Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Video Resensi Buku Selangor 2020 tawar RM30,000

SHAH ALAM, 11 MEI: Pertandingan Video Resensi Buku Selangor 2020 menawarkan hadiah wang tunai RM30,000 dengan penyertaan kini dibuka sehingga 12 Jun.

Pertandingan anjuran bersama Bahagian Pendidikan, Pejabat Kerajaan Negeri Selangor dan Perbadanan Perpustaan Awam Selangor (PPAS) bagi siri tahun 2020 dibahagikan kepada 13 kategori bersesuaian dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan penyertaan adalah percuma dan terbuka kepada semua rakyat Malaysia.

Menurut penganjur, antara kategori dipertandingkan adalah:

  1.  Kanak Kanak (4 – 6 Tahun) Bahasa Melayu
  2.  Kanak Kanak (4 – 6 Tahun) Bahasa Inggeris
  3.  Kanak Kanak (7 – 9 Tahun) Bahasa Melayu
  4.  Kanak Kanak (7 – 9 Tahun) Bahasa Inggeris
  5.  Kanak Kanak (10 – 12 Tahun) Bahasa Melayu
  6.  Kanak Kanak (10 – 12 Tahun) Bahasa Inggeris
  7.  Remaja (13 – 17 Tahun) Bahasa Melayu
  8.  Remaja (13 – 17 Tahun) Bahasa Inggeris
  9.  Dewasa (18 Tahun Ke atas) Bahasa Melayu
  10.  Dewasa (18 Tahun Ke atas) Bahasa Inggeris
  11.  Keluarga (bersama sekurang-kurangnya salah seorang daripada ibu atau bapa)

Menerusi hantaran di Facebooknya, PPAS memaklumkan terdapat langkah mudah untuk menyertai pertandingan iaitu:

  1. Rakam video ulasan buku
  2. Muat naik ke akaun media sosial (Facebook, YouTube atau Instagram dengan tetapan awam (setting public)
  3. Tandakan dengan tanda pagar #selangormembaca
  4. Daftar penyertaan dengan mengisi borang secara dalam talian

Bagi pemilihan kategori iaitu 1 hingga 11 boleh rujuk maklumat lanjut dan borang pendaftaran di pautan https://bit.ly/2VbJtxF manakala untuk kategori 12 dan 13 akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

Categories
AGENSI SELANGOR

Sumbang buku, 22 individu jaya Projek Perpustakaan Rumah Selangor

SHAH ALAM, 24 APRIL: Seramai 22 individu termasuk tokoh masyarakat pelbagai bidang setuju menyumbangkan koleksi buku bagi menjayakan Projek Perpustakaan Rumah Selangor, kata Dr Muhamad Alinor Abdul Kadir.

Ahli lembaga pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) berkata kerjasama semua pihak tersebut memberi makna kepada projek untuk menaik taraf kualiti atau daya intelek penduduk di negeri ini.

“Ini kerana biasanya koleksi peribadi kualiti kandungannya lebih tinggi berbanding yang ada di PPAS dan rata-rata mereka memiliki lebih 500 buku termasuk mempunyai perpustakaan di rumah masing-masing.

“Antara 22 individu itu adalah Datuk Dr Siddiq Fadzil, Dr Shaharir Mohamad Zain, Dr Abdul Halim El-Muhammady, SM Zakir, Lutfi Ishak, Dr Sharifah Kartini dan Wan Ji Wan Hussain,” katanya.

Muhamad Alinor berkata semua koleksi itu akan dikatalog dan dimuatkan ke laman sesawang PPAS dengan persetujuan individu berkenaan.

Beliau berkata pihaknya bercadang membuat pelbagai program seperti pameran koleksi, membaca, pameran manuskrip, buku-buku lama yang diterbitkan sebelum 1900 dan sebagainya.

“Projek ini akan diteruskan selepas Perintah Kawalan Pergerakan dan jika keadaan beransur baik, pertengahan Mei nanti kita akan bermesyuarat untuk langkah selanjutnya,” tambahnya.

Categories
SELANGOR

11 hari Pesta Buku Selangor sasar 500,000 pengunjung

SHAH ALAM, 19 JAN: Penganjuran Pesta Buku Selangor 2020 (PBS2020) selama 11 hari bermula 27 Februari ini menyasarkan kehadiran 500,000 pengunjung.

Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Mastura Muhamad berkata pihaknya selaku penganjur optimis sasaran itu mampu dicapai kerana PBS2019 berjaya mencatatkan kehadiran lebih 498,000 pengunjung.

“Tahun sebelumnya (2018) kita pernah capai kehadiran hampir 515,000 pengunjung. Diharap akan lebih ramai hadir pada penganjuran kali ini,” katanya kepada SelangorKini.

Mastura berkata semua negeri menjalinkan kerjasama bagi mempromosikan setiap penganjuran pesta buku untuk menarik lebih ramai pengunjung terutama penulis baharu.

PBS2020 akan berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) dari jam 10 pagi hingga 9 malam dan dilanjutkan kepada 10.30 malam bagi hari Sabtu dan Ahad.

Categories
AGENDA SELANGOR

Naik taraf enam perpustakaan dijangka siap tahun ini

SHAH ALAM, 19 JAN: Enam perpustakaan yang dinaik taraf Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dijangka siap sepenuhnya tahun ini.

Pengarahnya, Mastura Muhamad berkata kerja itu mengikut jadual yang ditetapkan dan diharap dapat menarik masyarakat setempat mengunjunginya.

“Tahun ini antara lokasi perpustakaan yang dijangka siap adalah Dataran Sabak, Kampung Endah Banting, Sabak Bernam, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Tanjong Karang.

“Segalanya berjalan lancar dan kita harap semuanya dapat dirasmikan mengikut jadual dirancang,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata PPAS turut merancang membangunkan perpustakaan di Hulu Langat, Kerling, dan Puchong Indah pada 2021.

Categories
SELANGOR

PPAS rancak laksana 14 projek pembangunan

SHAH ALAM, 18 JULAI: Sebanyak 14 projek pembangunan sedang rancak dijalankan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) di seluruh negeri.

Pengarahnya, Mastura Muhammad berkata, tiga daripadanya iaitu di Jeram, Bukit Kapar dan Gombak sudah siap dibina ,sementara dua projek di Sabak Bernam dan Tanjung Karang dijangka siap menjelang hujung tahun ini.

“Untuk makluman, empat projek lagi iaitu di Hulu Selangor, Kuala Langat, Taman Medan dan Puchong Indah juga sedang dalam pembinaan.

“Projek di Hulu Langat pula dalam proses tender yang dijangka selesai pada Oktober ini, manakala projek di Dataran Sabak masih dalam proses sebut harga kerana bajet hanya diluluskan untuk 2019.

“Sebuah lagi projek masih menunggu peruntukan kerana ia dengan kerjasama agensi swasta, dan dua lagi ditukar lokasi,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 1 yang menyebut pengurusan projek pembangunan PPAS kurang cekap sehingga tidak mencapai sasaran ditetapkan mengikut Pelan Strategik PPAS 2016 – 2020.

Sehingga Disember 2018, sebanyak lima atau 17.9 peratus daripada 28 projek yang dirancang dan sedang dilaksanakan mengalami kelewatan.

Categories
SELANGOR

LKAN 2018: 49% pengunjung iktiraf PPAS sangat memuaskan

SHAH ALAM, 17 JULAI: Kira-kira 49 peratus pengunjung Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) berpendapat kemudahan disediakan sangat memuaskan, demikian menurut Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 1.

Laporan itu berkata, sementara 47.2 peratus pula berpendapat kemudahan PPAS sebagai memuaskan dan hanya 3.8 peratus tidak memuaskan.

“Antara yang dinilai ialah kemudahan tempat letak kenderaan, perabot, komputer dan capaian internet, tahap persekitaran perpustakaan yang bersih dan selesa serta suasana dalam perpustakaan khususnya pencahayaan.

“Tahap kepuasan pengunjung berhubung kemudahan dan persekitaran perpustakaan ini juga kerana kerja naik taraf yang dilakukan PPAS,” katanya.

Pengauditan itu turut melaporkan, berdasarkan maklum balas soal selidik yang dijalankan, tahap kekerapan tertinggi pengunjung hadir ke perpustakaan baik, sekurang-kurangnya satu kali seminggu.

“Analisis mendapati jumlah kedatangan pengunjung pada 2017 dan 2018 bagi enam perpustakaan terpilih meningkat pada kadar 61 hingga 81.4 peratus.

“Ini menunjukkan projek pembangunan perpustakaan yang dilaksanakan berjaya menarik minat pengunjung ke perpustakaan,” katanya.

Statistik mendapati 25 peratus pengunjung datang ke perpustakaan sebanyak satu kali seminggu, 22.7 peratus (dua kali seminggu), 20.8 peratus (tiga kali seminggu), 17.3 peratus (setiap hari) dan 14.2 peratus lain-lain.

Laporan Ketua Audit Negara juga melaporkan, berlaku peningkatan antara 5.1 hingga 15.9 peratus bagi bilangan koleksi buku dan bahan pada 2016 hingga 2018.

Jumlah koleksi dan bahan perpustakaan awam berjumlah 103,714 pada 2015 dan naik kepada 133,345 pada 2018.

“Berdasarkan Pelan Strategik PPAS 2016-2020, PPAS mahu pembangunan koleksi buku dan bahan perpustakaan untuk mengukuhkan koleksi serta bahan perpustakaan yang komprehensif melalui perolehan bahan terbitan dalam dan luar negara.

“PPAS turut menetapkan sasaran bagi pelaksanaan penambahbaikan koleksi buku dan bahan sebanyak 100,000 hingga 150,000 naskhah setahun,” katanya.

Categories
SELANGOR

Pelancongan berasas pendidikan terus diperkasa

OLEH IZRIN MOHAMAD SAID

SHAH ALAM, 3 MEI: Program pelancongan berasaskan pendidikan di Selangor akan terus diperkasa melalui sokongan Kerajaan Negeri, kata Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Mastura Muhamad.

Katanya, setiap negeri atau negara bakal maju jika aspek pelancongan dipertingkat, sekali gus melahirkan generasi berkeyakinan dan berfikiran kreatif.

“PPAS yang berada di bawah Kerajaan Negeri akan memudahkan dan membantu sekolah yang ingin mengadakan program di peringkat antarabangsa serta memberi keutamaan khususnya bagi anak Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media pada Majlis Perlancaran Lunak (Soft Launching) Festival Antarabangsa #MySchoolGoals di Perpustakaan Raja Tun Uda, di sini hari ini.

Pada masa sama, Mastura turut memuji inisiatif penganjuran Festival Antarabangsa #MySchoolGoals pada 30 Julai ini, bagi meningkatkan kualiti pendidikan dan modal insan.

“Saya yakin dan percaya dengan adanya usaha berterusan ini, kita akan dapat meningkatkan lagi kualiti pendidikan negara,” katanya.

Festival Antarabangsa #MySchoolGoals adalah sebuah program memperkasakan budaya membaca dan mencungkil bakat dalam kalangan pelajar di seluruh Malaysia serta Asia Tenggara.

Ia mendapat sokongan penuh Kementerian Pendidikan Malaysia dan 15 rakan strategik seperti Balai Seni Negara, McDonalds Malaysia dan Storymakers League Asia.

 

Categories
SELANGOR

Komited naiktaraf Perpustakaan Kerling, pastikan keselesaan pengunjung

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KUALA KUBU BHARU, 25 SEPT: Kerajaan Negeri komited memastikan agenda menaiktaraf Perpustakaan Kerling, di sini, dapat dilaksanakan bagi memberi keselesaan kepada pengunjung.

Ahli Dewan Negeri Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong berkata, struktur bangunan perpustakaan itu mengalami beberapa kerosakan memandangkan ia dibina sejak 1980-an.

Katanya, perpustakaan berkenaan memerlukan pembaharuan dan penambahbaikan berdasarkan keadaan semasa bagi manfaat khususnya terhadap komuniti setempat.

“Kemudahan perpustakaan masih diperlukan pada masa sekarang kerana ia terletak di kawasan desa yang menjadi tumpuan orang ramai termasuk golongan remaja.

“Masih ramai yang ingin meminjam buku malahan perpustakaan sudah menyediakan perkhidmatan internet percuma dan menjadi tempat pelajar mengulang kaji pelajaran,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Terdahulu, beliau mengulas cadangan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) untuk menaiktaraf Perpustakaan Kerling yang tidak dapat dilaksanakan ekoran masalah status hak tanah milik Kementerian Kerja Raya.

Kee Hiong berkata, PPAS bercadang memohon tanah itu untuk tapak perpustakaan berkenaan.

“Maka, saya dan Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli (Tengku Zulpuri Shah Raja Puji) akan membantu menyelesaikan isu status tanah ini,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, PPAS turut membincangkan peruntukan berjumlah RM3 juta bagi kerja menaiktaraf Perpustakaan Syed Mashor, tahun ini.

“Perpustakaan ini adalah yang terawal dibina di daerah ini dan dibuka sejak 25 tahun lalu serta memiliki lebih 100,000 naskah bahan ilmiah.

“Perhatian sewajarnya perlu diberi dalam hal ini bagi memupuk minat membaca, selain menjadi lokasi penganjuran aktiviti kemasyarakatan berbentuk pendidikan,” katanya.

Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

PPAS terima sumbangan buku MSU

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 6 JUN: Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) menerima sumbangan buku bernilai kira-kira RM500,000 daripada Universiti Pengurusan dan Sains (MSU), semalam.

Sumbangan terbabit adalah kerjasama erat antara kedua pihak dalam usaha penambahbaikan dan koleksi bahan bacaan berkualiti untuk masyarakat di perpustakaan berkenaan.

Presiden MSU, Mohs Shukri Ab Yajid menyampaikan sumbangan itu kepada Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Dr Shaharuddin Badaruddin dalam Majlis Penyerahan Buku Daripada MSU di Perpustakaan Raja Tun Uda, di sini.

Majlis itu turut disaksikan Pengarah PPAS, Mastura Muhamad.

“Sumbangan MSU ini adalah hadiah penuh bermakna ketika sambutan Ramadan dan ia boleh menambah kekayaan ilmu,” kata Mohd Shukri.

Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

Budaya membaca lahir generasi berjaya

OLEH HAZIQ ISMAIL

SHAH ALAM, 24 APR: Kira-kira 1,000 murid dari pelbagai sekolah seluruh negeri menyertai program ‘Jom Baca Bersama Untuk 10 minit’, di Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), di sini, hari ini.

Pengarah PPAS, Mastura Muhammad berkata, program itu bertujuan membentuk masyarakat ke arah minat membaca walaupun dalam tempoh singkat.

Katanya, sebanyak 102 perpustakaan seluruh Selangor turut terbabit dalam aktiviti itu.

“Konsep Jom Baca Bersama ini adalah idea dari hari Earth Hour dengan masyarakat berhenti seketika membaca buku selama 10 minit.

“Tahun lalu sahaja seramai 835,000 orang terbabit dalam program ini,” katanya.

Majlis disempurnakan isteri kepada Dato’ Menteri Besar, Datin Seri Shamshida Taharin.

Sementara itu, Shamshida berkata, program itu mampu memberi manfaat kepada semua golongan kerana ia bukan sahaja menggalakkan membaca tetapi turut menambah pengetahuan.

“Program galakan membaca 10 minit ini hanyalah pencetus atau pembakar semangat kepada anda untuk terus menyemarakkannya sebagai amalan harian dan meneruskannya secara konsisten.” katanya.

Program yang mula dilaksanakan, pada 2014 itu dijalankan serentak di seluruh negeri mengikut cadangan tarikh ditetapkan Majlis Pengarah Perpustakaan Awam Se-Malaysia (MPAM).

Categories
SELANGOR

RM52.4 juta diperuntuk naik taraf perpustakaan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 31 MAC: Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) menyambut baik komitmen Kerajaan Negeri yang memperuntukkan sejumlah RM52.4 juta dalam usaha memacu pembangunan perpustakaan di negeri itu.

Pengarah PPAS, Mastura Muhamad berkata, keberkesanan itu jelas terbukti apabila sebanyak 50 perpustakaan awam berjaya dinaik taraf sepanjang tempoh 10 tahun.

“Kadar peruntukan itu adalah satu jumlah yang agak besar dan kami berbesar hati dengan inisiatif Kerajaan Negeri dalam membangunkan pendidikan masyarakat di Selangor khususnya.

“Pada tahun ini, kami menerima peruntukan RM7.5 juta daripada Kerajaan Negeri untuk projek menaik taraf perpustakaan awam daerah, manakala 1 juta lagi untuk perpustakaan desa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui SelangorKini selepas Majlis Perasmian Pesta Buku 2018, di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini, hari ini.

Tambah Mastura, projek perpustakaan kontena di Kampung Lindungan juga sedang rancak dijalankan dengan memperuntukkan sebanyak RM650 ribu.

Katanya, projek itu mendapat kerjasama dan sokongan erat daripada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan dijangka siap pada April nanti.

“Kerajaan Negeri sepatutnya memberi 1,500 kaki persegi bagi konsep perpustakaan kontena, tetapi kita dapat memperluaskan kepada 3,500 kaki persegi.

“Ia bakal dilengkapi dengan prasarana asas yang lebih canggih seperti pusat siber dan bilik mesyuarat, bilik perbincangan, bilik aktiviti dan banyak lagi.

“Selain itu, di luar perpustakaan juga akan terdapat elemen landskap seperti taman permainan dan tempat berkelah sekaligus memperlihatkan ia sebagai tempat yang penuh fantastik,” katanya.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Pesta Buku Selangor sasar 400,000 pengunjung

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 31 MAC: Pesta Buku Selangor 2018 yang sedang berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini, menyasarkan sebanyak 400,000 pengunjung bagi edisi ke 13 penganjuran itu.

Pengarah PPAS, Mastura Muhamad berkata, sasaran itu berdasarkan sambutan menggalakkan daripada orang awam sepanjang tiga hari pameran anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dengan kerjasama Kerajaan Negeri.

Katanya, cuti hujung minggu memberi peluang untuk orang ramai daripada segenap lapisan masyarakat mendapatkan pelbagai pilihan menarik sehingga menyebabkan ruang pameran penuh sesak.

“Jumlah pengunjung dijangka terus bertambah kerana kemeriahan sambutan terpancar sejak hari pertama pameran lagi.

“Kami berharap jumlah itu konsisten sekaligus mencapai sasaran pada tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Pesta Buku Selangor 2018, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Mastura berkata, pameran terbesar di Selangor turut menampilkan kelainan setelah buat julung kalinya, penerbit buku antarabangsa dari Singapura (Bloomsbury) dan United Kingdom (Wiley & Sons) menjadi tetamu jemputan.

“Mereka akan guna kesempatan ini untuk mengetengahkan pelbagai koleksi buku berkaitan kebudayaan masyarakat di negara tersebut.

“Jumlah pempamer juga menunjukkan peningkatan positif yang mana hanya 85 penerbit menyertai kami pada tahun lalu, tetapi kali ini menyaksikan 100 pempamer pelbagai syarikat penerbit tempatan dan pengedar buku,” katanya.

Terdahulu, Pesta Buku Selangor 2018 mengangkat tema “Membaca Mencetus Kreativiti” membawa maksud membaca menjadi asas dalam proses literasi dan penguasaan ilmu setiap individu.

Manakala kreativiti lahir secara semulajadi dalam individu tertentu, namun tidak bermakna keupayaan berkreatif serta berinovasi tidak boleh dibentuk.

Pesta yang berlangsung selama 11 hari bermula dari 29 Mac hingga 8 April itu menawarkan harga jualan yang murah dengan bermacam-macam bahan bacaan menarik.

=EZY=