Categories
RENCANA WAWANCARA

Cabaran mengajar dalam talian semasa PKP

Oleh Kurniawati Kamarudin

KUALA LUMPUR, 2 APRIL: Penutupan sekolah dan pusat pengajian tinggi yang dilanjutkan selaras dengan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April depan memberi cabaran baharu kepada warga pendidik untuk memastikan pelajar mereka terus dapat belajar.

Pembelajaran dalam talian terutama google classroom yang diamalkan di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terbukti cukup membantu guru dan pensyarah selain aplikasi zoom bagi membolehkan interaksi secara terus dengan pelajar dapat dilakukan.

Para guru dan pensyarah turut memanfaatkan media sosial seperti whatsapp dan telegram dengan sebaik-baiknya untuk menyampaikan pelbagai maklumat, arahan dan latihan.

Semuanya ini untuk memastikan pembelajaran pelajar tetap lancar walaupun mereka tidak berada di dalam kelas dan bilik kuliah.

Bagaimanapun, tidak semua mendapat manfaat tersebut kerana pembelajaran dalam talian hanya berkesan sekiranya capaian internet dapat dinikmati secara meluas bukan sahaja di bandar tetapi juga di luar bandar dan kawasan pedalaman.

Ini adalah antara cabaran utama dalam usaha kerajaan mengoptimumkan sepenuhnya pembelajaran dalam talian dalam sistem pendidikan negara, lebih-lebih lagi sepanjang tempoh PKP ini.

Belum bersedia sepenuhnya

Apa yang ketara sekarang ialah ada hikmahnya di sebalik krisis akibat penularan penyakit Covid-19 ini. Pihak yang berkenaan boleh melihat sendiri bahawa bidang pembelajaran dalam talian masih belum mencapai tahap yang memuaskan dan mereka perlu lebih fokus dalam hal berkenaan.

Menurut Pensyarah Pusat Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Anuar Ahmad, jika sebelum ini pembelajaran dalam talian hanyalah satu pilihan, tetapi dengan penguatkuasaan PKP, ia menjadi suatu keperluan.

Beliau menjelaskan, apabila kerajaan melanjutkan tempoh PKP yang sepatutnya berakhir pada 31 Mac kepada 14 April, pembelajaran dalam talian adalah pilihan terbaik kerana kebanyakan pelajar masih berada di rumah masing-masing.

“Cuma pensyarah kena bersedia dengan bahan mengajar sebelum melaksanakan pembelajaran dalam talian. Mereka perlukan sedikit masa untuk menyediakannya.

“Selain tu pensyarah juga harus meningkatkan kemahiran dalam teknologi maklumat, pegagogi dan penilaian dalam talian,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurut Anuar, semua universiti mempunyai platform pembelajaran dalam talian namun isu utama yang dihadapi ialah capaian internet dalam kalangan pelajar.

“Tidak semua pelajar ada capaian internet yang baik di kediaman masing-masing khususnya di kampung dan pedalaman. Jadi pembelajaran dalam talian secara terus seperti aplikasi zoom mungkin pilihan kedua.

“Pilihan yang baik ialah dalam talian yang bukan real time seperti menggunakan google classroom, telegram dan sebagainya,” katanya, sambil menambah, jika melihat keadaan semasa, Malaysia belum bersedia sepenuhnya menggunakan kaedah pembelajaran dalam talian berikutan kekurangan prasarana, internet terutama di luar bandar.

Masih belum optimum

Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran mengakui penggunaan pembelajaran dalam talian di peringkat universiti belum lagi sampai ke tahap maksimum.

Ini memandangkan kaedah bersemuka dengan pelajar tetap menjadi pilihan.

Menurut beliau, apabila berlaku krisis yang dialami sekarang, adalah baik sekali untuk untuk melihat semula sistem yang kita ada dan bagaimana untuk meningkatkan lagi keberkesanannya.

“Sudah tiba masanya untuk kita memantapkan lagi proses pembelajaran dalam talian di negara kita, sama seperti yang dilaksanakan di beberapa buat negara maju.

“Walaupun mereka tidak mempunyai Covid -19 ketika itu tetapi mereka sudah pun merealisasikan dan mengaplikasikan pembelajaran dalam talian. Walaupun tidak 100 peratus tetapi dibina sistem sedemkian,” katanya.

Universiti di Malaysia, tambah beliau, tidak mempunyai masalah untuk mengaplikasikan pembelajaran dalam talian kerana jaringan internet yang baik.

Jika ada pun yang bermasalah, jelas beliau, ia mungkin hanya lima peratus atau kurang.

Bagaimanapun, pembelajaran dalam talian masih boleh dilakukan melalui cara lain, antaranya melalui rakaman video yang boleh dihantar kepada pelajar melalui WhatsApp atau Telegram.

“Ini juga masih boleh dilaksanakan (pengajaran melalui video) sekiranya pembelajaran dalam talian tidak boleh dilaksanakan kepada pelajar disebabkan jaringan internet yang bermasalah,” katanya.

Menurut Mohammad Shatar, pembelajaran dalam talian bukan perkara baharu di universiti terutama bagi pengajaran di luar kampus dan di pesisir yang mana pelajar tidak perlu datang ke pusat kampus.

“Semua pembelajaran dilakukan secara dalam talian termasuk persidangan dan sebagainya. Di UPSI sendiri ada beberapa pelajar pesisir seperti di Sibu, Tawau, Kota Kinabalu dan Indonesia. Kini UPSI merancang untuk menambah lagi kampus di beberapa negara seperti di Asia Barat dan China.

“Pastinya kalau tidak ada pembelajaran secara dalam talian ini, ia menjadi satu perkara yang amat mendatangkan masalah dan meningkatkan logistik kepada pensyarah dan sebagainya,” katanya.

Perlu capaian internet lebih baik

Sementara itu, Guru Cemerlang Bahasa Melayu, Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Mulia, Cheras, Haslindar Nor Ismail berkata tempoh PKP yang dilanjutkan memberi kesan kepada pengajaran di sekolah terutama silibus yang ditetapkan KPM.

Bagi memastikan pelajarnya tidak ketinggalan, beliau memulakan pembelajaran dalam talian menggunakan google classroom sejak PKP mula dilaksanakan 18 Mac lalu.

Sayangnya, tidak semua pelajar masuk ke dalam kelas maya itu, kata Haslindar yang berpengalaman mengajar hampir 20 tahun.

“Terdapat banyak kekangan dalam kalangan murid. Mereka masih belum dapat menyesuaikan diri memasuki kelas maya seperti ini kerana suasananya yang berbeza daripada kelas harian biasa,” katanya kepada Bernama.

Selain itu, halangan lain yang menyebabkan mereka tidak dapat turut serta dalam kelas maya disebabkan tiada kemudahan internet dan peralatan.

Menurut beliau, ramai dalam kalangan pelajar berasal daripada keluarga miskin bandar yang mana mereka tidak mempunyai telefon pintar, komputer riba atau komputer di rumah.

“Mereka juga tidak mempuyai capaian internet. Jadi sukar untuk mengoptimumkan pengajaran dan pembelajaran dalam talian ini,” katanya.

Beliau berkata tidak hanya murid, guru yang tinggal di luar bandar terutamanya juga berhadapan dengan masalah pengajaran di alam maya disebabkan capaian internet yang lemah.

Selain itu menurut beliau, masih ramai lagi guru yang kurang berkemahiran dalam penggunaan teknologi maklumat bagi membolehkan mereka menyampaikan bahan pengajaran dalam talian.

“KPM memperkenalkan pelbagai kaedah pengajaran dalam talian. Jika sebelum ini pengajaran dalam talian hanya sebagai bahan bantu mengajar bukan dikira kaedah utama pembelajaran.

“Tetapi apabila berlaku krisis dan PKP dikuatkuasakan, pengajaran dalam talian sudah dikira sebagai kaedah utama pembelajaran. Jadi sudah tiba masanya untuk kita mantapkan lagi pembelajaran dan pengajaran dalam talian ini terutamanya untuk kegunaan pada masa akan datang,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

PKP: Selangor ubah waktu operasi pasar pagi, pusat servis kenderaan

SHAH ALAM, 1 APRIL: Selangor mengubah waktu operasi beberapa perkhidmatan berkuat kuasa hari ini sehingga tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata setiausaha Kerajaan Negeri.

Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya berkata pasar borong dibenar beroperasi bermula 4 hingga 10 pagi, pasar awam (6 pagi hingga 12 tengah hari), manakala pusat servis kenderaan dan kedai alat ganti dari 9 pagi hingga 4 petang.

“Operasi pasar raya, kedai runcit dan serbaneka, restoran (bawa pulang dan bungkus), perkhidmatan penghantaran makanan serta barangan runcit dan stesen minyak masing-masing dibenar beroperasi dari 8 pagi hingga 8 malam.

“Pengangkutan awam pula dari 6 hingga 10 pagi dan 5 petang hingga 10 malam, pengangkutan komersial (digalak beroperasi mulai 7 malam hingga 7 pagi), manakala e-panggilan dan teksi dari 6 pagi hingga 10 malam,” katanya dalam pekeliling yang dikeluarkan hari ini.

Mohd Amin berkata perubahan itu dibuat dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Keselamatan Negeri yang dipengerusikan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari, Isnin lalu.

Katanya, ia juga selaras ketetapan Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara: Pengurusan Covid-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam.

PKP fasa kedua dilaksanakan bermula hari ini hingga 14 April depan susulan peningkatan kes Covid-19 di seluruh negara.

Categories
AGENDA NASIONAL

Lanjutan PKP: Pembekal makanan, ubatan boleh terus beroperasi

PUTRAJAYA, 1 APRIL: Syarikat pengeluar, pemborong, logistik, peruncitan dan e-dagang dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga 14 April ini.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagaimanapun berkata pelaksanaan operasi semasa PKP tertakluk kepada arahan lain daripada Majlis Keselamatan Negara, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan.

“Kementerian berharap pemain industri memberi kerjasama penuh sepanjang tempoh PKP dan mematuhi syarat untuk beroperasi seperti yang ditetapkan,” kata menterinya Datuk Alexander Nanta Linggi dalam kenyataan hari ini.

Nanta menjelaskan surat pengesahan KPDNHEP kepada pemain industri hanya membabitkan sektor bekalan makanan dan perubatan.

Pengesahan itu turut dipanjangkan kepada setiap rantaian pengedaran serta subsektor yang menyokong dan membantu pemain industri dalam sektor bekalan makanan dan perubatan.

Selain itu, Nanta berkata kebenaran untuk bekerja hanya terpakai kepada pekerja yang disenaraikan dalam permohonan syarikat yang diluluskan oleh KPDNHEP.

“Pihak majikan perlu menyediakan salinan surat kelulusan KPDNHEP berserta lampiran senarai pekerja untuk memudahkan pergerakan mereka ke tempat kerja, menghantar bekalan dan pulang ke lokasi kediaman,” katanya.

Menurutnya, langkah itu penting bagi memastikan penularan virus Covid-19 dapat dibendung secara efektif.

Bagi mendapatkan penerangan lanjut, pemain industri dan orang ramai boleh menghubungi Sekretariat Perdagangan Pengedaran dan Industri Perkhidmatan (SPIP) di talian 03-8882 5881/ 5905 atau emel kepada [email protected].

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PKP: ATM nafi pukul orang awam

KUALA LUMPUR, 1 APRIL: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menafikan anggotanya memukul dan mencederakan seorang individu ketika melaksanakan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung wabak Covid-19.

Panglima ATM Jeneral Tan Sri Affendi Buang menegaskan dakwaan yang tular di media sosial itu palsu dan mereka yang menyebarkannya boleh didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Gambar tular berkenaan merupakan kejadian yang dilaporkan dalam Facebook Govt. Commerce College, Chittagong, Bangladesh bertarikh 17 Julai 2019.

“Masyarakat diminta berhenti menyebarkannya serta-merta, kerana mesej atau informasi itu boleh mencetuskan kebimbangan dalam kalangan rakyat,” katanya dalam kenyataan semalam.

Affendi berkata orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini berhubung PKP melalui Telegram Majlis Keselamatan Negara di pautan https://t.me/MKNRasmi.

Terdahulu, tular di media sosial beberapa keping gambar dan audio, yang mendakwa seorang lelaki cedera dipukul oleh anggota tentera kerana mengingkari PKP.

-BERNAMA

Categories
PENDAPAT RENCANA

Tempuh gelombang Covid-19, PKP dan Prihatin perisai rakyat

Oleh Siti Baaqiah Mamat dan Anis Nabilla Md Wazilah

KUALA LUMPUR, 1 APRIL: Malaysia, yang pertama kali menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) melanjutkan perintah kawalan itu sehingga 14 April dengan lebih ketat, dalam usahanya memerangi wabak Covid-19 selepas fasa pertama berakhir tepat 12 tengah malam tadi.

Sepanjang tempoh pelaksanaan PKP fasa pertama, pelbagai langkah dan usaha diambil sama ada di pihak kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), mahupun orang perseorangan yang dilihat berganding bahu bagi memutuskan rantaian penularan Covid-19 yang boleh membawa maut.

Tegas mengambil tindakan untuk membendung penularan virus yang setakat semalam mengorbankan 43 nyawa dan menjangkiti 2,766 orang, kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan yang diklasifikasi sebagai zon merah Covid-19.

PKPD sehingga kini dikuatkuasakan di Simpang Renggam, Kluang, Johor yang melibatkan 3,570 penduduk; Sungai Lui, Hulu Langat Selangor (3,918 orang di tujuh kampung) dan Menara City One, Jalan Munshi Abdullah, yang melibatkan 3,200 penghuni kondominium itu.

Polis melakukan sekatan jalan raya di Kampung Sungai Lui, Batu 21 Hulu Langat pada 30 Mac 2020 susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan di kawasan tersebut, mulai tengah malam tadi. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pelaksanaan PKP, yang dilihat sebagai usaha segera untuk memutuskan rantaian jangkitan dalam komuniti, antara lain menyaksikan penguatkuasaan sekatan perjalanan keluar dari negeri masing-masing termasuk ke luar negara, menutup rumah ibadat, sekolah dan institut pengajian tinggi bagi melindungi rakyat.

Tempoh dua minggu yang tidak pernah dilalui rakyat di negara ini memberi pelbagai pengalaman baharu antaranya bekerja dari rumah, berkurung di rumah, hanya ketua keluarga dibenar membeli barangan keperluan, menggunakan aplikasi dalam talian untuk membeli barangan, kuliah dan mesyuarat secara telesidang dan memastikan amalan kebersihan diri tahap tinggi, serta jarakan sosial.

Sama ada tidak ambil peduli atau sengaja ingkar perintah, terdapat segelintir rakyat yang masih melepak, keluar rumah tanpa alasan munasabah dan ada juga yang beriadah, sehingga Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin merayu agar rakyat, untuk terus berada di rumah masing-masing, selama tempoh dua minggu itu.

Kerajaan turut meningkatkan penguatkuasaan dengan melakukan beberapa tangkapan terhadap individu yang masih ingkar, selain menggerakkan anggota tentera untuk membantu polis dalam menguatkuasakan PKP bermula 22 Mac.

Menerusi siaran televisyen dan radio, Muhyiddin beberapa kali muncul menyampaikan amanat dan perutusan kepada rakyat, mengenai langkah kerajaan untuk menangani wabak Covid-19 serta mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi, ekoran kesannya kepada ekonomi dan kehidupan rakyat.

Petugas kesihatan yang mengenakan pakaian perlindungan menjalankan ujian Covid-19 di Kuala Lumpur pada 23 Mac 2020. Foto REUTERS

Memberi tumpuan kepada kesihatan awam sebagai keutamaan, kerajaan menyalurkan peruntukan tambahan berjumlah RM600 juta kepada Kementerian Kesihatan (KKM) bagi menyokong usaha menangani Covid-19 dan membiayai pengambilan petugas baharu secara kontrak, terutamanya jururawat.

Sejumlah RM500 juta digunakan untuk membiayai pembelian peralatan perubatan seperti ‘ventilator’ dan peralatan Unit Rawatan Rapi (ICU), peralatan perlindungan diri (PPE) tambahan, bagi kakitangan perkhidmatan perubatan awam serta keperluan makmal untuk saringan Covid-19.

Tempoh PKP itu menyaksikan negara menerima pelbagai bantuan daripada negara luar, NGO dan rakyat, dalam pelbagai bentuk sama ada peralatan perubatan, sukarelawan, anggota perubatan dan kewangan.

Kapasiti makmal KKM yang terbabit dalam menjalankan ujian pengesanan Covid-19 diperluaskan, dengan bantuan daripada Kementerian Pengajian Tinggi serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, yang menyediakan 10 makmal diagnostik tambahan.

Bagi membela nasib golongan yang terjejas akibat pelaksanaan PKP, kerajaan mengambil inisiatif drastik dengan membentangkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) sebanyak RM250 bilion, yang boleh diibaratkan sebagai ‘pucuk dicita ulam mendatang’.

Daripada keseluruhan jumlah itu, hampir RM128 bilion disalurkan untuk melindungi kebajikan rakyat, RM100 bilion untuk menyokong perniagaan termasuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan RM2 bilion untuk mengukuhkan ekonomi negara.

-BERNAMA

Categories
PBT SELANGOR

MBSA pesan duduk di rumah, patuhi PKP

SHAH ALAM, 1 APRIL: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan aktiviti luar dan berada di rumah untuk membendung penularan Covid-19.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya Shahrin Ahmad kerjasama orang ramai diperlukan bagi memastikan usaha kerajaan memutuskan rantaian wabak tersebut berjaya.

“Orang ramai juga dinasihatkan sentiasa menjaga kebersihan agar dapat membendung wabak ini,” katanya kepada SelangorKini semalam.

Kelmarin, MBSA memberi amaran tegas kepada sekumpulan individu yang berbasikal dan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Setia Alam.

Individu yang didapati melanggar PKP boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 307 dan 186 Kanun Keseksaan serta Peraturan 7 (1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Putus rantaian Covid-19, PKP fasa kedua kritikal buat rakyat

KUALA LUMPUR, 1 APRIL: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memasuki fasa kedua bermula hari ini, menjadi tempoh kritikal buat rakyat Malaysia dalam menentukan usaha memutuskan rantaian jangkitan wabak Covid-19, berjaya atau sebaliknya.

Keberkesanannya antara lain bergantung kepada tahap disiplin tinggi rakyat mematuhi PKP dalam usaha membendung gelombang pandemik itu yang kini menyaksikan rakyat terus ‘dirayu’ untuk duduk di rumah, kerap membasuh tangan serta mengamalkan jarakan sosial ditetapkan.

Walaupun tahap pematuhan rakyat terhadap PKP melebihi 90 peratus, angka itu mungkin tidak menggambarkan situasi sebenar secara keseluruhannya apabila masih terdapat individu ditahan kerana ingkar arahan dengan memberi pelbagai alasan tidak munasabah.

Dalam tempoh dua minggu pelaksanaan PKP fasa pertama sejak 18 Mac, trend jumlah kes positif baharu harian didapati meningkat dan kadang kala mendatar, sementara jumlah kes harian yang didiscaj dari wad meningkat saban hari.

Namun, melihat kepada bilangan kes positif yang masih tinggi menyebabkan kerajaan tiada pilihan selain mengetatkan lagi tatacara operasi piawai (SOP) fasa kedua pelaksanaan PKP sehingga 14 April ini, terutama terhadap sekatan ke atas kawalan masa dan pergerakan.

Ia menyaksikan semua premis perniagaan yang menjual barangan keperluan harian termasuk pasar raya serta stesen minyak hanya dibenarkan beroperasi dari 8 pagi hingga 8 malam.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika menyatakan perkara itu berkata gerai dan restoran serta perkhidmatan penghantaran makanan juga perlu beroperasi pada waktu yang sama dalam tempoh fasa kedua itu.

Berkuat kuasa hari ini juga, kerajaan menetapkan harga siling baharu bagi penutup hidung dan mulut pada RM1.50 seunit.

Keseriusan kerajaan membendung penularan wabak itu juga dapat dilihat apabila semua rakyat Malaysia yang kembali dari luar negara perlu menjalani tempoh kuarantin selama 14 hari di tempat khas yang ditetapkan oleh kerajaan berkuat kuasa 3 April ini.

Apa yang pasti, tempoh 14 hari akan datang mungkin juga menjadi bayangan kepada persoalan sama ada bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri tahun ini dapat disambut seperti biasa ataupun sebaliknya.

Memetik kata-kata Ismail Sabri: “Yang boleh memastikan tidak ada PKP (fasa) ketiga, PKP (fasa) keempat dan kita boleh berhari raya seperti biasa adalah tuan-tuan dan puan-puan sendiri.

“Jika kita terus mematuhi setiap arahan dan SOP yang dikeluarkan kerajaan, saya percaya perkara tentang ketakutan kita untuk sambungan PKP tersebut akan dapat diselesaikan.”

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

PKP: Pastikan kekal cergas, MB kongsi idea senaman di rumah

SHAH ALAM, 31 MAC: Dato’ Menteri Besar berkongsi idea senaman di rumah untuk kekal cergas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Melalui hantaran di Twitter, Dato’ Seri Amirudin Shari mencadangkan lima jenis senaman iaitu bangkit tubi, lompat bintang, plank, gerak maju (lunges) dan senaman perut (crunches).

“Walaupun perlu berada di rumah sahaja sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, namun kita tetap perlu menjaga kesihatan tubuh badan.

“Amalkan senaman di rumah selama 30 minit setiap hari untuk kekal cergas dan cerdas,” tulisnya.

Kerajaan memutuskan pelaksanaan PKP fasa kedua hingga 14 April susulan peningkatan kes Covid-19.

Foto Twitter Amirudin Shari
Categories
PBT SELANGOR

MPK larang aktiviti di tapak binaan hingga 14 April

SHAH ALAM, 31 MAC: Majlis Perbandaran Klang melanjutkan tempoh pemberhentian aktiviti di tapak binaan sehingga 14 April selari lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Timbalan Yang Dipertuanya Elya Marini Darmin berkata semua pemilik, pemaju dan kontraktor perlu memastikan tiada pekerja berada di tapak binaan selain memantau dan memastikan kawasan tersebut selamat dan bersih.

“Mereka juga perlu pastikan kawasan itu bebas daripada risiko bencana dan tiada kenderaan keluar masuk,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau juga mengingatkan pihak berkaitan bahawa MPK tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kos dan kerugian sepanjang PKP.

PKP dilaksanakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Ismail Sabri: Rakyat boleh sambut Aidilfitri jika patuhi PKP

SHAH ALAM, 31 MAC: Rakyat di negara ini boleh meraikan sambutan Aidilfitri sekiranya terus mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan hingga 14 April ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata hanya rakyat yang boleh menentukan sama ada PKP dilanjutkan, sekali gus merungkai kegusaran untuk menyambut perayaan itu pada Mei.

“Ramai bertanya, adakah selepas PKP fasa kedua (berakhir 14 April) ini akan disambung kepada PKP ketiga atau keempat, bolehkah kita berhari raya?

“Sememangnya ramai yang ingin kembali kepada kehidupan biasa, justeru yang boleh pastikan tiada PKP seterusnya adalah rakyat sendiri. Jika patuh, maka ketakutan untuk PKP bersambung dapat diselesaikan,” kata pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata jumlah tangkapan individu ingkar PKP semakin menurun iaitu 742 sehingga semalam, berbanding 828 kelmarin.

“Trend ini dilihat menurun, sekali gus memberi gambaran bahawa rakyat semakin patuh dan saya berharap keadaannya berterusan,” katanya.

Pada 25 Mac lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan lanjutan PKP hingga 14 April susulan peningkatan kes positif Covid-19.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pensyarah: Jaga makan, bersenam elak tekanan semasa PKP

KUALA LUMPUR, 31 MAC: Bimbang, risau, takut dan cemas kerana pandemik wabak Covid-19 atau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)?

Itu merupakan simptom normal manusia ketika keadaan krisis, namun ia boleh mengakibatkan masalah kesihatan mental jika perasaan itu berpanjangan dan tidak dikawal serta ditangani dengan betul.

Pensyarah Kanan Unit Pakar Kesejahteraan dan Kaunseling (PKPK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Abdul Rahman Ahmad Badayai berkata oleh itu, rakyat Malaysia harus mengamalkan pemakanan sihat, bersenam di rumah dan berhubung dengan orang lain melalui media sosial ketika PKP.

“Masyarakat juga akan terus mempunyai perasaan cemas dan takut kerana sering terdedah dengan berita palsu di media sosial. Apabila kita selalu hendak mendapatkan info terkini mengenai Covid-19, kita akan berasa cemas, lagi-lagi membaca berita palsu,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Abdul Rahman berkata bagi membantu rakyat Malaysia yang mengalami masalah kesihatan mental ketika krisis Covid-19 dan pelaksanaan PKP, UKM menyediakan perkhidmatan sokongan kesihatan mental dan psikososial.

Katanya, rakyat Malaysia yang memerlukan sokongan mental boleh mendapatkan perkhidmatan yang disediakan termasuk Pertolongan Psikologi Pertama atau Psychological First Aid (PFA) iaitu respons untuk menenangkan emosi ketika krisis atau bencana.

“Kebiasaanya, kami mengamalkan prinsip 3L iaitu look (melihat), listen (mendengar) dan link (menghubungkan) ketika memberi PFA. Namun, dalam situasi sekarang, kami hanya mendengar dan menghubungkan,” katanya.

Pakar Perunding Psikologi itu menjelaskan, pihaknya menerima beberapa panggilan orang ramai khususnya daripada individu yang risau mempunyai simptom Covid-19 dan individu yang tinggal berseorangan di rumah.

Beliau berkata seramai tujuh pelajar Sarjana Psikologi UKM yang telah mendapat latihan psikologi terlibat dalam pemberian sokongan mental itu.

“Kami akan mendengar masalah dan akan menghubungkan mereka berdasarkan gangguan emosi yang dihadapi,” katanya sambil menjelaskan jika seseorang mempunyai sejarah kesihatan mental seperti kemurungan atau tekanan, ia berkemungkinan akan memuncak ketika PKP.

Orang ramai boleh menghubungi 03-2022 5529 dari Isnin hingga Jumaat (9.00 pagi hingga 6.00 petang) bagi mendapatkan bantuan kesihatan mental UKM.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

PKP: Selangor selaras operasi perniagaan 8 pagi hingga 8 malam

SHAH ALAM, 30 MAC: Kerajaan Selangor menyelaras tempoh masa operasi perniagaan dari 8 pagi hingga 8 malam di semua pihak berkuasa tempatan bermula 1 April ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penyelarasan itu dibantu pegawai daerah selaku pengerusi jawatankuasa keselamatan daerah dan kemudiannya diselaraskan oleh pentadbiran setiausaha Kerajaan Selangor.

“Kerajaan Negeri akan terus memberi kerjasama kepada Majlis Keselamatan Negara dalam usaha menggempur penularan wabak Covid-19.

“Sinergi melibatkan Kerajaan Negeri dengan agensi pelaksana terus dimantapkan, namun diharapkan rakyat Selangor kekal mematuhi arahan berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kerajaan Negeri membuat ketetapan penyelarasan waktu operasi perniagaan selaras pengumuman dibuat Kerajaan Persekutuan hari ini, antaranya :

1. Pasar borong : 6 pagi hingga 4 petang

2. Pasar awam : 8 pagi hingga 4 petang

3. Pasar raya, kedai runcit dan serbaneka : 8 pagi hingga 8 malam

4. Restoran : 8 pagi hingga 8 malam

5. Perkhidmatan penghantaran : 8 pagi hingga 8 malam

6. Pengangkutan awam : 6 pagi hingga 10.00 pagi; dan 5 petang hingga 10 malam

7. Pengangkutan komersial : 7 malam hingga 7 pagi

8. E-hailing dan teksi : 6 pagi hingga 10 malam

9. Stesen minyak : 8 pagi hingga 8 malam