Categories
SELANGOR

Penjenamaan semula PPAS berjaya tingkat pengunjung

OLEH: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 25 APR: Penjenamaan semula Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) sejak 2009 berjaya meningkatkan jumlah pengunjung ke perpustakaan awam seluruh Selangor.

Pengerusi PPAS, Dr Halimah Ali, berkata jumlah pengunjung Perpustakaan Raja Tun Uda dalam tempoh tiga tahun pertama sejak dibuka di Seksyen 13, iaitu bermula 21 Julai 2011 hingga Disember 2013 adalah seramai 1.5 juta.

PPASKatanya, pengunjung 2014 hingga 2015 di perpustakaan itu juga turut mencecah 1.5 juta, menyamai jumlah pengunjung untuk tempoh tiga tahun sebelumnya.

“Penjenamaan semula PPAS melibatkan perubahan menyeluruh meliputi kakitangan (perubahan hati, minda dan sikap), bangunan (selesa, cantik dan kondusif), koleksi bacaan (menarik, terkini dan berkualiti) dan program (kreatif, relevan dan berkesan).

“Walaupun berada di lokasi strategik di Seksyen 14 dengan kemudahan pengangkutan awam sebelum ini, jumlah pengunjung sebelum penjenamaan hanya 418,000 sahaja bagi tempoh 2008 hingga 2010,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan aluan di Majlis Perasmian Jom Baca 10 Minit di Perpustakaan Raja Tun Uda di sini, hari ini.

Majlis disempurnakan Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan turut dihadiri Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Mohamad Adzib dan Pengarah PPAS, Mastura Muhamad.

PSX_20160425_114354Pada 2013, jumlah pengunjung di seluruh perpustakaan Selangor mencatatkan 1.4 juta, 2014 pula 1.5 juta sementara pada 2015 adalah 1.45 juta pengunjung.

Halimah berkata, penjenamaan semula PPAS bukan sahaja dijadikan model perpustakaan awam negeri lain malah turut membuka mata pihak luar.

“Baru-baru ini, PPAS mendapat permohonan latihan praktikum pelajar universiti Indonesia yang ingin mempelajari dan mengkaji konsep ini,” katanya.

EZY

Categories
SELANGOR

Parkir PPAS dinaiktaraf sedia 600 tempat

Oleh: SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 3 DIS: Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) akan menaik taraf 600 tempat letak kenderaan bermula Disember ini.

Pengarah PPAS, Mastura Muhamad, berkata penambahan  tempat letak kenderaan itu bagi keselesaan orang awam ekoran peningkatan kunjungan.

PPAS“Kerja menaik taraf bermula Disember ini dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) dan dijangka siap pada 2017.

“Kita akan bangunkan kepada tiga tingkat untuk memuatkan 600 petak kenderaan memandangkan sebelum ini kita cuma ada 100 petak sahaja,” katanya kepada Selangor Kini.

Pada 2011 hingga 2013 peningkatan seramai 1.56 juta pengunjung berbanding 2008 hingga 2010 pengunjung yang mencatatkan seramai 418,000 orang.

“Dengan adanya penambahbaikan ini, kita berharap ia dapat memberi keselesaan kepada orang ramai terutama bagi mereka yang sering berkunjung di hari minggu bersama ahli keluarga.

“Sementara kerja penyelenggaraan dijalankan, orang ramai diharap dapat bersabar dan memberi kerjasama baik dengan PPAS dengan sebarang kesulitan,” katanya.

EZY

Categories
SELANGOR

FESBUK cungkil potensi usahawan muda

Oleh: SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 20 OGOS: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Real Estate dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) menganjurkan Festival Buku dan Kanak-Kanak (FESBUK) bagi mencungkil bakat serta potensi anak muda dalam bidang keusahawanan.

Pengurus Besar Real Estate, Fakru Radzi Ab Ghani, berkata festival itu akan menampilkan 24 usahawan muda daripada Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) sekitar Shah Alam dan mereka akan menyertai ‘Student Bazaar’ sebagai salah satu cara menggilap usahawan muda yang berpotensi.

“PKNS Real Estate juga dalam usaha memberi kesedaran kepada orang ramai, di samping mendidik kanak-kanak seawal usia berkenaan kepentingan membaca.

encik fakru-pengurus pkns“Selain itu, ia sebagai salah satu inisiatif PKNS Real Estate dalam menyokong aspirasi Kerajaan Negeri membina komuniti dan masyarakat madani dalam pembinaan sahsiah pemupukan nilai murni,” katanya dalam kenyataan media.

Festival itu berlangsung di SACC Mall dan Kompleks PKNS Shah Alam, bermula sehingga 23 Ogos ini.

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Teknologi dan Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Timbalan Datuk Bandar Shah Alam dijangka hadir, hari ini.

Fakru Radzi berkata, antara beberapa tarikan menarik di festival itu seperti jualan buku mega, aktiviti pentas oleh 200 pelajar taska sekitar Shah Alam dan MBSA Exciting Race 2015.

“Terdapat beberapa forum menarik seperti ceramah motivasi, bengkel tafsir Al-Quran dan sesi bedah buku bagi menambah ilmu pengetahuan pelajar.

“Kita juga akan menampilkan beberapa artis tempatan bagi memeriahkan lagi festival,” katanya.

-NFN-

Categories
BERITA UTAMA

Penjenamaan PPAS tarik perhatian antarabangsa

Oleh: AFIX REDZUAN

Perpustakaan dahulu hanya sinonim sebagai pusat mengulangkaji pelajaran dan meminjam bahan bacaan. Namun pandangan naif itu diubah melalui elovusi perpustakaan berkonsepkan kotemporari dan idea moden yang berjaya menarik kehadiran pengunjung.

Ikuti sesi wawancara bersama Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Mastura Mohamad.

Bagaimana perkembangan projek penjenamaan semula perpustakaan daerah?

Perkara pertama kami lakukan untuk penjenamaan semula adalah pembangunan kakita-
ngan yang mengambil masa hampir enam bulan. Sebelum itu kita membuat perbincangan berkumpulan dan 2010 kita mula membina bangunan lain.

Dalam elemen penjenamaan semula kita ubah cara kakitangan bekerja dan berfikir sebab kalau anda mengubah cara berfikir ia akan mengubah hidup anda.

IMG_2423 copyPerpustakaan pertama dengan konsep penjenamaan semula yang bermaksud kondusif, moden, bersih, perabot cantik dan ditambah pendingin hawa serta kipas sudah dibina di Semenyih sekitar awal 2010.

Kemudian diikuti di Taman Sri Manja, Ampang Waterfront, Pandan Jaya, Sri Perantau, Rawang, Kajang, Lembah Jaya dan yang hampir siap sekarang di Sungai Pelek.

Jumlah perpustakaan yang dijenamakan semula setakat 2015 adalah 20 buah dengan purata empat perpustakaan setahun.

Kos dibelanjakan bernilai hampir RM2.5 juta dengan peruntukan diberikan serta sumbangan anak syarikat kerajaan negeri (GLC) seperti Kumpulan Perangsang. Kumpulan Perangsang membantu kami RM1.3 juta untuk projek lapan perpustakaan.

Terbaru yang berjaya disiapkan adalah di Kuang, Jenjarom, Parit Baru dan Parit Mahang. Empat perpustakaan ini dalam fasa akhir untuk dimasukkan perabot dan diharapkan dapat beroperasi dengan baik dua bulan dari sekarang.

Pelbagai cabaran diharungi tapi yang penting adalah cara anda bekerja sebab kita kena tanamkan niat untuk memberikan perkhidmatan kepada masyarakat. Maka dengan itu semuanya berjalan baik.

Secara keseluruhan kami mempunyai 96 perpustakaan dan 47 perpustakaan desa masih belum dinaik taraf.

Akan datang kami menaik taraf perpustakaan di Sungai Merab dan Bangi sebab kami menerima banyak aduan memandangkan Bangi ‘Bandar Ilmu’. Dengan peruntukkan RM200,000 yang diluluskan kami mengecat semula perpustakaan di Bangi.

Selepas penjenamaan semula dibuat, bagaimana sambutan yang diterima?

Sambutan diterima luar jangkaan daripada apa yang kami fikir.

Sebagai contoh, Perpustakaan Raja Tun Uda sendiri pada 2008, 2009 dan 2010 ketika itu berada di kawasan strategik, ada pengangkutan awam dan dekat dengan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) tetapi hanya mendapat 418,000 pengunjung.

Selepas kami berpindah ke sini (Seksyen 13), tanpa kemasukan pengangkutan awam dan lokasi agak jauh, jumlah pengunjung meningkat hampir tiga kali ganda iaitu 1.56 juta dari 2011 hingga 2013.

IMG_7699Untuk 2013 sahaja, jumlah pengunjung hampir 756,000 dan 2014 meningkat kepada 814,000.

Saya bersyukur bantuan diberikan Allah dan berpesan kepada kakitangan setiap kali selepas solat kena betulkan niat. Bagi saya bukan kerja kuat kami yang membuahkan kejayaan tetapi bantuan Allah.

Kami juga turut mendapat sokongan DYMM Sultan Selangor. Baru-baru ini baginda sultan menghadiahkan 24 lukisan hasil karya pelukis diraja dan pelukis terkenal tempatan.

Nilai setiap lukisan juga tinggi dan kami letakkan di setiap tingkat. Insya Allah tidak lama lagi baginda juga hadiahkan buku edisi khas ke perpustakaan ini.

Apakah yang membuatkan orang tertarik ke sini sedangkan tiada pengangkutan awam dan lokasinya jauh?

Saya selalu bayangkan kalau bercuti, kita akan cari hotel bertaraf lima, empat atau tiga bintang. Mengapa kita mahu membayar murah tapi taraf lima bintang? Lima bintang itu diklasifikasikan sebagai selesa, bersih, wangi, layanan di kaunter baik.

Kita sanggup bayar mahal sebab persekitarannya cantik dan selesa. Apa salahnya perpustakaan kita jadikan seperti hotel bertaraf lima bintang sebab agensi kerajaan perlu membantu masyarakat merasai nikmat pergi ke tempat seronok tanpa perlu mengeluarkan duit.

Logo Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) NewKalau ke pusat membeli belah paling kurang kita kena bayar caj tempat letak kereta atau tandas tetapi di perpustakaan semuanya percuma.

Jika dahulu, bila kita ke perpustakaan terlalu banyak arahan ‘jangan’, saya buang semua itu. Kalau bersangka baik dengan pengguna, kita juga akan merasai kesannya.

Selepas lima tahun beroperasi, kami adalah perpustakaan pertama yang tidak menggunakan kasut.

Idea ini timbul seperti yang dilakukan di Masjidil Haram yang dikunjungi berjuta orang dan menggunakan beg plastik. Perkara sama kita praktikkan di sini.

Setiap tingkat akan ada ketua jabatan. Saya minta mereka pastikan tandas sentiasa bersih.
Dahulu, kita minta tandas dicuci dua jam sekali tapi sekarang kita kurangkan kepada sejam sekali. Kami berbincang baru-baru ini, setiap setengah jam tandas perlu dicuci terutama hujung minggu.

Dengan penjenamaan semula perpustakaan, bagaimana ia digunakan secara maksima?

Selepas lakukan penjenamaan semula, kita perkenalkan konsep ‘edutaiment’, (education dan entertainment).

Kami ada teater 3D, 6D, XD dan multimedia. Permintaan penggunaan multimedia sangat tinggi.

Kafe siber mengenakan caj minima RM2.50 sejam tetapi kami hanya caj RM1 sejam. Manakala perpustakaan di peringkat daerah dan desa kita kenakan caj RM0.50 untuk 30 minit dan sebelum itu ia berikan secara percuma.

Kita terpaksa caj kerana ramai pengguna bermain ‘game’ sahaja tanpa mengetahui nilai sebenar. Di PPAS, hari Sabtu atau cuti sekolah pengunjung boleh cecah 8,000 sehari. Kebanyakan mereka duduk dari pagi sampai petang atau pulang selepas pengumuman dibuat.

Perpustakaan yang kita jenamakan semula akan penuh selepas tamat waktu persekolahan seperti di Sri Perantau dan Sri Manja.

Bagaimana perincian tugas pustakawan di PPAS?

Saya pesan kepada pustakawan, tugas mereka bukan hanya menyusun buku tetapi menjadi warga pendidik selepas waktu persekolahan, seperti guru.

Warga pendidik perlu menekankan sudut rohani, emosi, adab dan intelektual. Kalau nampak ada yang berdua-duan, tegur mereka untuk menjarakkan kedudukan.

Selepas kejayaan ‘perpustakaan sebagai rumah kedua’, apa perancangan lain PPAS?

Dahulu, kita memperkenalkan ‘perpustakaan sebagai rumah kedua’ tetapi kita dalam perancangan supaya dijadikan pusat perjumpaan.

Kita mahu NGO, pelajar mengadakan program dan diskusi di sini. Kita ada pelbagai kemudahan seperti wi-fi, dan komputer.

PASS BuildingPPAS mahu melangkah setapak lagi ke hadapan dengan fokus baru ‘perpustakaan sebagai agen pembangunan negara’.

Di Selangor sahaja, kita mempunyai 96 perpustakaan. Di seluruh Malaysia, terdapat 1,100 pepustakaan awam.

Adakah waktu operasi sehingga jam 10 malam sudah dilaksanakan?

Kami sudah ambil maklum berkenaan saranan Dato’ Menteri Besar dan menghantar prosedur operasi standard (SOP) serta peruntukan yang perlu ditambah kerana ia mengambil kira kos utiliti serta bayaran pekerja.

Kita dijangka memulukan operasi berkenan tahun hadapan,  Insya Allah.

Kita tidak lakukan serentak tetapi memilih daerah tertentu yang mempunyai permintaan tinggi untuk dilanjutkan operasi hingga jam 10 malam.

Saya berharap Kerajaan Negeri mempertimbang kemasukan bas percuma ke kawasan PPAS sebab tiada pengangkutan awam lain yang masuk ke sini.

Bagaimana dengan penggunaan E-book di PPAS?

Alhamdulillah, kami dah mulakan tahun ini memandangkan sebelum ini berdepan kekangan bajet tetapi penggunaannya meningkat.

Kami sedang berbincang dengan Perpustakaan Negara untuk mewujudkan pusat pembelian e-book melibatkan semua perpustakaan supaya dapat membeli pada harga murah.
Antara masalah dihadapi, tidak banyak syarikat menggunakan e-book, bahkan ada buku yang selepas tiga tahun tidak lagi boleh diperolehi.

Adakala, e-book lebih mahal daripada buku dibeli seperti kaedah biasa.

Kesan pelaksanaan GST?

Walaupun buku tidak dikenakan GST, namun pembelian barangan lain tidak lari daripada pembayaran cukai.

PPAS terpaksa membelanjakan hampir RM500,000 untuk pembayaran GST sahaja.
Dahulu pendapatan kami melalui duit denda buku hampir mencecah RM250,000 hingga RM300,000 setahun. Selepas kita ada pelbagai perkhidmatan seperti teater 3D, maka pendapatan kita melebih RM500,000 serta terpaksa mendaftar GST.

Kami juga terpaksa tambah kakitangan dan bekerjasama dengan syarikat perunding dalam hal GST.

Sebagai contoh, dahulu kami caj sewa dewan RM300 sejam atau RM3,000 sehari dengan kelengkapan penuh. Tapi sekarang kena tambah enam peratus caj GST.

Kami buat caj mengikut jam berbanding hari misalnya ada tadika mahu sewa untuk dua jam sudah RM600.

Kalau dahulu mungkin kami boleh kurangkan harga tapi sekarang terpaksa ditambah dengan GST.

Kami cuba menyerap GST semampu yang boleh dan setakat ini hanya penyewaan dewan sahaja dikenakan GST.

Bagaimana pencapaian PPAS setakat ini di dalam dan luar negara?

Selepas konsep penjenamaan semula dilakukan, kami ada dipanggil membentangkan kertas kerja di peringkat tempatan.

Pada November 2014, kami dijemput Persatuan Perpustakaan Amerika Syarikat (ALA) untuk membentangkan hasil dan konsep penjenamaan semula yang PPAS lakukan.

Kami juga dijemput Perpustakaan Negara ke Cape Town, Afrika Selatan bersama PPAS Sarawak bagi membentangkan konsep penjenamaan semula perpustakaan, manakala PPAS Sarawak menekankan konsep isi kandungan.

Kekuatan kami adalah konsep perpustakaan sebagai rumah kedua dan agensi membangunkan masyarakat.

Saya sarankan Kerajaan Persekutuan atau kontraktor perabot tampil dengan produk menarik dan tidak diberikan hanya kepada agensi tertentu sebaliknya sumbangkan kepada perpustakaan supaya masyarakat rasa selesa dengan perpustakaan.

Apa perancangan PPAS selepas ini untuk menarik ramai lagi pengunjung?

Kami sedang dalam perancangan membina gimnasium luar dan kawasan permainan kanak-kanak di beberapa perpustakaan daerah. Idea ini dimulakan di Sungai Udang.

Saya juga dalam perancangan untuk membina kafe di perpustakaan selepas mengadakan lawatan ke Hong Kong dan Singapura.

Apakah PPAS mempunyai perancangan mewujudkan pusat penjagaan kanak-kanak di dalam perpustakaan?

Dahulu, ada perancangan tetapi tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan Kementerian Kebajikan. Insya Allah, akan cuba dirangka semula.

Kami dalam perancangan menyediakan lebih banyak tempat letak kereta dengan pembinaan bangunan tiga tingkat dan bakal menempatkan 600 ruang. Ini adalah projek fasa 2A.

Apakah harapan untuk PPAS lima tahun akan datang?

Selepas kejayaan ‘perpustakaan sebagai rumah kedua’ kita mahu memberikan tumpuan kepada ‘perpustakaan sebagai agensi pembangunan negara’.

Semua kakitangan perlu memberikan komitmen dalam mencorakkan masyarakat dan mempunyai kemahiran kerja yang tinggi.

Saya juga ingin menggalakkan anak syarikat negeri (GLC) atau syarikat swasta yang ingin membuat tanggungjawab sosial korporat (CSR) tampil memberikan sumbangan kepada perpustakaan bagi membolehkan kami menambah baik infrastruktur.

Dalam konsep lautan biru, kafe siber dan tempat lepak adalahpesaing bagi perpustakaan. Kalau kemudahan perpustakaan canggih, secara tidak langsung semua pesaing itu menjadi tidak relevan.

Categories
SELANGOR

Jom Baca 10 Minit berjaya tambah 40,000 peserta

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 6 OGOS: Kempen ‘Jom baca bersama selama 10 minit’ anjuran Perbadanan perpustakaan Awam Selangor (PPAS) berjaya mencatatkan peningkatan penyertaan seramai 40,000 tahun ini.

Peningkatan itu menyaksikan penyertaan 2.54 juta orang berbanding 2.5 juta pada tahun 2014.

Pengarah PPAS, Mastura Mohamad, berkata pihaknya gembira dengan peningkatan itu dan sedang merangka strategi untuk melibatkan penyertaan lebih meluas media elektronik seperti stesen radio untuk menghebahkan kempen berkenaan.

IMG_2423 copy“Peningkatan penyertaan antara lain disebabkan kita bekerjasama dengan Perpustakaan Negara yang turut sama dengan PPAS menjayakan kempen itu.

“Kita ingin menyampaikan mesej besar kepada ganerasi muda bahawa membaca itu sangat penting,” katanya kepada Selangor Kini.

Katanya, aktiviti tahunan yang dimulakan sejak tahun 2014 berlangsung pada 24 April lalu sempena dengan Hari Buku Sedunia.

Mastura berkata, PPAS turut menganjurkan program ‘Malaysia Mengaji’ yang dimulakan bulan Ramadan lalu pada 10 malam terakhir.

Kempen itu akan diteruskan tahun hadapan bertujuan memberikan kesedaran kepada masyrakat supaya membaca dan menghayati Al-Quran.

-NFN-

Categories
SELANGOR

PPAS Tanjong Karang bakal jadi perpustakaan penuh

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 19 JUN: Bangunan Wisma Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Tanjong Karang dalam proses baik pulih untuk dijadikan perpustakaan penuh.

Pengarah PPAS, Mastura Mohamad, berkata langkah terbabit baharu bermula dengan beberapa pengubahsuaian bahagian bangunan pada tingkat bawah.

Jom Baca 10 minit di PPAS (1)“Kita menjalankan kerja baik pulih secara berperingkat dan proses ini hanya mampu dijalankan selepas penyewa bersetuju untuk berpindah, baru-baru ini.

“Bagaimanapun, ia memakan masa kerana banyak kerja perlu dijalankan disebabkan bangunan ini agak lama dan terdapat kerosakan,” katanya kepada Selangor Kini, di sini, hari ini.

Mastura berkata, PPAS akan menutup operasi bangunan untuk tempoh dua minggu yang dijangka akhir Jun ini.

Katanya, selepas ini perpustakaan akan berpindah ke tingkat bawah dan bangunan itu akan beroperasi sepenuhnya selepas semua kerja selesai.

Jom Baca 10 minit di PPAS (3)“Wisma PPAS Tanjong Karang antara bangunan melebihi 25 tahun yang disewakan kepada pihak swasta bagi tingkat bawah dan dua.

“Kita akan memohon peruntukan tambahan kepada Kerajaan Negeri dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) untuk tujuan ini,” katanya.

Beliau berharap masyarakat khususnya di Tanjong Karang memahami dan berpuas hati dengan usaha PPAS bagi menyediakan kemudahan perpustakaan sebaiknya.

“Usaha penjenamaan semula perpustakaan di Selangor bermula sejak beberapa tahun lalu dan membabitkan lebih 20 perpustakaan.

“Sebahagiannya melalui proses pembinaan semula dan ada juga dinaik taraf,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

PPAS sasar 2.5 juta sertai Jom Baca 10 minit

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 23 APR: Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) mensasarkan lebih 2.5 juta penyertaan dari seluruh negeri dalam program Jom Baca Bersama Untuk 10 Minit.

Pengarahnya, Mastura Muhamad berkata, 14 buah perpustakaan negeri mengambil bahagian dalam program kali ini termasuk Perpustakaan Negara.

Katanya, Selangor mencatat penyertaan tertinggi tahun lalu iaitu 610,000 dari seluruh negeri merangkumi jabatan dan agensi kerajaan, premis perniagaan swasta serta sekolah.

Jom Baca 10 minit di PPAS (7)“Kita mahu semua daerah terlibat dengan program ini kerana memberi manfaat kepada masyarakat dan mencetus minat membaca.

“Dengan penglibatan Perpustakaan Negara, kita yakin jumlah penyertaan untuk program ini mampu meningkat lebih 2.5 juta,” katanya pada program berkenaan, di sini, hari ini.

Bermula tahun lalu, PPAS dengan gabungan 13 perpustakaan awam negeri di bawah Majlis Pengarah-pengarah Perpustakaan Awam Se-Malaysia melancarkan program itu serentak di seluruh negara.

Jom Baca 10 minit di PPAS (1)Pada masa sama, katanya, 15 buah perpustakaan sedang dibina dengan sembilan daripadanya sudah siap dan empat lagi akan siap dalam tempoh sebulan.

Dua lagi perpustakaan desa sedang dinaik taraf di daerah Sepang dan dijangka beroperasi sepenuhnya mulai Jun ini.

“Kami akan minta bajet Kerajaan Negeri untuk bina dan naik taraf perpustakaan di beberapa buah daerah dan menggalakkan syarikat swasta atau agensi kerajaan untuk sama membantu,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

PPAS benarkan pinjam 10 buku dapat reaksi menggalakkan

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM 26 MAC: Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor mendapat respon positif daripada orang ramai apabila jumlah pinjaman buku ditingkatkan dari tujuh ke 10 buah bermula Mac ini.

Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Mastura Muhammad, berkata ia satu lagi kemudahan yang disediakan untuk pengunjung dan kaedah sama juga dipraktikkan banyak perpustakaan luar negara termasuk Singapura.

PPAS“Sambutan amat menggalakkan dan ia satu perkembangan baik bagi memupuk minat membaca di kalangan orang ramai,” katanya kepada Selangorkini

Mastura berkata, proses terbabit digerakkan secara berperingkat bermula beberapa tahun lalu dengan jumlah pinjaman buku ditingkatkan dari tiga ke lima seterusnya tujuh dan terbaharu 10.

Manakala tempoh pinjaman, katanya, ditetapkan tiga minggu dengan tempoh tambahan seminggu.

EZY

Categories
SELANGOR

Penterjemahan karya antarabangsa martabat bahasa Melayu

Oleh : NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 3 FEB: Program penterjemahan karya antarabangsa bakal merancakkan budaya membaca dan mendedahkan rakyat dengan ilmu.

Pengurus Pemasaran, Abdul Nasir Saari, 45, berkata Selangor sebagai negeri termaju perlu mempakejkan pembangunan ilmu rakyat seiring pembangunan fizikal yang pesat.

a (1)“Diharap apa diusahakan direalisasikan kerana pembangunan negeri perlu disertai pembangunan (ilmu) rakyatnya,” katanya ketika ditemui Selangor Kini di Pesta Buku Selangor 2015 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), baru-baru ini.

Sementara itu, Guru, Masitah Masri, 38, berkata program penterjemahan karya antarabangsa memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

b (1)“Bila karya besar antarabangsa diterjemah ke dalam bahasa Melayu, ia meningkatkan penguasaan bahasa kebangsaan.

“Ia memudahkan  pemahaman di kalangan pembaca sekaligus meningkatkan jumlah pencinta buku,” katanya yang berbelanja RM250 membeli bahan bacaan di Pesta Buku.

Bagi, Pengurus Kewangan, Maslina Jamaen, 43 turut berkongsi pandangan sama dan berharap Bahasa Melayu tidak terus terpinggir.

c (1)“Karya besar semua dalam bahasa asing dan boleh dikira bahan bacaan seumpama itu dalam bahasa Melayu.

“Sebagai pencinta buku, sudah tentu hasil usaha itu ditunggu-tunggu kami untuk membaca buku asing yang diterjemahkan ke dalam bahasa sendiri,” katanya.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali membentangkan program penterjemahan karya antarabangsa ketika Belanjawan Selangor 2015 sebagai cabang dalam idea menjana industri budaya dan intektual.

Penganjuran program itu mengambil ilham daripada Tamadun Islam di Tanah Arab (The Baghdad Enlightenment) pada kurun ke-10, budaya Renaissance di Barat bermula kurun ke-16 dan kebangkitan Meiji di Jepun pada kurun ke-19.

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad turut menyentuh hal sama ketika berucap pada Majlis Perasmian Pesta Buku Selangor 2015, baru-baru ini.

Terdahulu, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr Awang Sariyan ketika diwawancara Selangor Kini berkata usaha itu menepati agenda peningkatan tamadun setempat kerana karya besar tamadun lain dalam bidang ilmu dan susastera dapat memberi nilai tambah yang penting.

EZY

 

Categories
SELANGOR

Selangor catat pengunjung tertinggi perpustakaan awam

SHAH ALAM 2 FEB: Jumlah pinjaman buku di Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) meningkat pada 2014 kepada 734,994 berbanding 635,197 pada 2013.

Pengarah PPAS, Mastura Muhamad, berkata jumlah keahlian meningkat kepada 56,317 berbanding 46,816 pada 2013 yang membuktikan trend membaca masyarakat semakin positif.

MB lancar perpustakaan sg undang 01Katanya, aktiviti perpustakaan mendapat sambutan pengguna dan Selangor berjaya mengumpulkan jumlah pengunjung tertinggi berbanding perpustakaan awam negeri lain.

“Kita berjaya kumpulkan hingga 610,000 pengunjung tahuh lalu dan jumlah ini merupakan tertinggi. Sasaran kita selepas ini mahu setiap orang luangkan masa 10 minit untuk membaca,” kata Mastura dipetik Sinar Harian.

Katanya, membaca melalui internet juga boleh dianggap budaya membaca tetapi menggunakan versi digital.

“Ini adalah persaingan sihat dan budaya bagus bagi mendidik masyarakat cintakan budaya membaca,” katanya.

EZY

Categories
SELANGOR

Perpustakaan patut seiring revolusi maklumat

Oleh: NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 31 JAN: Seiring dengan gelombang revolusi pencarian maklumat, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) perlu meneroka bidang teknologi dan digital bagi memastikan kelangsungan peranannya sebagai gedung ilmu.

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata sebagai institusi paling strategik mendidik dan membangunkan modal insan, PPAS wajar mendepani setiap cabaran dalam memastikan peranannya sebagai ‘prevention center’ dekat dihati semua lapisan masyarakat.

PPAS“Perpustakaan mempunyai peranan yang lebih mencabar apabila Internet menjadi pencetus revolusi pencarian maklumat. Gelombang revolusi ini sudah tentunya menuntut perpustakaan agar melakukan perubahan segera supaya kekal relevan sebagai institusi maklumat untuk masyarakat.

“Ini kerana perpustakaan mampu mendidik hati dan jiwa masyarakat melalui suasana persekitarannya yang kondusif, layanan kakitangan yang mesra dan prihatin, koleksi buku dan bahan bermaklumat yang memperkaya minda, serta prasarana dan kemudahan yang selesa, bersih dan terkini untuk menambah nilai kehidupan,” katanya.

Nik Nazmi berkata demikian pada Majlis Perasmian Pesta Buku Selangor 2015 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) yang turut di hadiri Pengerusi PPAS, Dr Halimah Ali dan Pengarah PPAS, Mastura Muhamad.

Beliau menambah, meskipun medium kini semakin berubah, amalan pembacaan kekal penting, bukan sekadar menyebarkan maklumat tetapi ilmu yang berteraskan hikmah atau wisdom.

“Membaca adalah amalan yang penting. Tidak ada peradaban yang bangkit tanpa membudayakan ilmu dan pembacaan.

“Justeru saya menyeru ibu bapa untuk mengamalkan budaya membaca bermula di rumah. Sebagai bapa muda dengan anak yang kecil, saya tahu lebih mudah meninggalkan anak di rumah dengan gadget terkini tetapi ibu bapa mestilah menanam amalan ini dari awal,” katanya.

Terdahulu, kesemua jemputan dan dif-dif terhormat menyertai sesi rehat sambil membaca selama 15 minit sebagai kempen dengan mesej memupuk budaya membaca.

Pesta Buku Selangor 2015 dengan temanya ‘Evolusi Buku dan Digital’ merupakan penganjuran kali ke-10 sejak dilancarkan pada 2006.

Pesta buku kali ini disertai 80 pempamer dengan 150 booth jualan dari pelbagai syarikat penerbit tempatan dan pengedar buku seperti Kumpulan Karangkraf, Cerdik Publication, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia, Penerbitan Pelangi, PTS Media Group, dan E-Media Publication.

Di samping itu, ruang khas untuk program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) turut disediakan sebagai kemudahan kepada rakyat Selangor.

Pelbagai aktiviti menarik diaturkan sebagai pengisian pesta buku yang berteraskan konsep kewangan, kerjaya, kekeluargaan, kesihatan dan spiritual.

Di antaranya ialah Rahsia Makanan Sunnah (As-Sunnah Marketing), Formula Transformasi Kejayaan dan Keberkatan (Dr. Azizan Osman); Demo Jahitan Jubah Mudah (Yasalma); Teknik Fotografi (Sweet Picture); Workshop on Early Childhood Development “Love Languages (Puan Rozita Abdullah); Sharing Genius Aulad Parenting Tips.

EZY

Categories
SELANGOR

PPAS: Keselamatan pengguna perpustakaan desa jadi keutamaan

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 7 JAN: Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) menitikberatkan aspek keselamatan di perpustakaan desa demi keselesaan pengguna dan petugas.

Pengarah PPAS, Mastura Mohamad berkata, perpustaan sedia ada sentiasa dinaik taraf, begitu juga khidmat kakitangan mereka.

“Tahun ini, kita dalam proses penjenamaan semula dan menaiktaraf empat perpustakaan desa. Antara langkah diambil adalah menukar pintu kayu kepada pintu kaca dan pemasangan alat penghawa dingin di perpustakaan.

baca buku a“Pemasangan pagar juga dibuat. Ia bagi memastikan keselamatan dan mengelak daripada berlaku kejadian tidak diingini seperti diceroboh,” katanya kepada Selangor Kini.

PPAS berharap segala kemudahan mampu disediakan di semua perpustakaan desa secara berperingkat dan menjadi lokasi pilihan untuk dikunjungi pada masa depan.

Mastura mengakui kebanyakan perpustakaan desa di bawah kendalian PPAS terletak di lokasi agak terpencil dan hanya sedikit yang mempunyai kemudahan berpagar.

“Kita akan melakukan proses penjenamaan semula dan naik taraf di kawasan tertentu dengan aspek keselamatan menjadi keutamaan.

“Ia adalah salah satu cara supaya kakitangan serta pengunjung berasa selamat dan selesa,” katanya.