Categories
NASIONAL

Aliran trafik di beberapa lebuh raya terkawal

OLEH SABIRAH AZIZ

SUBANG, 16 FEB: Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama masih lagi terkawal walaupun terdapat beberapa tempat menuju ke arah utara perlahan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ia ekoran pergerakan kenderaan berat yang perlahan menaiki bukit, dari Tapah dan terowong Menora.

“Trafik di selatan juga lancar, namun kenderaan dilihat agak perlahan menuju ke Skudai dan pintu masuk ke Singapura.

“Bagaimanapun, secara umumnya, keadaan trafik agak lancar dan terkawal dengan tiada kesesakan serius,” katanya.

Sementara itu, Fadillah berkata, keadaan di lebuh raya dan jalan persekutuan pula didapati agak lengang.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pemantauan trafik melalui udara sempena cuti Tahun Baharu Cina, di Menara Korporat Persada PLUS, di sini.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Seri Shaharuddin Khalid; Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Ir Ismail Md Salleh dan Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad, Datuk Azman Ismail.

 

Categories
NASIONAL

Tahun Baru Cina: PLUS tawar rebat tol 20 peratus

PETALING JAYA, 2 FEB: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menawarkan rebat 20 peratus  pada beberapa hari bukan puncak sempena Tahun Baru Cina sebagai inisiatif mengurangkan kesesakan lalu lintas.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, rebat tersebut ditawarkan pada 4 hari bukan puncak iaitu 12, 13, 20 dan 21 Februari kepada pengguna kenderaan Kelas 1 dengan perjalanan melebihi 100KM dan membayar tol menggunakan kad PLUSMiles atau Touch ‘n Go yang telah didaftarkan menerusi portal PLUSMiles.

Katanya, inisiatif itu diambil memandangkan kira-kira 1.6 juta kenderaan dijangka menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan pada hari puncak cuti perayaan Tahun Baru Cina iaitu peningkatan sebanyak 10.3 peratus berbanding hari-hari biasa.

“Pada tarikh-tarikh tersebut, orang ramai masih perlu membayar tol dengan kadar biasa.

“Bagaimanapun, rebat tol 20 peratus akan dimasukkan ke dalam kad PLUSMiles atau Touch ‘n Go masing-masing (dalam bentuk Tambah Nilai) apabila pemegang kad PLUSMiles atau Touch ‘n Go yang berdaftar menambah nilai kad mereka di pusat-pusat khidmat pelanggan PLUS di antara 15 Mac sehingga 14 Jun 2018,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, tawaran rebat itu merupakan langkah PLUS menggalakkan orang ramai bergerak pada hari-hari bukan puncak di samping memberi penghargaan kepada pemegang kad PLUSMiles dan Touch ‘n Go berdaftar dengan portal PLUSMiles menerima manfaat.

 

Untuk mendaftar, pemegang kad PLUSMiles atau Touch ‘n Go boleh melayari portal PLUSMiles di www.plusmiles.com.my untuk melayakkan mereka menikmati rebat tol yang ditawarkan.

Walau bagaimanapun, rebat ini tidak meliputi transaksi tol di Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar, Tanjung Kupang dan Jambatan Pulau Pinang.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Kerja roboh tol Batu Tiga, Sungai Rasau selesai Mac

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 19 JAN: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan kerja perobohan struktur bangunan Plaza Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau selesai penghujung Mac ini.

Pengarah Urusannya, Datuk Azman Ismail berkata, proses melantik kontraktor bermula sejak Disember lalu dan ketika ini, PLUS sedang memuktamadkan pemilihan kontraktor untuk melaksanakan kerja perobohan.

“Kontraktor akan memulakan kerja perobohan selepas perayaan Tahun Baharu Cina.

“Ini ekoran semua kerja terbabit perlu dilakukan secara berperingkat memandangkan ia dilaksanakan di dalam persekitaran lalu lintas yang sentiasa bergerak,” katanya.

Azman berkata, kerja awalan seperti pemindahan peralatan tol, papan tanda serta aset lain akan dilaksanakan terlebih dahulu, sebelum kerja perobohan struktur fizikal bermula.

Justeru, pemandu dinasihatkan supaya memperlahankan kenderaan serta mematuhi semua papan tanda keselamatan dan lebih berhati-hati ketika menghampiri kedua plaza tol berkenaan.

“PLUS tidak berkompromi terhadap aspek keselamatan ketika kerja terbabit dijalankan,” katanya.

Categories
NASIONAL

Kerja perobohan dua tol akan disegerakan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 18 JAN: Kementerian Kerja Raya akan menyegerakan kerja merobohkan plaza tol di Batu Tiga dan Sungai Rasau bagi meningkatkan kelancaran aliran trafik.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pengendali lebuh raya terbabit, PLUS juga sudah mengeluarkan tender kepada kontraktor bagi menguruskan kerja merobohkan pondok tol.

“Memang kita akan robohkan (binaan plaza tol) selepas dua tol itu dimansuhkan. Kita harap kerja ini dapat disegerakan.

“Memang kita akui plaza tol sedia ada ketika ini adakalanya menghalang kelancaran lalu lintas dan menjejaskan keselesaan pengguna,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Pusat Penempatan Pekerja (CLAB) CLQ V, laporan Berita Harian Online.

Bermula 1 Januari lalu, Kerajaan Persekutuan memutuskan pemansuhan kutipan tol di Plaza Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau, Selangor di samping tol Bukit Kayu Hitam, Kedah dan Eastern Dispersal Link, Johor.

Categories
NASIONAL

Plaza Tol Bukit Kayu Hitam beroperasi di lokasi baharu mulai esok

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 31 OKT: Plaza Tol Bukit Kayu Hitam di KM0.65 Lebuhraya Utara-Selatan akan berpindah dan beroperasi di lokasi baharu di KM1.0 mulai jam 6 pagi, esok.

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dalam kenyataan berkata, pembukaan plaza tol itu juga serentak dengan pembukaan Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam yang baharu esok.

Katanya pemindahan itu sebahagian daripada projek pembangunan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin & Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam yang baharu.

“Namun demikian, selepas beroperasi di lokasi baharu esok, kutipan tol di Plaza Bukit Kayu Hitam berkuatkuasa sehingga 31 Disember sahaja berikutan pengumuman pemansuhan tol seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam pembentangan Bajet 2018.

“Selain itu, bermula esok, tempoh operasi plaza tol ini akan dilanjutkan di antara jam 6 pagi hingga 2 pagi setiap hari berbanding 6 pagi hingga 12 tengah malam ketika ini bagi urusan perjalanan orang ramai di sempadan,” katanya.

Sebelum ini pengguna media sosial mempersoalkan kewajaran pemindahan Plaza Tol Bukit Kayu Hitam itu berikutan Perdana Menteri mengumumkan pemansuhan kutipan tol di lokasi itu semasa Bajet 2018.

=EZY=

 

Categories
NASIONAL

Lorong tambah nilai PLUS ditutup sempena Deepavali

KUALA LUMPUR 11 OKT: Kesemua 134 lorong tambah nilai di plaza tol lebuh raya PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan ditutup sementara dari 17 hingga 19 Oktober ini bersempena cuti perayaan Deepavali.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, penutupan lorong itu bertujuan melancarkan perjalanan trafik dan mengurangkan kesesakan yang dijangka berlaku akibat pengguna lebuh raya beratur di lorong tambah nilai.

Bagaimanapun, Azman berkata, lorong tambah nilai di plaza tol Bukit Kayu Hitam dan Bangunan Sultan Iskandar tidak ditutup.

“Pengguna lebuh raya perlu memastikan kad mereka mempunyai baki yang mencukupi sebelum memasuki lebuh raya atau menambah nilai kad di 9,200 lokasi lain termasuk mesin ATM, kedai serbaneka 24 jam dan stesen minyak di semua hentian rehat dan rawat di sepanjang lebuh raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, langkah penutupan lorong tersebut pada musim perayaan yang lepas telah berjaya mengurangkan kesesakan di plaza tol dan pendekatan yang sama akan diambil untuk musim perayaan akan datang.

SUMBER: BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Aliran trafik dilapor bergerak perlahan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 3 SEPT: Aliran trafik dilaporkan bergerak perlahan di beberapa lebuh raya utama sejak pagi tadi berikutan pertambahan kenderaan menuju ke destinasi masing-masing.

Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memaklumkan aliran trafik itu mula bertambah secara berperingkat bermula jam 10 pagi tadi hingga tengah hari ini.

Di Karak menuju ke Kuala Lumpur, trafik mulai perlahan sekitar Plaza Tol Bentong terus ke Lentang sejak jam 12 tengah hari.

Manakala Lebuhraya PLUS, aliran trafik perlahan di Changkat Jering ke Bukit Berapit, Kuala Kangsar menuju Menora dan Jelapang ke Simpang Pulai.

Sementara itu, kesesakan turut dilaporkan di Gopeng menuju Bidor dan Sungai ke Slim River.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Aliran trafik bergerak perlahan

KUALA LUMPUR, 24 JUN: Aliran trafik dilaporkan bergerak perlahan di beberapa kawasan di lebuh raya utama ekoran masih ramai dalam perjalanan pulang ke kampung sempena Aidilfitri, yang dijangka disambut esok.

Menurut jurucakap Pusat Kawalan Trafik Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), aliran trafik ke utara di Lebuhraya Utara-Selatan sesak dari Sungai Buaya ke Bukit Beruntung, Bukit Beruntung ke Bukit Tagar dan Bukit Tagar ke Lembah Beringin.

“Aliran trafik juga bergerak perlahan dari Lembah Beringin menuju ke Tanjung Malim dan seterusnya ke Behrang, setakat jam 9 pagi tadi,” katanya lapor BERNAMA.

Beliau berkata, keadaan sama juga dilaporkan di kawasan Slim River menuju ke Sungkai, Sungkai ke Bidor, Bidor ke Tapah, Tapah ke Gua Tempurung, Gopeng ke Simpang Pulai, Jelapang ke Tanjung Menora dan Tanjung Menora ke Sungai Perak.

Jurucakap itu berkata, aliran trafik arah Selatan pula hanya sesak dari Nilai ke kawasan Rehat dan Rawat Seremban.

Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata, aliran trafik di Lebuhraya Pantai Timur hanya perlahan di kawasan Gombak ke arah Bentong.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twittercom/plustrafik atau talian LLM di 1800-887752 serta laman Twitter di www.twitter.com/LLMinfotrafik.

Categories
NASIONAL

Semua tol PLUS dikendali 100% elektronik

PETALING JAYA 23 MAC: Bermula 26 April yang akan datang, semua transaksi tol di semua lebuh raya kendalian PLUS akan dikendalikan secara 100 peratus elektronik.

Bermula pada tarikh tersebut, tiada lagi transaksi tol secara tunai akan dikendalikan dan orang ramai perlu membayar tol menggunakan kad PLUSMiles, kad Touch ‘n Go ataupun SmartTAG.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, pelaksanaan fasa terakhir inisiatif tersebut pada 26 April yang akan datang melibatkan 71 buah lagi plaza tol di antara Juru hingga Skudai.

Dengan pelaksanaan ini, semua plaza tol di semua lebuh raya kendalian PLUS akan beroperasi secara elektronik sepenuhnya. Sebelum ini, inisiatif yang sama telah dilaksanakan secara berperingkat di beberapa laluan lebuh raya sejak tahun 2008.

Berdasarkan rekod PLUS, kira-kira 94 peratus pengguna yang menggunakan laluan Lebuhraya Utara-Selatan di antara Juru dan Skudai telahpun menggunakan sistem pembayaran tol secara elektronik pada ketika ini.

“Justeru itu, kami menasihatkan orang ramai yang masih belum berbuat demikian supaya mendapatkan kad PLUSMiles atau kad Touch ‘n Go di mana-mana Pusat Khidmat Pelanggan PLUS di sepanjang lebuh raya sebelum 26 April ini,” kata Azman dalam satu kenyataan media.

Menurut Azman, pembayaran tol menggunakan sistem elektronik adalah jauh lebih pantas dan lebih selesa berbanding pembayaran secara tunai.

“Lorong SmartTAG mampu mengendalikan 1,000 transaksi dalam tempoh satu jam manakala Lorong Touch ‘n Go pula boleh mengendalikan 600 transaksi dalam tempoh yang sama. Lorong Tunai (Keluar) pula hanya mampu mengendalikan 180 transaksi sahaja dalam masa satu jam,” katanya.

Tambah Azman pada masa sama, PLUS juga secara agresif dan mengambil pelbagai langkah untuk membendung dan mengelak kejadian gangguan terhadap sistem elektronik sepertimana yang pernah berlaku sebelum ini.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Aliran trafik lebuh raya meningkat dan perlahan tengah hari

SHAH ALAM 26 DIS: Aliran trafik di lebuh raya utama negara mulai meningkat dan perlahan setakat jam 12.30 tengah hari ini.

Twitter PLUSTrafik melaporkan aliran trafik menuju ibu negara dan tempat-tempat lain mencatatkan peningkatan jumlah kenderaan.

“1200hrs Trafik perlahan sebelum masuk tol Juru menuju ke Bkt.Tambun. disebabkan jumlah trafik yang meningkat.Harap maklum.

“1204hrs Trafik perlahan selepas Ckt.Jering ke Bkt Berapit arah selatan (Kawasan mendaki ) Harap maklum.

“1214hrs Trafik perlahan selepas Senawang menuju ke arah Seremban. Awasi jarak kenderaan anda.

“1222hrs Trafik kembali lancar sebelum Terowong Menora ke Jelapang. Selamat memandu.

“1238hrs Trafik perlahan selepas keluar tol Sg.Besi menuju ke Pusat Bandar. Harap maklum,” lapor twitter PLUSTrafik.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Aliran trafik lebuh raya utama lancar & terkawal pagi ini

SHAH ALAM 26 DIS: Aliran trafik di lebuh raya utama negara bergerak lancar dan terkawal setakat jam 10 pagi ini.

Twitter PLUSTrafik melaporkan aliran trafik menuju ibu negara dan tempat-tempat lain turut lancar.

“0900hrs Trafik lancar sepanjang lebuhraya PLUS, ELITE, LINKEDUA, BKE, SPDH & Penang Bridge. Semoga selamat sampai ke destinasi yang dituju.

“0951hrs Kemalangan di km 127.7 dari Bertam ke Sg Dua. Insiden selesai.Trafik lancar,” lapor PLUSTrafik.

Aliran trafik di lebuh raya lain termasuk Lebuhraya Pantai Timur 1 dan 2 juga lancar di kedua-dua arah.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Aliran trafik lancar di lebuh raya utama pagi ini

SHAH ALAM 25 DIS: Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama di seluruh negara dilaporkan lancar sehingga jam 9.30 pagi ini.

Menurut jurucakap Plus Malaysia Berhad, aliran trafik menuju ke utara dan selatan dilaporkan terkawal dan lancar.

“0917 hrs Trafik NKVE lancar selepas keluar Plaza Tol Jalan Duta menghala ke Pusat Bandar.

“0914 hrs Trafik NKVE lancar selepas keluar PlazaTol Damansara menghala ke Kayu Ara.

“0906 hrs Trafik NSE lancar dikedua-dua arah sepanjang laluan lebuhraya Bidor Sungkai & seterusnya ke Slim River,” lapor twitter PLUSTrafik.

Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia berkata aliran trafik di semua lebuh raya utama termasuk Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 dan LPT 2 turut dilaporkan lancar.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.cok/plustrafik atau talian LLM di 1800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik.

=EZY=