepas.

“Tumpuan sekarang ialah pada mesyuarat Dasar Monetari Bank Negara yang dijadualkan berlangsung keesokan hari,” kata seorang penganalisis.

Beliau berkata bank pusat dijangka melakukan satu lagi pusingan penurunan kadar faedah sebagai tindak balas kepada potensi kesan ekonomi berikutan pengumuman darurat serta pelaksanaan semula PKP.

Penurunan sebanyak 25 mata asas lagi dalam kadar dasar semalam akan menyaksikan kadar pinjaman pada paras rendah terbaharu iaitu 1.5 peratus.

Sementara itu, berbanding mata wang utama lain, ringgit dibuka tinggi.

Ia mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.4919/5004 daripada 5.5029/5086 dan meningkat kepada 4.8831/8920 daripada 4.8977/9021 berbanding euro.

Bagaimanapun, berbanding dolar Singapura, unit tempatan itu menyusut kepada 3.0375/0438 daripada 3.0386/0410 dan meningkat kepada 3.8965/9027 daripada 3.8918/8962 berbanding yen.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL PELANCONGAN

Langkah proaktif diperlukan selamatkan industri pelancongan – Matta

KUALA LUMPUR, 14 JAN: Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) menggesa kerajaan untuk proaktif dan merangka pelan menyelamat bersasar dan dipertingkat bagi ejen pelancongan dan pengembaraan susulan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0) dan unjuran suram industri pelancongan tahun ini.

Presiden Matta Datuk Tan Kok Liang berkata perniagaan pelancongan ketika ini berada dalam keadaan tertekan akibat persekitaran perniagaan sangat rapuh dan tidak menentu yang dijangkakan berterusan sehingga lewat 2021.

“Ejen pelancongan dan pengembaraan bergelut dengan penurunan pendapatan dan masalah mudah tunai sejak bermulanya pandemik Covid-19 dan usaha kerajaan tidak membawa sebarang impak ketara pada segmen industri ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tan berkata ejen pelancongan dan pengembaraan penting kepada ekonomi Malaysia memandangkan majoriti daripada perniagaan ini memberi sumbangan besar kepada kemasukan pengembara ke Malaysia untuk melancong atau urusan perniagaan.

Katanya banyak agensi menyediakan perkhidmatan logistik penting serta mengekalkan bas-bas mereka serta kenderaan pelancongan lain yang penting bagi infrastruktur pelancongan negara ini.

“Pelancongan memainkan peranan penting dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dan merupakan penyumbang ketiga terbesar pada tahun-tahun sebelumnya,” kata Tan.

Matta turut menggesa perniagaan pelancongan untuk bersatu dan bergabung. Menurut Tan, lebih 5,000 syarikat pelancongan ketika ini berada dalam keadaan yang sangat getir dan kerajaan perlu memulakan program pemulihan kerana keadaan akan bertambah buruk.

Katanya, membenarkan ejen pelancongan menutup premis perniagaan dan beroperasi dari rumah dan pembatalan program mandatori Kursus Peningkatan Pelancongan dan Pengembaraan (TTEC) bagi syarikat pelancongan adalah sokongan yang baik kepada mereka.

Tan berkata ia kini bukan lagi ‘perniagaan berjalan seperti biasa’ akibat pandemik Covid-19 dan Mattta menggesa pelbagai agensi kerajaan membuat perubahan dasar dengan segera bagi mengurangkan beban kewangan industri yang paling terjejas teruk di Malaysia itu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Ekonomi Malaysia miliki daya tahan, kembali kukuh

KUALA LUMPUR, 14 JAN: Ekonomi Malaysia dijangka kekal berdaya tahan meskipun pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0) di enam negeri dan pengisytiharan darurat di seluruh negara, hasil sumbangan produktiviti buruh yang memacu pertumbuhan ekonomi.

Ketua Ahli Ekonomi Juwai IQI Global Shan Saeed berkata negara mampu bertahan meskipun keadaan ekonomi dunia yang bergelora berikutan sokongan daripada dasar fiskal dan monetari berterusan kerajaan untuk menyokong laluan pertumbuhan ekonomi.

“Bagaimanapun, pada pandangan saya, kerajaan harus menilai kemajuan perniagaan dan pasaran untuk mengukur momentum sebelum mengumumkan sebarang rangsangan fiskal bagi ekonomi.

“Perusahaan kecil dan sederhana memerlukan banyak sokongan daripada kerajaan memandangkan syarikat kecil mendapati sukar untuk menguruskan aliran tunai mereka,” katanya kepada Bernama.

Shan berkata pasaran ketika ini berada di tengah-tengah keadaan saling mempengaruhi antara epidemiologi dan ekonomi.

“Ia suatu pertimbangan yang sangat berhati-hati antara penjagaan kesihatan dan perniagaan. Kerajaan berusaha sebaik mungkin untuk mengekalkan momentum bagi ekonomi pada tahap makro,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Juwai IQI mengunjurkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar Malaysia kekal sama, pada tiga hingga empat peratus tahun ini, dengan ringgit diniagakan antara paras RM3.67 dan RM4.10 berbanding dolar AS.

“Ringgit akan terus mencatatkan kestabilan struktur pada 2021 dan akan didagangkan antara paras 3.67 dan 4.10 berbanding dolar AS. Andaian utama bagi kekuatan ringgit pada 2021 adalah kelemahan dolar AS, harga minyak tinggi, ringgit mengekori pergerakan Yuan dan kestabilan makroekonomi tempatan,” kata Shan.

Beliau juga berkata Bank Negara Malaysia (BNM) memiliki banyak ruang untuk berbuat sesuatu dari segi dasar monetari pada 2021, sambil menambah bank pusat akan terus melaksanakan dasar monetari berhemat untuk memastikan pertumbuhan ekonomi, kestabilan harga pada peringkat makro dan kestabilan kewangan dalam sistem.

“BNM akan menggunakan pendekatan taktikal dan strategik mengikut keadaan pasaran atau apabila diperlukan. Kami di Juwai IQI, akan terus optimis terhadap tinjauan pertumbuhan berikutan respons dasar yang padu daripada kerajaan,” katanya.

Beliau menjangkakan lima sektor iaitu minyak dan gas, semikonduktor, pembuatan, penjagaan kesihatan dan perladangan (minyak sawit) akan mendapat manfaat tahun ini

– BERNAMA